Tempat menarik di Cameron Highland mesti dilawati

Kami ingin berkongsi senarai tempat menarik di Cameron Highland yang mesti dilawati semasa bercuti disana. Tempat-tempat ini dipilih berdasarkan keunikan, keindahan dan beberapa faktor lain termasuk harga tiket bayaran masuk yang dikenakan. Kebanyakan destinasi pelancongan ini adalah percuma melainkan beberapa tempat yang berbayar. Namun kami merasakan ianya berbaloi dan tidak membebankan, jadi kami syorkan kepada anda.

Jika ini kali pertama anda ingin ke Cameron Highland, sila lawati Panduan bercuti di Cameron Highlands untuk membaca dengan lebih menyeluruh. Ada juga boleh mendapatkan tips berguna tempat menarik, tempat makan dan hotel penginapan.

Ladang Teh

Salah satu tarikan utama di Cameron Highland ialah ladang teh. Kehijauan pokok-pokok teh yang memenuhi lereng bukit cukup mempersonakan. Cuaca sejuk yang menyegarkan membolehkan pengunjung bersiar-siar disekitar ladang sambil bergambar untuk mengabadikan kenangan disini. Berikut ialah beberapa ladang teh yang boleh dilawati.

Ladang teh Cameron Highland

Ladang Teh Boh

Teh Boh cukup popular dikalangan para penggemar teh di Malaysia. Jika sebelum ini anda hanya menikmatinya dirumah, apa kata sesekali anda melawat tempat dimana ia dihasilkan. Jangan bimbang kerana tempat ini memang menarik, tidak membosankan dan masuk adalah percuma. Antara tarikan yang ada ialah ladang teh yang menghijau, melawat pameran, galeri dan kilang teh. Berbagai maklumat dikongsikan termasuk sejarah, peralatan dan proses penghasilan teh Boh. Selain itu terdapat cafe yang menyediakan kek dan pastri serta tidak ketinggalan teh Boh sendiri.

Lokasi / Alamat:
BOH Sungai Palas Tea Centre
39000 Brinchang,
Pahang

Ladang Teh Bharat

Pengeluar teh kedua terbesar di Malaysia, Cameron Bharat Plantations yang menghasilkan Cameron Valley Tea mempunyai ladang yang sangat luas terletak di Ringlet dan Kuala Terla. Ladang teh ini merangkumi kawasan bukit yang menawarkan pemandangan mengagumkan. Tempat menarik yang ada mesti lawati ialah Cameron Valley Tea House yang terletak di Kuala Terla. Anda boleh merasa keenakan teh di cafe yang turut menyediakan kek, pai dan lain-lain untuk dinikmati bersama. Bagi pengunjung yang ingin bersiar-siar disekitar ladang boleh berbuat demikian samada berjalan kaki atau menyewa buggy yang disediakan dengan bayaran RM10 seorang. Bagi yang ingin merasa pengalaman yang lebih mencabar, anda boleh menyewa ATV Cameron Adventurous yang terletak di lokasi yang sama.

Ladang Teh Bharat - Cameron Valley Tea

Lokasi / Alamat:
Cameron Valley Tea House KT
Batu 50, Kuala Terla District,
39000 Tanah Rata,
Pahang

Taman Agroteknologi Mardi

Taman Agroteknologi Mardi yang juga terkenal sebagai Little Cameron ialah salah satu tempat menarik di Cameron Highland yang mesti dilawati. Kawasan seluas 42 hektar ini mempunyai segalanya. Anda boleh melawat ladang teh, taman-taman bunga, ladang strawberi dan bermacam-macam lagi. Memang puas menjamu mata dan bergambar. Harga tiket RM5 dikenakan untuk dewasa dan RM2 untuk kanak-kanak. Bagi kami, ianya sangat berbaloi.

Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highland

Berbagai kemudahan yang disediakan termasuk Pusat Informasi, Cafetaria, Pusat Jualan, tandas, surau, Flower Nursery, Walking Trail dan apartmen penginapan. Jika anda berminat untuk membeli pokok bunga, tanah atau baja, disini adalah tempatnya. Selain itu, anda boleh melihat demonstrasi penanaman, penggunaan baja dan pemprosesan makanan serta berbagai maklumat berkaitan kajian yang dilakukan oleh pihak MARDI.

Lokasi / Alamat:
Taman Agroteknologi Mardi Cameron
39000 Tanah Rata,
Pahang

Ingin mengetahui lebih lanjut? Sila lawati halamanTaman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands

Kea Farm

Apa yang menarik di Kea Farm ialah pasar yang terletak disini. Datang waktu pagi untuk mendapatkan berbagai sayuran segar, buah-buahan dan bunga-bunga tempatan yang dijual dengan harga berpatutan. Selain itu terdapat gerai menjual makanan yang boleh anda cuba. Antara yang terkenal ialah jagung manis, ubi rebus, cendawan goreng dan tidak ketinggalan strawberi coklat.

Pasar Kea Farm

Selain pasar, ada beberapa tempat menarik yang boleh anda lawati disini seperti Kea Garden yang terletak dikawasan yang sama iaitu bersebelahan Kea Garden Guest House. Anda tidak akan terlepas lokasi ini jika anda meronda seluruh pasar. Ia adalah taman bunga yang direka dengan cantik dan berwarna-warni. Melewati kawasan ini bagaikan berada dalam alam fantasi, cukup mengagumkan. Bayaran masuk RM1 dikenakan.

Kea Garden

Lokasi / Alamat:
Kea Farm Vegetable Market,
Kea Garden,
39100 Kea Farm,
Pahang

Green View Garden

Tempat menarik seterusnya yang mesti dilawati di Cameron Highland ialah Green View Garden. Ia adalah salah sebuah ladang strawberi terbesar yang mempunyai lebih 20,000 pokok. Kawasan yang luas ini turut memuatkan taman bunga, taman haiwan, kolam dan cafe. Sejujurnya, tempat ini memang menarik. Anda tidak perlu membayar tiket masuk untuk melawat ladang strawberi, taman bunga dan House of Lavender, dimana anda boleh menikmati pemandangan serta bergambar kenangan. Anak-anak juga boleh bermain dengan arnab dan mengayuh paddle boat di kolam (berbayar). Selain itu, rekaan cafe yang unik, kawasan makan yang agak luas sangat selesa jika anda merancang untuk menjamu selera. Berbagai produk tempatan dijual seperti strawberi, pokok bunga, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Green View Garden Cameron Highland

Green View Garden terletak bersebelahan dengan Avant Chocolate & Ice Cream yang mana turut merupakan lokasi menarik di Cameron Highland.

Lokasi / Alamat:
Green View Garden
11, Taman Matahari Cerah,
39010 Kampung Raja,
Cameron Highland

Pasar Malam Cameron Highland

Tempat menarik di Cameron yang tidak boleh dilupakan ialah Pasar Malam Cameron Highland yang dulunya dikenali sebagai Pasar Malam Brinchang, Ia telah berpindah dari pekan Brinchang ke lokasi baru iaitu di Golden Hills. Mengekalkan konsep yang sama iaitu gerai-gerai jualan yang memenuhi kiri kanan jalan seperti pasar-pasar malam lain. Manakala barangan yang dijual pula merangkumi produk tempatan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, makanan dan pakaian.

Pasar Malam Cameron Highland

Tarikan pasar malam ini ialah harga barangan yang dijual lebih murah berbanding tempat lain di Cameron Highland. Anda boleh membeli buah tangan dan cenderahati seperti t-shirt, pokok bunga, kaktus dan lain-lain untuk dibawa pulang. Jika anda tidak tahu lokasi kedai makan atau restoran sedap di Cameron Highland, beli saja makanan di pasar malam ini dan makan di hotel atau apartment anda.

Pasar Malam Golden Hills Cameron Highland ini dibuka pada hari Jumaat dan Sabtu sahaja. Pada musim cuti sekolah ia dibuka setiap hari. Waktu operasi ialah dari pukul 4 petang hingga 11 malam.

Lokasi / Alamat:
Pasar Malam Golden Hills Cameron Highlands
Jalan Sungai Ruil,
39000 Brinchang,
Pahang

Cactus Point

Di Cameron Highland, terdapat dua kebun kaktus yang popular iaitu Cactus Valley dan Cactus Point. Kedua-duanya berkonsepkan kebun bunga yang hampir sama. Bezanya di Cactus Point, masuk adalah percuma. Disini anda boleh melihat dan membeli berbagai jenis kaktus dan pokok-pokok bunga lain.

Lokasi / Alamat:
Cactus Point
39000 Brinchang,
Pahang

Ee Feng Gu Bee Farm

Tempat menarik yang agak lain dari yang lain di Cameron Highland ialah Ee Feng Gu Bee Farm. Ia merupakan ladang lebah yang terbesar di sini. Pengunjung boleh belajar bagaimana lebah diternak untuk menghasilkan madu. Anda tidak akan bosan sebagaimana melawat muzium kerana terdapat taman yang luas, kebun bunga, kebun sayuran dan kedai cenderahati. Ia juga adalah lokasi yang baik untuk membawa anak-anak anda bagi mengenali lebah dan madu secara lebih dekat. Masuk percuma.

Ladang Madu Lebah Ee Feng Gu Bee Cameron Highland

Lokasi / Alamat:
Ee Feng Gu Bee Farm
39000 Brinchang,
Pahang

Tempat-tempat menarik di Cameron Highland memang banyak. Namun kebanyakannya lebih-kurang sama sahaja. Malah ada beberapa tempat yang mengenakan bayaran yang agak tinggi dan tidak berbaloi dengan apa yang ditawarkan. Apa yang kami cadangkan disini ialah lokasi yang mesti dilawati bagi memenuhi masa percutian anda. Untuk percutian 2 hari 1 malam, destinasi diatas cukup sesuai dikunjungi.

Comments

41

As salam.
Destinasi bercuti pilihan NO 1 suami..dr zmn bercinta..baru2 kawin sampai la ni dh ank 3...dia xpnh bosan dgn cameron highland..nyaman dan mendamaikan katanyer..hehe..saya pulak ikutkan aje..asal dia hepy saya dan ank2 pasti hepy sama...n mmg kitorg sentiasa hepy bila ke cameron nih..blom lgla rasa frust bercuti kat sini wlwpon pnh trapped dlm jammed sampai 3jam hnya dr kg raja nak ke brinchang..fuhhh...seksa rasanya..

Tapi awal 2000 dulu sejuknye boleh tahan...kalo bercakap tuh msih bleh lah nmpak asap kepul2 tuh kuar mulut..hehe..sejuk dingin katakan..tp skrg xde sgt..kecuali awal2 pg n tgh2 mlm..tp jgn dibuat bg yg xbiasa sejuk..menggeletar juge...so baik beringat trutama kalo musim ujn..huhu..

Yg jd routine kami sekuarga kalo ke sini ofkos la ke butterfly garden..bg hepy ank2..strawberry farm
..kea farm tuk bli madu..sayur2..buah2an..goreng2an..bla..bla..psr mlm bli ole2..agro park jalan2..sg palas tea plantation..perghh syok layan angin kat tmpt tggi smbil hirup teh panasss..teh pon lain rasanya dr di kedai mamak n yg kita beli kat supermarket..may b sbb fresh n environment tuh yg buat kita hanyutt jer menikmatinyer...hehe..

Bg saya..kalo yg dh berkuarga besar n pegi ramai2 baik pilih homestay..skrg byk pilihan xmcm dulu..n byk yg provide dapur masak..peti sejuk..bla..bla..so bleh jimat kos mkn..msk sndri lbey baik..duit bleh ke lain..byar tuk msuk taman2 n kebun2 yg kenakan charge masuk..

Cumanye..berhati2lah pilih gerai jual mknan..pastikan dulu halal ke tidak baru beli..tgok sama ye yg menjualnyer..kalo was2 tinggalkan aje..inshaa Allah bleh aje cari yg halal cume ade segelintir yg mengelirukan..rasanya anda yg dh slalu pergi pasti fhm maksud saye..

kepada yg ingin bercuti di cameron buatlah psiapan dulu..kalo ade ank kecik bwk baju tebal..kalo bleh sarung tgn stokin tuh pastikan ade..sbb bila mlm sejukkk...hehe..beli kat ats nih mahal..beli kat kdai biasa mcm mydin..my one shop..DIY ke..baru rm2 je sarung tgn..stokin..jgn lupa selimut n travel mattress kalo dtg beramai2..apepun...mmg best layan angin cameron nih bg org yg nk percutian bajet n sempoiii....

slamat bercuti uols..

Terbaik dari Mama Nurinz. Hihi...Perkongsian pengalaman di Cameron Highland yang memang tak dapat dinafikan lagi kebenarannya. Teori tak semestinya betul tapi pengalaman tak pernah menipu, sis ye. :-)

Aisya juga penah kena jammed berjam2 dari Kea Farm nak ke Brinchang. Beringat le ye, pada sesiapa yang nak ke Cameron Highland tu,elakkan masa cuti umum atau cuti persekolahan. Kalau takut tak meriah, boleh pergi masa hujung minggu.

Pesanan Mama Nurinz tentang makanan tu, ingat ye. Terutama di Pasar Malam Brinchang. Kalau nak beli tu, tengok2 dulu. Kalau nak senang boleh bawa keluarga makan di medan selera atau kawasan kedai makan banyak2 dijalan belakang hotel area Brinchang. Banyak kedai muslim kat situ.

Terima kasih Mama Nurinz atas peringatan dan tips yang sangat membantu.

Saya juga setuju ngan mama Nurinz...sy setiap tahun mesti pergi ke sini..x tau apa yg menarik..bg setengah orang...tpi bg family sy...sinilah tempat yg sesuai utk kluarga....sebut nak bercuti..mesti ank2 akan bg cdangan cameron....hihihi..dri ank seorang smpai skarang dah 3 orng pun..x cemuih kesini....jngan x tau..ank sulong sy dah 19 thun..jdi bayangkan..dah brapa belas kali kmi smpai sana....tentang mknan tu mmg kena hati2...

Ye la mommy Zarina Abadi. Cameron Highland ni tempat sejuk. Nak jalan-jalan pun selesa, tak berpeluh. Udara segar, tempat pun cantik. Tapi orang kata sekarang dah tak sejuk macam dulu-dulu. Betul ke?

Ya betul cakap mommy mommy sekalian . Sangatlah seronok kalau datang Cameron. Lagipun sya belajar kat Ipoh. Memang kalau parents datang mesti akan ajak gi Cameron.

tempat pilih yg tepat utk bawa family bercuti bersama anak-anak. Blh lepaskan penat berkerja.
Agro Park Mardi tempat yg wajib dilawati setiapa kali ke CH ... begitu juga dgn Laverder Garden dan Starwbeerry Big Farm ...

Assalamualaikum

recommended hotel pls..lokasi di tgh2 antara brinchang dan tanah rata :-) tq

Assalamualaikum....

First time pegi cameron tahun 2000...last pegi tahun lepas (2014)..sedih tengok muka bumi cameron...dah tak cantik macam dulu...
Kalau dulu..pasar malam tak banyak macam sekarang....
Bagi sesiapa yang first time nak gi cameron...saya cadangkan guna laluan exit simpang pulai utk ke cameron...dan exit Tapah untuk balik ....perjalanan lebih selesa...

SELAMAT BERCUTI...

Sis Yati... Kenapa Cameron dah tak secantik dulu? Apa yang merubah segalanya? (cewahh..)
Boleh huraikan sikit untuk pengetahuan pembaca lain.

Kalau dari Ipoh memang akan ikut exit Simpang Pulai tapi kalau dari KL agak jauh sikit. Memang betul le, jalan tu lebih cantik dan selesa dari jalan kat Tapah.

Sis aisya..kalau ikut exit simpang pulai mmg jauh sikit...tapi jimat masa...sy dari Johor...sblum ni ..kalau g cameron..ikut exit Tapah..tp last year sy ikut exit simpang pulai....memang selesa..dan jalan pun luas...
Kalau dulu...taman ros memang cantiiik sangat... sekarang macam agak x terurus...lepas tu...bnyak kawasan dh kena tarah...sedih sangat..dan x sejuk sangat...

Oh okie. Terima kasih Sis atas penjelasan. Saya pun dah lama tak pergi Cameron Highland. Kes tanah runtuh tu agaknya sebab banyak kawasan bukit yang dah kena tarah kot. Diharapkan pihak berkuasa lebih prihatin dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mengawal penerokaan tanah dan lereng bukit sewenang-wenang.

Salam sis yati..
Saye pun dari johor..tahun depan saye nak ke cameron..saye akan menginap di tanah rata...kalau saye ikot tapah da tentu terus sampai ke tanah rata tapi perjalanan yg berliku tapi dekat..

Kalau saye dari simpang pulai pulak agak jauh nak ke tanah rata sebab akan jumpe brinchang dahulu tapi perjalanan selesa...

Pendapat sis mne ye yg sesuai saye lalu? Buntu fikir hihi...tq

Cik lynasyaziera,
Last sekali saya ke Cameron Highland dua tahun lepas ikut jalan Tapah. Jalannya bukan saja berliku tapi sempit dan tampal sana sini. Menyesal ikut jalan tu.

Saya rasa jalan Simpang Pulai jauh lebih selesa. Brinchang dengan Tanah Rata tu dekat je. Bagi pendapat saya, definitely ikut Simpang Pulai. :-)

boleh x bg map @ mcm ne nk search pergi ikut simpang pulai..sy dr KL..sbb sy cuba search kat waze x jd pun..

Taip je "Cameron Highland". Pastikan ejaan betul. Kalau tak boleh jugak, try guna Google Map.

Salam all...minggu ni sy nak ke sana...sy duk melaka...klu nak ke tanah rata selesa jln dr sempang pulai ker...tapi dlm waze die bwk kita lalu jln tapah mcm mana erk...sy tngk peta pun dah pening tngk jalan nya...tolong bg pendapat...tq all

Ye betul. Kalau nak selesa ikut jalan Simpang Pulai ke Cameron Highland. Pasal Waze tu, nanti dah keluar tol Simpang Pulai, baru on balik. Semoga membantu. Selamat bercuti ye. :-)

salam..sy dari kl rancang nak ke cameron 14/11 ni..kat mana yg best utk bmalam? tanah rata @brinchang? sesuai ikut tapah@simpang pulai?

Saya cadangkan bermalam di Brinchang jika cikgu ingin lebih meriah. Kalau di Tanah Rata agak sunyi. Sesuai jika inginkan kedamaian (cewahh).

Jalan Simpang Pulai Ke Cameron Highland lebih baik dan selesa. Ramai yang setuju. Apapun, cepat2 booking bilik takut penuh nanti.

Selamat bercuti.

salam...saya nak tnya, ada sesiapa yang pernah bermalam di Heritage Hotel Cameron tak? Area jalan Gereja tu.. saya sudah booking di situ, tapi kebanyakan orang yang dah stay disitu kata hotel ini tak berapa ok. Betul ke?

Terima kasih

Heritage Hotel Cameron? Ok apa hotel tu cuma jauh sikit dari pekan. Pemandangan dan persekitaran pun cantik. Makanan pun ok. Jangan risau. :-)

Saya akan stay di Hotel Century Pines Resort. Dah booking skali tgk review mcm kurang ok. Ada sape2 boleh bg feedback sket ttg hotel ni?

Lg 1, kami akan stay selama 5 hari. Ada cadangan tpt2 yg menarik selain dari di atas? Tq semua :)

saya ingin bercuti di cameron ni..dah lama sangat nak ke sana..last pegi pun tahun 2000..anak pun dah 15 tahun sekarang..saya dah book hotel baget kat tanah rata..TJ lodge.okey x tempat tu..nk save baget book yg dorm sbb ramai..6-7 sekeluarga..hrp sesapa bleh respon.tqvm

Ramai yang cakap TJ Lodge ok. Hotel yang bagus, lokasi menarik dan layanan yang baik. Pengunjung yang pernah tinggal kat hotel tu ramai yang review bagi 4 bintang dan 5 bintang. Jadi cikgu jangan risau ye.

Minggu depan saya dan kawan2 akan menginap die TJ Lodge.. Macm mane ye pengalaman cikgu stay di sana ? Okay x tempat tu ?

Assalamualaikum, brapa lama tempoh yg dicadangkan kalau cuti2 di cameron?

tq

Wa'alaikumussalam. Kalau nak cuti2 di Cameron, 2h1m pun dah cukup sebenarnya dengan syarat boleh sampai awal pagi ke sana. Sebelum check in hotel, sis boleh melawat beberapa tempat menarik seperti Kea Farm yang sudahpun beroperasi pada waktu tersebut. Tempat2 lain yang dibuka awal pagi ialah Cactus Valley (8 pagi), Rose Center (8 pagi), Taman Agroteknologi Mardi (8.30 pagi), The Big Red Strawberry Farm di Brinchang (8.30 pagi), Lavender Cameron (9 pagi), Ladang Teh Boh (9 pagi) dan banyak lagi.

Walau bagaimanapun, kalau tempoh bercuti, ia bergantung pada banyak perkara seperti minat, tujuan bercuti dan lain-lain. Bercuti di Cameron Highland ni lebih kepada melawat tempat-tempat menarik seperti dalam senarai artikel ini. Pada yang minat pada taman-taman, kebun sayur, kehijauan dan keindahan alam, percutian di Cameron pasti menyeronokkan. Aktiviti riang-ria, lasak dan permainan tak ada. Ia mungkin membosankan pada sesetengah orang.

Begitu juga dengan tujuan bercuti. Sekiranya sis ingin berehat, Cameron Highland memang sesuai untuk menenangkan fikiran. Jadi cadangan saya, untuk percutian yang paling ideal di Cameron Highland, 3h2m paling sesuai kerana sis tak perlu rushing melawat tempat menarik yang ada serta boleh menikmati sepuasnya keindahan yang ada di sana. Lebih dari 3 hari, ia akan membosankan.

Ada member rekomen hotel remix...ok x hotel tu, agak2 ada heater x

Hotel Remix adalah salah sebuah hotel bajet di Cameron Highland. Ia agak popular dan sesuai untuk percutian bajet. Penginapan agak selesa. Untuk maklumat lanjut berkenaan fasiliti seperti heater dan lain-lain, sis boleh terus hubungi hotel:

Hotel Remix - Lot 12, Jalan Besar, 39100 Brinchang. Tel: 05-4914729.

copthorne hotel di brinchang ok tak? worth it kalau amik breakfast buffet kat situ? sapa2 ada pengalaman?

Kalau g sana jgn la stay kavy hotel.. Mcm tpt pelacur ja.. Kotor.. Tv xda siaran.. Harga mahal.. Indah khabar dr rupa.

Salam..sy akan ke cameron 10 org..ade x tempat tinggal mcm rumah or apartment yg harge bajet?please share..

Salam semua.. sy n lil family nk bercuti hujung minggu ni..cameron mcm besh.. hotel kat brinchang mn yg besh? Tmpt mkn mn yg nyum3.. 1st time nk g ni..

Bila sampai di Cameron Highlands jangan lupa singgah di Kampung Taman Sedia. Ada banyak kebun strawberi di sana. Nak cari homestay pun banyak. Diiktiraf kementerian pelancongan.

Jemput lawat blog homestay saya

http://fauzizhomestay.blogspot.my/

Perkongsian yang menarik...bermanfaat utk mereka yang sedang mencari destinasi pelancongan yang menarik...

salam..saya dr kuching sarawak,tahun depan bulan 2 merancang nak honeymoon ke cameron highlands.sebab saya suka tmpt yg sejuk dan sangat suka dgn lavender n strawberry.boleh tak kawan2 bg cadangan utk saya utk dpt pakej honeymoon bajet? terima kasih..

Assalamualaikum, info dlm blog ni betul2 lengkap dan membantu pd sesiapa yg pertama kali ingin ke cameron highlands. Insha Allah, 3/9/16 ni sy, suami dan anak ingin ke sana. Bismillahirrahmanirrahim...

Terima kasih puan. Pengunjung juga ramai yang bagi feedback dan pengalaman masing-masing yang mana saya rasa ia cukup berguna dan membantu pembaca lain. Selamat bercuti dan semoga semuanya selamat ye puan.

Assalammulaikum.

Saya dari Sarawak. Saya teringin nak bercuti di cameron highland ni. kalau dari KL Sentral guna bas ke Cameron akan hantar ke Tanah Rata. Adakah saya perlu sewa kereta untuk bersiar-siar ke tempat2 menarik di sana (tanah ratan / brinchang ataupun boleh berjalan kaki sahaja dari satu tempat ke satu tempat. mohon huraian

Wa'alaikumussalam,
Banyak tempat menarik untuk di lawati di Cameron Highland sebenarnya. Untuk lebih memudahkan, saya cadangkan sis Rumaiza sewa kereta. Senang nak ke mana-mana. Selain melawat tempat menarik, mungkin nanti nak keluar makan, ronda-ronda dan sebagainya.

Destinasi pelancongan memang berjauhan. Ada juga yang dekat dan boleh berjalan kaki. Tapi kalau nak puas hati, macam saya cakap le, sewa kereta. Boleh melawat semua tempat. Oh, pengangkutan teksi juga ada. Saya tak pasti harga untuk ke setiap lokasi.

Minta maaf le saya tak tahu nak hurai macam mana. Semoga membantu.

SAYA NK TANYA SIKIT KLAU AKTIVITI MALAM DI CAMERON AP YG BOLEH BUAT?? ADA CADANGAN? PLEASE?

Add new comment