Tempat menarik di Johor Bahru

Johor Bahru ialah salah satu destinasi percutian menarik di Malaysia yang sering menjadi tumpuan pelancong. Berbagai tarikan pelancongan ada di bandaraya ini menjadikannya lokasi pilihan pelancong tempatan dan juga luar negara. Kedudukannya sebagai pintu masuk ke Singapura juga merupakan salah satu faktor ramai pelancong singgah disini. Kali ini Percutian Bajet telah menyusun senarai tempat menarik di Johor Bahru untuk dilawati sebagai panduan pengunjung yang ingin bercuti di bandaraya ini.

Nota: Untuk melihat senarai tempat menarik lain di Johor, sila lawati Senarai tempat menarik di Johor dan lokasi pelancongan utama.

Tempat menarik di Johor Bahru

Berikut ialah senarai tempat menarik di Johor Bahru yang boleh anda kunjungi. Kami sertakan alamat atau lokasi tempat tersebut sebagai panduan. Bagi yang bercuti di Johor Bahru, anda bebas untuk ke destinasi yang agak jauh dari bandar. Manakala pengunjung yang ingin ke Singapura, mungkin anda boleh singgah melawat tempat menarik berhampiran jika ada kesempatan.

Orchid Valley Johor Bahru

Orchid Valley ialah salah satu dari tempat cantik di Johor Bahru yang mesti dilawati. Lokasinya ialah di Kampung Kangkar Pulai, kira-kira 30 km dari pusat bandar. Orchid Valley yang terletak di kaki Gunung Pulai, mempunyai lebih 80 jenis orkid tropika dikawasan seluas 40 hektar. Ia merupakan ladang orkid terbesar di dunia dan sangat terkenal dikalangan peminat orkid dari seluruh dunia.

Di Orchid Valley ini terdapat ladang orkid, koridor pendidikan, pusat pelancongan, makmal penyelidikan, restoran dan taman permainan kanak-kanak. Disini juga terdapat air terjun dan tasik yang sangat menarik. Pengunjung boleh menaiki trem disekitar kawasan dan melihat pemandangan indah dengan selesa. Jadi bagi peminat orkid, jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke Orchid Valley. Anda pasti gembira melihat pelbagai jenis orkid yang ada. Orkid yang terdapat disini turut dijual kepada pengunjung untuk dibawa pulang.

Lokasi:
Orchid Valley
Batu 19, Jalan Pontian Kangkar Pulai,
81110 Johor Bharu, Johor.

Orchid valley Johor Bahru.

Galeri Glulam

Galeri Glulam ialah salah satu tempat menarik untuk dilawati di Johor Bahru. Keunikan bangunan ini selain dari rekabentuknya ialah ia menggunakan 'glue-laminated timber' sebagai bahan struktur menanggung beban lebih 80% penggunaan kayu bagi membentuk bangunan ikonik glulam. Ia menjadi pelopor kepada kejuruteraan kayu menggunakan glulam sebagai struktur utama.

Antara yang ada di Galeri Glulam ialah:

  1. 3 buah dewan pameran/serbaguna.
  2. Kemudahan surau lelaki dan wanita.
  3. Kemudahan peralatan audio sistem.
  4. Sistem penghawa dingin.
  5. Bilik mesyuarat eksklusif dengan video conference dan LCD monitor.

Dewan galeri ini juga dibuka untuk sewaan seminar, pameran atau majlis keramaian. Galeri Glulam diuruskan oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia.

Alamat:
Galeri Glulam Johor Bahru
Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia
Lot 19851, Jalan Tampoi, Mukim Tebrau,
Johor Bahru, Johor.

Masjid Sultan Abu Bakar

Masjid Sultan Abu Bakar ialah masjid negeri Johor. Ia mula dibina pada tahun 1892 dan telah dirasmikan oleh Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar pada tahun 1900. Masjid ini terletak diatas bukit ditepi Selat Tebrau. Ia mempunyai rekabentuk yang unik bercirikan senibina Islam. Bangunannya berbentuk bujur sangkar dengan 4 buah anjung dan setiap satunya mempunyai menara kubah. Masjid Sultan Abu Bakar merupakan mercu tanda dan tempat menarik di Johor Bahru yang masih utuh di tengah-tengah bandar raya yang pesat membangun.

Alamat:
Masjid Sultan Abu Bakar
Johor Bahru,
Johor.

Masjid Sultan Abu Bakar Johor Bahru.

Zoo Johor

Zoo ialah lokasi menarik untuk membawa anak-anak melihat binatang secara langsung. Jika melancong ke Johor Bahru, anda boleh melawat Zoo Johor yang terletak lebih kurang 2 KM dari pusat bandar. Pelbagai spesis binatang ada didalam zoo ini seperti burung, gajah, kuda, harimau, tenuk, unta dan lain-lain. Selain itu, disini juga terdapat kawasan rekreasi air dan tempat permainan kanak-kanak. Zoo Johor dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 6 petang.

Alamat:
Zoo Johor
Jalan Gertak Merah,
80000 Johor Bahru, Johor.

Harimau di Zoo.

Galeri Seni Johor

Galeri Seni Johor ialah lokasi menarik di Johor Bahru yang menyimpan koleksi lukisan anak Johor dan juga pelukis-pelukis negara. Terdapat dua ruang pameran iaitu ruang pameran tetap dan juga ruang pameran sementara. Ruang pameran tetap mempamerkan hasil lukisan pelukis ternama yang memberi sumbangan besar terhadap pembangunan seni negara. Lukisan yang dipamerkan adalah hasil pembelian, pertandingan dan juga sumbangan pelukis-pelukis tanahair sejak tahun 1994. Manakala ruang pameran sementara pula memaparkan hasil bakat-bakat baru dan amatur.

Lokasi Galeri Seni Johor ini ialah di Jalan Petrie. Ia adalah bangunan bersejarah 2 tingkat yang dibina pada tahun 1910. Bangunan ini pernah menjadi kediaman rasmi Menteri Besar Johor yang ketiga iaitu Dato 'Abdullah Jaafar. Ia juga pernah dijadikan markas tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Alamat:
Galeri Seni Johor
JKR 144, Jalan Petrie,
80100 Johor Bahru, Johor

Bangunan Galeri Seni Johor.

Persiaran Meldrum

Jika anda ingin bersiar-siar dan bersantai, Persiaran Meldrum adalah satu tempat yang menarik di bandar Johor Bahru yang boleh dikunjungi. Ia adalah laluan terbuka untuk kemudahan awam yang mempunyai lanskap menarik. Terdapat Laman Budaya, kanopi, medan selera dan juga kawasan rehat. Anda boleh menjamu selera dengan pelbagai makanan di medan selera atau bersantai sambil berhibur dengan persembahan kebudayaan serta artis jalanan.

Alamat:
Persiaran Meldrum
Johor Bahru,
Johor.

Tempat menarik di Johor Bahru waktu malam

Antara aktiviti menarik bila bercuti ke Johor Bahru ialah berkunjung ke lokasi menarik diwaktu malam. Bandaraya ini sangat meriah pada waktu malam. Danga Bay ialah lokasi yang harus anda pergi. Selain itu anda boleh ke beberapa lokasi lain seperti senarai dibawah:

  1. Pasar malam berhampiran pusat membeli-belah City Square. Suasana cukup meriah disini.
  2. Pentas terbuka di Legaran Segget. Ada persembahan dan hiburan malam.
  3. Melihat pemandangan Bandaraya Johor Bahru waktu malam dari tingkat 3 City Plaza

Tempat bersejarah di Johor Bahru

Salah satu lokasi menarik untuk dikunjungi ketika pergi melancong ialah tempat bersejarah. Ada beberapa tempat bersejarah yang boleh dilawati jika anda bercuti di Johor Bahru. Antara lokasi penting yang tidak boleh ditinggalkan ialah:

Muzium Diraja Abu Bakar

Muzium Diraja Abu Bakar ini ialah bangunan bersejarah yang sangat penting di Johor. Ia dibina pada tahun 1866 dan dikenali dengan nama Istana Besar Johor. Istana ini menjadi lambang kedaulatan kesultanan Johor, pusat pemerintahan, sejarah dan kebudayaan kerajaan Johor moden. Selain menjadi tempat bersemayam, istana ini merupakan tempat ketua negara, kerabat diraja dan orang kenamaan luar negara mengadap baginda sultan.

Istana ini telah dijadikan Muzium Diraja pada tahun 1990 namun peranannya sebagai tempat melangsungkan adat-istiadat kebesaran Diraja Johor masih diteruskan. Terdapat kira-kira 5 ribu bahan koleksi dipamerkan didalam muzium ini. Muzium Diraja Abu Bakar dibuka pada hari Sabtu hingga Khamis dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Alamat:
Muzium Diraja Abu Bakar
Jalan Seri Belukar, Kebun Merah,
80000 Johor Bahru, Johor

Bangunan Sultan Ibrahim

Bangunan bersejarah ini terletak di Bukit Timbalan di pusat bandar Johor Bahru. Ia mula dibina pada tahun 1939 dan siap pada tahun 1942. Rekabentuk bangunan ini sangat unik menggabungkan senibina kolonial dan melayu. Bangunan Sultan Ibrahim merupakan bangunan tertinggi di Malaya sebelum merdeka.

Semasa perang dunia kedua, ia pernah dijadikan sebagai pusat arahan tentera Jepun untuk mengintip aktiviti British di Singapura. Bangunan Sultan Ibrahim menempatkan pejabat Menteri Besar, Dewan Undangan Negeri dan pejabat kerajaan negeri sebelum berpindah ke Kota Iskandar pada 2010. Senibinanya yang unik dan nilai sejarah menjadikan Bangunan Sultan Ibrahim sebagai salah satu tempat pelancongan di Johor Bahru yang harus dilawati.

Alamat:
Bangunan Sultan Ibrahim
Jalan Bukit Timbalan,
80000 Johor Bahru, Johor

Bangunan Sultan Ibrahim Johor Bahru.

Taman rekreasi di Johor Bahru

Taman rekreasi ialah destinasi pelancongan yang sesuai dikunjungi bersama keluarga atau rakan-rakan. Selalunya terdapat aktiviti menarik di tempat rekreasi yang sesuai dilakukan bersama-sama. Dibawah ialah beberapa tempat rekreasi di Johor Bahru yang terkenal boleh anda singgah jika bercuti di bandar ini.

Danga Bay

Danga Bay ialah taman rekreasi di Johor Bahru yang terletak dikawasan tepi pantai. Kawasan seluas 1800 ekar ini dibangunkan disepanjang persisiran pantai sejauh 25 KM. Ia menggabungkan hub kewangan dan komersial, pusat hiburan dan kegiatan kekeluargaan buat penduduk bandaraya ini. Disini juga terdapat pusat pameran dan konvensyen serta hotel penginapan pelancong.

Terletak kira-kira 5km dari pusat bandar, Danga Bay ialah tempat menarik di Johor Bahru yang mesti dikunjungi jika bercuti di daerah ini. Anda boleh bersiar-siar, menjamu selera, melihat pemandangan indah matahari terbenam dan bermacam-macam lagi. Anda juga dapat melihat Singapura yang tidak jauh dari sini.

Petting Zoo Danga Bay Johor Bahru.

Taman Rekreasi Hutan Bandar

Taman Rekreasi Hutan Bandar ialah satu lagi tempat menarik sekitar Johor Bahru yang mesti dikunjungi. Taman ini meliputi kawasan seluas 50 ekar yang terletak di Jalan Tasek Utara dan Jalan Yahya Awal. Jaraknya lebih-kurang 1.5 km dari pusat bandar Johor Bahru. Didalam taman rekreasi ini terdapat Laman Tembusu, taman permainan kanak-kanak, kawasan tasik, tapak perkhemahan dan medan selera. Taman Rekreasi Hutan Bandar merupakan tempat riadah di Johor Bahru yang sangat popular.

Lokasi:
Taman Rekreasi Hutan Bandar
Jalan Tasek Utara, Taman Bakti,
80200 Johor Bahru, Johor.

Taman Rekreasi Hutan Bandar Johor Bahru.

Pantai di Johor Bahru

Bagi anda yang suka bersantai ditepi pantai, terdapat beberapa pantai di Johor Bahru yang boleh anda kunjungi. Pantai yang paling popular ialah Danga Bay seperti yang telah diceritakan diatas namun ia tidak sesuai untuk mandi dan tiada aktivti air disediakan. Jangan risau kerana ada pantai lain yang boleh anda pergi seperti senarai dibawah.

  • Pantai Stulang sesuai untuk melakukan aktiviti bertemakan air seperti mandi manda, bermain luncur angin dan kapal layar. Ia juga merupakan satu tempat berkelah di Johor Bahru yang popular.
  • Pantai Senibong atau Pusat Pelancongan Pantai Senibong pula merupakan lokasi popular untuk menjamu selera dengan makanan laut. Terdapat beberapa buah restoran yang menyediakan berbagai jenis makanan laut yang sedap disini.

Pantai Senibong Johor Bahru.

Pulau di Johor Bahru

Bagi anda yang mencari pulau di Johor Bahru, jangan kecewa kerana tidak ada pulau pelancongan di daerah ini. Walau bagaimanapun, anda boleh ke Pulau Kukup yang terletak di daerah Pontian iaitu salah sebuah Taman Negara di Johor. Jika anda ingin juga melancong ke pulau yang cantik, Pulau Sibu amat sesuai dan jaraknya juga tidak begitu jauh dari Johor Bahru.

Taman tema di Johor Bahru

Ada beberapa taman tema di Johor Bahru yang menarik boleh anda kunjungi. Paling terkenal ialah Legoland Malaysia. Ia adalah taman tema air dan amusement park antarabangsa yang terletak di Nusajaya. Maklumat lanjut mengenai Legoland boleh dibaca di artikel Harga tiket dan aktiviti menarik di Legoland Johor.

Legoland Malaysia.

Sanrio Hello Kitty Town Malaysia

Sanrio Hello Kitty Town Malaysia ialah taman tema baru yang terletak di Puteri Harbour Nusajaya Johor. Ia adalah yang pertama dibina luar dari Jepun. Lokasinya tidak jauh dari Legoland Malaysia. Bagi peminat Hello Kitty, jangan lepaskan peluang mengunjungi taman tema ini jika bercuti ke Johor Bahru.

Alamat:
Sanrio Hello Kitty Town
Persiaran Puteri Selatan,
79100 Nusajaya, Johor.

Sanrio Hello Kity Town.

Membeli-belah di Johor Bahru

Johor Bahru terkenal dengan tempat membeli-belah. Ramai yang datang ke sini semata-mata untuk untuk berbelanja (terutamanya pelancong dari Singapura). Bagi anda yang ingin bercuti di Johor Bahru, berikut ialah tempat membeli-belah di Johor yang popular untuk anda shopping.

  • Johor Premium Outlets - Pusat membeli-belah yang sangat popular ialah Johor Premium Outlets (JPO) yang terletak di Kulaijaya. Lokasinya tidak jauh dari pusat bandar Johor Bahru. Terdapat pelbagai barangan yang berjenama mewah dijual dengan harga yang lebih murah dari tempat lain. Lihat artikel: Membeli-belah di Johor Premium Outlets.
  • Pasar Karat JB - Bazar JB yang terletak di hadapan Johor Bahru City Square. Pelbagai jenis barangan dijual seperti pakaian, kasut, barangan elektrik serta antik. Maklumat lanjut boleh dibaca di artikel Pasar Karat JB.
  • KSL City - Pusat membeli-belah terbesar di Johor Bahru yang terletak di pusat bandaraya. Didalam pusat membeli-belah empat tingkat ini juga terdapat hotel bertaraf 5 bintang dan sebuah kondominium. Ia dibuka dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam.
  • AEON Tebrau City - Pusat membeli-belah kedua terbesar selepas KSL City. AEON Tebrau City juga terletak di pusat bandaraya dan ia mempunyai 3 tingkat pusat membeli-belah yang merangkumi pelbagai outlet antarabangsa. Ia dibuka dari pukul 9.30 pagi hingga 11.00 malam.
  • Johor Bahru City Square - Pusat membeli-belah utama di Johor Bahru. Ia mempunyai 7 tingkat kesemuanya. Johor Bahru City Square juga merupakan lokasi popular untuk menonton wayang. Ia dibuka dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam.

KSL City Johor Bahru.

Penginapan di Johor Bahru

Banyak hotel menarik yang boleh dijadikan tempat penginapan di Johor Bahru. Untuk melihat senarai dan potongan harga hotel di Johor Bahru anda boleh menyemak dan menempah bilik penginapan melalui BOOKING.COM.

Setakat ini dahulu yang dapat kami kongsikan senarai tempat menarik di Johor Bahru sebagai panduan pengunjung yang ingin kesana. Bagi warga Johor Bahru yang ingin berkongsi lokasi menarik, tempat makan dan sebagainya, sila komen dibawah. Maklumat ini akan membantu pembaca yang lain juga. Selamat bercuti.

Add new comment