Tempat menarik di Mersing Johor

Mersing Johor ialah salah satu nama yang terkenal dalam sektor pelancongan di Malaysia. Ia adalah lokasi persinggahan untuk pelancong yang ingin menaiki feri ke Pulau Tioman, Pulau Rawa, Pulau Aur dan lain-lain. Tarikan lain ialah Mersing sangat popular sebagai lokasi memancing ikan. Ramai yang datang ke Mersing untuk memancing di tepi pantai dan juga laut dalam. Selain itu, disini juga terkenal dengan keropok lekor yang sedap. Kebanyakkan kedai menawarkan produk berasaskan hasil laut memandangkan kedudukannya yang menghadap Laut China Selatan. Pengunjung juga boleh melawat kilang dan melihat bagaimana ikan diproses untuk menghasilkan keropok. Sebenarnya banyak tempat menarik di Mersing yang boleh dilawati dan ia juga sesuai dijadikan lokasi percutian keluarga. Kali ini Percutian Bajet ingin berkongsi beberapa pusat pelancongan yang boleh dikunjungi jika anda ingin bercuti di daerah ini.

Nota: Untuk melihat pusat pelancongan lain di Johor, sila lawati halaman Senarai tempat menarik untuk percutian di Johor.

Lokasi

Mersing terletak di pantai timur hampir bersempadan dengan negeri Pahang. Mersing merupakan daerah yang terletak di timur laut negeri Johor dan mempunyai keluasan 2836.6 kilometer persegi. Jarak dari Johor Bahru ke Mersing ialah kira-kira 128 KM iaitu hampir 2 jam perjalanan.

Pulau peranginan di Mersing

Pulau-pulau di Mersing Johor sangat terkenal bukan sahaja di Malaysia malah hingga ke luar negara. Ia merupakan lokasi pilihan para penyelam skuba dari seluruh dunia. Ini kerana kawasan sekitar pulau-pulau ini mempunyai pemandangan dasar laut yang cukup menarik. Air laut yang jernih membolehkan para penyelam skuba menikmati keindahan karang yang cantik dan pelbagai spesis hidupan laut yang mengagumkan.

Pulau Sibu Mersing

Senarai pulau-pulau di Mersing

Terdapat enam buah pulau pelancongan menarik yang terletak di perairan Mersing iaitu:

  1. Pulau Sibu - Pulau yang paling hampir dengan pantai. Pulau Sibu merupakan pulau pelancongan yang popular dan menjadi salah satu lokasi pilihan untuk percutian pulau di Johor. Maklumat lanjut mengenai pulau ini boleh dibaca di halaman Pulau Sibu destinasi percutian menarik di Johor.
  2. Pulau Besar - Dahulunya pulau ini dikenali dengan nama Pulau Babi Besar. Lokasinya tidak jauh dari daratan. Pulau ini mempunyai pantai yang cantik dan bersih. Air laut dikawasan ini juga jernih. Pengunjung yang ingin ke Pulau Besar boleh menaiki feri dari Jeti Mersing. Resort terkenal yang ada di pulau ini ialah Aseania Beach Resort, Dcoconut Island Resort, Mirage Resort & Safaris dan Nirwana Beach Resort. Semua resort di pulau ini menghadap ke Mersing jadi ia terlindung dari ombak besar yang datang dari Laut China Selatan.
  3. Pulau Tinggi - Lokasi pulau ini agak jauh dari daratan. Ia terletak berhampiran Pulau Sibu namun lebih jauh ke tengah. Terdapat dua buah kampung nelayan disini iaitu Kampung Tanjong Balang dan Kampung Pasir Panjang. Pelancong yang ingin bercuti ke Pulau Tinggi boleh menginap di TAd Marine Resort atau Maksu Zimah Resort.
  4. Pulau Aur - Pulau yang paling jauh ke tengah Laut China Selatan. Lantaran itu pulau ini mempunyai pemandangan dasar laut yang paling cantik dan air yang lebih jernih. Terdapat dua buah kampung nelayan di pulau ini iaitu Kampung Palas dan Kampung Kekabu.
  5. Pulau Pemanggil - Pulau ini juga terletak jauh ke tengah Laut China Selatan. Lokasinya berhampiran Pulau Aur dan Pulau Tioman, Pahang. Terdapat sebuah kampung di Pulau Pemanggil iaitu Kampung Buau.
  6. Pulau Rawa - Ia adalah sebuah pulau kecil yang terletak di perairan Mersing. Namun ia merupakan antara pulau yang terkenal dikalangan pelancung kerana kecantikan pantai dan keindahan dasar lautnya. Pulau Rawa merupakan salah satu lokasi menarik untuk snorkeling.

Lihat artikel: Pulau-pulau di Malaysia yang menarik untuk percutian.

Pantai di Mersing

Terdapat tiga pantai di Mersing yang terkenal dan menjadi pusat pelancongan utama yang menarik pelancong datang ke daerah ini. Pantai Air Papan, pantai Penyabong dan pantai Tanjung Leman sentiasa menerima kehadiran pelancong dari merata-rata tempat termasuk dari luar negara. Berikut ialah maklumat ringkas tentang pantai-pantai tersebut.

Pantai Air Papan

Salah satu pantai menarik di Mersing yang mesti dikunjungi ialah pantai Air Papan. Ia merupakan antara lokasi pelancongan yang popular di daerah ini. Pantainya agak landai dan cantik. Lokasinya juga tidak jauh dari pusat bandar. Terdapat beberapa buah resort menarik dikawasan tepi pantai seperti Mersing Beach Resort, Coconut Inn, Sri Mersing Resort dan Air Papan Chalet yang sesuai dijadikan tempat penginapan percutian bajet. Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan ialah berkayak, bermain layang-layang dan mandi laut.

Pantai Air Papan Mersing Johor.

Alamat:
Pantai Air Papan
Jalan Air Papan,
86800 Mersing,
Johor

Pantai Penyabong

Pantai Penyabong ialah tempat menarik di Mersing yang cukup terkenal. Ia merupakan kawasan pantai yang cantik dan luas. Terdapat beberapa resort ditepi pantai menawarkan penginapan selesa dan pemandangan yang cantik dengan harga rendah. Pantai ini amat sesuai untuk anda yang inginkan percutian bajet bersama keluarga.

Pantai Penyabong Mersing

Alamat:
Pantai Penyabong
Endau,
86900 Mersing,
Johor

Pantai Tanjung Leman

Sebuah lagi pantai di Mersing yang menjadi lokasi pelancongan popular ialah Pantai Tanjung Leman. Ia terletak agak jauh dari pekan Mersing iaitu kira-kira 70 KM dan mengambil masa lebih-kurang sejam jika memandu kenderaan sendiri. Disini juga terletaknya Terminal Jeti Tanjung Leman dimana pelancong akan menaiki feri untuk ke pulau Sibu.

Pantai Tanjung Leman

Jika anda mencari lokasi percutian yang tenang, terdapat dua resort menarik disini yang menyediakan chalet penginapan ditepi pantai iaitu FELDA Resedence Tanjung Leman dan Tunjuk Laut Beach Resort. Berbagai aktiviti dan permainan disediakan untuk pengunjung di resort-resort berkenaan. Percutian anda pasti menyeronokkan.

Alamat:
Pantai Tanjung Leman
86800 Mersing,
Johor

Pantai-pantai lain di Mersing yang mungkin pernah anda dengar ialah seperti:

  1. Pantai Pasir Lanun - Pantai ini terletak di Pantai Penyabong.
  2. Pantai Teluk Buih - Terletak di Pantai Air Papan.
  3. Pantai Teluk Gorek - Terletak diantara Pantai Air Papan dan Pantai Penyabong.
  4. Pulau Tanjung Resang - Terletak diantara Pantai Air Papan dan Pantai Penyabong.

Pelancongan alam semulajadi di Mersing

Tarikan pelancongan di Mersing bukan setakat pulau dan pantai sahaja malah ia juga terkenal dengan eco-tourism dimana terdapat sebuah taman negara dan dua hutan lipur menanti pengunjung. Bagi pencinta alam semulajadi, anda boleh meneroka Taman Negara Endau-Rompin yang kaya dengan berbagai flora dan fauna. Jika gemarkan aktiviti lasak, anda boleh memanjat Gunung Arong dan Gunung Berlumut. Berikut ialah maklumat ringkas tentang pusat pelancongan alam semulajadi popular di Mersing ini.

Taman Negara Endau-Rompin

Taman Negara Endau-Rompin ialah pusat pelancongan eco-tourism yang sangat terkenal bukan setakat di Johor malah juga di Malaysia. Ia terletak di daerah Mersing bersempadan dengan negeri Pahang. Ia juga adalah taman negara yang kedua di Malaysia dan sangat luas meliputi kira-kira 80,000 hektar kawasan hutan semulajadi yang kaya dengan flora dan fauna eksotik.

Taman Negara Endau-Rompin

Berbagai spesies burung, mamalia, katak dan serangga menghuni kawasan ini. Selain itu, hutan taman negara ini juga mempunyai pelbagai eksotik orkid, herba, tumbuh-tumbuhan perubatan dan pokok-pokok yang belum diterokai. Ini mengundang kehadiran para pencinta alam semulajadi termasuk para pengkaji dan penyelidik dari dalam dan luar negara "bertapa" berminggu lamanya didalam Taman Negara Endau Rompin. Haiwan seperti tapir, gajah, monyet daun, kera ekor panjang, ungka tangan-putih, rusa, malah harimau serta harimau bintang adalah antara haiwan liar yang boleh diperhatikan disini.

Jika anda berminat untuk masuk ke taman negara, kebenaran hendaklah diperolehi terlebih dahulu. Permohonan boleh dikemukakan kepada:

Alamat:
Pelancongan Malaysia Johor
JKR 475, Bukit Timbalan,
Johor

Hubungi:
Tel: +607-223 7471
Fax: +607-223 1033

Hutan Lipur Gunung Arong

Gunung Arong ialah lokasi pelancongan alam semulajadi yang popular di Mersing. Lokasinya tidak jauh dari pusat bandar. Tarikan utama di gunung ini ialah jungle trekking dan mendaki gunung. Pemandangan dari puncak Gunung Arong amat menarik kerana pengunjung dapat melihat laut dan pulau-pulau yang ada di perairan Mersing.

Hutan Lipur Gunung Arong

Antara kemudahan yang disediakan di Hutan Lipur Gunung Arong ialah tapak perkhemahan, air bersih, tandas, chalet, surau dan dewan ceramah. Agensi yang ingin menjalankan aktiviti di sini boleh menghubungi pihak pengurusan di alamat dibawah.

Alamat:
Pejabat Hutan Daerah Johor Timur
Bangunan Kerajaan, Jalan Sultanah, 86800 Mersing,
Johor

Hubungi:
Tel: +607-7981 030
Fax: 607- 7995 352

Hutan Lipur Gunung Belumut

Hutan Lipur Gunung Belumut adalah antara tempat menarik yang boleh dikunjungi jika anda bercuti di Mersing. Ia merupakan salah satu pusat pelancongan yang popular dikalangan para pencinta alam semulajadi dan pendaki gunung. Berbagai kemudahan disediakan di kawasan Taman Rekreasi Gunung Lumut seperti chalet, tandas, taman permainan kanak-kanak, kawasan perkhemahan, dewan serbaguna dan wakaf untuk berehat. Tarikan disini ialah air terjun dan sungai yang jernih mengalir dari gunung, berkhemah, merentas hutan dan mendaki gunung.

Hutan Lipur Gunung Belumut

Alamat:
Hutan Lipur Gunung Belumut
86000 Kluang,
Johor

Tarikan lain di Mersing

Selain pulau peranginan dan pantai menarik di Mersing, masih terdapat berbagai tarikan lain yang ada disekitar daerah ini. Bagi anda yang tidak ingin memandu jauh, ada beberapa lokasi menarik di pekan Mersing yang boleh dilawati seperti Plaza D'Jeti, Sungai Mersing dan pasar tani yang cukup meriah. Selain itu anda juga boleh menjamu selera di beberapa buah kedai makan menarik yang ada di sekitar kawasan ini.

Pasar Tani

Salah satu aktiviti menarik jika anda bercuti di Mersing ialah mengunjungi pasar tani. Berbagai hasil laut, makanan dan hasil pertanian dijual disini. Kalau nak cari masakan tempatan atau kuih-muih tradisional untuk menjamu selera, inilah lokasi yang paling baik.

Pasar Tani Mersing

Pasar Tani Mersing ialah pasar dimana produk pertanian tempatan seperti berbagai jenis sayur-sayuran segar, buah-buahan dan makanan dijual. Istimewanya disini ialah anda boleh makan dikawasan tepi laut sambil melihat pemandangan yang cukup menarik. Pasar tani ini diadakan dua kali seminggu iaitu pada hari Ahad dan Jumaat.

Waktu operasi:
Ahad: 7.00 pagi – 12.00 tengahari.
Jumaat: 3.00 petang – 7.00 malam.

Alamat:
Pasar Tani Mersing
Jalan Makam,
Mersing,
Johor

Pasar Tani Endau

Sebuah lagi pasar tani di Mersing yang boleh anda kunjungi ialah Pasar Tani Endau. Lokasinya terletak berhampiran PPK kawasan Endau. Pasar tani ini diadakan pada hari Sabtu sahaja. Sama seperti Pasar Tani Mersing, berbagai barangan hasil tani yang segar dan produk tempatan dijual disini.

Waktu operasi:
Sabtu: 7.00 pagi – 12.00 tengahari.

Alamat:
Pasar Tani Endau
Mersing,
Johor

Pasar Tani Tenggaroh

Pasar Tani Tenggaroh adalah sebuah lagi pasar tani yang menarik untuk dikunjungi. Ia terletak di Bandar Tenggaroh. Diadakan setiap petang Sabtu, pasar tani ini sering dinantikan oleh orang-ramai yang ingin membeli barangan keperluan mereka.

Waktu operasi:
Sabtu: 4.00 petang – 9.00 malam.

Alamat:
Pasar Tani Tenggaroh
Bandar Tenggaroh,
Johor

Untuk melihat senarai dan potongan harga hotel di Mersing, anda boleh menyemak dan menempah bilik penginapan melalui BOOKING.COM.

Setakat ini dahulu perkongsian tentang tempat-tempat menarik di Mersing untuk dilawati sepanjang percutian anda di daerah ini. Semoga maklumat ini memudahkan anda untuk merancang jadual dan lokasi yang ingin dikunjungi. Jangan lupa kongsikan artikel ini dengan rakan-rakan di laman fb, twitter atau g+ anda. Sekiranya ada kekurangan, kesilapan atau anda ingin berkongsi pengalaman, tinggalkan komen dibawah. Kami amat menghargainya. Terima kasih dan selamat bercuti di Mersing!

Lokasi