Tempat menarik di Muar

Muar Johor mempunyai beberapa lokasi pelancongan menarik yang boleh dilawati jika anda berkunjung ke daerah ini. Terkenal dengan air terjun Gunung Ledang, Muar sebenarnya mempunyai keistimewaan tersendiri. Ia kaya dengan buah-buahan tempatan, makanan yang sedap-sedap, tempat-tempat bersejarah dan macam-macam lagi. Kali ini Percutian Bajet ingin berkongsi beberapa tempat menarik di Muar untuk dilawati sebagai panduan pengunjung yang akan bercuti di sini.

Nota: Untuk melihat tempat menarik lain yang ada di Johor, sila lawati halaman Senarai tempat menarik di Johor dan lokasi pelancongan utama.

Menara Jam Muar

Lokasi

Daerah Muar terletak ditepi laut menghadap Selat Melaka. Lokasinya tidak jauh dari sempadan negeri Melaka. Pengunjung dari Kuala Lumpur yang ingin ke Muar boleh melalui Lebuhraya Utara-Selatan dan ikut susur keluar Tangkak. Perjalanan ke bandar Muar dari Plaza Tol Tangkak hanya mengambil masa lebih kurang 35 minit.

Tempat menarik di Muar untuk dilawati

Muar ialah bandar ke empat terbesar di Johor. Ia dikenali sebagai Bandar Maharani Bandar Diraja. Antara mercu tanda di bandar ini ialah Jambatan Kedua Muar dan Menara Jam Besar Muar. Ada beberapa tempat menarik di Muar yang boleh dilawati jika anda bercuti disini.

Taman Tanjung Emas

Sebuah taman rekreasi menarik yang terletak di Tanjung Emas, muara sungai Muar. Taman ini dibangunkan oleh Majlis Perbandaran Muar sebagai lokasi riadah untuk penduduk setempat. Pelbagai kemudahan awam, peralatan riadah dan juga lanskap menarik disediakan bagi menarik orang-ramai mengunjungi taman ini. Tiba sahaja di Taman Tanjung Emas, pengunjung akan disambut oleh replika durian gergasi. Kawasan meletak kereta turut disediakan.

Replika Durian Gergasi

Tarikan yang ada di Taman Tanjung Emas ialah sebuah dataran serbaguna, Menara Jam Muar, Jeti Tanjung Emas dan esplanade ditebing sungai Muar. Pengunjung boleh bersiar-siar melihat pemandangan menarik ditepi sungai yang sentiasa menjadi tumpuan orang ramai bersantai dan juga memancing.

Lokasi:
Taman Tanjung Emas
84000 Muar,
Johor

Taman Tanjung Ketapang

Taman Tanjung Ketapang terletak di tepi laut di muara sungai Muar. Ia adalah lokasi menarik untuk melihat matahari terbenam. Di sini letaknya Pusat Rekreasi Tanjung Ketapang dimana terdapat trek jogging, peralatan senaman, pondok rehat dan pelantar laluan pejalan kaki ke tepi laut dimana pengunjung boleh melihat pemandangan menarik alam semulajadi pokok-pokok bakau dan hidupan yang tinggal disini.

Taman Tanjung Ketapang Muar

Lokasi:
Taman Tanjung Ketapang
84000 Muar,
Johor

Masjid Sultan Ibrahim

Masjid pertama dan tertua di daerah Muar ialah Masjid Jamek Muar. Ia dibina sekitar tahun 1890-an. Pada 15 Februari 1925, masjid baru yang kini dikenali sebagai Masjid Sultan Ibrahim, telah dibina bagi menggantikan masjid asal dengan nama rasminya Masjid Jamek Bandar Maharani. Pelan senibina masjid ini dilukis oleh En. Sulaiman Bin Hj Ilyas manakala pembinaan masjid disusun-atur oleh Mejar Dato Haji Muhammad Said bin Haji Sulaiman. Masjid ini telah dirasmikan pada 28 Feb 1930 oleh Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim.

Masjid Sultan Ibrahim Muar

Alamat:
Masjid Sultan Ibrahim
Jalan Petri,
84000 Muar,
Johor

Sungai Muar

Salah satu tarikan pelancong di Muar ialah menyusuri sungai Muar. Pengunjung boleh melihat pemandangan menarik ditebing sungai menaiki River Cruise yang disediakan di Jeti Tanjung Emas. Perjalanan selama 45 minit ini cukup menarik. Malah pengunjung berpeluang melihat kelip-kelip di waktu malam setiap hari Sabtu dan Ahad.

Jeti Tanjung Emas

Harga tiket / Bayaran tambang River Cruise:
Dewasa : RM10.
Kanak-kanak: RM5.

Harga tiket trip melihat kelip-kelip (7.30 malam - 8.30 malam):
Dewasa : RM20.
Kanak-kanak: RM10.

Lokasi:
Jeti Tanjung Emas
84000 Muar,
Johor

Ladang Herba Nasuha

Ladang herba seluas 3,200 ekar ini dikatakan ladang herba dan rempah ratus terbesar di Asia. Tanaman herba disini berasaskan organik dan mampu mengeluarkan sehingga 6 ke 10 tan metrik bahan mentah setiap hari. Ladang Herba Nasuha turut menyediakan resort menarik bagi pengunjung yang ingin melawat dan melihat lebih lanjut apa yang ada di sini. Selain chalet cantik berupa "log cabin", sebuah dometri yang boleh memuatkan 11 orang tetamu turut disediakan di resort ini. Pengunjung boleh menikmati urutan tradisional, mandian herba, spa herba dan terapeutik.

Ladang Herba Nasuha Muar

Alamat:
Ladang Rempah Ratus dan Herba
Km19, Jalan Muar-Pagoh,
84500 Muar,
Johor

Hubungi:
Tel: +606-9737 231 / 06-9737 035
Fax: 06-9737 879
Email: info@nasuharesort.com.my

Tempat menarik lain di Muar

Beberapa tempat menarik lain di Muar ialah seperti:

  • Hutan Bakau.
  • Pantai Leka yang menjadi lokasi burung hijrah.
  • Bangunan lama dan bersejarah seperti Bangunan Kastam Diraja, Mahkamah Tinggi/Sesyen, Pejabat Cawangan Polis Trafik Muar dan Sekolah Tinggi Muar.

Bangunan lama di Muar

Pelancongan alam semulajadi di Muar

Bagi para pencinta alam semulajadi, ada beberapa tempat menarik di Muar yang boleh dilawati jika anda bercuti disini. Mungkin yang paling terkenal ialah Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang. Selain itu, anda juga boleh mengunjungi kolam air panas Sungai Gersik yang tidak kurang menariknya.

Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang

Taman Hutan Lagenda dibuka pada orang-ramai pada 2003. Sekarang ia cukup terkenal sebagai salah satu destinasi percutian alam semulajadi di Gunung Ledang selain dari air terjun Gunung Ledang Resort. Berbagai aktiviti disediakan seperti memanjat gunung, merentas hutan, perkhemahan, meneroka gua, memerhati burung dan lain-lain. Di sini terdapat kompleks pelawat yang berfungsi sebagai pusat latihan dan maklumat serta menyediakan kemudahan dewan, asrama, chalet, tapak perkhemahan, pondok dan kafetaria.

Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang

Lokasi:
Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang
Sagil,
84907 Tangkak,
Johor

Hubungi:
Tel: +607 266 1301 / +607 266 1302
Email: jnpc@johor.gov.my / tamanhutanlagenda@yahoo.com

Kolam air panas Sungai Gersik

Sebuah lokasi pelancongan menarik di Muar yang mesti dilawati ialah Kolam air panas Sungai Gersik. Ia adalah kolam air panas semulajadi yang dibangunkan dan dijaga dengan baik menjadikannya sentiasa dikunjungi pelancong terutama hujung minggu. Kemudahan yang disediakan termasuk tempat meletak kereta, pondok rehat dan astaka, taman permainan kanak-kanak, gerai makanan, surau dan juga tandas.

Kolam air panas Sungai Gersik Muar

Lokasi:
Kolam air panas Sungai Gersik
Sungai Gersik,
84000 Muar
Johor

Tempat bersejarah di Muar

Muar adalah antara bandar tertua yang mempunyai banyak sejarah dan kini peninggalan silam tersebut menjadi keistimewaan dan tarikan pelancong ke Bandar Maharani ini. Antara tempat bersejarah di Muar yang menarik untuk dilawati termasuk lokasi bersejarah zaman kesultanan Melaka, bangunan-bangunan kolonial dan juga kesan serangan komunis di Bukit Kepong.

Makam Sultan Alauddin Riayat Shah

Sultan Alauddin Riayat Shah ialah sultan Melaka yang ketujuh, memerintah dari tahun 1477 hingga 1488. Beliah telah mangkat dan telah disemadikan di Pagoh. Anda boleh melawat makam ini di alamat dibawah:

Lokasi:
Kampung Raja,
Pagoh,
Muar,
Johor

Balai Polis Bukit Kepong

Kisah Bukit Kepong merupakan salah satu sejarah hitam yang berlaku dalam daerah Muar dan diabadikan dalam filem. Ia adalah kejadian serangan komunis ke atas balai polis semasa keadaan darurat di Persekutuan Tanah Melayu selepas Perang Dunia II. Balai Polis bersejarah tersebut kini dijadikan tarikan pelancongan di Muar dan merupakan salah satu lokasi menarik yang boleh anda lawati.

Alamat:
Balai Polis Bukit Kepong
Km 53, Jalan Muar, Bukit Kepong,
84600 Muar,
Johor

Jambatan Sultan Ismail

Jambatan ini menghubungkan bandar Muar dan Tanjung Agas. Ia dibina pada tahun 1960 bagi menggantikan perkhidmatan feri penambang yang telah beroperasi sejak tahun 1890. Jambatan Sultan Ismail siap sepenuhnya pada tahun 1962 dan dirasmikan pada 15 April 1967 oleh Almarhum Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim.

Jambatan Sungai Muar

Nota: Sekarang terdapat dua buah jambatan yang merentasi sungai Muar. Jambatan Kedua Muar yang berukuran 632 meter telah dibina pada tahun 2001 dan siap pada tahun 2003. Ia secara rasminya dibuka pada tahun 2004 bagi menampung kesesakan di Jambatan Sultan Ismail. Jambatan Kedua Muar ini dibina dengan rekabentuk menyerupai Jambatan Pulau Pinang. Jambatan ini terletak di Muar Bypass berhampiran pekan Parit Bunga.

Setakat ini dahulu perkongsian tentang tempat-tempat menarik di Muar untuk dilawati. JIka anda ingin bercuti ke sini, buat persediaan awal dan rancang dengan baik destinasi yang ingin dikunjungi. Semoga dengan maklumat ini, anda dapat merancang percutian yang lebih menyeronokkan. Selamat bercuti!

Add new comment