Bercuti di kolam air panas Ulu Legong Baling

Salah satu tarikan utama yang terdapat di Baling ialah kolam air panas yang terletak di Ulu Legong. Kolam air panas ini kian dikenali dan mendapat sambutan pelancong yang melawat negeri Kedah. Tempat menarik ini sentiasa dipenuhi pengunjung dihujung minggu dan juga semasa musim cuti sekolah. Orang-ramai dari merata-rata negeri termasuk pelancong dari luar negara juga datang untuk mandi-manda dan bersantai bersama keluarga disini.

Pintu gerbang masuk ke Air Panas Ulu Legong, Kedah.

Lokasi

Pusat pelancongan kolam air panas Ulu Legong ini terletak kira-kira 10KM dari pekan Baling. Jika datang dari Kelantan, Perak atau Pulau Pinang, anda perlu melalui pekan Baling manakala pengunjung dari Gurun atau Alor Setar, perjalanan lebih singkat jika melalui Sik atau Parit Panjang.

Alamat:
PUSAT REKREASI AIR PANAS ULU LEGONG
09100 Baling,
Kedah Darul Aman.

Hubungi:
Telefon : +604-4721548, 04-4731024, 04-4731025
Fax : +604-4731026
Emel : prapul@mdbaling.gov.my

Pemandangan Kolam air panas Ulu Legong, Baling.

Harga Tiket

Kolam air panas Ulu Legong diuruskan sepenuhnya oleh Jabatan Pelancongan dan Rekreasi, Majlis Daerah Baling. Bayaran harga tiket masuk yang dikenakan untuk orang dewasa ialah RM6 dan kanak-kanak RM3. Harga yang sangat berpatutan. Kolam air panas ini dibuka 24 jam setiap hari. Jadi anda boleh mandi, berendam, berenang dan menyelam sepuas hati.

Kemudahan

Kemudahan yang terdapat di Ulu Legong sangatlah menepati kriteria sebagai tempat pelancongan yang selesa. Berbagai kemudahan awam disediakan seperti:

  1. Chalet.
  2. Bilik persalinan.
  3. Bilik mandi(air sejuk).
  4. Tandas.
  5. Surau.
  6. Tapak perkhemahan.
  7. Tapak BBQ.
  8. Kedai makan dan gerai jualan.
  9. Tempat letak kereta.

Taman Rekreasi Air Panas Ulu Legong, Baling, Kedah.

Kolam air panas

Jika anda tiba lebih awal di Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong, anda akan dapati tidak ada sesiapa yang kelihatan dikawasan kolam. Ini kerana kolam air panas lebih sesuai mandi diwaktu malam. Kolam ini akan dipenuhi pengunjung diwaktu tengah malam hingga hampir subuh.

Air Panas Ulu Legong telah melalui beberapa peringkat pembangunan. Pengunjung yang pertama kali tiba disini mungkin agak terkejut melihat kawasan air panas yang luas, mempunyai banyak kolam serta kawasan resort yang sangat cantik dengan lanskap menarik dan terjaga. Kolam-kolam air panas dibina dengan mozek yang cantik seperti kolam renang yang biasa dilihat di hotel. Air disetiap kolam akan dilepaskan setiap pagi dan kolam akan dicuci bagi menjamin air yang bersih. Kualiti kebersihan air memang terbaik berbanding dengan sesetengah taman tema air di Malaysia.

Kolam air panas Ulu Legong yang cantik.

Sebenarnya, kolam-kolam air panas ini mempunyai kedalaman dan suhu kepanasan yang berbeza. Ada kolam untuk orang dewasa yang luas dan dalam sesuai untuk berenang atau menyelam. Juga terdapat kolam khas yang cetek untuk kanak-kanak dimana suhu air lebih bersesuaian dan tidak terlalu panas. Walau bagaimanapun, kolam asal atau kolam pertama tidak dibenarkan mandi dan dipagar kerana suhu air yang terlalu panas.

Kolam asal air panas Ulu Legong, Baling, Kedah.

Penat seharian memandu dari jauh, terdapat beberapa tukang urut yang berpengalaman ditepi kolam sedia memberi khidmat dengan bayaran yang sangat bepatutan. Selain itu, dikawasan kolam air panas ini juga terdapat beberapa gerai menjual makanan ringan seperti gerai burger dan gerai aiskrim.

Setelah puas berendam air panas, pengunjung boleh bersiar-siar disekitar kawasan Air Panas Ulu Legong yang luas sambil menghirup udara segar. Pengunjung juga boleh berjalan keluar tetapi mesti membawa tiket bersama.

Kolam air panas Ulu Legong, Baling.

Makanan

Diluar kawasan kolam air panas disediakan gerai-gerai makanan, pakaian dan juga barangan cenderahati yang boleh dibeli sebagai tanda ingatan datang ke sini. Gerai-gerai diperkarangan letak kereta hanya beroperasi diwaktu malam. Manakala dibangunan kedai pula, ada kedai yang dibuka pada siang hari. Pengunjung boleh melihat pelbagai barangan yang dijual atau menjamu selera di kedai makan yang menyediakan pelbagai masakan panas.

Penginapan

Disini juga terdapat kemudahan penginapan yang disediakan untuk pelancong iaitu chalet kolam air panas Ulu Legong. Pengunjung yang datang dari jauh boleh menyewa chalet tersebut untuk lebih selesa dan dapat berehat dengan sempurna sementara menunggu hari malam. Antara jenis-jenis chalet Air Panas Ulu Legong yang ada dan harga sewa bilik untuk satu malam ialah:

  1. Chalet Standard - Harga RM100.
  2. Chalet Deluxe - Harga RM120.
  3. Chalet Pool View - Harga RM130.
  4. Chalet VIP - Harga RM350.
  5. Dormitory.

Fasiliti yang disediakan untuk setiap chalet termasuk:

  1. Penghawa dingin.
  2. Peti sejuk.
  3. TV dan Astro.
  4. Coffee-making facility

Chalet Air Panas Ulu Legong, Baling, Kedah.

Homestay Ulu Legong

Bagi pengunjung yang inginkan percutian yang lebih lama, ada alternatif penginapan lain selain dari chalet kolam air panas Ulu Legong. Program homestay Kampung KEDA Ulu Legong hanya terletak disebelah kawasan air panas ini. Berbagai aturcara menarik disusun untuk pengunjung seperti persembahan kebudayaan, majlis kenduri atau barbeque, jungle trekking dan lain-lain termasuk aktiviti mandi-manda di kolam air panas Ulu Legong.

Jika anda menginap di homestay atau chalet air panas Ulu Legong, anda dapat merasakan suasana pagi yang sangat sejuk dan pemandangan cantik kawasan sekitar dimana pengunjung tidak perasan kerana kebanyakannya datang waktu malam.

Untuk melihat potongan harga hotel-hotel lain berhampiran Ulu Legong, anda boleh menyemak dan menempah bilik penginapan melalui BOOKING.COM.

Jika pertama kali datang ke Ulu Legong, anda mungkin merasa agak janggal dengan bahasa yang diguna oleh penduduk setempat. Ia adalah bahasa melayu cuma loghat yang digunakan mungkin agak berbeza dan sukar untuk di fahami. Walaupun begitu, penduduk setempat yang sangat peramah dan mesra sangat membantu pelancong yang datang ke mari. Mereka tidak segan untuk berkongsi maklumat serta sudi menunjukkan tempat-tempat menarik disekitar kawasan perkampungan.

Lihat semua Tempat menarik di Kedah mengikut daerah

Tarikan pelancongan lain

Jangan datang ke Kedah sebelum baca semua artikel dibawah.

  1. Tempat menarik: Top 10 tempat menarik di Kedah
  2. Tempat membeli-belah: Top 10 tempat membeli-belah di Kedah
  3. Aktiviti menarik: Top 10 aktiviti menarik di Kedah
  4. Terokai semua: Kedah - Tempat menarik, aktiviti dan percutian
Lokasi