Bercuti di Pantai Merdeka

Pantai Merdeka adalah salah satu tempat pelancongan yang ada di Kedah. Ia terletak di daerah Kuala Muda. Pantai Merdeka merupakan lokasi percutian pelancong dan tempat menarik yang menjadi tumpuan penduduk disekitar daerah Kuala Muda. Ramai yang datang kesini bersama keluarga atau rakan-rakan untuk mandi laut atau bersantai melihat pemandangan indah dikawasan ini. Pengunjung pasti terpesona melihat Gunung Jerai yang tersergam indah dan juga pekan Tanjung Dawai yang terletak bertentangan dengan Pantai Merdeka.

Pantai ini sentiasa dipenuhi orang-ramai dihujung minggu dan musim cuti persekolahan. Sekiranya anda ingin bersendiri menikmati percutian yang aman dan tenteram, elakkan waktu tersebut.

Pemandangan Gunung Jerai dari Pantai Merdeka.

Kemudahan

Kemudahan yang terdapat di Pantai Merdeka ialah seperti :

  • Resort dan chalet penginapan - Ada resort di Pantai Merdeka. Chalet dan homestay pula banyak terdapat disekitar jalan masuk ke Pantai Merdeka.
  • Tandas awam.
  • Medan selera - Terdapat 16 buah gerai menjual berbagai jenis makanan dan minuman.
  • Gerai-gerai jualan.
  • Surau - Surau baru didalam kawasan resort dan surau lama dibelakang dewan berhampiran kaki bukit.
  • Dewan.
  • Kemudahan bot pelancong - Pengunjung boleh menyewa bot untuk bersiar-siar melihat pemandangan menarik disekitar Pantai Merdeka. Bot penumpang ke Tanjung Dawai juga terdapat disini.

Pantai Merdeka Resort, Kedah.

Aktiviti menarik di Pantai Merdeka

Beberapa aktiviti menarik boleh dilakukan semasa anda bercuti ke Pantai merdeka seperti:

  • Mandi laut.
  • Bermain layang-layang.
  • Memancing.
  • Berkayak.
  • Perkhemahan.
  • Menaiki bot melihat pemandangan menarik.
  • Melihat matahari terbenam.
  • Padang permainan.

Mandi laut di Pantai Merdeka, Kedah.

Pantai Merdeka Resort

Pantai Merdeka Resort menyediakan chalet penginapan untuk pengunjung yang ingin bermalam disana. Lokasi Pantai Merdeka Resort adalah berhampiran dengan pantai. Manakala chalet yang disediakan ada berbagai jenis dan harga sewa chalet bergantung kepada jenis chalet. Kemudahan yang disediakan serta aktiviti yang boleh dilakukan termasuk:

  • Kolam mandi dewasa.
  • Kolam mandi kanak-kanak.
  • Padang serbaguna - untuk aktiviti sukaneka hari keluarga dan lain-lain.
  • Barbeque.

Chalet di Pantai Merdeka, Kedah.

Alamat:
Pantai Merdeka Resort
Kota Kuala Muda,
08500 Sungai Petani,
Kedah Darul Aman.

Hubungi:
Telefon : +604-4377 551 / 552 / 555
Fax : +604-4377550
Emel : merdekaresort.sales@gmail.com

Resort Pantai Merdeka.

Tempat makan sedap di sekitar Pantai Merdeka

Anda tidak perlu risau tentang makanan di Pantai Merdeka. Terdapat banyak tempat untuk anda menjamu selera.

Medan selera Pantai Merdeka

Berbagai makanan ada dijual di medan selera ini. Pengunjung boleh menjamu selera dengan makanan goreng atau berkuah. Antara makanan dan minuman yang istimewa boleh didapati disini ialah:

  • Mee udang.
  • Nasi goreng udang.
  • Char kue teaw.
  • Mee ketam.
  • Laksa.
  • ABC special.
  • Cendol.
  • Laicikang.

Yang agak mengecewakan ialah pengunjung cuma boleh memesan makanan dari gerai dimana mereka duduk sahaja. Makanan juga terlalu lambat. Mungkin kerana terlalu ramai pelanggan di musim cuti sekolah.

Medan Selera Pantai Merdeka.

Gerai ditepi pantai

Pada musim cuti persekolahan terdapat banyak gerai yang menjual berbagai barangan dikawasan Pantai Merdeka. Antaranya ialah:

  • Makanan dan minuman - Berbagai jenis makanan seperti bihun sup, laksa, makanan ringan, air kelapa dan lain-lain ada disini.
  • Buah-buahan - Buah-buahan tempatan turut dijual disini seperti mempelam, tembikai, limau, oren, pisang dan lain-lain.
  • Permainan kanak-kanak - Pelbagai jenis permainan kanak-kanak dijual termasuk permainan belon air dan lain-lain permainan yang sesuai dimain ditepi pantai.
  • Pakaian - Pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak. Sekiranya anda terlupa membawa seluar mandi, anda boleh mendapatkan disini.

Gerai-gerai disekitar Pantai Merdeka.

Tempat makan malam berhampiran

Jika anda bercuti dan menginap di chalet Pantai Merdeka, ada beberapa tempat makan menarik yang boleh dikunjungi di waktu malam.

  • Pulau Sayak - Makan mee udang yang sangat terkenal di Kedah dan berbagai jenis makanan laut yang segar.
  • Sungai Petani - Berbagai jenis makanan seperti ikan bakar, masakan ala-Thai, masakan barat dan lain-lain. Lihat Tempat makan sedap di Sungai Petani, Kedah.
  • Tanjung Dawai - Makan makanan laut di pantai Tanjung Dawai. Pengunjung perlu menaiki bot dari Pantai Merdeka untuk ke Tanjung Dawai. Walau bagaimanapun, bot cuma beroperasi diwaktu siang sahaja.

Padang permainan di Pantai Merdeka.

Tempat menarik berhampiran

Tempat menarik berhampiran Pantai Merdeka ialah:

  • Tanjung Dawai - Membeli-belah di jeti dan kawasan Tanjung Dawai atau melihat matahari terbenam di pantai Tanjung Dawai.
  • Monumen Tsunami Pekan Kuala Muda
  • Pulau Sayak.
  • Dewan Berbisik - Pusat Jualan Ikan Borong di Kuala Muda. Pemborong yang berminat akan membisikkan harga tawaran kepada penjual. Penjual kemudiannya akan memilih pemborong mana untuk menjual ikannya.

Nota: Untuk melihat tempat-tempat menarik lain di Kedah, sila lawati halaman Senarai tempat menarik untuk percutian di Kedah.

Tanjung Dawai berhampiran Pantai Merdeka, Kedah.

Bercuti di Pantai Merdeka selama 2 hari 1 malam sudah cukup untuk menikmati keindahan dan mengunjungi tempat menarik yang ada dikawasan ini. Apa yang agak kurang menyenangkan sepanjang percutian kami kesini ialah masalah tiada air di surau untuk wuduk dan surau yang agak kotor dibahagian muslimah. Semoga pihak berkenaan memperbaiki kekurangan ini.

Add new comment