Makan tengahari di Gerai Kak Chaq Ikan Bakar Gurun Kedah

Hai,
Aku amat suka makan. Kalau orang tanya apa yang aku suka makan. Rasanya takda yang spesifik, semua aku suka makan dan yang pasti halal ok. Selain dari masak kat rumah, sekali sekala nak juga tukar angin makan kat kedai pula, nak rasa air tangan orang lain juga. Kalau bab makan memang aku agak jerewet, kalau tak sedap aku terus terang cakap tak sedap, kalau sedap insyallah aku datang lagi dan suggest kan pada orang lain.

Gerai kak Chaq Ikan bakar Gurun kedah.
Keterangan gambar: Gerai Kak Chaq Gurun Kedah.

Kalau dekat Kedah ni,bukan saja banyak tempat menarik tapi banyak juga kedai makan yang sedap. Antara kedai makan yang boleh aku cadangkan dekat korang gerai Kak Chaq ikan bakar. Lokasi dekat Gurun, Kedah. Gerai ni berhadapan dengan Bank BSN, tepi Petronas. Gerai memang betul-betul tepi jalan. Tak susah nak cari. Tempat letak kereta pun banyak.

Kambing bakar.
Keterangan gambar: Kambing bakar yang memang susah nak jumpa.

Alhamdulillah, tadi aku sendiri dah pergi cuba makan dekat situ. Antara menu yang ada ialah ikan bakar, sotong bakar, kambing bakar dan ayam bakar. Selain itu disediakan masakan kampung seperti kari itik, sup tulang dan gulai ayam kampung. Gerai ni hanya menyediakan menu tengahari sahaja dan dibuka dari jam 11 pagi sehingga 3 petang.

Ikan bakar.
Keterangan gambar: Ikan bakar yang masih panas.

Kalau korang datang sini, aku cadangkan korang makan kambing bakar, gulai itik dan sup tulang. Memang sedap. Semua ni terpulang kepada citarasa dan selera masing-masing. Selain dari makanan dia memang sedap harga pun sangat berpatutan. Kalau 2 orang makan baru Rm11.70 sen sahaja. Aku makan sayur kangkung, sup tulang, ikan bakar dan gulai daging batang pisang bersama sambal kicap dan air asam dan Teh ais harga memang berbaloi. Tak rugi kalau bawa keluarga besar makan dekat sini,sebab murah.

Gulai itik.
Keterangan gambar: Gulai itik yang sungguh menyelerakan.

Harga ikan,daging kambing, sotong dan ayam bergantung pada harga pasaran dan saiz. Mungkin ada sedikit perbezaan. Bila korang pergi masa makan tengahari memang sesak sikit dan terpaksa tunggu sebab meja penuh. Layanan dari pekerja pun bagus. Semua mesra pelanggan.

Gulai batang pisang.
Keterangan gambar: Gulai kawah batang pisang.

Selain itu, setiap hari jumaat tauke gerai ni akan letakkan pisang di setiap meja makan sebagai pencuci mulut. Jangan malu-malu untuk makan, sebab memang untuk dimakan. Tadi aku sempat la rasa pisang emas memang sedap, aku belasah 3 biji. Manis memang aku suka. Menariknya gerai ini menyediakan semua masakan kampung dan ada pelbagai jenis ulam-ulaman yang aku sendiri pun tak pernah tengok. Kreatif.

Sup tulang.
Keterangan gambar: Sup tulang pun ada.

Makanan disini dimasak panas-panas dan selalunya semua lauk akan habis lepas pukul 2. Semua licin. Tempat duduk juga sentiasa penuh dan tempat pun agak terhad. Gerai ini berkonsepkan santai dan layan diri. Kalau korang datang ke Kedah jangan lupa singgah di Gerai Kak Chaq Ikan Bakar Gurun. Selamat bercuti dan menjamu selera.

Add new comment