Membeli-belah di Pasar Kemboja Pendang

Pasar kemboja kini semakin popular di Malaysia. Ia bukan lagi sekadar pasar borong malah menjadi salah satu tarikan pelancongan di tempat berkenaan. Kali ini Percutian Bajet memaparkan maklumat mengenai Pasar Kemboja Pendang yang semakin popular di Kedah dan juga negeri berhampiran seperti Perlis dan Pulau Pinang. Bagi pengunjung yang belum pernah ke Pendang dan ingin membeli-belah di pasar kemboja, artikel ini akan membantu memberi gambaran sebenar tentang lokasi dan apa yang ada di pasar tersebut.

Nota: Untuk melihat tempat-tempat menarik lain di Kedah, sila lawati halaman Tempat menarik di Kedah mengikut daerah.

Pasar Kemboja adalah bazar membeli-belah yang terkenal kerana harga barangan yang sangat murah. Ia adalah pasar mingguan dan barangan yang dijual kebanyakannya ialah pakaian lelaki dan wanita. Ia digelar Pasar Kemboja kerana peniaga yang menjual barangan adalah orang Kemboja (tidak semua). Lokasi paling popular ialah di Parit Buntar, Perak dan di Pendang, Kedah.

Lokasi

Pasar Kemboja Pendang terletak di tengah pekan Pendang, Kedah. Lebih terperinci lagi, lokasinya terletak di padang letak kereta Pendang Lake Resort iaitu dibelakang Petronas pekan Pendang. Ia juga bersebelahan dengan Stesen bas Pendang. Jika anda keluar dari Lebuhraya PLUS melalui susur keluar Pendang, anda akan jumpa Pasar Kemboja ini dahulu sebaik tiba di pekan Pendang. Anda akan mengetahui dengan sendirinya kerana banyaknya kereta yang bergerak perlahan mencari dimana boleh meletak kenderaan mereka.

Pasar ini dibuka setiap hari Jumaat seawal jam 6 pagi.

Tempat letak kereta

Orang-ramai boleh menggunakan tempat letak kereta dikawasan yang disediakan disekitar Pasar kemboja dan juga di medan selera pekan Pendang. Jika anda sampai agak lewat, anda terpaksa meletak kereta agak jauh kerana ramainya orang yang datang.

Kesesakan kereta mencari tempat parking di pekan Pendang.

Keadaan di luar pasar kemboja sesak walaupun sudah hampir tengahari. Pengunjung masih mencari tempat letak kereta disekeliling pekan Pendang. Ini kerana ramai yang datang adalah dari negeri sekitar Kedah seperti Perlis dan Pulau Pinang.

Menarik sekitar Pasar Kemboja Pendang

Jika anda memandu sekitar Pasar Kemboja untuk mencari tempat letak kereta, anda pasti terjumpa chalet berderetan di tepi terusan. Itu ialah Pendang Lake Resort. Apabila anda memandu terus mengikut trek jogging ini, anda akan melihat tasik yang luas dan cantik. Tasik ini terletak dalam Pendang Lake Resort. Aktiviti air seperti berkayak boleh dilakukan disini. Dikawasan ini juga terdapat sebuah Mini Stadium.

Pemandangan mini stadium Pendang

Keterangan gambar: Pemandangan Mini Stadium Pendang boleh dilihat dari pasar kemboja.

Apabila melangkah menuju ke Pasar Kemboja, anda akan menempuh pekan Jumaat atau dipanggil pekan nat oleh orang tempatan. Ia adalah pasar pagi yang menjual pelbagai barangan seperti barang makanan, sayur-sayuran, buah-buahan, pakaian dan lain-lain. Lokasinya terletak disekitar stesen bas dan stesen teksi Pendang. Anda akan menempuh pasar ini dahulu jika memasuki Pasar Kemboja dari arah hadapan pintu masuk utama (arah jalan raya atau jalan besar).

Pintu masuk ke Pasar Kemboja.

Dihujung pekan nat ini letaknya Pasar Kemboja. Anda akan melihat papan tanda "Pasar Kemboja Pendang" dan orang ramai berpusu-pusu masuk kedalam kawasan perniagaan. Suasana didalam pasar ini boleh dikatakan agak meriah. Kadang-kadang ada penyanyi popular dijemput untuk menyanyi dan menjadi DJ menghiburkan pengunjung yang datang. Selain membeli-belah dapat juga selfie dengan artis.

Penyanyi kumpulan Data turut menghiburkan pengunjung.

Keterangan gambar: Penyanyi kumpulan Data turut hadir menyanyi untuk menghiburkan pengunjung yang datang membeli-belah.

Walaupun pengunjungnya agak ramai tetapi suasana tidaklah riuh-rendah, tidak berebut-berebut atau tolak-menolak. Orang-ramai boleh memilih pakaian dan membeli dengan agak selesa. Apabila matahari sudah agak meninggi, iaitu sekitar pukul 10 pagi, keadaan didalam kawasan perniagaan semakin panas kerana sinaran matahari dan juga pengunjung yang semakin ramai. Jika anda ingin membeli-belah dengan selesa, rancanglah percutian anda dan datang awal pagi.

Jenis barangan yang dijual

Barangan yang dijual ada berbagai-bagai tetapi yang paling popular ialah pakaian wanita. Pakaian siap dengan fesyen terkini dan berbagai-bagai warna serta corak dijual dengan harga borong. Jadi para suami, anda harus berhati-hati. Antara pakaian wanita yang banyak dijual ialah:

  • Baju kurung.
  • Blouse.
  • Baju muslimah dan kemeja muslimah.
  • Skirt dan kain.
  • T-shirt dan kemeja wanita.

Pemandangan menarik dalam Pasar Kemboja Pendang.

Apa yang paling banyak dijual di Pasar Kemboja Pendang? Jawapannya ialah tudung dan selendang. Berbagai jenis tudung dan selendang dijual. Ada yang bermanik, berbagai corak, warna dan fesyen hingga rambang mata melihatnya. Jika anda berjalan didalam pasar ini, anda akan melihat kedai tudung di merata-rata. Ada yang dijual secara borong dan ada yang dijual secara helai dengan harga runcit.

Suasana didalam kawasan perniagaan.

Pelbagai jenis tudung yang terkini di jual dengan harga yang sangat murah.

Selain pakaian, kain-kain yang cantik, berbagai jenis dan kualiti dijual dengan harga yang sangat murah. Ada kain ela, kain batik, kain pelikat, sutera, satin dan bermacam-macam lagi.

Kain ela yang dijual dengan harga borong.

Keterangan gambar: Pelbagai jenis kain yang dijual dengan harga borong.

Lain-lain barangan yang dijual disini ialah:

  • Pakaian lelaki - Seluar jeans, seluar trek, seluar kain pelikat, seluar tidur, t-shirt, kemeja, pakaian sukan dan lain-lain.
  • Pakaian kanak-kanak - Baju, seluar, baju kurung, baju tidur dan berbagai lagi.
  • Beg - handbag, beg galas, beg beroda, beg sekolah dan lain-lain.
  • Telekong berwarna, songkok dan kupiah lelaki.
  • Kasut dan sandal - Berbagai jenis kasut dan sandal lelaki dan wanita.
  • Karpet dan tikar.
  • Cadar, sarung bantal dan selimut.
  • Pinggan-mangkuk, cawan dan gelas.
  • Kek dan cup cake.
  • Makanan

Jubah untuk kaum lelaki dijual disini.

Keterangan gambar: Jubah lelaki turut dijual dengan harga berpatutan.

Pakaian wanita.

Keterangan gambar: Pakaian wanita seperti baju kurung, blouse, t-shirt muslimah banyak dijual.

Tempat makan

Membeli-belah didalam Pasar Kemboja memang mengasyikan. Ada yang berkali-kali ronda mencari apa yang menarik atau pakaian yang diingini di gerai yang menjual dengan harga paling rendah. Jika anda merasa penat dan dahaga, disini turut terdapat gerai yang menjual makanan dan minuman di pinggir kawasan perniagaan (tepi jalan). Juga terdapat gerai bihun sup yang agak besar diseberang jalan bertentangan dengan Pasar Kemboja.

Gerai bihun sup yang menjadi tumpuan pengunjung di Pasar Kemboja Pendang.

Keterangan gambar: Gerai bihun sup yang agak besar diluar Pasar Kemboja. Ia menjadi tempat suami menunggu isteri yang masih membeli-belah didalam Pasar kemboja.

Jika anda selesai membeli-belah dan ingin mencari gerai makanan yang lebih selesa, anda boleh ke bangunan gerai di stesen bas Pendang iaitu dikawasan pekat nat Pendang. Restoran nasi kandar juga ada didalam pekan Pendang. Untuk merasa masakan melayu, nasi campur atau nasi berlauk, terdapat banyak gerai di medan selera dan juga sekitar pekan Pendang yang dibuka pada hari Jumaat. Gerai ikan bakar juga ada dibarisan gerai makan berhampiran jirat cina.

Membeli-belah di Pasar Kemboja sangat memenatkan. Namun yang pasti, sesiapa saja yang datang pasti ingin kembali lagi. Kenapa? Tentu sekali kerana harganya yang tersangat murah.

Keistimewaan Pasar Kemboja Pendang

Walaupun terdapat banyak pasar kemboja di tempat lain, tetapi pasar kemboja Pendang mempunyai keistimewaan tersendiri. Antaranya ialah:

  • Ia adalah yang terbesar setakat ini. Berbagai barangan dijual dan lebih ramai peniaga yang datang. Pengunjung mempunyai banyak pilihan.
  • Terdapat pasar harian atau Pekan Nat disebelah Pasar Kemboja dimana berbagai barangan tempatan dijual seperti buah-buahan, sayur-sayuran, makanan, kuih-muih dan bermacam-macam lagi.
  • Terletak berhampiran resort menarik dimana pengunjung dari luar Kedah boleh bercuti dan bermalam.
  • Lokasi tidak jauh dari Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS Highway).

Nota: Untuk bercuti di Kedah, sila lawati halaman Senarai tempat menarik untuk percutian di Kedah.

Setakat ini dahulu yang dapat kami kongsikan tentang Pasar Kemboja Pendang. Kami akan sentiasa mengemaskini dan menambahbaik halaman ini agar menjadi panduan pengunjung. Untuk melihat tempat menarik lain di Pendang, sila baca artikel Tempat menarik sekitar Pasar Kemboja Pendang.

Comments

2

Dengar khabar pasar kemboja pendang akan di buka dua malam sebelum raya? Hari rabu dengan khamis malam. Betul ke? Boleh sesiapa confirm? Kalau betul boleh le cari baju raya.

Kami juga ada mendengar berita pasar kemboja malam raya akan dibuka di tapak pasar kemboja Pendang. Walau bagaimanapun berita ini belum dapat dipastikan.

Add new comment