Pelancongan di Langkawi

Langkawi ialah pulau bebas cukai yang terletak di perairan Kedah. Ia merupakan salah satu destinasi pelancongan paling popular di Malaysia. Selain tarikan semulajadi, berbagai acara dan aktiviti dilakukan bagi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke pulau ini. Bagi yang merancang untuk bercuti ke sini, Percutian Bajet telah menyediakan maklumat yang perlu anda tahu tentang Langkawi.

Kenali Langkawi

Langkawi merupakan satu daerah dalam negeri Kedah. Ia terdiri dari gugusan pulau-pulau yang terletak di Selat Melaka berhampiran negeri Perlis. Pulau Langkawi yang terkenal dengan berbagai kisah mitos dan lagenda seperti Mahsuri, Lagenda Tasik Dayang Bunting dan Puteri Telaga Tujuh ini ialah antara destinasi pelancongan yang paling popular di Malaysia. Ia juga adalah pulau bebas cukai. Jadi, selain tarikan alam semulajadi, Pulau ini turut menjadi tumpuan pelancong untuk membeli-belah.

Kawasan-kawasan di Langkawi

Sebelum melihat tempat-tempat menarik di Langkawi untuk dilawati, mari kenali dahulu kawasan di pulau tersebut untuk membantu anda semasa bercuti disana nanti. Terdapat enam mukim(kawasan) di Pulau Langkawi dan merangkumi keluasan sebanyak 467 km². Mukim-mukim tersebut ialah:

  • Ayer Hangat.
  • Bohor.
  • Kedawang.
  • Kuah.
  • Padang Mat Sirat.
  • Ulu Melaka.

Nota:Klik gambar untuk melihat peta Langkawi dalam saiz yang lebih besar.

Peta Langkawi menunjukkan tempat-tempat menarik untuk dilawati.

Pengangkutan di Pulau Langkawi

Langkawi ialah sebuah pulau yang terletak di perairan Selat Melaka. Terdapat dua cara untuk ke pulau ini iaitu dengan menaiki kapal terbang atau pun feri.

Bot dan feri boleh dinaiki dari:

  • Pulau Pinang.
  • Kuala Kedah - Perjalanan feri ke jeti Kuah, Langkawi mengambil masa kira-kira 1 jam 45 minit ke 2 jam.
  • Kuala Perlis - Perjalanan feri ke jeti Kuah, Langkawi mengambil masa lebih kurang 1 jam 15 minit.
  • Satun di selatan Thailand.

Syarikat kapal terbang yang menawarkan penerbangan ke Langkawi ialah:

  • AirAsia - Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Singapura.
  • AirAsia - Bangkok.
  • Penerbangan Malaysia (MAS) - Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Singapura.
  • FireFly - Subang, Pulau Pinang.
  • Singapore Airlines.
  • SilkAir - Singapura.

Lihat artikel: Feri Langkawi - Jadual dan harga tiket.

Apabila tiba ke destinasi, terdapat kemudahan teksi dan van untuk membawa pelancong ke hotel penginapan dan melawat tempat-tempat menarik di Langkawi. Perkhidmatan sewa kereta pandu juga banyak terdapat disini. Untuk memudahkan anda meneroka Pulau Langkawi dan melawat tempat menarik yang ada, menyewa kereta adalah amat disarankan.

Homestay di Langkawi

Di Pulau Langkawi juga terdapat homestay yang menyediakan pelbagai program pelancongan menarik untuk pelancong yang ingin mengenali dengan lebih dekat budaya dan adat-resam penduduk Langkawi. Antara homestay yang ada ialah:

  • Homestay Kg Sungai Itau, Langkawi - Hubungi Tuan Haji Maton Bin Mahmud, 019-477 1025.
  • Homestay Kg Bukit Tangga, Langkawi - Hubungi En. Saad Bin Long, 04-955 4937.
  • Homestay Padang Lalang, Langkawi - Hubungi Abdul Jamil bin Ali, 012-476 3525.
  • Homestay Selat Bagan Nyior, Langkawi - Hubungi Barakutunishah bt K Karim, 012-584 6157.

Tempat-tempat menarik di Langkawi

Terdapat banyak tempat-tempat menarik di Langkawi yang boleh dilawati. Percutian selama 3 hari belum tentu cukup untuk melawat semua lokasi ini dan melakukan semua aktiviti menarik yang disediakan. Jika anda merancang sendiri percutian ke Langkawi, berikut ialah senarai tarikan pelancongan yang boleh dipilih:

Pantai

Langkawi mempunyai banyak pantai yang cantik, landai dan berpasir sesuai untuk mandi laut. Ada pantai yang popular dan ada yang sunyi. Jika anda inginkan suasana meriah dengan berbagai aktiviti water sport untuk dicuba, pantai Cenang dan pantai Tengah adalah lokasi yang perlu dikunjungi. Pantai lain seperti pantai Tanjung Rhu, pantai Kok dan pantai Teluk Burau adalah lebih sunyi, sesuai untuk anda yang ingin mencari ketenangan.

Tempat bersejarah

Langkawi terkenal dengan lagenda Mahsuri dan berbagai kisah dongeng. Bagi anda yang meminati sejarah, kesan peninggalan silam dan tempat-tempat bersejarah boleh dilawati seperti Makam Mahsuri dan Beras Terbakar. Melawat Kota Mahsuri juga amat disarankan kerana berbagai maklumat, gambar dan barangan lama dapat dilihat.

Taman Haiwan

Jika anda ingin bercuti bersama keluarga, jangan lupa untuk melawat taman haiwan di Langkawi. Anak-anak anda pasti gembira melawat Taman Buaya Langkawi, Under Water World dan Langkawi Wildlife Park. Selain berseronok, banyak ilmu pengetahuan dan pengalaman baru dapat diperolehi disini.

Agro-tourism

Salah satu tarikan pelancongan di Langkawi ialah Agro-Tourism. Beberapa lokasi boleh dikunjungi seperti Taman Agrotek MARDI, Buffalo Park Langkawi dan Laman Padi Langkawi. Ketiga-tiga tempat ini sangat menarik dan mesti dikunjungi jika anda melawat Langkawi.

Muzium dan galeri

Bagi menyaksikan koleksi barangan dan pameran yang unik, tempat yang harus anda kunjungi ialah muzium dan galeri. Di Langkawi, anda boleh melawat Galeria Perdana yang mempamerkan pelbagai barangan yang disumbangkan oleh Perdana Menteri ke-4 Malaysia, Tun Dr Mahathir. Tempat menarik lain ialah Muzium 3D Langkawi dan Kampung Buku.

Alam semulajadi

Langkawi memang kaya dengan tarikan alam semulajadi. Berbagai tempat menarik boleh dikunjungi untuk menikmati keindahan alam termasuk hutan, air terjun, puncak gunung dan dasar laut. Apa yang pasti, anda tidak boleh lepaskan peluang melawat Kilim Geoforest Park, Gunung Mat Cincang dan air terjun Telaga Tujuh.

Pulau-pulau di Langkawi

Langkawi mempunyai banyak gugusan pulau-pulau kecil disekitar perairannya. Salah satu tarikan yang ada di pulau-pulau ini ialah pantainya yang cantik, pokok-pokok hutan, gua dan tasik semulajadi yang berusia ribuan tahun. Pelancong boleh melawat pulau-pulau ini dengan mengambil pakej aktiviti island hopping. Selain itu, Pulau Rebak mempunyai resort menarik bagi anda yang yang inginkan percutian sunyi dan damai.

Lihat senarai lengkap Tempat menarik di Langkawi.

Aktiviti menarik di Langkawi

Jika anda jemu melawat tempat menarik di Pulau Langkawi, anda boleh melakukan aktiviti pelancongan pula. Terdapat berbagai aktiviti pelancongan menarik yang boleh dilakukan sepanjang percutian di Langkawi. Ada aktiviti lasak, aktiviti bersama keluarga, makan, membeli belah dan bermacam-macam aktiviti lagi. Berikut ialah senarai aktiviti menarik di Langkawi yang boleh menceriakan anda.

Kereta Kabel Langkawi

Salah satu tempat pelancongan di Langkawi yang harus dilawati. Kereta Kabel Langkawi (Langkawi Cable Car, juga dikenali sebagai Langkawi SkyCab) terletak di Telaga Harbour Park, di kaki Gunung Mat Chinchang. Lokasinya berhampiran Pantai Kok. Kereta kabel adalah satu perkhidmatan pelancongan yang membawa pelancong menaiki Gunung Mat Chinchang dengan kabin (kereta kabel) yang disangkut pada kabel dan bergerak hingga ke puncak gunung. Sebuah kabin boleh memuatkan enam orang penumpang.

Langkawi Cable Car.

Keterangan gambar: Pemandangan Langkawi Cable Car dari atas Gunung Mat Chincang.

Terdapat tiga stesen kereta kabel iaitu stesen bawah, stesen tengah dan dipuncak Gunung Mat Chinchang. Ketinggian gondola disesetengah kawasan hampir 70 meter dari puncak pokok dibawahnya. Angin kuat yang bertiup menggoyangkan kabin menimbulkan perasaan gayat pada penumpang. Kereta kabel akan berhenti di stesen tengah setelah 1.7 KM perjalanan dan penumpang boleh turun untuk melihat pemandangan menarik hutan, bukit dan juga laut dari platfom pemerhatian.

Seterusnya, pengunjung boleh meneruskan perjalanan dengan menaiki gondola untuk ke stesen puncak. Perjalanan cuma tinggal lagi 450 meter sahaja. Di stesen puncak, pengunjung akan dapat melihat pemandangan menarik 360 darjah dari platform pemerhatian di puncak Gunung Mat Chinchang. Rasa berbaloi melawan perasaan gayat setelah melihat pemandangan indah disini.

Island Horses Langkawi

Island Horses Langkawi adalah aktiviti menarik menunggang kuda yang disediakan untuk pelancong. Terdapat beberapa laluan menarik yang disediakan untuk penunggang seperti melalui kawasan kampung, meredah hutan dan juga pantai. Bagi pengunjung yang belum pernah menunggang kuda, anda juga boleh mencuba aktiviti ini kerana jurulatih berpengalaman akan memberi tunjuk-ajar kepada anda. Semua keperluan menunggang seperti pelana, paku payung (tacks), topi keledar dan lain-lain disediakan, kecuali kasut but. Bawa kasut but anda sendiri jika berminat mencuba aktiviti ini.

Aktiviti lain

Aktiviti menarik lain di Langkawi yang boleh anda lakukan ialah:

  • Sewa helicopter di Pantai Tengah untuk melihat pemandang cantik pulau Langkawi dari udara.
  • Sewa jet ski dan meredah ombak laut juga sangat menarik.
  • Mengambil aktiviti parachut yang ditarik oleh bot laju ke pulau-pulau menarik disekitar Langkawi.
  • Aktiviti lasak, extreme dan adventure di Skytrex Langkawi.
  • Memberi makan burung Helang di Pulau Singa Kecil.
  • Menaiki Segway, menunggang kuda, gajah dan ATV di Oriental Village.
  • Gulai Kalut Langkawi - Menjamu selera di restoran Halim GP Gulai Panas, dekat Lapangan terbang Langkawi.
  • Taman Marin Pulau Payar - Pulau yang sangat terkenal dengan aktiviti snorkeling ini bukanlah sebahagian dari pulau-pulau di Langkawi tetapi pakej snorkeling ke Pulau Payar banyak terdapat di Langkawi. Setakat ini cuma terdapat tiga tempat yang menyediakan pakej ke Pulau Payar iaitu yang paling popular ialah dari Pulau Langkawi, dari Kuala Kedah dan yang terbaru dari Kuala Sungai Yan, Kedah.

Membeli-belah

Langkawi yang terkenal sebagai pulau bebas cukai memang syurga membeli-belah terutama bagi kaum wanita. Antara barangan yang popular menjadi pilihan pelancong ialah berbagai jenis cokelat antarabangsa, pinggan-mangkuk, kain batik dan kain pelekat serta berbagai jenis barangan tempatan. Harganya memang jauh lebih murah. Lebih menarik jika promosi berlangsung semasa anda bercuti di sana.

Kilang Gamat

Aktiviti yang tidak harus dilepaskan ialah melawat kilang gamat. Berbagai produk berasaskan gamat boleh didapati di kilang ini. Bagi anda yang tidak tahu apakah gamat, anda perlu cari maklumat segera sebelum ke Langkawi. Asasnya, gamat ialah hidupan laut yang mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan. Ia di proses untuk dijadikan minyak, produk kosmetik dan lain-lain. Barangan gamat juga sesuai untuk dijadikan buah-tangan buat saudara-mara dan kawan-kawan.

Kompleks HIG

Kompleks HIG ialah tempat membeli-belah yang popular di Langkawi. Jika dahulu anda ke kedai sahaja, kini Haji Ismail Group mempunyai kompleks perniagaan sendiri. Pelbagai barangan dijual termasuk cokelat, pinggan-mangkuk, kain batik, kain pelekat dan pakaian. Terletak di Pekan Kuah, ia adalah tempat yang mesti dikunjungi jika anda bercuti di pulau ini.

Untuk lokasi percutian terbaik di Langkawi, lihat artikel Senarai tempat menarik untuk bercuti di Langkawi.

Berbagai tarikan pelancongan di Langkawi menjadikan pulau ini sentiasa dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara. Ia sentiasa menerima kunjungan sepanjang tahun, tidak kira masa. Selain tarikan pelancongan yang dinyatakan diatas, keistimewaan lain yang ada ialah LIMA Langkawi (Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition). Pulau ini akan dibanjiri pelancong dari segenap pelusuk dunia bagi menyaksikan pameran yang diadakan setiap dua tahun.

Add new comment