Pulau Songsong Yan Kedah

Pulau Songsong terletak di Yan, Kedah. Ia adalah salah sebuah pulau yang ada di persisiran pantai daerah ini. Pulau-pulau lain ialah Pulau Bunting, Pulau Telur dan Pulau Bidan. Pulau Songsong tidah berpenduduk dan tiada resort disediakan untuk pelancong bercuti. Walau bagaimanapun, pelancong masih boleh berkunjung untuk trip harian. Jika ingin bermalam, kelengkapan perlu dibawa termasuk makanan dan minuman. Tiada bekalan elektrik dan sumber air bersih. Namun bagi peminat alam semulajadi, keindahan pulau ini cukup menakjubkan dan berbaloi untuk dikunjungi.

Pemandangan Pulau Songsong.

Percutian Bajet telah berpeluang mengikuti satu trip ke Pulau Songsong bagi program sukarelawan pembersihan yang dianjurkan oleh Kolej Komuniti Jerai pada November 2016. Kami kongsikan pengalaman dan pemandangan menarik di pulau ini sebagai panduan anda yang merancang untuk ke sini.

Pulau Songsong, Yan.

Bagaimana untuk ke Pulau Songsong?

Jika ingin ke Pulau Songsong, terdapat beberapa jeti yang menyediakan pengangkutan bot iaitu Jeti Sungai Yan, Jeti Sungai Udang, Jeti Kuala Dulang dan Jeti Tanjung Dawai. Perjalanan cuma mengambil masa lebih-kurang 15 minit sahaja dari mana-mana jeti kecuali Jeti Tanjung Dawai yang agak jauh. Pelancong yang ingin ke pulau ini perlu menempah lebih awal kerana perjalanan ke pulau bergantung pada cuaca dan air pasang-surut.

Jeti Sungai Udang, Yan.

Kami bertolak seawal jam 7 pagi dari jeti Sungai Udang. Ini kerana keadaan air pasang yang surut dengan cepat akan menyukarkan bot untuk keluar dari jeti. Perjalanan dengan bot nelayan lancar dan pemandu bot juga cukup cermat mengemudi hingga tiba ke destinasi.

Perjalanan ke Pulau Songsong.

Tiba ke destinasi.

Apa yang menarik?

Pulau Songsong masih kekal terpelihara tanpa pembangunan. Tarikan yang ada di pulau ini ialah alam semulajadi seperti pokok-pokok hutan, flora dan fauna serta coral yang terdapat di dasar laut. Selain itu, terdapat kawasan pantai yang unik dimana satu kawasan berpasir bersih yang agak luas cukup menarik untuk mandi laut manakala satu kawasan lagi berbatu dan cukup unik.

Matahari mula naik di ufuk timur.

Tiba di Pulau Songsong.

Sebaik tiba, kami terpesona dengan keindahan pulau ini. Pantainya sangat cantik dan air lautnya jernih menyebabkan kami tidak sabar-sabar untuk mandi. Kawasan pantai agak luas ditumbuhi pokok-pokok bunga, kelapa dan belukar kecil. Dibelakangnya pula ialah kawasan berbukit yang diliputi pokok hutan yang besar menghijau. Beberapa ekor helang kelihatan berterbangan di udara.

Pantai berpasir bersih.

Pokok-pokok bunga semulajadi yang cukup mempersonakan.

Pantai berbatu.

Disebelah lagi kawasan pantai, pemandangan agak menyedihkan kerana longgokan sisa-sisa sampah yang dibawa ombak ke sini. Malah banyak terdapat sisa sampah yang ditinggalkan pengunjung tidak bertanggung-jawab seperti botol air minuman, tin makanan dan lain-lain dilonggok dan dibakar.

Sampah-sarap di pantai.

Sisa sampah yang dibakar.

Pulau Songsong pernah menjadi target latihan antara TUDM dan Australian Air Force suatu ketika dahulu. Ia menjadi satu sebab kerosakan coral yang teruk diperairan sekitar pulau ini. Sisa-sisa peluru masih terdapat dimerata-rata kawasan termasuk pantai.

Sisa peluru.

Coral mati.

Kemudahan yang ada

Oleh kerana pulau ini tidak berpenduduk, tiada kemudahan asas disediakan. Pengunjung perlu membawa bekalan makanan dan minuman secukupnya. Jika ingin bermalam, pastikan anda membawa generator, lampu, kabel, lampu suluh, power bank untuk telefon bimbit dan lain-lain yang dirasakan perlu. Terdapat sebuah perigi air tawar untuk mandi dan bersuci. Kawasan perigi ditutup dengan zink seperti di kampung-kampung.

Dewan yang agak luas.

Perigi air tawar.

Lain-lain yang ada termasuk dewan dan sebuah rumah kemungkinan resort terbengkalai. Dewannya agak luas berlantaikan simen. Ia boleh dijadikan tempat solat, tempat makan atau tempat tidur untuk lebih 20 orang. Saya tidak sempat memasuki rumah dibelakang dewan dan tidak pasti bagaimana keadaan didalamnya. Para peserta wanita menjadikannya tempat persalinan.

Bangunan chalet resort terbengkalai.

Aktiviti yang boleh dilakukan

Pulau Songsong bukanlah pusat peranginan popular tetapi ia cukup menarik untuk dijadikan lokasi percutian bagi pencinta alam semulajadi dan keluar dari hiruk-pikuk di bandar. Jika anda kaki pengembaraan, suka tidur didalam khemah, tidak kisah mandi air perigi dan sanggup memasak sendiri, berkunjung ke pulau ini pasti tidak mengecewakan. Keindahan dan keunikan yang ada cukup mempersonakan. Berbagai aktiviti boleh dilakukan semasa bercuti di Pulau Songsong. Semestinya bersantai ditepi pantai sambil menikmati keindahan pemandangan dan mandi laut sepuas hati adalah yang paling utama.

Pantai berpasir yang bersih.

Aktiviti barbeque.

Selain itu, anda boleh memancing, memasak, bbq, berkelah dan snorkeling. Walau bagaimanapun, anda perlu membawa peralatan snorkeling sendiri kerana tiada agen pelancongan di pulau ini. Berbagai jenis coral cantik dapat dilihat di beberapa kawasan. Jika anda mempunyai lesen menyelam (scuba diving), beberapa lokasi menarik sering dikunjungi tetapi anda perlu memaklumkan kepada pemandu bot untuk membawa anda ke sana.

Aktiviti snorkeling.

Membersihkan pulau

Para peserta telah sama-sama bergotong-royong membersihkan Pulau Songsong. Sisa-sisa botol minuman, bekas makanan dan lain-lain dikawasan pantai dikutip. Sampah diasingkan serta dimasukkan kedalam plastik sampah untuk dibawa pulang ke tanah besar.

Bersih pantai.

Gotong-royong.

Penanaman coral

Sangkar dan coral telah diletakkan dibeberapa kawasan perairan Pulau Songsong bagi menambah semula coral yang rosak dan pembiakan coral baru. Usaha ini cukup bermakna dalam memelihara keindahan semulajadi dasar laut yang cukup cantik dan berwarna warni.

Sangkar coral.

Keunikan Pulau Songsong

Pulau Songsong mempunyai tarikan yang tersendiri. Keunikan pulau ini ialah terdapat dua pantai dimana satu kawasan pantai berpasir halus dan bersih untuk mandi-manda. Satu lagi kawasan pantai berbatu kiwi yang cukup menarik. Kawasan perairan disini terdapat banyak coral cantik dan sesuai untuk melakukan aktiviti snorkeling.

Pantai berbatu kiwi.

Kecantikan pemandangan di Pulau Songsong memang tidak dinafikan. Siapa sahaja yang menjejakkan kaki ke sini pasti terpesona dengan keindahan yang ada.

Pemandangan di awal pagi.

Pohon kelapa di tepi pantai.

Berjalan-jalan ditepi pantai, anda pasti terjumpa berbagai bentuk batu-batu unik dan lain-lain yang menarik hati. Coral-coral yang telah mati juga banyak terdampar dibawa ombak ke daratan.

Batu-batu unik.

Batu unik dan menarik.

Tali kapal yang terdampar di pantai.

Bercuti di Pulau Songsong adalah satu pengalaman yang cukup menyeronokkan. Suasana yang sunyi benar-benar memberi ketenangan. Pemandangan menarik terutama Gunung Jerai yang berdiri megah di tanah besar negeri Kedah menjadi backdrop yang begitu mengagumkan. Pengalaman kehidupan tanpa kemudahan asas memberi pengajaran yang cukup berguna. Terima kasih pada yang menaja dan jangan lupa untuk menjemput kami dilain masa.

Lihat semua Tempat menarik di Kedah mengikut daerah

Tarikan pelancongan lain

Jangan datang ke Kedah sebelum baca semua artikel dibawah.

  1. Tempat menarik: Top 10 tempat menarik di Kedah
  2. Tempat membeli-belah: Top 10 tempat membeli-belah di Kedah
  3. Aktiviti menarik: Top 10 aktiviti menarik di Kedah
  4. Terokai semua: Kedah - Tempat menarik, aktiviti dan percutian
Lokasi