Sayangi air terjun kita

Kita sangat beruntung kerana terdapat banyak tempat menarik semulajadi ada di Malaysia. Air terjun adalah salah satu darinya. Saya dan keluarga memang suka ke pusat peranginan atau taman rekreasi air terjun. Suasana hutan memang menarik hati membuatkan saya berasa tenang dapat menghirup udara segar. Berbagai aktiviti menarik boleh saya lakukan bersama keluarga seperti berkelah, mandi air terjun dan kadang-kala berkhemah dikawasan air terjun. Disini saya ingin berkongsi satu kawasan air terjun yang sangat menarik di tempat saya.

Nota: Sebenarnya saya ingin menyampaikan satu mesej yang sangat penting pada semua tetapi saya tidak pandai untuk membuatkan ianya menarik. Jadi harapan saya, jika ianya kelihatan senada atau skema, anda semua bayangkanlah blog ini sebenarnya ditulis oleh Aaron Aziz atau pun Neelofa. Semoga ianya memberi kekuatan pada anda untuk terus bersama saya hingga ke noktah terakhir.

Air terjun menarik

Seperti yang saya katakan diawal tadi, terdapat kawasan air terjun yang menarik ditempat saya. Ianya agak terkenal dan menjadi lokasi percutian keluarga setiap kali musim cuti persekolahan. Kawasan air terjun akan dipenuhi orang-ramai dari bawah hingga keatas. Berbagai kemudahan asas disediakan oleh kerajaan seperti kawasan meletak kereta yang luas, gerai makanan, tandas dan bilik mandi (juga untuk menukar pakaian), ada resort dan chalet menarik serta lain-lain lagi.

Air terjun yang bersih.
Air terjun yang bersih sangat menyegarkan.

Orang-ramai tidak perlu mendaki bukit untuk ke tempat air terjun. Di kawasan berhampiran tempat meletak kereta sudah ada kolam air terjun yang luas. Namun untuk kawasan yang lebih menarik, pengunjung boleh masuk kedalam kawasan hutan simpan dimana terletaknya air terjun dan kolam yang lebih menarik. Ia bukanlah hutan rimba tetapi sebuah taman yang sangat cantik.

Air terjun yang jernih.
Air yang jernih. Siap boleh snorkeling lagi. :)

Laluan pejalan kaki yang cantik dibina sepanjang kawasan air terjun. Ada titi gantung yang merentang air terjun. Beberapa pondok rehat untuk pengunjung berkelah bersama keluarga turut disediakan. Ada tapak perkhemahan untuk pelajar sekolah, penuntut IPT atau sesiapa sahaja yang ingin berkhemah. Malah ditepi kolam air terjun juga boleh dipasang khemah untuk menyimpan barangan dan salin pakaian. Pengunjung boleh hampar tikar dan berkelah ditepi air terjun. Mandi air terjun yang sejuk menyegarkan, kemudian makan nasi diatas batu besar, ia adalah suasana yang sangat menyeronokkan dan cukup nostalgia. Jika dulu-dulu, ibu dan ayah membawa saya kemari, sekarang saya pula membawa anak-anak merasai pengalaman menyeronokkan ini.

Sikap masyarakat

Saya memang suka suasana alam semulajadi. Orang kampung. Paling tidak, sekali sebulan saya akan ke kawasan air terjun tersebut. Saya berasa tenang dan damai bila berada di kawasan ini. (Sebenarnya saya dipaksa oleh anak yang nak mandi air terjun.) Tak mengapalah. Kemana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi, kan?

Baik, apa yang nak saya perkatakan disini ialah sikap masyarakat atau sikap orang kita. Pada waktu biasa, kawasan air terjun sangat bersih, udara nyaman, air jernih dan menyegarkan. Pada musim cuti sekolah, ramai yang datang berkelah di air terjun ini. Kawasan ini ialah tempat peranginan awam. Tiada bayaran atau tiket dikenakan. Maka ia menjadi tumpuan keluarga untuk bergembira dan meluangkan masa bersama. Lihat gambar kawasan air terjun ini selepas cuti sekolah.

Sisa makanan dalam air.
Sisa makanan dalam air.

Lampin bayi dan sisa makanan
Lampin bayi dan sisa makanan ditinggalkan diatas batu.

Air yang kotor dan berminyak.
Air yang kotor dan berminyak.

Sisa makanan dalam kolam
Sisa makanan dalam kolam air terjun.

Lalat menghurung sisa makanan.
Lalat menghurung sisa makanan.

Lampin bayi ditepi batu.
Lampin bayi ditepi batu.

Berbagai perasaan bercampur-baur dalam hati dan fikiran bila melihat pemandangan ini didepan mata. Tidak ada perkataan yang boleh menggambarkan rasa marah, sedih, kecewa dan berbagai perasaan lain yang menyucuk hati sanubari saya. Anak pula beria-ia nak mandi sangat-sangat tapi saya tak benarkan. Akhirnya saya ambil plastik sampah yang memang dibawa dan kutip sampah-sampah yang ada setakat mampu. Ada dua-tiga orang lain yang tengok dan sama-sama tolong saya.

Disebabkan tidak sampai hati melihat anak yang nak juga mandi, saya benarkan tapi lepas mandi air terjun terus cuci badan mandi air bersih di bilik mandi.

Anak mandi air terjun yang kotor.
Muka anak yang tak ceria sebab mandi sekejap sangat.

Sebenarnya dikawasan air terjun ini disediakan beberapa tempat pembuangan sampah disekitar kolam dan kawasan perkhemahan. Dekat sahaja dan semua orang boleh nampak tong sampah besar dan bertutup. Tetapi sikap masyarakat kita yang tidak bertanggung-jawab sudah sampai tahap tidak boleh ditolerasi lagi. Tidak masuk akal kita yang waras.

Peringatan turut diberi.
Papan peringatan ini bagaikan tidak wujud pada pandangan pengunjung air terjun.

Kesan

Anak saya memang kecewa tidak dapat mandi puas-puas pada hari itu. Biasanya dia akan mandi sampai ke petang tapi hari tersebut tak sampai 10 minit. Saya terus bawa keluarga pulang walaupun ramai lagi yang berkelah dan mandi-manda. Dalam benak saya berfikir, apakah nanti ada peluang anak-anak saya untuk bawa keluarga mereka berkelah dan mandi di air terjun ini.

Dan seperti yang saya takuti, dua minggu selepas itu seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun meninggal dunia disyaki akibat jangkitan kencing tikus setelah mengunjungi pusat rekreasi air terjun ini. Saya rasa macam nak menangis. Semenjak hari itu, saya tidak pernah ke air terjun ini lagi. Hati saya memang terkilan. Kesian pada anak-anak. Apalah nasib generasi akan datang.

Saya ingin menyeru pada semua yang membaca blog ini, sayangilah air terjun kita. Sama-sama kita jaga warisan yang tidak ternilai ini. Kalau tidak membebankan, sila kongsi dengan rakan-rakan agar semua tahu. Moga-moga ada yang mampu mengubah atau sanggup berubah. Sekian. Terima kasih kerana sudi membaca hingga ke akhir. Cerita ini ada kena-mengena dengan yang hidup tetapi tidak ada kena-mengena dengan Aaron Aziz atau Neelofa. Maafkan saya. Roger and Out.

Tags: 

Add new comment