Tempat percutian menarik di Kedah

Kedah Darulaman ialah salah satu destinasi percutian di Malaysia yang mempunyai berbagai tarikan pelancongan. Negeri ini terkenal dengan percutian pantai dan pulau, tarikan alam semulajadi, tempat-tempat bersejarah dan lain-lain lagi. Kali ini Percutian Bajet ingin mengesyorkan beberapa tempat menarik di Kedah untuk bercuti. Bagi anda yang mencari maklumat tentang lokasi pelancongan untuk bercuti bersama keluarga atau rakan-rakan, artikel ini pasti berguna untuk anda. Ini kerana kami menyenaraikan lokasi percutian sebenar bukan sekadar tempat-tempat menarik untuk dilawati semasa bercuti.

Wang Tepus Ecotourism

Wang Tepus Ecotourism ialah tempat menarik untuk bercuti di kedah yang baru diperkenalkan. Ia menampilkan keistimewaan perkampungan ini yang kaya dengan tarikan semulajadi seperti bukit-bukau dan sungai. Beberapa perusahaan kampung turut dimajukan sebagai tarikan pelancongan seperti agro farm, dusun durian, madu kelulut dan lain-lain.

Teratak Malinja Wang Tepus Jitra

Tempat penginapan juga ada seperti Teratak Malinja yang menyediakan rumah kampung dan chalet ditepi sungai yang cukup menarik. Bagi anda yang ingin merasai suasana kehidupan di kampung, aturkan percutian di Wang Tepus Ecotorism. Lebih menyeronokkan jika datang pada musim buah-buahan. Dusun durian dan buah-buahan tempatan lain menanti anda disini.

Lokasi / Alamat:
No 1331 Awanaz
Kampung Cerok Tok Lateh,
06000 Wang Tepus,
Kedah

Maklumat lanjut boleh dibaca di halaman Wang Tepus Ecotourism.

Kolam air panas Baling

Kolam air panas Baling terletak di Ulu Legong. Ia adalah lokasi percutian yang semakin popular dikalangan pelancong yang berkunjung ke negeri Kedah. Apa yang menarik ialah anda boleh bermalam disini dan menikmati keseronokan mandi air panas semulajadi dengan sepuas hati. Beberapa buah chalet selesa disediakan untuk pengunjung.

Kolam air panas Baling Kedah.

Di kawasan ini juga terdapat program homestay KEDA dimana selain mandi-manda di kolam air panas, pengunjung juga berpeluang mengikuti aktiviti-aktiviti yang disediakan oleh penduduk tempatan.

Lokasi / Alamat:
Pusat Rekreasi Air Panas
Ulu Legong,
09100 Baling,
Kedah

Maklumat lanjut mengenai kolam air panas ini boleh dibaca di halaman Bercuti di kolam air panas Ulu Legong Baling.

Puncak Gunung Jerai

Puncak Gunung Jerai ialah tempat menarik untuk percutian di Kedah yang sangat terkenal. Terdapat sebuah resort yang cantik disediakan untuk pelancong. Walaupun tidak sehebat Cameron Highland, pengunjung masih boleh menikmati percutian tanah tinggi yang menyeronokkan. Antara tarikan yang ada di puncak Gunung Jerai ialah melihat pemandangan menarik sawah padi, menikmati keindahan matahari terbenam, melawat muzium perhutanan, melawat tempat bersejarah, mandi air terjun dan lain-lain lagi.

Puncak Gunung Jerai Kedah.

Satu-satunya tempat penginapan yang ada di puncak Gunung Jerai ialah The Regency Jerai Hill Resort. Ia adalah sebuah resort yang cantik dan cukup selesa. Percutian anda disini pasti meninggalkan kenangan manis yang tidak dapat dilupakan.

Lokasi / Alamat:
Gunung Jerai
08000 Gurun,
Kedah

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk artikel Gunung Jerai - Percutian dan aktiviti menarik.

Hutan Lipur Sungai Sedim

Hutan Lipur Sungai Sedim merupakan satu tempat menarik di Kedah yang mesti dilawati oleh para pencinta alam semulajadi. Ia adalah kawasan air terjun yang cukup mendamaikan dikelilingi kehijauan hutan dan udara bersih yang nyaman. Percutian disini pasti seronok kerana berbagai aktiviti pelancongan disediakan untuk pelancong. Jika anda seorang yang meminati aktiviti lasak, percutian di Hutan Lipur Sungai Sedim pasti mengujakan. Ia adalah lokasi "white water rafting" yang terkenal. Anda berpeluang mencuba aktiviti menarik seperti white water boarding dan white water tubing yang pasti memberi pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Aktiviti pelancongan di Hutan Lipur Sungai Sedim.

Selain itu, disini juga terdapat satu lagi tarikan utama iaitu Tree Top Walk. Ia adalah kanopi terpanjang di dunia. Anda akan berjalan diatas laluan kanopi sepanjang 925 meter dengan ketinggian sehingga 50 meter dari tanah. Jika bangun di awal pagi, anda berpeluang melihat berbagai spesis burung, rama-rama dan haiwan-haiwan lain di atas pokok sepanjang perjalanan.

Penginapan - Asrama dan chalet.
1- Bintang Sedim Villa - Chalet penginapan didalam kawasan Tree Top Walk Sungai Sedim.
2- Sungai Sedim Resort - Resort didalam kawasan Rekreasi arus deras Sungai Sedim.

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk artikel Tree top walk Sungai Sedim Kulim.

Pantai Merdeka

Pantai Merdeka ialah destinasi percutian pantai yang paling terkenal di tanah besar negeri Kedah. Ini kerana ia satu-satunya pantai yang mempunyai resort untuk pengunjung bercuti. Pantai Merdeka terletak di daerah Kuala Muda. Lokasinya tidak jauh dari Sungai Petani. Walaupun pantainya tidak secantik di Langkawi, namun ia tetap menerima kunjungan orang-ramai terutama di hujung minggu. Antara aktiviti yang boleh dikakukan ialah menjamu selera mee udang di Pulau Sayak yang terkenal, island hopping, membeli-belah di Tanjung Dawai dan melawat tempat-tempat menarik di Kedah yang ada di daerah ini.

Percutian menarik di Pantai Merdeka.

Satu-satunya resort yang ada di kawasan pantai ialah Merdeka Beach Resort. Resort ini agak menarik dan selesa. Berbagai kemudahan dan aktiviti disediakan untuk pengunjung seperti kolam renang, bbq, menaiki bot dan permainan menarik untuk mengisi percutian. Selain itu, beberapa tempat menarik di kawasan ini boleh dilawati. Harga bilik bermula dari RM130.

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk artikel Bercuti di Pantai Merdeka.

D'Yan Chalet, Titi Hayun

D'Yan Chalet ialah resort yang terletak di Taman Rekreasi Air Terjun Titi Hayun. Resort ini diuruskan oleh Majlis Perbandaran Yan. Dalam kawasan air terjun Titi Hayun, inilah satu-satunya resort yang ada. Oleh kerana resort ini sudah agak lama, keadaan bilik dan perabot tidaklah cantik sangat. Namun untuk percutian bajet di kawasan air terjun, ia masih boleh dipertimbangkan. Harga bilik yang dikenakan bermula dari serendah RM75.

D'Yan Chalet Titi Hayun.

Walaupun penginapan disini bukanlah yang terbaik namun suasana disini sangat menarik. Beberapa aktiviti boleh dilakukan seperti memanjat Tangga Kenari, mendaki Gunung Jerai, mandi air terjun Titi Hayun, mandi air terjun Puteri Mandi, bbq, dan lain-lain lagi.

Lokasi / Alamat:
D'Yan Chalet
Titi Hayun,
06900 Yan,
Kedah

Anjung Menjaro / Teratak Ayahanda

Anjung Menjaro ialah sebuah resort menarik yang terletak di Titi Hayun, Yan. Ia turut dikenali dengan Teratak Ayahanda. Jika anda merancang untuk bercuti bersama keluarga, resort ini memang sangat sesuai. Berbagai kemudahan disediakan termasuk untuk BBQ di kawasan resort yang cantik.

Anjung Menjaro Titi Hayun.

Di Anjung Menjaro Resort ini terdapat tujuh buah rumah yang diperbuat dari kayu. Setiap rumah mempunyai rekabentuk tersendiri yang sangat cantik. Kemudahan dapur dengan perabot, peti ais dan pinggan mangkuk disediakan untuk tetamu. Dikelilingi hutan semulajadi, suasana disini sangat nyaman dan menyegarkan. Selain itu, di resort ini juga terdapat tiga buah kolam mandi yang pasti menggembirakan hati anak-anak anda.

Harga bermula dari RM150.

Lokasi / Alamat:
Anjung Menjaro
1111 Persisiran Dato Haji Hashim,
Jalan Titi Hayun,
06900 Yan,
Kedah

Zamani's Place, Yan

Satu lagi tempat menarik untuk percutian di Kedah ialah Zamani's Place yang terletak di Pantai Murni, Yan. Ia adalah sebuah resort mewah yang cukup mempersonakan. Jika anda merancang untuk bercuti di satu tempat yang cantik dan beristirehat dalam suasana yang tenang, Zamani's Place boleh dimasukkan dalam senarai lokasi pilihan anda.

Zamani's Place Pantai Murni.

Tarikan dan kemudahan yang ada di Zamani's Place termasuk:

  1. Kolam renang.
  2. Kolam memancing.
  3. Taman.
  4. BBQ.

Harga bilik bermula dari RM289. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Tel: 011-26276589, 013-3175175

Lokasi / Alamat:
Zamani's Place
Lot 5501, Jalan Pantai Murni,
Kampung Pantai Murni,
Yan Besar,
06900 Yan,
Kedah.

Chalet Terapung Persatuan Peladang

Chalet Terapung Persatuan Peladang yang lebih dikenali sebagai PPK Merbok ini semakin terkenal sebagai tempat percutian menarik di Kedah. Ia sudah beberapa kali dijadikan lokasi program di television dan sering mendapat liputan di akhbar.

Chalet Terapung PPK Merbok.

Jika anda mencari lokasi percutian bajet yang unik, Chalet Terapung PPK Merbok ini sangat kami sarankan. Berbagai aktiviti menarik boleh dilakukan seperti:

  1. Menaiki bot menyusur Sungai Merbok.
  2. Memancing ikan.
  3. Jungle tracking Hutan Paya Bakau.
  4. Memerhati berbagai spesis burung.
  5. Island hopping.

Harga chalet bermula dari RM100.

Lokasi / Alamat:
Chalet Terapung PPK Merbok
Kuala Segantang Garam,
08400 Merbok,
Kedah

Hubungi:
Tel: +604-457 2117 / 019-5592117

KEDA Resort Bendang Man

KEDA Resort and Holidays atau lebih dikenali sebagai KEDA Resort terletak di Bendang Man, Sik. Ia dimajukan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan sangat popular sebagai lokasi hari keluarga, perkhemahan pelajar dan kursus. Berbagai jenis penginapan disediakan seperti chalet keluarga, dorm dan tapak perkhemahan.

KEDA Resort Bendang Man Sik.

Aktiviti menarik turut disediakan untuk pengunjung seperti:

  1. Jungle Tracking
  2. Monkey Bridge
  3. Rakit @ kayak
  4. Flying Fox
  5. AB Seling
  6. Karaoke
  7. Perkhemahan
  8. Riadah atau berkelah
  9. Melawat dusun buah-buahan

Lokasi / Alamat:
KEDA Resort Holidays SDN. BHD.
Kampung Bendang Man,
Sik,
Kedah

Hubungi:
Tel: 04-4620 369, 04-4620 370

Pendang Lake Resort

Negeri Kedah mempunyai sawah padi yang luas. Semasa musim penanaman padi, pengunjung akan dapat melihat keindahan sawah yang menghijau seluas mata memandang. Apabila tiba musim menuai pula, padi menguning bagaikan hamparan emas. Pemandangan cantik ini pasti memikat hati pelancong terutama mereka yang pertama kali berkunjung ke Kedah. Semua ini boleh anda nikmati apabila bercuti di Pendang Lake Resort.

Pendang Lake Resort.

Pendang Lake Resort ialah satu-satunya resort yang ada di daerah Pendang buat masa ini. Ia bukanlah resort 5 bintang yang menawarkan chalet penginapan mewah serta layanan istimewa tetapi disini ada beberapa tarikan tersendiri. Disini terdapat sebuah tasik yang luas dan sangat cantik. Bagi anda yang gemar membeli-belah, Pasar Kemboja dibuka setiap hari Jumaat. Anda juga boleh melawat beberapa tempat menarik yang ada disekitar daerah Pendang.

Maklumat lanjut mengenai Pasar Kemboja boleh dibaca di halaman Membeli-belah di Pasar Kemboja Pendang.

Berbagai aktiviti disediakan di Pendang Lake Resort untuk pengunjung seperti:

  1. Kursus motivasi / seminar / mesyuarat / taklimat.
  2. Aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK).
  3. Aktiviti sukan air.
  4. Aktiviti kembara.
  5. Perkhemahan
  6. Hari Keluarga Jabatan / Syarikat
  7. Flying Fox / Abseiling

Harga chalet bermula dari RM100.

Lokasi / Alamat:
Pendang Lake Resort
06700 Pendang,
Kedah

Hubungi:
Tel: +60 4-758 3220 / 7583229

Bandaraya Alor Setar

Bagi anda yang mencari pusat pelancongan bandar, Alor Setar ialah sebuah lokasi yang sangat menarik untuk bercuti. Ini kerana banyak tempat menarik dan berinformasi ada di bandaraya ini. Selain itu kemudahan hotel yang banyak memudahkan pelancong untuk memilih tempat penginapan bersesuaian dengan bajet mereka.

Muzium Padi di Alor Setar.

Tempat menarik yang boleh dilawati di Alor Setar ialah seperti:

  • Menara Alor Setar - Ia adalah lokasi paling sesuai untuk melihat pemandangan Bandaraya Alor Setar dari atas.
  • Muzium Padi - Sebuah muzium yang memaparkan berbagai maklumat berkaitan padi termasuk penanaman, peralatan dan lain-lain.
  • Masjid Zahir - Sebuah masjid yang sangat cantik terletak di tengah bandaraya Alor Setar.

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk artikel Tempat menarik di Alor Setar Kedah.

Bandar Sungai Petani

Lokasi seterusnya yang kami cadangkan sebagai tempat menarik untuk percutian di Kedah ialah bandar Sungai Petani. Ini kerana di bandar ini ada beberapa pusat pelancongan popular dan tempat-tempat menarik berhampiran yang boleh dilawati. Salah satu tarikan utama untuk percutian keluarga ialah Carnivall Water Park terletak berhampiran Cinta Sayang Country & Golf Resort. Berbagai permainan air yang menarik seperti gelongsor air, kolam berombak dan lain-lain disediakan untuk pengunjung.

Water park di Sungai Petani.

Lokasi penginapan yang kami cadangkan ialah Cinta Sayang Country & Golf Resort, Swiss-Inn Sungai Petani, Harvard Suasana Hotel dan Park Avenue Hotel. Semuanya adalah hotel yang paling popular di bandar ini. Walau bagaimanapun, anda boleh memilih untuk menginap di beberapa hotel lain yang lebih murah untuk percutian bajet. Antaranya ialah El Zahraa Inn, Big Orange Hotel dan T Hotel Sungai Petani.

Tempat menarik yang boleh dilawati ialah seperti:

  • Menara Jam Besar Sungai Petani
  • Muzium Arkeologi Lembah Bujang
  • Jeti Sungai Semeling

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk artikel Tempat menarik di Sungai Petani untuk dilawati.

Pulau Langkawi

Langkawi ialah pulau pelancongan yang paling popular di Malaysia. jika anda inginkan percutian menarik dan tidak dapat dilupakan di Kedah, Langkawi ialah destinasi yang mempunyai berbagai tarikan dan aktiviti yang boleh dilakukan. Disebabkan terlalu banyak tempat menarik, kami telah menyediakan satu artikel khas tentang pulau ini.

Tempat menarik percutian di langkawi.

Sila rujuk artikel tempat percutian menarik di Langkawi.

Untuk melihat potongan harga hotel dan resort di Kedah, anda boleh menyemak serta menempah bilik penginapan secara atas talian di BOOKING.COM.

Kesimpulan

Lokasi yang disenaraikan diatas ialah antara tempat menarik di Kedah yang sangat sesuai untuk bercuti bersama keluarga, rakan-rakan ataupun bersendirian. Kami cuba membantu dengan memberikan informasi yang tepat dan terbaik untuk percutian anda. Jika maklumat ini berguna, sila kongsikan kepada rakan-rakan anda di laman fb, twitter atau g+ sebagai tanda penghargaan. Jika ada yang kurang sila tinggalkan komen agar dapat kami perbaiki kelemahan yang ada. Terima kasih atas sokongan anda dan selamat bercuti!

Lihat semua Tempat menarik di Kedah mengikut daerah

Tarikan pelancongan lain

Jangan datang ke Kedah sebelum baca semua artikel dibawah.

  1. Tempat menarik: Top 10 tempat menarik di Kedah
  2. Tempat membeli-belah: Top 10 tempat membeli-belah di Kedah
  3. Aktiviti menarik: Top 10 aktiviti menarik di Kedah
  4. Terokai semua: Kedah - Tempat menarik, aktiviti dan percutian
Lokasi