Tempat menarik di Alor Setar Kedah

Alor Setar ialah sebuah bandaraya cantik yang menjadi ibu negeri Kedah Darul Aman. Terdapat berbagai tarikan yang menjadikan ia sebagai tumpuan pelancong termasuk lokasi menarik, tempat-tempat bersejarah dan destinasi membeli-belah. Mungkin ramai yang ingin tahu tentang destinasi menarik yang ada di sekitar pusat bandaraya ini. Kali ini Percutian Bajet ingin berkongsi tempat-tempat menarik di Alor Setar Kedah yang boleh anda lawati jika berkunjung ke sini.

Tempat menarik di Alor Setar

Ada beberapa tempat menarik di Alor Setar dan juga kawasan sekitarnya yang mesti dikunjungi jika bercuti di bandaraya ini. Antara lokasi popular yang tidak boleh ditinggalkan ialah tempat-tempat dibawah.

Menara Alor Setar

Anda mungkin tertanya-tanya akan tempat menarik di Alor Setar untuk dilawati jika pertama kali berkunjung ke sini. Lokasi paling sesuai dan pilihan pertama ialah Menara Alor Setar. Menara kedua tertinggi di Malaysia ini merupakan mercu tanda bandaraya Alor Setar dan merupakan tarikan pelancongan utama di kawasan pusat bandar. Pelancong boleh melihat pemandangan seluruh bandaraya hingga ke kawasan sekitar yang dikelilingi sawah padi hingga sayup mata memandang. Dikawasan pemerhatian (Observation Area) setinggi 88 meter turut disediakan teropong automatik untuk pelancong melihat pemandangan lebih dekat dan jelas.

Diatas menara ini terdapat sebuah restoran untuk pelancong menjamu selera iaitu Restoran Berputar Seri Angkasa yang terletak lebih tinggi dari observation area. Ia menyajikan makan tengahari, minum petang dan juga makan malam. Restoran ini cukup besar dan boleh memuatkan sehingga 150 orang pelanggan pada sesuatu masa.

Melihat pemandangan dari atas Menara Alor Setar memang sangat menarik. Ia adalah lokasi yang harus dikunjungi dan menjanjikan satu pengalaman manis yang tidak akan dilupakan selamanya.

Harga tiket / Bayaran masuk dengan MyKad:
Dewasa: RM12
Pelajar Berkumpulan: RM8
Kanak-kanak/Warga Emas/OKU: RM8

Lokasi / Alamat:
Menara Alor Setar
Lot 99, Lebuhraya Darul Aman,
05100 Alor Setar,
Kedah.

Tel: (604) - 720 2234 / 720 2901

Menara Alor Setar

Muzium Padi Alor Setar

Muzium Padi Alor Setar ialah lokasi yang mesti ada dalam senarai lawatan jika anda merancang untuk berkunjung ke bandaraya ini. Ia terletak di Gunung Keriang iaitu kira-kira 13 KM dari pusat bandar. Muzium ini terdiri dari tujuh buah bangunan termasuk sebuah bangunan induk berbentuk gemai padi yang terletak di atas tanah seluas 12,000 meter persegi. Pameran merangkumi berbagai peralatan, barangan, lukisan dan lain-lain berkaitan padi. Pengunjung boleh mendapat maklumat yang lengkap mengenai padi bermula dari proses penanaman, penuaian, pemprosesan sehingga ia menjadi beras.

Apa yang menarik di Muzium Padi Alor Setar? Yang paling ketara, kaedah pameran yang dilaksanakan di muzium padi ini yang menggabungkan barangan dan peralatan sebenar dengan lukisan sebagai latar belakang sangat menarik perhatian dan cukup berkesan. Ruang pameran yang luas, barangan pameran yang banyak dan kepelbagaian pameran dengan teknologi moden yang digunakan juga memberi kepuasan kepada pengunjung yang datang. Samada anda membawa keluarga, bercuti bersama rakan-rakan, merancang pakej percutian atau rombongan sekolah, muzium padi ialah tempat menarik di Alor Setar yang cukup sesuai untuk dilawati.

Waktu operasi:
Setiap hari: 9.00 pagi - 5.00 petang.
Jumaat: Tutup 12.30 tengahari - 2.30 petang.

Harga tiket / Bayaran masuk:
Dewasa: RM5.
Kanak-kanak: RM2.
Pelajar sekolah: RM2.

Lokasi / Alamat:
Muzium Padi Kedah
06250 Alor Setar,
Kedah.

Tel: +604 -735 1315

Muzium Padi Alor Setar.

Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara

Pusat Sains Negara Wilayah Utara terletak berhampiran Muzium Padi Alor Setar. Ia adalah cawangan kepada Pusat Sains Negara Kuala Lumpur. Tempat menarik ini adalah lokasi terbaik untuk mendedahkan anak-anak anda kepada ilmu sains, teknologi dan inovasi. Berbagai permainan dan aktiviti berasaskan teori sains ada disini

Pusat Sains ini adalah sebuah galeri besar yang mempunyai beberapa bahagian didalamnya. Ada pameran, permainan dan demonstrasi berasaskan sains yang cukup menarik bukan sahaja untuk kanak-kanak malah orang dewasa juga. Bayaran masuk dikenakan dengan harga tiket yang sangat murah.

Maklumat lanjut lihat Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara.

Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara

Alamat:
Pusat Sains Negara Wilayah Utara
Jalan Gunung Keriang,
06570 Alor Setar,
Kedah

Harga tiket:
Harga tiket masuk Pusat Sains Negara Wilayah Utara.
Dewasa : RM3
Kanak-kanak : RM1

Waktu operasi:

Setiap hari : 9.00 am - 5.00 pm
Jumaat : Tutup

Pusat Sains Negara Wilayah Utara

Gua Gunung Keriang

Antara tempat menarik di Alor Setar untuk dilawati ialah Gunung Keriang. Jika anda melawat muzium padi, jangan lupa singgah di kawasan rekreasi Gunung Keriang kerana ia terletak dikawasan berhampiran sahaja. Kawasan pelancongan alam semulajadi ini merupakan salah satu destinasi yang dipromosikan dalam kalendar Tahun Melawat Kedah 2016. Tarikan utama Gunung Keriang selain taman rekreasi ialah gua-gua yang terdapat disini.

Gua Gunung Keriang adalah gua batu kapur yang menarik untuk dikunjungi pelawat. Antara gua menarik yang ada ialah seperti Gua Terus, Gua Pelamin dan Gua Seribu Bayur. Terdapat batu-batu kristal yang cantik boleh dilihat didalam gua-gua berkenaan. Bagi memudahkan pengunjung yang ingin melawat, sebuah lif setinggi bangunan 7 tingkat telah dibina. Manakala didalam gua pula terdapat tangga dan laluan bagi memudahkan perjalanan pengunjung.

Selain itu, Gunung Keriang turut menjadi lokasi popular para pendaki gunung. Pemandangan menarik sawah padi dari puncak gunung sangat menarik dan memberi kepuasan yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Sebelum pulang, pengunjung boleh membeli cenderahati yang diperbuat dari batu-batu kristal gua Gunung Keriang sebagai kenangan.

Lokasi / Alamat:
Gua Gunung Keriang
05150 Alor Setar
Kedah.

Gua Gunung Keriang Alor Setar.

Masjid Zahir Alor Setar

Masjid Zahir ialah Masjid Negeri yang terletak di Lebuh Raya Darul Aman, Alor Setar. Oleh kerana kedudukannya di pusat bandar, masjid yang cantik ini sering menjadi tarikan pelancong yang berkunjung ke bandaraya ini. Rekabentuk Masjid Zahir sungguh unik. Dari pandangan luar, ia berdiri megah dengan ciri-ciri binaan Islam yang mengagumkan. Lebih menarik perhatian ialah kubah besar berwarna hitam yang tersergam dibumbung masjid. Ia dikelilingi oleh empat kubah kecil dengan warna yang sama disetiap anjungnya menjadi lima buah kubah yang melambangkan rukun Islam.

Masjid Zahir sering menjadi tumpuan orang-ramai yang datang ke Alor Setar. Melangkah ke dalam masjid ini memberi satu kelainan dan rasa yang tersendiri. Suasana yang tenang mengundang ramai untuk beriktikaf didalam masjid walaupun bukan waktu solat. Masjid ini tidak terlalu besar dan tiada hiasan yang cantik disetiap dinding, namun ia tidak putus-putus dikunjungi. Jika anda bercuti di Alor Setar, pastikan anda singgah menunaikan solat di Masjid Zahir yang cukup indah dan istimewa ini.

Lokasi / Alamat:
Masjid Zahir
Lebuh Raya Darul Aman,
05150 Alor Setar
Kedah.

Masjid Zahir Alor Setar.

Taman Jubli Emas Alor Setar

Anda tidak tahu nak ke mana waktu petang di Alor Setar? Taman Jubli Emas Alor Setar adalah lokasi menarik yang boleh anda kunjungi. Ia merupakan tempat rekreasi penduduk sekitar bandaraya ini dan menjadi tumpuan ramai terutama dihujung minggu. Selain padang permainan, disini terdapat trek jogging, kawasan permainan skateboard, menunggang kuda dan taman permainan kanak-kanak. Sebuah kolam ikan yang luas juga terdapat di tengah Taman Jubli Emas ini. Suasana cukup meriah terutama sekali dimusim cuti sekolah dimana ramai pengunjung membawa keluarga bersantai. Ada yang beriadah, bermain layang-layang, skateboard dan memberi makan ikan-ikan di kolam.

Alamat / Lokasi:
Taman Jubli Emas
Jalan Gangsa, Kampung Suka Menanti,
05150 Alor Setar, Kedah.

Taman Jubli Emas Alor Setar

Masjid Al-Bukhary

Satu lagi tempat menarik di Alor Setar ialah Masjid Al-Bukhary yang merupakan salah satu mercu tanda baru bandaraya Alor Setar. Ia terletak di persimpangan Jalan Langgar dengan Jalan Tun Abdul Razak. Masjid yang besar dan cantik ini menjadi tumpuan bukan sahaja penduduk Alor Setar, malah pelancong luar. Ia boleh memuatkan sehingga 15,000 jemaah pada satu masa. Selain itu, terdapat 8 buah bilik pengajian, 5 bilik wuduk lelaki dan wanita, bilik pengurusan jenazah, bilik imam, bilik mesyuarat dan tidak ketinggalan kemudahan untuk orang yang kurang upaya seperti tandas khas dan 2 unit lif.

Ciri-ciri rekabentuk masjid ini dipengaruhi oleh beberapa senibina agung seperti mihrabnya merujuk kepada Khanaqah Sheikh Abdul Samad yang dibina di Natanz Iran. Rekabentuk menaranya pula merujuk kepada menara Masjid Nabawi di Madinah. Manakala mimbarnya pula menyerupai Mimbar Mamluk di Masjid Qaitbay, Kaherah Mesir. Masjid Al-Bukhary mempunyai tujuh buah kubah termasuk kubah utama. Bahagian luar kubah dihiasi dengan ayat suci Al Quran dari surah Alhadid ayat 1-8 dan bahagian dalamnya pula dihiasi dengan kalimah Asma Ulhusna.

Di luar Masjid Al-Bukhary juga terdapat binaan lanskap menarik dimana terdapat sebuah dataran yang mempunya kolam dan laluan air yang berbentuk geometri dibina berdasarkan senibina yang terdapat pada Makam Imam Albukhary di Samarkhand, Uzbekistan. Semestinya masjid ini menjadi lokasi menarik yang harus dikunjungi jika bercuti di Alor Setar.

Lokasi / Alamat:
Masjid Al-Bukhary
05150 Alor Setar
Kedah.

Masjid Al-Bukhary Alor Setar

Balai Besar

Balai Besar ialah tempat bersejarah di Alor Setar dimana upacara rasmi raja-raja dan kerajaan pernah diadakan disini pada masa dahulu. Bangunan yang dibina daripada kayu ini cukup unik dan menarik untuk diperhatikan serta diabadikan dengan kamera anda. Keindahan seni ukiran kayunya mempamerkan kemahiran kerja-kerja seni pertukangan Melayu yang cukup halus.

Balai Besar ini walau bagaimanapun tidak dibuka kepada orang-ramai. Oleh kerana kedudukannya ditengah-tengah pusat bandar dan berhampiran tempat menarik lain, ia mudah dilawati walau cuma untuk melihat dari luar sahaja.

Lokasi / Alamat:
Balai Besar
Lebuhraya Darulaman,
05100 Alor Setar,
Kedah

Balai Besar Alor Setar.

Balai Nobat

Bangunan bersejarah ini dibina diawal pembukaan bandar Alor Setar sekitar tahun 1735. Asalnya bangunan ini dibina daripada kayu sebelum dibina semula dengan batu dan logam. Balai Nobat yang baru mempunyai 3 tingkat dengan kubah dikemuncaknya siap dibina pada tahun 1906. Ia digunakan untuk menyimpan alat-alat muzik Nobat DiRaja yang dimainkan pada upacara-upacara seperti hari pertabalan, perkahwinan dan persemadian DiRaja.

Lokasi / Alamat:
Bakai Nobat
Lebuhraya Darulaman,
05100 Alor Setar,
Kedah

Balai Nobat Alor Setar.

Galeri Sultan Abdul Halim

Galeri Sultan Abdul Halim terletak di pusat bandar Alor Setar berhampiran tempat menarik lain seperti Muzium DiRaja Kedah, Masjid Zahir dan lain-lain. Ia menyimpan berbagai koleksi milik Sultan Kedah seperti pakaian, perhiasan, dokumen, gambar dan barangan peribadi. Pengunjung pasti teruja melihat pameran lebih 2,000 barangan yang hampir kesemuanya jarang dilihat dimana-mana. Disamping itu, galeri ini turut mempamerkan carta susur-galur keluarga DiRaja Kedah bermula dari tahun 1136 hingga kini.

Waktu operasi:
Ahad - Khamis: 10.00 pagi hingga 5.00 petang
Jumaat, Sabtu: Tutup

Harga tiket / Bayaran masuk:
Dewasa: Percuma
Kanak-kanak: Percuma

Lokasi / Alamat:
Galeri Sultan Abdul Halim
Lebuhraya Darulaman,
05100 Alor Setar,
Kedah

Galeri Sultan Abdul Halim di Alor Setar.

Balai Seni Negeri

Satu lagi bangunan menarik yang ada dikawasan pelancongan ini ialah Balai Seni Negeri (Kedah State Art Gallery). Bangunan cantik dengan senibina Roman ini dibina pada tahun 1912. Ia pernah menjadi Mahkamah Tinggi dan pejabat jabatan kerajaan negeri.

Balai Seni Negeri menyimpan berbagai hasil seni anak tempatan dari lukisan hingga ke ukiran kayu. Pengunjung pasti teruja melihat beberapa hasil seni yang cukup mengagumkan. Tidak rugi anda kesini kerana tiket tidak dikenakan. Masuk adalah percuma.

Waktu operasi:
Hari biasa: 9.00 pagi hingga 8.00 malam
Jumaat, Sabtu, Ahad, Cuti Umum: 9.00 pagi hingga 10.00 malam
Kedai makan: 7.30 pagi - malam

Harga tiket / Bayaran masuk:
Dewasa: Percuma
Kanak-kanak: Percuma

Lokasi / Alamat:
Balai Seni Negeri
Lebuhraya Darulaman,
05100 Alor Setar,
Kedah

Balai Seni Negeri.

Muzium Negeri Kedah

Muzium Negeri Kedah terletak berhampiran Stadium Darulaman. Seperti muzium negeri lain, senibina dan rekabentuk bangunannya cukup menarik. Pengunjung dapat melihat berbagai barangan dan artifek diruang pameran. Sebanyak 10 galeri pameran dibuka kepada orang-ramai iaitu Dewan Kebudayaan, Dewan Sejarah, Dewan Seni Kraf, Dewan Tekstil, Dewan Manuskrip dan Sudut Bahasa dan Sastera.

Waktu operasi:
Setiap hari: 9.00 pagi hingga 5.00 petang

Harga tiket / Bayaran masuk:
Dewasa: Percuma
Kanak-kanak: Percuma

Lokasi / Alamat:
Muzium Negeri Kedah
Lebuhraya Darulaman, Bakar Bata,
06570 Alor Setar,
Kedah

Muzium Negeri Kedah.

Tempat membeli-belah

Banyak tempat membeli-belah di Alor Setar yang boleh dikunjungi jika bertandang ke bandar ini. Senarai dibawah adalah antara lokasi yang tidak harus dilupakan.

Pekan Rabu Alor Setar

Bangunan perniagaan ini menunjukkan bagaimana usaha dilakukan bagi menggalakkan penyertaan kaum Bumiputera untuk bergiat didalam bidang perniagaan dikawasan bandar. Kegiatan perniagaan di Pekan Rabu telah bermula sejak selepas Perang Dunia Pertama lagi.

Setelah melalui proses baikpulih dan naiktaraf selama 3 tahun, Pekan Rabu telah beroperasi semula dibangunan asal sejak 2018. Sekarang ia lebih tersusun dan dilengkapi berbagai kemudahan termasuk tempat letak kereta bawah tanah.

Jadi, anda yang berkunjung ke Kedah boleh bertandang ke Pekan Rabu untuk mendapatkan barangan tempatan seperti pakaian, kraftangan, makanan, kuih-muih dan bermacam-macam lagi.

Pekan Rabu Alor Setar.

Waktu perniagaan / operasi:
Hari biasa: 9.00 pagi hingga 8.00 malam
Jumaat, Sabtu, Ahad, Cuti Umum: 9.00 pagi hingga 10.00 malam
Kedai makan: 7.30 pagi - malam

Alamat / Lokasi:
Pekan Rabu Alor Setar
Jalan Tunku Ibrahim, Bandar Alor Setar,
05000 Alor Setar,
Kedah

Uptown Stadium Darul Aman

Bazaria Larut Malam yang terletak di perkarangan Stadium Darul Aman ini adalah tempat menarik di Alor Setar waktu malam yang mesti dikunjungi jika bercuti di bandaraya ini. Lebih dikenali sebagai Uptown Stadium, ia cukup meriah dengan orang-ramai yang datang membeli-belah dan bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan. Pelbagai barangan dijual oleh lebih 100 peniaga seperti pakaian, beg, kasut, barangan kosmetik dan barangan kanak-kanak.

Uptown ini dibuka dari jam 8 malam hingga 3 pagi.

Alamat / Lokasi:
Uptown Stadium Darul Aman,
Lebuhraya Darul Aman,
05100 Alor Setar, Kedah.

Uptown Stadium Alor Setar.

Pasar Karat Kampung Berjaya

Tempat membeli-belah unik di Alor Setar yang mesti dikunjungi ialah Pasar Karat Kampung Berjaya. Ia diadakan setiap pagi hari Jumaat hingga tengahari. Lokasi pasar karat ini ialah di Jalan Putra, tidak jauh dari Masjid Zahir.

Apa yang menarik ialah berbagai barangan karat, peralatan terpakai, buku, majalah, cd dan bermacam-macam lagi dijual disini. Pasar ini sangat besar dan penjual cukup ramai. Jika anda kebetulan bercuti di Alor Setar pada hari jumaat, jangan lupa berkunjung ke sini.

Maklumat lanjut lihat Pasar Karat Kampung Berjaya.

Alamat: 1022, Kampung Berjaya, 05150 Alor Setar, Kedah

Pasar Karat Kampung Berjaya

Pasaraya di Alor Setar

Alor Setar mempunyai beberapa buah pasaraya yang boleh anda kunjungi untuk membeli-belah.

  • Alor Setar Mall - Pasaraya yang popular di Alor Setar.
  • Sentosa Mall - Pusat membeli-belah yang menempatkan barangan ict dan telekomunikasi. Jika anda mencari telefon bimbit dan aksesori di Alor Setar, datang saja ke Sentosa Mall.
  • Star Parade - Salah satu pusat membeli-belah yang popular di Alor Setar.
  • Aman Central Mall - Pasaraya terbesar di Alor Setar dan paling popular. Mempunyai banyak kedai dan butik jenama antarabangsa.

Aiskrim Bazaar

Inginkan pengalaman berlainan? Anda boleh berkunjung ke Aiskrim Bazaar yang terletak di Jalan Alor Mengkudu, berdekatan dengan susur keluar lebuhraya Alor Setar Selatan menuju ke Jeti Kuala Kedah. Ia adalah kedai Aiskrim Pertama di Alor Setar. Di sini terdapat lebih 18 jenis perasa aiskrim yg boleh dinikmati termasuk Classic, Fantastic dan Tropika.

Airkrim Cedok.

Anda boleh menikmati menu aiskrim yg unik iaitu Aiskrim Roll no.1 Kedah, Aiskrim Crispy yang rangup di luar, sejuk di dalam dan Aiskrim My Cedok yang merupakan aiskrim buffet. Pengunjung juga berpeluang melihat demo pembuatan aiskrim secara tradisional dan moden serta demo pembuatan aiskrim gulung seperti yg terkenal di Thailand.

Aiskrim Bazaar di Alor Setar.

Alamat / Lokasi:
Aiskrim Bazaar
Lot 11, Kompleks Perniagaan Saga,
Jln Alor Mengkudu,
05100 Alor Setar, Kedah.

Banyak lagi tempat-tempat menarik di Alor Setar yang boleh dikunjungi jika anda bercuti disini. Kami akan sentiasa mengemaskini halaman ini agar dapat menjadi panduan yang berguna untuk pengunjung. Dengan senarai yang kami cadangkan diatas, diharap dapat membantu anda merancang lokasi mana yang ingin dipilih dan sesuai untuk dilawati. Jangan lupa kongsikan artikel ini di facebook anda. Selamat bercuti!

Lihat semua Tempat menarik di Kedah mengikut daerah

Artikel berkaitan

Jangan datang ke Kedah sebelum baca semua artikel dibawah.

  1. Tempat menarik: Top 10 tempat menarik di Kedah
  2. Tempat membeli-belah: Top 10 tempat membeli-belah di Kedah
  3. Aktiviti menarik: Top 10 aktiviti menarik di Kedah
  4. Terokai semua: Kedah - Tempat menarik, aktiviti dan percutian
Lokasi