Tempat menarik di Kedah mengikut daerah

Terdapat banyak tempat menarik di Kedah untuk dilawati jika bercuti di negeri Jelapang Padi Malaysia ini. Anda memerlukan lebih dari seminggu percutian jika ingin melawat semua destinasi yang ada. Sesetengah tempat pelancongan memerlukan anda bermalam disitu untuk menikmati keindahan atau mengikuti aktiviti yang disediakan. Manakala di sesetengah daerah pula terdapat banyak tempat menarik yang harus dikunjungi. Jadi jika anda merancang untuk bercuti ke Kedah, pastikan anda membuat perancangan teliti. Disini, Percutian Bajet telah menyenaraikan tempat pelancongan di Kedah mengikut daerah sebagai panduan anda memilih lokasi menarik untuk dilawati.

Nota: Untuk bercuti di Kedah, sila lawati halaman Senarai tempat menarik untuk percutian di Kedah.

Tempat menarik di daerah Kota Setar

Kota Setar ialah daerah yang paling membangun di Kedah. Dalam sektor pelancongan, daerah ini antara yang paling banyak menerima kedatangan pelancong selain Langkawi. Bandar terbesar ialah Bandaraya Alor Setar iaitu ibu negeri dan Bandar Diraja Kedah. Tempat-tempat menarik untuk dilawati kebanyakannya terletak berhampiran pusat bandar dan mudah di cari.

Tempat menarik di Alor Setar

Alor Setar mempunyai berbagai tarikan pelancongan yang boleh dilawati. Ada tempat bersejarah, muzium, tempat membeli-belah, tarikan alam semulajadi dan lain-lain menjadikannya lokasi percutian keluarga yang popular. Ia sesuai dijadikan sebagai tempat penginapan percutian kerana kemudahan hotel, pengangkutan dan makanan yang banyak terdapat disini. Antara tempat menarik yang menjadi tumpuan ialah:

Menara Alor Setar

Menara setinggi 165.5 meter ini merupakan salah satu tempat menarik di Kedah yang menjadi tumpuan pelancong. Terletak di tengah bandaraya Alor Setar, ia dikelilingi taman dengan lanskap yang menarik. Pengunjung boleh menaiki menara ini untuk melihat pemandangan Bandaraya Alor Setar dari atas.

Menara Alor Setar.

Muzium Padi

Muzium Padi terletak di di Gunung Keriang, Alor Setar. Muzium ini mempamerkan kegiatan penanaman and penuaian padi di negeri Kedah. Berbagai peralatan tradisional yang digunakan dalam proses bersawah turut dipamerkan di ruang galeri. Selain itu terdapat juga pameran kebudayaan seperti permainan kampung tradisi, membuat dan bermain layang-layang serta permainan gasing.

Muzium Padi di Alor Setar, Kedah.

Pekan Rabu

Bangunan perniagaan ini menunjukkan bagaimana usaha dilakukan bagi menggalakkan penyertaan kaum Bumiputera untuk bergiat didalam bidang perniagaan dikawasan bandar. Kegiatan perniagaan di Pekan Rabu telah bermula sejak selepas Perang Dunia Pertama lagi. Sekarang Pekan Rabu telah berpindah ke lokasi baru iaitu di Bangunan Ukir Mall.

Pekan Rabu Alor Setar.

Rumah kelahiran Mahathir Mohamad

Rumah kelahiran Tun Dr. Mahathir Mohamad terletak di Seberang Perak, Alor Setar. Ia dibina dari kayu dan beratapkan nipah. Pengunjung dapat melihat gambar-gambar beliau semasa remaja, barang-barang lama dan perabot rumah yang dipelihara seperti keadaan asalnya oleh Arkib Negara.

Rumah Kelahiran Tun Dr. Mahathir.

Pusat Sains Negara Wilayah Utara

Pusat Sains Negara Wilayah Utara terletak di Gunung Kerian, Alor Setar. Lokasinya bersebelahan dengan Muzium Padi. Pusat sains ini sesuai untuk dilawati bersama anak-anak bagi mendedahkan mereka kepada perkara-perkara berkenaan sains, teknologi dan inovasi terkini. Ia membantu memupuk minat, pemahaman serta kepentingan sains dalam kehidupan.

Pusat Sains Negara Wilayah Utara.

Rumah Merdeka

Rumah Merdeka yang terletak di Alor Setar ini pernah didiami oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Pelbagai sejarah berlaku di rumah ini termasuk lokasi berlangsungnya pertemuan muhibbah yang menamatkan konfrantasi Malaysia-Indonesia pada tahun 1966.

Rumah Merdeka di Alor Setar.

Masjid Zahir

Masjid Zahir merupakan Masjid Negeri dan juga Masjid Diraja Kedah. Ia dibina pada tahun 1912 dan dirasmikan pada tahun 1915 oleh DYMM Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Masjid ini merupakan salah satu masjid yang mempunyai seni rekabentuk tercantik di Malaysia. Bangunannya berwarna putih dan berkubah hitam, cukup unik dan mendamaikan.

Masjid Zahir Alor Setar.

Balai Besar

Balai yang dibina pada tahun 1735 oleh Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu'adzam Shah II ini dahulunya digunakan untuk mengendalikan upacara rasmi raja-raja dan kerajaan. Bangunan bersejarah yang dibina daripada kayu ini mempunyai keunikan tersendiri. Keindahan seni ukiran kayunya mempamerkan kehebatan kerja-kerja seni pertukangan Melayu yang cukup halus dan mengagumkan.

Balai Besar Alor Setar.

Balai Nobat

Bangunan bersejarah ini dibina diawal pembukaan bandar Alor Setar sekitar tahun 1735. Asalnya bangunan ini dibina daripada kayu sebelum dibina semula dengan batu dan logam. Balai Nobat yang baru mempunyai 3 tingkat dengan kubah dikemuncaknya siap dibina pada tahun 1906. Ia digunakan untuk menyimpan alat-alat muzik Nobat DiRaja yang dimainkan pada upacara-upacara seperti hari pertabalan, perkahwinan dan persemadian DiRaja.

Balai Nobat Alor Setar.

Galeri Sultan Abdul Halim

Bangunan asal Mahkamah Tinggi Alor Setar ini telah diubah-suai pada tahun 2007 dan dijadikan sebuah galeri yang menyimpan hampir 2,000 barangan koleksi peribadi Sultan Kedah. Antara lain yang terdapat di galeri ini ialah carta yang menunjukkan susur galur keluarga DiRaja Kedah bermula dari tahun 1136.

Galeri Sultan Abdul Halim di Alor Setar.

Balai Seni Negeri

Balai Seni Negeri terletak di tengah bandaraya Alor Setar. Galeri ini menyimpan berbagai hasil seni daripada karya anak-anak tempatan dan juga luar dari negeri Kedah. Pameran meliputi hasil seni lukis, seni ukiran kayu dan seni khat yang cukup menarik. Bangunan galeri dengan rekabentuk unik ini dibina pada tahun 1912 dipengaruhi oleh senibina Roman. Ia pernah dijadikan sebagai Mahkamah Tinggi sebelum ditukar menjadi pejabat beberapa jabatan kerajaan negeri.

Balai Seni Negeri.

Muzium Negeri Kedah

Bangunan Muzium Negeri Kedah yang cantik ini dibina pada tahun 1997 bagi menampung ruang pameran yang lebih besar. Ia menempatkan dewan pameran, bengkel, perpustakaan dan mini theater. Sebanyak 10 galeri pameran tetap dibuka untuk orang-ramai iaitu Dewan Kebudayaan, Dewan Sejarah, Dewan Seni Kraf, Dewan Tekstil, Dewan Manuskrip dan Sudut Bahasa dan Sastera. Pelbagai pusaka kebudayaan termasuk khazanah Kesultanan Kedah dapat disaksikan. Kemudahan lif, kafeteria, tempat letak kereta dan tandas awam disediakan untuk keselesaan pengunjung.

Muzium Negeri Kedah.

Untuk maklumat lanjut mengenai Alor Setar, lihat artikel Tempat menarik di Alor Setar Kedah.

Tempat menarik di Kuala Kedah

Destinasi lain di daerah Kota Setar yang boleh dilawati ialah sekitar Kuala Kedah. Bandar ini terkenal sebagai tempat persinggahan pelancong yang ingin ke Langkawi. Disini terletaknya terminal feri untuk ke Pulau Langkawi, Pulau Payar dan lain-lain. Mungkin ramai yang pernah ke sini tetapi tidak berkesempatan melawat tempat menarik yang ada. Sebenarnya beberapa tarikan pelancongan boleh dikunjungi seperti tempat bersejarah dan tempat makan.

Kota Kuala Kedah

Kota Kuala Kedah terletak di tebing utara muara Sungai Kedah. Kota pertahanan ini dibina pada tahun 1771 dan siap pada tahun 1780 semasa pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa. Kota ini merupakan salah satu tempat bersejarah di Kedah yang dipulihara oleh Jabatan Muzium Malaysia. Antara yang menarik dapat dilihat disini ialah meriam lama, rumah api dan pintu gerbang Kota Kuala Kedah. Selain itu, sebuah rumah yang terdapat didalam kota ini telah dijadikan muzium. Antara yang dipamerkan di galeri muzium ini ialah pelbagai barangan peninggalan sejarah Kota Kuala Kedah.

Kota Kuala Kedah.

Tempat menarik di Kulim

Bagi pengunjung yang ingin berkunjung ke Kulim, berbagai tempat menarik di Kedah boleh dilawati di daerah ini. Bandar Kulim adalah bandar terbesar. Disini ada segala kemudahan pelancongan yang anda mahu. Untuk penginapan, ada hotel, rumah tumpangan dan juga rumah rehat. Homestay juga tidak menjadi masalah. Bagi pengangkutan, ada bas, teksi dan kereta sewa untuk ke mana-mana. Jika anda suka merasai kelazatan makanan tempatan, bandar Kulim mempunyai banyak restoran yang menyediakan makanan yang sedap-sedap seperti Nasi Ayam Periuk Besar, Angah Nasi Ayam Hainan, restoran ikan bakar, nasi campur makan tengahari dan lain-lain lagi. Berikut adalah lokasi pelancongan yang boleh dikunjungi.

Tree Top Walk Sungai Sedim

Tree Top Walk ialah tempat menarik di Kulim yang cukup terkenal. Jika anda peminat alam semulajadi, datang diawal pagi untuk melihat pelbagai jenis haiwan, burung-burung dan mergas lain dari atas laluan Canopy. Tapak perkhemahan dan chalet penginapan juga terdapat disini untuk anda bermalam.

Lihat artikel: Tree top walk Sungai Sedim, Kulim.

Laluan Kanopi Tree Top Walk Sungai Sedim, Kedah.

Taman rekreasi Sungai Sedim

Taman rekreasi Sungai Sedim terletak di lokasi yang sama dengan Tree Top Walk. Tempat pelancongan di kedah yang terkenal dengan aktiviti lasak sehingga ke peringkat antarabangsa ini cukup menarik. Ada berbagai aktiviti air yang disediakan disini seperti whitewater rafting, tubing, dan lain-lain. Jeram yang dalam dengan air yang bergerak laju melalui celah-celah batu besar pasti mengujakan anda.

White water rafting Sungai Sedim.

Hutan Lipur Ulu Paip

Hutan Lipur Ulu Paip ialah kawasan air terjun yang terletak dalam Hutan simpan Gunung Bungsu. Ia merupakan lokasi perkelahan popular dan sering dipenuhi orang-ramai terutama di musim cuti persekolan dan cuti umum. Kawasannya yang redup dikelilingi hutan semulajadi cukup menenangkan. Aktiviti menarik yang boleh dilakukan disini ialah berkelah, mandi-manda, jungle trekking dan perkhemahan.

Gunung Bungsu

Gunung Bungsu yang berketinggian 658 meter ini merupakan salah satu tarikan pelancongan yang ada di daerah Kulim. Trek pendakian yang agak mencabar dan pemandangan menarik yang dapat disaksikan dari puncak sangat mengagumkan. Disini juga terdapat kesan sejarah peninggalan komunis yang menghuni gunung ini pada masa dahulu. Selain itu, terdapat sungai yang berliku dan berjeram yang sangat menarik boleh dilihat semasa mendaki.

Gunung Bintang

Puncak gunung setinggi 1,862 meter ini menjadi sempadan 4 daerah iaitu daerah Kulim dan daerah Baling serta daerah Ulu Perak dan daerah Selama, Perak. Laluan pendakiannya sangat mencabar dan pasti memberi kepuasan kepada para peminatnya. Tempat pelancongan alam semulajadi ini cukup kaya dengan flora dan fauna. Terdapat jeram, air terjun dan gua yang boleh dijelajahi pengunjung semasa mendaki Gunung Bintang.

Pemandangan dari puncak Gunung Bintang, Kulim.

Taman Tasik Putra Kulim

Taman Tasik Putra Kulim ialah taman rekreasi popular yang terletak di bandar Kulim. Aktiviti menarik disini ialah memancing, berkelah, berkayak dan beriadah. Kemudahan yang ada termasuk medan selera, wakaf, tandas awam, tempat meletak kereta dan pelbagai peralatan sukan 'outdoor gym' dan 'physical fitness'.

Taman Tasik Putra, Kulim.

Air terjun Junjong

Satu lagi tempat menarik alam semulajadi yang terkenal di Kulim ialah Air terjun Junjong. Ia merupakan kawasan perkelahan penduduk setempat. Air terjun Junjong tidaklah menarik namun airnya yang cetek sesuai untuk kanak-kanak mandi. Kemudahan tempat meletak kereta dan gerai makanan turut disediakan untuk pengunjung.

Taman Kulim Hi-Tech

Taman Kulim Hi-Tech ialah kawasan rekreasi untuk beriadah. Ia mempunyai lanskap menarik dan sesuai untuk membawa seisi keluarga bersenam mengeluarkan peluh. Pengunjung boleh melakukan aktiviti jogging, berbasikal atau bermain bersama anak-anak di taman permainan. Selain itu terdapat kemudahan pondok rehat, taman permainan kanak-kanak

Tempat menarik di Langkawi

Langkawi adalah tempat pelancongan yang cukup terkenal di Malaysia. Gugusan kepulauan ini merupakan salah satu daerah yang menyimpan banyak tempat menarik di Kedah untuk dilawati. Bandar Kuah adalah bandar terbesar di Langkawi. Ia adalah tempat membeli-belah dan juga sesuai untuk penginapan. Perkhidmatan pengangkutan darat di Pulau Langkawi adalah sangat baik. Terdapat jalinan jalanraya yang menghubungkan setiap lokasi utama di pulau ini. Terdapat banyak teksi dan van yang boleh membawa pelancong kemana-mana. Anda juga boleh menyewa kereta jika ingin lebih kebebasan melancong. Bagi makanan pula, ada berbagai pilihan makanan tempatan dan juga luar.

Gunung Mat Cincang, Langkawi, Kedah.
Keterangan gambar: Dataran untuk melihat pemandangan diatas Gunung Mat Chincang, Langkawi, Kedah.

Kuah

Kuah ialah lokasi membeli-belah yang sangat popular di Langkawi. Ia menjadi tumpuan orang-ramai yang berkunjung ke Langkawi untuk membeli pelbagai barangan seperti pinggan-mangkuk, cokelat, kain batik dan bermacam-macam lagi. Selain itu, beberapa tempat menarik boleh dilawati seperti Dataran Helang, MARDI Langkawi Agro Technology Park dan Jeti Pekan Rabu.

Dataran Helang Langkawi.

Pantai Cenang

Pantai Cenang ialah kawasan pantai yang paling menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara. Terdapat hotel yang banyak, pantai yang cantik, deretan kedai yang menjual berbagai barangan pelancongan dan kraftangan, restoran dan cafe serta bermacam-macam lagi. Ia adalah lokasi percutian yang menyeronokkan sesuai bagi anda yang sukakan suasana meriah. Tempat menarik yang ada selain pantai ialah Underwater World Langkawi dan Laman Padi.

Pantai Cenang Langkawi.

Oriental Village

Oriental Village ialah tempat menarik yang terletak di kaki Gunung Mat Cincang. Berbagai tarikan pelancongan ada disini termasuk cable car ke puncak gunung, 3D Art Museum, 6D Cinemotion, F1 Simulator, tempat penginapan dan restoran makanan antarabangsa. Selain itu, terdapat berbagai aktiviti menarik turut disediakan untuk pelancong.

Untuk maklumat lanjut, lihat artikel Oriental Village Langkawi.

Tasik Oriental Village

Banyak lagi tempat menarik untuk dilawati di Langkawi. Untuk maklumat lanjut, sila lawati halaman Tempat menarik di Langkawi.

Tempat menarik di Pokok Sena

Daerah Pokok Sena ialah sebuah daerah kecil yang terletak di tengah-tengah negeri Kedah. Ia bersempadan dengan daerah Kota Setar, Pendang dan Padang Terap. Tidak banyak tempat pelancongan menarik untuk dikunjungi di daerah ini. Jika anda berkunjung ke sini, anda boleh ke Alor Setar untuk melawat tempat-tempat menarik yang ada. Walau bagaimanapun, jika di Pokok Sena sendiri, anda boleh mengunjungi beberapa lokasi seperti:

Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Gajah Mati.

Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Gajah Mati ialah kawasan program peningkatan pengeluaran makanan negara. Kawasan pertanian seluas 55.2 hektar ini dilengkapi kemudahan jalan dan pengairan bagi menyokong projek pertanian yang dijalankan. Antara produk pertanian yang dihasilkan termasuk nenas, jagung, manga, tebu dan sayur-sayuran. Pengunjung yang ingin membeli hasil pertanian boleh ke Gerai Jualan Terus di Pusat Pengumpulan TKPM di Gajah Mati, Pokok Sena.

Tempat menarik di Pendang

Daerah Pendang tidak mempunyai banyak tarikan pelancongan untuk dikunjungi. Ia mula dikunjungi ramai setelah Pasar Kemboja dibuka disini. Namun jika anda ke Pendang atas urusan tertentu, anda tidak perlu risau kerana kemudahan penginapan dan makanan tidak menjadi masalah. Antara tempat menarik di Pendang ialah:

Tasik Pendang

Tasik Pendang terletak tidak jauh dari pekan. Ia adalah tempat rekreasi dan riadah masyarakat setempat. Pemandangan menarik ditepi tasik memberikan ketenangan kepada sesiapa sahaja yang mengunjungi kawasan ini. Terdapat sebuah resort yang terletak di pinggir tasik sesuai dijadikan tempat penginapan. Aktiviti yang boleh dilakukan disini ialah berkayak, jogging dan permainan outdoor yang menyeronokkan.

Panorama Tasik Pendang yang mengasyikan.

Pasar Kemboja

Salah satu tempat menarik di Pendang yang terkenal ialah Pasar Kemboja. Ia adalah pasar mingguan yang diadakan pada setiap Jumaat dari pukul 6 pagi hingga 12 tengahari. Antara yang menarik ialah membeli-belah pakaian lelaki dan wanita. Pasar ini menjadi tumpuan ramai kerana harga barangan yang dijual sangat murah berbanding pasar malam biasa.

Lihat artikel: Membeli-belah di Pasar Kemboja Pendang.

Membeli-belah di Pasar Kemboja Pendang, Kedah.

Rimba Rekreasi Bukit Perak

Rimba Rekreasi Bukit Perak ialah air terjun yang terletak di kawasan hutan lipur Bukit Perak. Ia terletak di Sungai Tiang, lebih kurang 20 km dari pekan Pendang. Aktiviti yang boleh dilakukan disini ialah mandi-manda, berkelah dan merentas hutan melihat keindahan alam semulajadi.

Lata Bukit Perak Pendang.

Telaga Gajah

Telaga Gajah ialah perigi lama yang masih kekal dijaga di pekan Pendang. Perigi yang tidak pernah kering walau di musim kemarau panjang ini menjadi sumber air dan tempat mandi gajah pada masa dahulu.

Telaga Gajah Pendang.

Tempat menarik di Bandar Baharu

Bandar Baharu ialah daerah yang terletak di selatan negeri Kedah. Ia bersempadan dengan Perak dan juga Pulau Pinang. Tidak banyak tempat menarik untuk dilawati di daerah ini. Namun jika anda sampai ke sini, beberapa lokasi boleh dikunjungi.

Rimba Rekreasi Batu Hampar

Rimba Rekreasi Batu Hampar terletak di Air Putih, Serdang. Ia adalah kawasan rekreasi yang menjadi tumpuan penduduk sekitar daerah Bandar Baharu di hujung minggu. Disini terdapat air terjun yang agak cantik. Kawasannya juga tenang dikelilingi kehijauan hutan semulajadi. Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan ialah mandi-manda, berkelah dan merentas hutan. Kemudahan awam seperti tempat meletak kereta, tandas, pondok rehat dan gerai makanan turut disediakan.

Air terjun Batu Hampar yang terletak di Serdang, Bandar Baharu.

Pinggiran Sungai Kerian

Pinggiran Sungai Kerian ialah kawasan rekreasi menarik yang terletak di tepi sungai di Bandar Baharu. Selain aktiviti riadah, pengunjung juga boleh memancing ikan dan udang galah di sungai ini. Ramai yang membawa keluarga bersantai dikawasan ini pada hujung minggu. Terdapat taman permainan kanak-kanak, lanskap yang cantik serta laluan pejalan kaki disepanjang sungai.

Taman Seri Tasik

Taman Seri Tasik terletak di tengah-tengan pekan Serdang. Ia adalah kawasan riadah di tepi tasik yang cantik. Lokasi menarik ini turut menjadi tempat perkelahan masyarakat sekitar dihujung minggu dan cuti umum. Antara kemudahan yang disediakan termasuk taman permainan kanak-kanak dan peralatan senaman.

Tempat menarik di Padang Terap

Bandar Kuala Nerang adalah bandar terbesar di daerah Padang Terap. Terletak di hulu negeri Kedah, ada beberapa tempat menarik yang boleh dikunjungi jika anda berkunjung ke daerah ini.

Hutan Lipur Puncak Janing

Terkenal dengan air terjun Puncak Janing. Terletak tidak jauh dari pekan Kuala Nerang, kawasan air terjun ini sentiasa menjadi lokasi perkelahan penduduk tempatan. Air terjun yang sejuk dan menyegarkan sesuai untuk mandi manakala suasana hening serta kehijauan pokok-pokok hutan pula memberi ketenangan pada pengunjung yang datang.

Air terjun Puncak Janing.

Tasik Pedu

Tempat percutian di Kedah yang sangat popular suatu ketika dahulu. Tasik yang luas dan cantik serta aktiviti menarik yang disediakan menjadi tarikan utama pelancong ke sini. Walau bagaimanapun, resort yang dibina di tasik ini telah ditutup. Pengunjung yang ingin ke sini masih boleh menikmati pemandangan menarik dan memancing di tasik.

Pemandangan Tasik Pedu yang cukup menarik.

Tempat menarik di Yan

Yan ialah satu daerah yang mempunyai banyak tempat menarik di Kedah. Sungai Yan adalah bandar terbesar di daerah ini. Terdapat banyak destinasi pelancongan di daerah Yan yang menjadi tumpuan pelancong terutamanya tarikan alam semulajadi di Gunung Jerai. Kemana saja anda pergi di daerah ini, pemandangan indah Gunung Jerai pasti mempersonakan anda. Selain itu, pemandangan sawah padi yang luas terbentang juga sangat memikat hati.

Daerah Yan ini adalah kawasan perkampungan yang masih mengekalkan cara hidup tradisional. Kebanyakan penduduk di daerah ini masih melakukan kerja-kerja bertani dan nelayan. Bagi pelancong yang ingin merasai cara kehidupan, adat resam dan kebudayaan masyarakat setempat, terdapat program homestay di daerah Yan yang sangat terkenal iaitu Homestay Kampung Raga.

Selain itu, Daerah Yan juga terletak di pinggir laut menghadap Selat Melaka. Terdapat beberapa pantai menarik yang menjadi tumpuan penduduk setempat untuk berehat, bersantai bersama keluarga atau rakan-rakan, memancing dan juga makan-makan di medan selera di tepi pantai. Di perairan ini juga terdapat pulau-pulau yang menjadi tempat persinggahan nelayan dan juga destinasi pemancing serta penyelam seperti Pulau Songsong, Pulau Telor, Pulau Bidan dan Pulau Bunting.

Gunung Jerai

Gunung Jerai ialah gunung ketiga tertinggi di Malaysia. Ia adalah satu tempat menarik di Kedah yang sangat popular. Terdapat sebuah resort di puncak gunung yang menyediakan tempat penginapan selesa untuk pengunjung. Berbagai aktiviti boleh dilakukan seperti mendaki gunung, mandi air terjun dan melawat tempat menarik di atas gunung.

Untuk maklumat lanjut, lihat artikel Tempat menarik di Gunung Jerai, Kedah.

Pemandangan dari puncak Gunung Jerai.

Air terjun Titi Hayun

Air terjun Titi Hayun ialah tempat perkelahan dan mandi-manda yang sangat terkenal di daerah Yan. Berbagai kemudahan disediakan untuk pengunjung seperti chalet, gerai makan, tandas awam dan tempat meletak kereta yang luas. Di musim cuti sekolah atau cuti umum, ramai yang membawa keluarga berkelah seharian di sini. Kawasan air terjun ini juga sesuai dijadikan lokasi percutian. Berbagai aktiviti boleh dilakukan seperti merentas hutan, mendaki gunung, menjejak air terjun dan lain-lain.

Mandi di Titi Hayun, Yan, Kedah.
Keterangan gambar: Air terjun Titi Hayun mempunyai banyak kolam yang sesuai untuk kanak-kanak mandi.

Air terjun Batu Hampar

Air terjun disini tidak terlalu cantik tetapi ia tetap menjadi tumpuan kerana sesuai untuk aktiviti perkelahan keluarga dan mempunyai kolam yang cetek untuk kanak-kanak mandi. Namun apa yang lebih menarik dan terkenal di Batu Hampar ialah Salak Denai Chalet yang terletak disini. Salak Denai menyediakan sebuah kolam mandi bagi setiap chalet dimana kolam mandi berkenaan adalah khas untuk penyewa chalet tersebut sahaja. Jika anda inginkan percutian bajet keluarga, Salak Denai Chalet di Yan, Kedah ini menawarkan pakej dan harga yang sangat berpatutan.

Air terjun Batu Hampar di Yan.

Air terjun Seri Perigi

Air terjun Seri Perigi adalah satu lagi air terjun yang terletak di daerah Yan. Air terjun di kaki Gunung Jerai ini sangat cantik dan tinggi. Untuk menikmati keindahan sebenar, anda boleh datang pada bulan November dan Disember atau pada musim hujan kerana waktu ini pemandangan air terjun paling menarik. Untuk perkelahan dan mandi-manda, terdapat kolam yang luas serta kawasan lapang disediakan untuk pengunjung..

Air terjun Seri Perigi.

Pantai Murni

Pantai Murni adalah kawasan pantai yang popular di daerah Yan. Ia merupakan lokasi untuk bersantai bersama keluarga atau rakan-rakan sambil menikmati keindahan matahari terbenam. Ada kemudahan medan selera, surau, taman permainan kanak-kanak dan bangku rehat. Selain itu, bazar malam atau uptown turut dibuka pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Lihat artikel Bersantai di Pantai Murni, Yan.

Pemandangan matahari terbenam di Pantai Murni, Yan, Kedah.
Keterangan gambar: Pantai Murni menjadi satu lokasi menarik untuk melihat pemandangan matahari terbenam ditepi laut di daerah Yan, Kedah.

Pantai Tanjung Jaga

Pantai ini terletak di kaki Gunung Jerai di sebelah barat dan menjadi lokasi memancing ikan. Tanjung Jaga memiliki batu-batu besar di sekitar pantai dan mempunyai pemandangan laut yang cantik. Kawasan ini mempunyai beberapa lokasi menarik berpotensi untuk menjadi tarikan pelancong. Setakat ini cuma ada satu perhentian yang disediakan di atas bukit Tanjung Jaga. Pengunjung boleh meletak kenderaan disitu dan berjalan mencari tempat menarik untuk menikmati keindahan pemandangan laut yang sangat mengagumkan.

Pulau Bunting

Pulau yang terbesar di daerah Yan. Ia juga merupakan pulau yang paling hampir dengan daratan. Terdapat sebuah jambatan yang menghubungkan tanah besar Kedah ke Pulau Bunting. Jambatan ini belum dibuka untuk laluan kereta dan Pulau Bunting juga tidak terdapat perkampungan penduduk. Namun orang-ramai tetap datang mengunjungi pulau ini untuk melihat keindahan semulajadi, memancing atau berkelah. Pulau Bunting berpotensi untuk dimajukan menjadi sebuah tempat pelancongan menarik di daerah Yan.

Pulau Bunting di daerah Yan.

Pulau Songsong

Salah sebuah pulau menarik di daerah Yan ialah Pulau Songsong. Ia semakin dikenali kerana keindahan semulajadi yang mengagumkan terdapat di pulau ini. Walaupun tanpa kemudahan asas, ia tetap menarik minat pelancong tempatan dan luar untuk ke Pulau Songsong.

Untuk melihat keistimewaan Pulau Songsong, sila lawati halaman Pulau Songsong tempat menarik di Yan.

Pulau Songsong.

Jika anda merancang untuk bercuti di daerah Yan, dapatkan maklumat lengkap tentang tarikan pelancongan di halaman Tempat menarik di Yan, Kedah.

Tempat menarik di Sik

Daerah Sik adalah daerah terbesar di negeri Kedah. Pekan Sik adalah bandar utama daerah ini. Terkenal dengan berbagai jenis pelancongan terutamanya alam semulajadi. Beberapa tempat menarik yang popular boleh dikunjungi seperti:

Pelancongan Pertanian Bendang Man

Pelancongan Pertanian Bendang Man ialah salah satu tempat menarik di Kedah untuk bercuti. Projek pelancongan yang diusahakan oleh KEDA ini adalah ladang buah-buahan yang mempunyai 12 buah chalet serta kemudahan dewan mesyuarat. Tapak perkhemahan juga disediakan. Ia sesuai untuk aktiviti kem motivasi, seminar dan lain-lain. Lebih menarik jika anda melawat pada musim buah-buahan dimana durian, manggis, langsat dan lain-lain dapat dinikmati terus, segar dari ladang.

KEDA Bendang Man, Sik.

Air terjun Lata Mengkuang

Rimba Rekreasi Lata Mengkuang terletak dalam Hutan Simpan Rimba Teloi. Air terjun ini cukup popular dan menjadi lokasi perkelahan masyarakat setempat. Lokasinya tidak jauh dari KEDA Resort Bendang Man. Air terjunnya menarik dan terdapat beberapa kolam mandi yang sesuai untuk kanak-kanak dan orang dewasa.

Air terjun Lata Mengkuang.

Hutan Rekreasi Rimba Taqwa

Kawasan air terjun ini terletak berhampiran dengan pekan Sik. Ia turut dikenali dengan nama Rimba Perangin dan Perangin Sik. Kawasan ini dibangunkan dengan berbagai kemudahan asas dan pelancongan termasuk chalet, bilik asrama, dewan persidangan, kedai makan, kemudahan rekreasi sukan air dan permainan outdoor serta indoor.

Ulu Muda Eco Park

Pelancongan alam semulajadi meredah hutan simpan untuk melihat flora dan fauna yang masih kaya disini. Pengunjung perlu menaiki bot di Empangan Gubir sebelum sampai ke kawasan hutan Ulu Muda Eco Park. Biasanya pelancong akan tinggal beberapa hari dan bermalam di hutan. Kemuncak percutian alam semulajadi di Kedah sebelum anda ke Taman Negara.

Ulu Muda Eco Park di daerah Sik.

Lata Hujan Lebat

Air terjun ini terletak di Kampung Landai, Gulau. Walaupun agak kurang terkenal, Lata Hujan Lebat mempunyai air terjun yang sangat menarik. Beberapa tingkat air terjun, kolam semulajadi yang luas serta air yang sejuk menyegarkan pasti memberi kepuasan kepada pengunjung. Ia adalah lokasi sesuai untuk berehat kerana suasana damai alam semulajadi yang dikelilingi hutan yang menghijau cukup menenangkan.

Lata Hujan Lebat di Sik.

Ladang anggur Tasik Beris

Ladang anggur Tasik Beris ialah kawasan tanaman anggur dan juga strawberi yang terletak di tepi Tasik Beris. Ia adalah salah satu destinasi popular pelancongan di Kedah. Walau bagaimanapun ia telah ditutup pada tahun 2015.

Lihat artikel Ladang anggur Tasik Beris.

Ladang anggur Tasik Beris, Sik, Kedah.

Untuk maklumat lanjut, lihat artikel Tempat menarik di Sik Kedah.

Tempat menarik di Kuala Muda

Terdapat dua bandar utama di daerah Kuala Muda iaitu bandar Sungai Petani dan Gurun. Bandar Sungai Petani adalah bandar terbesar di daerah ini. Berbagai kemudahan pelancongan seperti hotel, pengangkutan awam, tempat membeli-belah terdapat di Sungai Petani. Manakala Gurun pula ialah bandar kedua terbesar di daerah Kuala Muda. Walaupun tidak sepesat Sungai Petani tetapi Pekan Gurun menjadi tumpuan kerana terletak di kaki Gunung Jerai iaitu Gunung tertinggi di Kedah yang menjadi pusat pelancongan utama di daerah ini.

Muzium arkeologi Lembah Bujang

Muzium arkeologi Lembah Bujang terletak di Merbok. Disini terdapat berbagai artifek dan kesan peninggalan sejarah kerajaan Hindu yang pernah bertapak di Kedah pada kurun ke 3 masehi hingga ke 14 masehi. Pengunjung boleh melawat muzium yang mempamerkan koleksi seramik, manik-manik kaca, rempah ratus dan lain-lain yang ditemui di sekitar Lembah Bujang. Selain itu terdapat candi-candi agama Hindu/Buddha yang dibina semula dari tinggalan asal.

Gambar tempat bersejarah Lembah Bujang, Kedah.
Keterangan gambar: Kesan sejarah kerajaan Hindu yang pernah bertapak di Lembah Bujang, Kedah.

Pantai Merdeka

Pantai Merdeka ialah salah satu tempat menarik di Kedah yang cukup terkenal. Ia sudah semakin maju dan terjaga. Ada resort, chalet dan juga homestay untuk pelancong yang ingin bercuti disini. Selain itu, kemudahan turut disediakan untuk orang-ramai termasuk tempat letak kereta yang luas, gerai makan, tandas awam dan surau. Berbagai aktiviti boleh dilakukan seperti mandi laut, bermain layang-layang, memancing dan menaiki bot melawat lokasi menarik disekitar kawasan ini.

Untuk maklumat lanjut, lihat artikel Bercuti di Pantai Merdeka.

Pemandangan matahari terbenam di Pantai Merdeka. Kedah.
Keterangan gambar: Pantai Merdeka adalah lokasi menarik untuk melihat pemandangan matahari terbenam ditepi laut.

Taman Rekreasi Sungai Merbok

Taman Rekreasi Sungai Merbok ialah destinasi pelancongan menarik sesuai untuk membawa keluarga bersiar-siar. Disini terdapat laluan pejalan kaki dipinggir sungai yang dipenuhi hutan bakau yang menarik. Selain itu, ada jeti dan bot nelayan serta restoran untuk pengunjung menjamu selera. Perkhidmatan "river cruise" turut disediakan bagi membawa pelancong menyusuri Sungai Merbok. Ia juga adalah lokasi yang strategik untuk kaki pancing.

Jeti Sungai Merbok.

Air terjun Tupah

Hutan lipur air terjun Tupah terletak di kaki Gunung Jerai di kawasan Merbok. Ia merupakan lokasi menarik untuk mandi-manda dan berkelah bersama keluarga atau rakan-rakan.

Air terjun Tupah.

Taman Tema Air The Carnival

Taman tema air atau water park yang terletak di bandar Sungai Petani. The Carnival Water Park adalah tempat pelancongan di Kedah yang sesuai untuk percutian keluarga. Berbagai permainan air disediakan untuk semua lapisan umur.

Lihat artikel The Carnival Water Park Sungai Petani.

Gelongsor air yang sesuai untuk pelbagai usia.

Tanjung Dawai

Salah satu lokasi pelancongan yang popular di Kedah ialah Tanjung Dawai. Disini terdapat pantai dan juga jeti nelayan. Ramai yang mengunjungi kawasan ini untuk bersantai di tepi pantai bersama keluarga. Ada yang berkelah dan bermain layang-layang bersama anak-anak. Penggemar ikan bakar boleh menikmati makanan laut yang segar di restoran yang banyak disekitar pantai. Tanjung Dawai popular dengan belacan dan ikan bilis. Selain itu, terdapat berbagai barangan hasil nelayan seperti keropok ikan, ikan masin dan lain-lain boleh dibeli sebagai buah tangan untuk dibawa pulang.

Pantai Tanjung Dawai.

Chalet Terapung Persatuan Peladang

Chalet Terapung Persatuan Peladang terletak di Kuala Segantang Garam, Merbok. Ia adalah resort menarik yang menyediakan tempat penginapan diatas air. Chalet ini memang tidak asing lagi bagi kaki pancing. Selain sungai, terdapat kolam memancing yang menyimpan berbagai spesis ikan menanti pengunjung. Apa yang menarik, suasana disini cukup menenangkan. Chalet yang disediakan juga pelbagai, sesuai untuk percutian keluarga. Jika anda bercadang untuk bermalam disini, jangan lupa membawa barangan memasak dan juga bbq.

Chalet Terapung Segantang Garam.

Untuk maklumat lanjut, lihat artikel Tempat menarik di Sungai Petani untuk dilawati.

Tempat menarik di Kubang Pasu

Terdapat dua bandar di daerah Kubang Pasu iaitu pekan Jitra dan pekan Changlun. Ada beberapa tempat menarik di Kedah yang boleh dilawati jika anda berkunjung ke sini.

Tasik Darulaman

Taman Tasik Darulaman terletak di Jitra. Ia merupakan kawasan rekreasi penduduk setempat. Terdapat sebuah tasik yang luas, trek jogging, padang bermain layang-layang, kawasan riadah, gelanggang futsal, gerai makanan, kemudahan tempat meletak kereta dan lain-lain. Pengunjung boleh melakukan aktiviti mengayuh paddle boat dan berkayak di tasik.

Tasik Darulaman Jitra.

Taman rekreasi Bukit Wang

Jika anda mencari lokasi pelancongan alam semulajadi di daerah Kubang Pasu, Taman rekreasi Bukit Wang ialah tempat menarik yang boleh dikunjungi. Ia terletak tidak jauh dari bandar Jitra. Kawasan rekreasi air terjun ini agak popular dan sering menjadi tumpuan orang-ramai dihujung minggu. Selain mandi-manda dan berkelah, Bukit Wang juga popular untuk aktiviti perkhemahan. Tempat ini memang cantik dikelilingi hutan semulajadi yang menghijau. Suasana yang tenang dan damai sesuai untuk anda bersantai bersama ahli keluarga. Kemudahan asas seperti laluan pejalan kaki, pondok rehat, tempat letak kereta, tandas dan gerai makan turut disediakan.

Air terjun Taman Rekreasi Bukit Wang.

Membeli-belah di Bukit Kayu Hitam

Salah satu lokasi membeli-belah yang popular di Kedah ialah di Bukit Kayu Hitam. Ia terletak di sempadan Malaysia-Thailand. Disini terdapat kompleks membeli-belah yang moden di kawasan bebas cukai. Kompleks ini dibuka dari pukul 9 pagi hingga 10 malam. Antara barangan yang menjadi pilihan pengunjung ialah cokelat dan perfume.

Kompleks Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam.

Makam Puteri Lindungan Bulan

Makam Puteri Lindungan Bulan ialah makam sejarah yang terletak di Kota Siputeh, Jitra. Ia terletak diatas sebuah bukit dan masih dijaga dengan baik hingga kini. Walaupun bukan tempat menarik, ia menjadi destinasi pelancongan bagi para peminat sejarah terutama mereka yang mengkaji kerajaan Kedah lama. Kisah Puteri Lindungan Bulan atau Puteri Zaleha yang unik mempunyai tarikan tersendiri.

Makam Puteri Lindungan Bulan.

Gua Kerbau dan Gua Batu Putih

Gua Kerbau dan Gua Batu Putih ialah gua batu kapur yang terletak di Kodiang, Jitra. Penemuan kesan sejarah didalam gua ini membuktikan bahawa ia pernah didiami oleh manusia pada zaman dahulu. Sekarang ia menjadi salah satu lokasi pelancongan menarik di Kedah.

Gua Kerbau.

Tempat menarik di Baling

Masih belum puas melawat tempat menarik di Kedah? Ada satu daerah lagi yang boleh anda kunjungi iaitu Baling. Daerah ini bersempadan dengan negeri Perak dan Kelantan. Terdapat dua bandar utama di daerah Baling iaitu pekan Baling dan pekan Kuala Ketil. Pekan Baling adalah sangat unik dan menarik dengan pemandangan gunung yang tersergam gagah di pinggir bandar. Ia juga terkenal dikalangan pengunjung sebagai lokasi membeli-belah bagi barangan dapur yang murah terutama periuk belanga.

Ulu Legong Hot Springs

Ulu Legong Hot Springs ialah tempat percutian di Kedah yang sangat menarik. Terdapat beberapa kolam air panas yang luas disediakan untuk pengunjung. Setiap kolam berbeza mengikut suhu kepanasan air dan kedalaman kolam. Ia bukan sekadar untuk merendam kaki malah pengunjung boleh berenang dan menyelam sepuas hati jika mampu. Kolam untuk kanak-kanak juga disediakan. Disini juga terdapat kemudahan chalet dan homestay. Ulu Legong Hot Springs adalah lokasi percutian bajet untuk seisi keluarga.

Lihat artikel: Taman Rekreasi air panas Ulu Legong, Baling, Kedah.

Gerbang pintu masuk ke Taman Rekreasi Air Panas Ulu Legong, Kedah.
Keterangan gambar: Pintu gerbang untuk masuk ke Taman Rekreasi Air Panas Ulu Legong, Kedah.

Lata Bukit Hijau

Lata Bukit Hijau terletak di Hutan Lipur Bukit Hijau, Baling. Lata ini mempunyai air terjun yang cantik dan kolam mandi semulajadi yang luas. Airnya jernih dan sejuk. Terdapat beberapa tingkat air terjun disini. Pengunjung boleh mendaki tangga untuk ke kemuncak atau boleh berkelah dibahagian bawah sahaja. Kemudahan chalet, gerai makan, surau, tandas awam dan kawasan meletak kereta yang luas disediakan. Peranginan lata Bukit Hijau merupakan salah satu lokasi air terjun yang paling cantik dan merupakan tempat menarik di Kedah yang mesti dilawati.

Lata Bukit Hijau Baling.

Lata Bayu

Lata Bayu turut dikenali dengan nama Lata Asam Jawa. Ia merupakan kawasan perkelahan yang popular di daerah Baling. Lata ini mempunyai kolam yang luas dan juga air terjun yang menarik. Semua kemudahan asas turut disediakan termasuk tempat letak kereta, gerai makan, tandas awam dan pondok rehat.

Lata Bayu Baling.

Air Terjun Lata Celak

Air Terjun Lata Celak terletak di Kampung Iboi. Air terjun ini agak kurang dikenali berbanding dengan air terjun lain di daerah Baling. Namun ia sangat menarik dan seronok untuk mandi-manda. Sungainya agak besar dan banyak tempat yang sesuai untuk mandi. Kawasan air terjun juga kurang dibangunkan membuatkannya begitu asli.

Gunung Baling

Gunung Baling terletak berhampiran pekan Baling. Ia adalah sebuah bukit batu kapur dengan ketinggiannya cuma 420 meter. Gunung ini adalah lokasi terbaik untuk melihat pemandangan menarik daerah Baling dari tempat tinggi. Pendakian ke puncak gunung mengambil masa lebih kurang 2-3 jam.

Gunung Baling Kedah.

Gua Jepun

Gua Jepun terletak di Gunung Baling. Ia adalah produk pelancongan baru yang giat dibangunkan oleh Majlis Daerah Baling bangi menarik lebih ramai pelancong ke daerah ini. Walaupun belum siap sepenuhnya, pelancong masih boleh ke lokasi dan melihat kawasan gua. Malah anda boleh mengunjungi gua ini pada waktu malam kerana lampu spot di pasang dan pemandangan cukup menarik dapat disaksikan

Gua Jepun Baling.

Penginapan di Kedah

Untuk melihat potongan harga hotel dan resort di Kedah, anda boleh menyemak serta menempah bilik penginapan terus melalui atas talian di BOOKING.COM.

Setakat ini dahulu senarai tempat menarik di Kedah dan juga tarikan pelancongan utama yang sempat kami kongsikan kepada anda. Kami akan sentiasa mengemaskini halaman ini dan menambah berbagai tarikan pelancongan baru yang diperkenalkan. Jika anda rasa artikel ini berguna, sila kongsikan di laman sosial, blog dan sebagainya. Sokongan anda amat bermakna bagi kami. Sekiranya ada kekurangan, sila komen agar dapat diperbaiki. Terima kasih dan selamat bercuti!

Comments

4

tq sharing terbaik mudahkan saya untuk berkunjung ke kedah nanti.

Semoga membantu. Selamat melancong dan bercuti di Kedah.

Hi...boleh saya dapatkan info pasal lye huat garden?masih dibuka kah sekarang?
Bila operation hours nya?
Berapa fee untuk masuk?

Thanks in advance.

Hi. Dah tutup rasanya.

Add new comment