Tempat menarik di Langkawi

Langkawi ialah sebuah pulau percutian yang mempunyai segala-galanya. Tempat peranginan, pantai yang cantik, alam semulajadi yang masih terpelihara, hotel serta resort yang banyak menjadikannya sesuai untuk percutian honeymoon atau bercuti bersama keluarga. Terdapat berbagai aktiviti pelancongan disediakan untuk pengunjung seperti island hopping, aktiviti lasak, membeli-belah dan melawat tempat menarik. Kali ini Percutian Bajet telah menyediakan senarai tempat menarik di Langkawi untuk dilawati mengikut jenis pelancongan sebagai panduan anda yang merancang untuk bercuti ke sana.

Nota: Untuk melihat lokasi percutian, sila lawati halaman Senarai tempat menarik untuk bercuti di Langkawi.

Pulau-pulau menarik di Langkawi

Terdapat banyak tempat menarik di Langkawi untuk dilawati dan satu darinya ialah pulau. Langkawi terdiri dari gugusan pulau-pulau dimana Pulau Langkawi adalah pulau yang terbesar. Terdapat lebih seratus pulau termasuk pulau-pulau kecil yang ada disini. Antara pulau yang terkenal ialah:

Pulau Dayang Bunting

Pulau yang terkenal dengan mitos Tasik Dayang Bunting ini kini menjadi salah satu tarikan pelancongan utama di Langkawi. Mitos ini mengisahkan seorang puteri dari kayangan yang bernama Mambang Sari yang selalu turun mandi di tasik ini. Kemudian puteri ini telah jatuh cinta pada seorang pemuda bernama Mat Teja. Walau bagaimanapun, Mat teja telah meninggalkan puteri ini yang kemudiannya mengandung dan melahirkan seorang anak. Tujuh hari lepas bersalin anaknya meninggal dunia akibat penyakit misteri. Kerana terlalu sedih, puteri ini telah meninggalkan anaknya di tasik ini dan kembali ke kayangan.

Pengunjung yang ingin ke Pulau Dayang Bunting boleh mengambil pakej "Island hopping" yang turut membawa pelancong ke sini. Antara yang menarik di pulau ini ialah berbagai aktiviti air di Tasik Dayang Bunting seperti mandi, berkayak, boat paddle dan boat solar.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati halaman Pulau Dayang Bunting Langkawi.

Tasik Dayang Bunting, Langkawi

Pulau Singa Besar

Terletak di antara Pulau Beras Basah dan Pulau Dayang Bunting. Pulau Singa Besar merupakan habitat semulajadi burung helang, monyet dan juga beberapa spesis haiwan lain. Pulau ini tidak dihuni manusia dan tidak ada hotel atau resort dibina bagi memelihara dan mengekalkan alam semulajadi disini. Aktiviti menarik pelancong di Pulau Singa Besar ialah memberi makan burung helang. Bagi pelancong yang mengambil pakej island hopping, pemandu bot akan mematikan enjin bot berhampiran pulau dan mencampakkan beberapa ketul ayam kedalam laut. Tidak lama selepas itu datang beberapa ekor helang berbagai spesis berterbangan dikawasan tersebut lalu menyambar ayam yang telah dicampakkan tadi. Bagi anda yang belum pernah melihat situasi ini, ia adalah satu pengalaman menarik yang tidak akan dilupakan.

Memberi makan burung helang di Langkawi

Pulau Beras Basah

Pulau Beras Basah merupakan salah satu destinasi menarik yang termasuk dalam pakej Island hopping di Pulau Langkawi. Ia mempunyai pantai yang cantik dengan air yang jernih. Pengunjung boleh berehat, berjalan-jalan ditepi pantai yang berpasir bersih atau mandi laut. Pengunjung juga pasti terpesona dengan kecantikan pulau ini yang mempunyai hutan semulajadi yang menghijau. Pulau Beras Basah juga tiada hotel atau resort untuk pelancong. Alam semulajadinya dipelihara sebagaimana asalnya yang merupakan tempat persinggahan nelayan apabila ribut di laut.

Untuk maklumat lanjut mengenai Pulau Beras Basah, sila lawati halaman Island hopping Langkawi.

Pulau Beras Basah Langkawi.

Pulau Tuba

Pulau yang berpenghuni ini mempunyai berbagai tarikan pelancong. Pulau Tuba terletak berhampiran Pulau Dayang Bunting. Pulau ini didiami penduduk yang rata-rata bekerja sebagai nelayan dan petani. Penduduk di Pulau Tuba masih mengekalkan cara hidup tradisional dan ramai yang masih menggunakan air perigi walaupun air paip bersih dibekalkan di pulau ini. Lantaran itu, perkampungan nelayan disini telah diwujudkan program homestay dimana pelancong boleh tinggal bersama penduduk bagi melihat secara dekat kehidupan harian, aktiviti serta budaya masyarakat tempatan.

Apa yang menarik di Pulau Tuba ialah, walaupun terdapat penduduk mendiami pulau ini, alam semulajadinya masih kekal terpelihara. Pokok tuba, iaitu sejenis pokok yang diambil akarnya yang memabukkan dan digunakan untuk menangkap ikan masih banyak terdapat di pulau ini. Selain itu, hutan disini juga masih kaya dengan herba, akar kayu yang boleh dijadi ubat-ubatan tradisional, buah-buahan hutan dan madu lebah. Ia menjadi salah satu sumber pendapatan sampingan penduduk di pulau ini.

Gua Kelawar Langkawi

Salah satu tempat menarik yang ada di Pulau Tuba ialah Gua Kelawar. Gua sepanjang 60 meter ini merupakan tempat kediaman kelawar. Pengunjung boleh melihat beratus-ratus kelawar yang bergantungan dibumbung gua ini. Anda tidak perlu risau berjalan didalam gua ini kerana laluan pejalan kaki dibina untuk kemudahan pelancong.

Manakala aktiviti menarik di Pulau Tuba pula ialah melihat kelip-kelip diwaktu malam, mencandat sotong, memancing ikan dan juga merentas hutan. Sebagai kenang-kenangan di Pulau Tuba, pelancong boleh membeli berbagai barangan kraftangan unik yang dihasilkan oleh penduduk pulau ini seperti tikar, bakul dan lain-lain.

Pulau Rebak

Namanya dari kisah mitos tentang dewa yang bernyanyi dan bermain alat bunyi-bunyian dan tiba-tiba dua buah rebab jatuh kedalam laut dan menjadi pulau. Pulau Rebak merupakan sebuah pulau persendirian Taj Hotels, Resorts & Palaces Group yang memiliki Rebak Island Resort, iaitu resort eksklusif yang terletak di pulau ini. Selain penginapan dan aktiviti yang disediakan di Rebak Island Resort, tiada aktiviti menarik lain di pulau ini. Pengunjung perlu menaiki bot untuk ke Pulau Langkawi bagi melawat tempat menarik dan melakukan aktiviti percutian disana.

Pulau Rebak Langkawi.

Pulau Tepor

Terletak diantara Pulau Rebak Besar dan Pulau Beras Basah. Pulau berbentuk huruf U ini tidak didiami penduduk dan kekal dengan alam semulajadi. Terdapat pantai menarik di pulau ini yang menghadap ke Pulau Langkawi. Pengunjung yang ingin ke Pulau Rebak untuk melihat pulau ini dengan lebih dekat dan berjalan-jalan di pantainya yang cantik dan berpasir bersih boleh menyewa bot yang banyak ditawarkan oleh agensi pelancongan di Langkawi.

Pulau Timun

Pulau ini terletak di sebelah barat pekan Kuah, Langkawi. Pulau Timun tidak dihuni manusia dan tidak dimajukan dengan hotel hotel, resort atau restoran untuk pelancong. Pulau ini turut dibiarkan kekal dengan alam semulajadinya. Airnya yang jernih dan pemandangan dasar laut yang menarik sesuai untuk aktiviti snorkeling.

Pulau Timun Langkawi.

Pulau Dendang

Pulau Dendang (juga dikenali dengan Pulau Tanjung Dendang) terletak berhampiran Pulau Langgun. Terdapat dua buah gua di pulau ini iaitu Gua Assam dan Gua China. Disebelah pantai timur pulau ini terdapat sebuah teluk yang dipanggil Teluk China Mati.

Pulau Langgun

Terletak di sebelah barat Pulau Langkawi, bersebelahan dengan Pulau Dendang. Pulau Langgun ialah sebuah lagi pulau tidak berpenghuni di Langkawi namun sangat cantik dan mempunyai beberapa lokasi menarik. Terdapat sebuah tanjung di utara pulau ini yang dikenali dengan nama Tanjung Langgun. Bahagian timur Pulau Langgun pula ialah Teluk Dalam dan dibahagian baratnya Teluk Mempelam. Ditengah-tengah Pulau Langgun terdapat sebuah tasik yang agak besar iaitu Tasik Langgun. Pulau ini mempunyai pantai yang cantik dan berpasir halus. Pengunjung yang gemarkan aktiviti perkhemahan boleh bermalam di tapak perkhemahan yang disediakan untuk pelancong di pantai ini.

Pelancong boleh menaiki bot untuk ke pulau-pulau menarik yang disenaraikan diatas. Banyak pakej "Island Hopping" disediakan oleh agensi pelancongan yang terdapat di Pulau Langkawi. Ada pulau yang berpenghuni dan berbagai aktiviti menarik untuk pelancong disediakan manakala yang lainnya cuma untuk melihat kecantikan pulau sahaja.

Peta Langkawi menunjukkan pulau Langkawi dan pulau-pulau disekitarnya.
Keterangan gambar: Peta Langkawi menunjukkan Pulau Langkawi dan pulau-pulau lain yang ada disekitarnya.

Pantai di Langkawi

Selain pulau, tempat pelancongan di Langkawi yang utama ialah pantai-pantainya yang cantik. Antara pantai yang popular dan menjadi tumpuan pelancong ialah:

Pantai Chenang

Pantai yang paling terkenal dan menjadi tumpuan pelancong ialah Pantai Chenang (atau Pantai Cenang). Ia juga merupakan lokasi popular untuk penginapan. Terdapat deretan kedai di tepi pantai yang menjual berbagai barangan seperti pakaian, topi, beg, barangan cenderahati dan lain-lain lagi. Disini juga terdapat berbagai kemudahan pelancongan seperti hotel, resort dan chalet untuk penginapan, restoran, operator pelancongan serta perkhidmatan kereta sewa. Bagi pelancong yang inginkan suasana meriah percutian di Langkawi, Pantai Chenang adalah pilihan terbaik untuk anda.

Pantai Chenang ialah sebuah pantai yang cantik. Selain mandi laut, terdapat berbagai aktiviti pelancongan yang disediakan disini seperti jetski, berkayak, parasailing dan banana boat. Ia adalah salah satu tempat menarik di Langkawi yang harus dilawati jika melancong ke pulau ini.

Pantai Cenang Langkawi.
Keterangan gambar: Pantai Chenang yang cantik merupakan salah satu lokasi pelancongan utama di Langkawi.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati halaman Bercuti di Pantai Cenang Langkawi.

Pantai Tanjung Rhu

Jika anda lebih gemarkan suasana percutian yang sunyi, tenang dan aman, maka Pantai Tanjung Rhu adalah pilihan yang lebih sesuai untuk lokasi penginapan anda berbanding Pantai Chenang. Malah pantainya lebih menarik dari Pantai Chenang dan dikatakan pantai yang paling cantik di Pulau Langkawi. Walaupun anda tidak menginap disini, pantai ini adalah salah satu tempat menarik yang harus dikunjungi. Ia dibuka untuk pelancong dari pukul 10 pagi hingga 5:30 petang sahaja. Selainnya, pantai ini dikhaskan untuk penghuni resort.

Pantai Tanjung Rhu.

Pantai Tengah

Pantai Tengah terletak berhampiran Pantai Chenang. Kedua-dua pantai ini dipisahkan oleh tebing berbatu. Pantainya landai dan berpasir serta cantik sama seperti Pantai Chenang. Keadaan di Pantai Tengah tidak semeriah dan sesibuk Pantai Chenang. Terdapat banyak pilihan penginapan disini yang terdiri dari resort menarik hingga ke hotel bajet. Jika anda inginkan tempat penginapan yang lebih tenang tetapi tidak jauh dari Pantai Chenang, chalet dan resort di Pantai Tengah adalah pilihan anda.

Pantai Tengah.

Disini juga terdapat banyak operator yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik di Langkawi seperti parasailing, jetski, banana boating dan sebagainya. Jika anda ingin menghilangkan lenguh-lenguh, sakit badan dan kelesuan selepas aktiviti lasak, di Pantai Tengah ini terdapat beberapa buah spa yang menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan terapi dengan harga yang berpatutan.

Lain-lain yang menarik di Pantai Tengah ialah kemudahan restoran-restoran, kompleks membeli-belah serta berbagai jenis kedai disepanjang jalan.

Pantai Kok

Pantai Kok terletak tidak jauh dari Cable Car Langkawi di Gunung Mat Chincang. Kawasan ini masih diliputi hutan semulajadi yang menghijau manakala pantainya pula berpasir bersih dengan air laut yang jernih membiru. Berbeza dengan Pantai Chenang, tidak terdapat resort atau chalet berderetan di tepi pantai. Yang ada cuma dua buah hotel dan resort mewah disudut pantai yang menawarkan penginapan eksklusif bagi pengunjung yang inginkan percutian yang romantik, sunyi dan mendamaikan. Walau bagaimanapun, pantai ini menjadi agak sesak dengan orang-ramai yang datang berkelah bersama keluarga dihujung minggu.

Pantai Kok Langkawi.

Pantai Teluk Burau

Pantai Teluk Burau merupakan satu lagi lokasi pantai menarik di Langkawi. Ia terletak berhampiran Pantai Kok dan Gunung Mat Chinchang. Pantai Teluk Burau juga sangat luas dan menarik. Pasirnya yang bersih dan air laut yang jernih sesuai untuk mandi-manda. Selain itu, pemandangan laut yang membiru dan juga kehijauan Gunung Mat Chinchang pasti memberikan ketenangan pada anda yang mengunjungi pantai ini. Pantai Teluk Burau ialah pantai awam. Pengunjung boleh menikmati pemandangan matahari naik dan juga matahari terbenam yang sangat menarik disebabkan oleh lokasi dan kedudukan pantai ini.

Pantai Teluk Burau Langkawi.

Pantai Teluk Datai

Terkenal sebagai pantai yang tercantik di Langkawi, Pantai Teluk Datai terletak di utara Pulau Langkawi berhampiran Pantai Pasir Tengkorak. Ia adalah pantai yang kecil tetapi cukup menarik kerana terdapat batu-batu besar dikedua-dua hujungnya dan pantai berpasir halus yang landai terus ke permukaan laut yang jernih membiru.

Pantai Teluk Datai.

Pantai Pasir Hitam

Pantai Pasir Hitam menarik untuk dikunjungi tetapi tidak sesuai untuk mandi. Pasir pantai ini berwarna hitam terbentuk dari hasil paduan beberapa mineral seperti turmalin, ilmenit, zirkon dan batuan granit yang memberi pemandangan unik bagi pengunjung yang belum pernah melihat pemandangan seperti ini.

Pantai Pasir Hitam.

Senarai pantai lain di Langkawi

Pantai-pantai lain yang boleh dikunjungi jika bercuti di Langkawi ialah:

  • Pantai Teluk Yu.
  • Pantai Batu Hampar.
  • Pantai Beringin.
  • Pantai Teluk Baru.
  • Pantai Pasir Tengkorak.

Pilihan penginapan menarik di Langkawi tentunya hotel-hotel atau resort di tepi pantai. Selain pemandangan yang indah, anda boleh menggunakan masa terluang untuk bersiar-siar ditepi pantai melihat pemandangan menarik atau melakukan pelbagai aktiviti pelancongan seperti jet ski, water sport, parasailing dan lain-lain.

Tempat Bersejarah

Beberapa tempat bersejarah di Langkawi juga boleh dilawati.

Beras Terbakar

Lokasi pelancongan tempat bersejarah di Langkawi, Beras Terbakar ialah di Kampung Raja, Mukim Padang Matsirat. Beras Terbakar merupakan salah satu destinasi pelancongan di Langkawi yang berada di tanah persendirian. Dari segi sejarahnya, ia adalah tempat dimana beras disembunyikan dari pihak musuh yang menyerang Langkawi. Namun setelah Langkawi tewas dalam peperangan, kawasan itu dibakar bagi mengelakkannya jatuh ke tangan musuh.

Untuk maklumat lanjut sila lawati halaman Beras Terbakar di Padang Matsirat Langkawi.

Tapak kawasan Beras Terbakar di Padang Matsirat, Langkawi.

Makam Mahsuri

Bagi pengunjung yang selama ini mendengar kisah Mahsuri, kini anda boleh mengunjungi makam beliau yang terletak di kawasan Kompleks Kota Mahsuri, Mukim Ulu Melaka iaitu kira-kira 12 KM dari Pekan Kuah. Tempat bersejarah di Langkawi ini merupakan destinasi yang sentiasa dikunjungi pelawat dan merupakan salah satu tarikan utama pelancong yang datang ke pulau ini. Selain Makam Mahsuri, terdapat muzium, teater traditional dan sebuah rumah tradisional Kedah yang dibina didalam Kompleks Kota Mahsuri.

Makam Mahsuri.

Kisah Mahsuri yang dianiaya dan dihukum bunuh tanpa usul-periksa sangat menyayat hati. Walaupun terdapat unsur-unsur dongeng seperti tubuh Mahsuri yang kebal dan berdarah putih, namun berbagai pengajaran lain dapat diambil dari kisah sejarah ini.

Taman Haiwan

Jika anda membawa anak-anak, beberapa tempat menarik di Langkawi cukup sesuai untuk dilawati bersama keluarga. Berikut adalah antara lokasi yang popular di kalangan pelancong.

Taman Buaya Langkawi

Taman Buaya Langkawi terletak di Kubang Badak iaitu kira-kira 32 KM dari Kuah. Terdapat hampir 1000 ekor buaya dari berbagai spesis yang boleh dilihat oleh pengunjung taman ini. Antara aktiviti menarik disini ialah melihat buaya diberi makan oleh pekerja Taman Buaya dan juga pertunjukan bermain dengan buaya.

Taman Buaya Langkawi.

Under Water World

Akuarium yang menempatkan pelbagai spesis ikan. Dibina diatas kawasan seluas enam ekar, Under Water World adalah akuarium yang terbesar di Malaysia dan merupakan salah satu tarikan pelancongan yang utama di Langkawi. Ia terletak di sempadan antara Pantai Chenang dan juga Pantai Tengah. Terdapat lebih 200 spesies ikan laut dan ikan air tawar termasuk anjing laut, penguin, jerung, penyu hijau, pari gergasi dan Arapaima Amazon.

Underwater World Langkawi.

Langkawi Wildlife Park

Langkawi Wildlife Park adalah lokasi menarik yang sesuai dikunjungi seisi keluarga. Dahulunya ia adalah sebuah taman burung tetapi telah diubah menjadi taman binatang. Aktiviti menarik disini ialah anda boleh memberi makan dan membelai binatang-binatang jinak yang ada disini seperti arnab, burung kakak tua, keldai, landak dan lain-lain lagi. Pengalaman ini pasti menceriakan anak-anak anda.

Langkawi Wildlife Park.

Agro-Tourism

Agro-tourism atau pelancongan pertanian mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Selain berbagai ilmu pengetahuan baru yang boleh didapati, benih-benih tanaman dan produk pertanian juga boleh didapati di lokasi tersebut. Jika anda bercuti di Langkawi, beberapa tempat menarik di Langkawi boleh dilawati.

Taman Agrotek Mardi

Taman Agrotek Mardi adalah sebuah dusun yang mempunyai berbagai pokok buah-buahan tempatan yang ditanam secara organik oleh MARDI. Jka anda mengunjungi taman ini di musim buah-buahan, anda akan dapat merasa buah-buahan ini dengan percuma. Bagi anda yang tinggal di bandar, berkunjunglah ke sini dan jadikan diri anda seorang pakar dengan memperkenalkan pokok buah-buahan tempatan seperti betik, tembikai, durian, manggis, belimbing dan berbagai-bagai lagi kepada anak anda.

Mardi Agro Technology Park Langkawi.

Buffalo Park Langkawi

Buffalo Park Langkawi ialah sebuah kawasan pelancongan yang terletak diantara Gunung Mat Chincang dan Gunung Raya. Ia adalah tempat penternakan kerbau bagi menghasilkan beberapa produk seperti keju, dadih dan juga susu segar. Pengunjung akan dapat melihat dari dekat bagaimana susu diperah dan merasa makanan yang dihasilkan disini.

Buffalo Park Langkawi.

Laman Padi Langkawi

Terletak di Pantai Chenang, Laman Padi Langkawi ialah sebuah kawasan pelancongan dimana terdapat sawah padi dan juga aktiviti berkaitan penanaman padi dan tuaian padi dijalankan. Pelancong boleh mencuba aktiviti-aktiviti ini termasuk menanam padi, menuai padi dan membanting padi secara tradisional. Selain itu juga terdapat aktiviti menangkap ikan menggunakan serkap. Jika belum puas, anda boleh melawat muzium padi pula yang turut berada dalam kawasan ini.

Laman Padi Langkawi.

Muzium dan Galeri

Antara tempat menarik di Langkawi yang agak istimewa ialah beberapa buah galeri unik yang hanya ada di Langkawi. Rugi jika anda tidak melawat lokasi berikut jika datang ke pulau ini.

Galeria Perdana

Galeria Perdana merupakan hadiah daripada Perdana Menteri Malaysia yang ke-4, Tun Dr. Mahathir sebagai pameran untuk tatapan umum. Pelbagai barangan menarik seperti kristal, perak, tekstil, alat permainan, senjata, seramik, alat muzik dan hasil seni yang bercirikan keislaman dipamerkan disini.

Galeria Perdana Langkawi.

Muzium 3D Langkawi

Antara tarikan terbaru di Langkawi ialah Muzium 3D Langkawi yang terletak di Oriental Village. Muzium seluas hampir 2,000 meter persegi ini dibina dalam bangunan tiga tingkat. Ia terbahagi kepada sembilan zon yang meliputi ilusi optik, akuarium, safari, interaktif 1 dan 2, fantasi, zon klasik, zon tema Mesir, istana lama dan zon Malaysia.

Muzium 3D Langkawi.

Sekiranya anda mengambil pakej percutian ke Langkawi, segala aktiviti pelancongan telah disediakan untuk anda. Kunjungan ke tempat menarik telah disusun dan terhad mengikut jadual yang disediakan. Itu mungkin kekurangannya tetapi dengan pakej percutian, anda tidak perlu risau tentang kos perbelanjaan berlebihan dan perancangan serta pengurusan aktiviti pelancongan yang hendak dilakukan.

Kampung Buku

Bagi anda yang gemar membaca dan mencari maklumat, Kampung Buku adalah tempat pelancongan di Langkawi yang harus dikunjungi. Ia terletak dipinggir kaki bukit di kawasan air terjun Lubuk Semilang. Dibina didalam hutan yang cantik, ia menyimpan koleksi buku-buku pelbagai topik, buku-buku lama dan juga baru serta berbagai jenis majalah. Pengunjung boleh mendapatkan maklumat mengenai Malaysia, Eropah, Asia Timur, Islam, Sastera, Sukan, Asia dan lain-lain lagi. Berbeza dengan perpustakaan, Kampung Buku menyimpan bahan bacaan didalam enam buah rumah dengan rekabentuk binaan yang unik. Suasana tenang dan kehijauan pohon-pohon rendang disini juga sungguh mendamaikan.

Kampung Buku Langkawi.

Tempat menarik alam semulajadi

Untuk para pencinta alam semulajadi, anda boleh menikmati keindahan dan keunikan pulau lagenda ini dengan mengikuti beberapa aktiviti seperti menyusuri Kilim Geoforest Park, Island Hopping dan lain-lain. Selain itu terdapat beberapa air terjun yang boleh dikunjungi.

Kilim Geoforest Park

Salah satu tarikan utama di Langkawi ialah Kilim Geoforest Park. Pengunjung boleh menaiki bot mengairi Sungai Kilim sambil melihat keindahan alam semulajadi yang terdapat di kawasan ini. Antara yang menarik ialah kawasan pokok-pokok bakau yang berusia ribuan tahun dan juga batu-batu kapur yang telah wujud sejak jutaan tahun.

Kilim Geoforest Park, Langkawi

Air Terjun Telaga Tujuh

Air terjun Telaga Tujuh ialah air terjun semula jadi yang berpunca dari tujuh punca air yang berlainan. Air terjun ini juga mempunyai tujuh buah kolam mandi dan dikelilingi oleh hutan yang merimbun memberikan kedamaian kepada pengunjung. Air terjun ini dikatakan tempat puteri bunian bersiram pada masa dahulu.

Air Terjun Telaga Tujuh.

Gunung Mat Cincang

Pelancong boleh menaiki kereta kabel di Oriental Village yang terletak di kaki Gunung Mat Cincang. Pemandangan menarik hutan semulajadi dapat dilihat dari atas sepanjang perjalanan. Ada Sky Bridge dan viewing deck disediakan untuk pelancong di atas gunung. Menikmati keindahan dari puncak gunung memang sangat menakjubkan.

Gunung Mat Cincang.

Taman Rekreasi

Beberapa taman rekreasi menarik di Langkawi boleh dilawati semasa anda bercuti di Langkawi.

Taman Lagenda Langkawi

Taman Lagenda Langkawi ialah sebuah taman menarik yang dibina diatas 20 hektar tanah berhampiran Pantai Chenang, Langkawi. Taman yang luas ini memaparkan tema kisah dongeng dan mitos Langkawi untuk dihayati oleh pengunjung. Disini juga terdapat 4 buah tasik yang menarik dan 17 monumen yang mempunyai kisah-kisah tersendiri.

Dataran Helang

Dataran untuk bersantai dan bergambar ini terletak berhampiran jeti Kuah. Terdapat sebuah tugu burung helang yang sangat besar yang menjadi mercu tanda Pulau Langkawi di dataran ini. Selain itu, terdapat landskap yang agak menarik, taman permainan kanak-kanak dikawasan berhampiran dan beberapa buah kerusi untuk bersantai. Walaupun tiada aktiviti menarik lain yang boleh dilakukan disini, Dataran Helang adalah lokasi yang harus anda singgah jika bercuti di Langkawi.

Dataran Helang Langkawi.
Keterangan gambar: Dataran Helang yang terletak berhampiran Jeti Kuah.

Tempat pelancongan menarik

Jika belum puas melawat tempat menarik di Langkawi, berikut ialah destinasi pelancongan popular yang boleh anda kunjungi semasa bercuti di pulau ini.

Oriental Village

Oriental Village terletak di Telaga Harbour Park iaitu di kaki Gunung Mat Chincang. Ia adalah tempat membeli-belah dan berbagai aktiviti menarik seperti menunggang kuda serta berbagai aktiviti lasak lain. Selain itu, disini juga letaknya Stesen Kereta Kabel, Muzium 3D dan sebuah Taman Rusa dimana pengunjung boleh memberi makan rusa-rusa jinak yang ada disini.

Untuk lebih terperinci, sila lawati halaman Oriental Village Langkawi.

Oriental Village Langkawi.

Kampung Kristal Langkawi

Kampung Kristal Langkawi terletak di Pulau Rebak. Berbagai barangan kristal pelbagai bentuk dan rupa dijual disini. Bagi peminat barangan hiasan, anda harus kesini kerana kristal menarik yang ada pasti akan menambah kecerian rumah anda. Ada yang mengatakan Kampung Kristal Langkawi sudah ditutup. Kami belum dapat memastikan kesahihan berita ini. Namun jika anda ingin juga mencari produk kristal tempatan, ianya boleh didapati di Kompleks Kraf Langkawi. Pelbagai produk menarik yang bermutu dijual disana dengan harga yang berpatutan.

Kampung Air Hangat

Kampung Air Hangat (atau Kampung Ayer Hangat) ialah sebuah kawasan air panas semulajadi di Langkawi. Ia adalah antara tarikan pelancong yang dibangunkan semula dan sekarang mempunyai landskap menarik disekitar kawasan ini. Pengunjung boleh merasai air hangat semulajadi dari kolam air panas samada untuk merendam kaki, membasuh tangan atau anggota badan lain. Terdapat tiga buah kolam yang disediakan dimana kini telah dibina bumbung yang cantik seperti gazebo. Apa yang menarik ialah, telaga air hangat ini mengeluarkan air masin. Berbeza dengan telaga air hangat biasa, telaga air hangat masin (salt water hot springs) amat jarang dan cuma boleh didapati dibeberapa tempat sahaja didunia. Ia dikatakan dapat mengubati penyakit kulit, melegakan penyakit gout dan menyegarkan badan.

Kampung Air Hangat Langkawi.

Antara lain yang menarik di Kampung Air Hangat ialah terdapat pertunjukan kebudayaan, gerai menjual kraftangan, restoran dan lain-lain lagi. Pengunjung juga boleh mempelajari cara-cara untuk membuat produk kraftangan disini.

Di Kampung Air Hangat ini juga terdapat 12 buah Jacuzzi yang boleh memuatkan sehingga lapan orang setiap satu. Jacuzzi ini sesuai untuk pengunjung yang membawa keluarga dimana ia turut dilengkapi tandas, tempat mandi dan juga gazebo. Harga untuk sejam ialah RM100 keatas.

Telaga Harbour

Terletak di Jalan Pantai Kok, Telaga Harbour adalah tempat berlabuh kapal-kapal mewah di Pulau Langkawi. Pengunjung biasanya mengunjungi tempat ini untuk melihat pemandangan menarik kapal-kapal yang cantik, mengambil gambar dan juga menjamu selera. Walaupun tanpa aktiviti menarik, suasana dan pemandangan indah disini menjadikan Telaga Harbour salah satu lokasi yang harus dikunjungi jika bercuti di Langkawi.

Telaga Harbour Langkawi.
Keterangan gambar: Pemandangan di Telaga Harbour Langkawi.

Kompleks Budaya Kraf Langkawi

Terletak di atas bukit menghadap laut di Teluk Yu iaitu bahagian utara Pulau Langkawi. Terdapat berbagai barangan kraftangan seperti batik catan, ukiran perak dan lain-lain.

Seperti yang anda lihat, terlalu banyak tempat menarik di Pulau Langkawi ditambah pula dengan berbagai aktiviti yang boleh dilakukan, tidak hairanlah Langkawi menjadi destinasi popular pelancong dari seluruh Malaysia. Malah Langkawi turut menjadi tumpuan dunia apabila acara LIMA (Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition) diadakan setiap dua tahun disini.

Untuk melihat tarikan pelancongan lain, sila lawati halaman Pelancongan di Langkawi.

Penginapan di Langkawi

Untuk melihat potongan harga hotel dan resort di Langkawi, anda boleh menyemak dan menempah bilik penginapan melalui BOOKING.COM.

Nota: Untuk bercuti di Kedah, sila lawati halaman Senarai tempat menarik untuk percutian di Kedah.

Setakat ini dahulu senarai tempat menarik di Langkawi yang dapat kami kongsikan kepada anda. Kami akan sentiasa mengemaskini dan menambahbaik halaman ini agar dapat menjadi rujukan pengunjung yang ingin melancong ke pulau ini. Jika anda rasa maklumat ini berguna, jangan lupa untuk kongsikan kepada rakan-rakan di laman sosial anda sebagai tanda sokongan. Sekiranya anda ingin berkongsi tips dan pengalaman bercuti di Langkawi, ruangan komen dibawah adalah untuk anda. Kami amat menghargainya. Terima kasih dan selamat bercuti.

Comments

8

Bagus juga susunan topik disini, mudah untuk saya cari nanti.

Ye la kita cuba untuk buat selengkap yang boleh untuk panduan pembaca. Panjang berjela sebab banyak sangat tempat menarik di Langkawi ni. Tapi gambar tak banyak. Kalau nak tengok gambar kena ke blog Adi Azudin le. Hihi.. Anyway, thanks singgah komen. :-)

Assalamualaikum

Saya berminat untuk mengetahui agensi pelancongan yang boleh dipercayai untuk membawa saya dan rakan melawat langkawi. Ada agensi yang dihubungi tidak menjawab pertanyaan saya kerana kami hanya berdua.

Saya memerlukan perkhidmatan pemandu pelancong untuk membawa kami melawat ketempat menarik di Langkawi.

Ada Cadangan ?

Wa'alaikumussalam

Saya tidak pasti dengan agensi pelancongan yang boleh dipercayai di Langkawi. Cadangan saya, jika cik ada lesen kereta, tak ada masalah untuk mendapatkan kereta sewa dan memandu sendiri di Langkawi. Dengan kemudahan GPS, Waze, Google Map dan lain-lain, cik boleh ke tempat menarik dengan mudah. Lagipun Langkawi adalah sebuah pulau yang kecil sahaja. Pusing-pusing sampai situ balik.

Jika cik masih inginkan pemandu pelancong, harga sehari ialah RM120 ke RM160 kalau tak salah. Untuk dapatkan yang berlesen dan boleh dipercayai, cik cuba cari-cari lagi. Kadang-kadang agensi pelancongan kekurangan pemandu pelancong dan mungkin kebetulan tarikh yang cik pilih tu memang penuh.

Itu pendapat saya. Semoga membantu.

TQVM Admin. Banyak dpt info tentang langkawi disini. Banyak tempat yang boleh dilawati. mcm2 aktiviti ada. Akan ke Langkawi minggu depan.

Assalamulaikum,
Nak tanya. Ada tak pakej untuk pulau je. Penginapan kami ada, pengangkutan kami ada. Cuma yang tiada hanyalah pakej untuk pulau2 tu. Maklum la, kalau tanpa pakej mahal beno.

ade kereta sewa tak yg blh di sewakan..

Banyak kereta sewa di Langkawi. Di kawasan jeti Langkawi pun ada operator pelancongan yang menyediakan perkhidmatan kereta sewa.

Add new comment