Tempat menarik di Sik Kedah

Kedah mempunyai banyak destinasi pelancongan meliputi pantai dan pulau, pelancongan bandar dan alam semulajadi. Kali ini Percutian Bajet ingin berkongsi tempat menarik di Sik, iaitu salah satu daerah yang luas di negeri ini. Tarikan pelancongan utama di kawasan ini ialah alam semulajadi dan makanan tempatan.

Nota: Untuk melihat tempat-tempat menarik lain di Kedah, sila lawati halaman Tempat menarik di Kedah mengikut daerah.

Empangan Muda

Empangan Muda atau empangan Gubir terletak Kota Aur, Sik. Jaraknya lebih-kurang 37 KM dari pekan Sik. Ia adalah empangan yang luas dan merupakan sumber utama yang menampung keperluan air bersih di negeri Kedah. Ia juga menjadi tempat mencari rezeki penduduk tempatan yang bekerja sebagai penangkap ikan.

Empangan Muda Sik.

Empangan Muda menjadi pintu masuk utama ke Ulu Muda Eco Park. Kawasan ini pernah dimajukan sebagai destinasi pelancongan. Sebuah resort dengan beberapa buah chalet didirikan ditepi tasik. Namun kini ia telah ditutup. Kemudahan air bersih, elektrik, tempat meletak kenderaan, kedai makan, pusat pengumpulan ikan, surau dan tandas disediakan.

Pusat Pengunpulan Ikan Air Tawar.

Pengunjung masih boleh mengunjungi kawasan ini untuk menyaksikan pemandangan indah dan membeli berbagai jenis ikan-ikan air tawar yang segar. Jika anda berminat untuk menaiki bot mengelilingi tasik, anda boleh mendapatkan perkhidmatan bot nelayan. Walau bagaimanapun, tempahan awal perlu dilakukan.

Lokasi / Alamat:
Empangan Muda
09100 Sik,
Kedah.

Ulu Muda Eco Park

Ulu Muda Eco Park ialah destinasi pelancongan yang sangat terkenal dikalangan pelancong luar negara. Hutan seluas 160,000 hektar ini kaya dengan berbagai khazanah semulajadi yang masih terpelihara. Ia menjadi salah satu lokasi penyelidikan WWF-Malaysia. Berbagai jenis haiwan liar, flora dan fauna, serangga, ikan air tawar dan burung boleh ditemui.

Selain menjadi kawasan tadahan air yang utama untuk penduduk di Kedah, keunikan Ulu Muda Eco Park menjadi tarikan pelancongan dan khazanah yang tidak ternilai. Kegiatan pemburuan dan pembalakan berleluasa, samada yang berlesen atau haram menjadi ancaman yang perlu diberi perhatian dan dihentikan segera demi kepentingan generasi akan datang.

Pelancong yang ingin berkunjung ke Ulu Muda Eco Park selalunya akan tinggal beberapa hari didalam hutan. Ini kerana, aktiviti meredah hutan, memerhati haiwan liar dan sebagainya memerlukan waktu yang sesuai. Pengunjung boleh menginap di Earth Lodge Ulu Muda atau berkhemah dikawsan yang disediakan.

Lokasi / Alamat:
Ulu Muda Eco Park
09100 Sik,
Kedah.

Tel: +604 -735 1315

Lata Hujan Lebat

Lata Hujan Lebat ialah air terjun menarik yang terletak di Kampung Landai, Gulau. Kawasan ini masih diliputi hutan semulajadi dan tiada kemudahan awam yang disediakan. Bagi yang sukakan suasana asli, lata ini amat sesuai dikunjungi. Kecantikan air terjunnya berbaloi untuk dinikmati walaupun jauh di pedalaman.

Walau bagaimanapun, jika berminat untuk ke Lata Hujan Lebat, anda perlu mencari seseorang yang biasa ke sini.

Lokasi / Alamat:
Lata Hujan Lebat
09100 Sik,
Kedah.

Sri Lovely Padi Organik

Sri Lovely Padi Organik adalah tempat percutian menarik terletak di Kampung Belantik. Ia menyediakan penginapan unik berkonsepkan alam semulajadi. Dikelilingi sawah padi dan hutan yang menghijau, pengunjung pasti merasa tenang berehat disini. Disamping mempelajari cara-cara penanaman padi organik, pengunjung juga boleh melawat tempat menarik berhampiran seperti empangan Muda dan Tasik Beris.

Sawah padi organik.

Beberapa buah chalet yang diperbuat dari buluh dan dewan serbaguna terdapat disini. Makanan boleh disediakan mengikut permintaan. Selain percutian, Sri Lovely Padi Organik juga sesuai untuk aktiviti perkhemahan. Berbagai program sering diadakan disini oleh kolej dan universiti awam.

Chalet Sri Lovely Padi Organik.

Lokasi / Alamat:
Sri Lovely Padi Organik
09100 Sik,
Kedah.

D' Puncak Beris Lake Resort

D' Puncak Beris Lake Resort ialah satu lagi tempat menarik untuk bercuti di Sik. Ia terletak di tepi tasik yang luas dan menawarkan pemandangan yang amat mengagumkan. Chalet yang diperbuat dari kayu, buluh dan beratapkan nipah agak unik. Di kawasan resort terdapat mini zoo yang menyimpan beberapa spesis haiwan.

Tasik Beris Sik.

Kawasan ini sunyi kerana agak jauh dari pekan. Ia memang sesuai untuk dijadikan lokasi percutian bagi anda yang ingin berehat jauh dari kesibukan kota. Pengunjung boleh melakukan aktiviti air seperti menaiki bot melihat pemandangan disekitar tasik yang luas, berkayak dan memancing ikan.

Lokasi / Alamat:
D' Puncak Beris Lake Resort
08210 Sik,
Kedah.

Tel: +6013 429 0084

Pelancongan Pertanian Bendang Man

Pelancongan Pertanian Bendang Man ialah lokasi menarik untuk membawa keluarga bercuti. Berbagai aktiviti boleh dilakukan seperti melawat dusun, kebun pertanian, kolam ikan, merentas hutan dan mandi air terjun. Tempat menarik yang ada dikawasan ini ialah air terjun Lata Mengkuang.

Pengunjung yang ingin ke sini boleh mengambil trip harian atau tinggal di Keda Resort. Resort ini cukup menarik kerana terletak di lokasi berhampiran kawasan peranginan. Dikelilingi bukit-bukau yang menghijau, pengunjung dapat merasa suasana tenang dan menghirup udara segar benar-benar mendamaikan.

Lokasi / Alamat:
KEDA Resort Bendang Man
Kampung Keda Bendang Man,
09100 Sik,
Kedah.

Air terjun Lata Mengkuang

Beberapa air terjun menarik ada di daerah Sik. Salah satu darinya ialah air terjun Lata Mengkuang. Ia terletak didalam Hutan Simpan Teloi, berhampiran kampung Bendang Man yang terkenal sebagai salah satu destinasi pelancongan di Kedah. Jaraknya tidak berapa jauh dari pekan Sik iaitu kira-kira 13 KM sahaja.

Lata Mengkuang Sik.

Lata Mengkuang sangat menarik kerana air terjunnya yang cantik, kawasan taman rekreasinya yang bersih dan terjaga serta keindahan hutan semulajadi yang menghijau disekelilingnya. Ia jauh dari kesibukan kenderaan dan manusia. Berada disini membuatkan anda lupa seketika masalah kerja dan tekanan hidup yang dihadapi. Suasana yang sunyi dan udara yang segar cukup mendamaikan.

Peranginan Lata Mengkuang Sik.

Lokasi / Alamat:
Air terjun Lata Mengkuang
09100 Sik,
Kedah.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati halaman Rimba Rekreasi Lata Mengkuang Sik.

Kebanyakan tempat-tempat menarik di Sik adalah tarikan alam semulajadi yang terpelihara. Jika anda inginkan percutian yang menenangkan atau inginkan cabaran, kedua-duanya boleh didapati di daerah ini. Semoga maklumat yang dikongsikan ini berguna untuk anda. Jika artikel ini membantu anda memilih destinasi percutian yang di ingini, sila kongsikan kepada rakan-rakan di laman facebook, twitter, blog dan sebagainya. Ia cukup bermakna dan kami amat berterima kasih. Jika masih ada tempat-tempat menarik yang tidak disenaraikan, tinggalkan riruangan komen. Kami akan masukkan dalam artikel. Terima kasih dan selamat bercuti!

Add new comment