Tempat menarik di Sungai Petani untuk dilawati

Sungai Petani ialah bandar kedua terbesar di Kedah. Terletak dalam daerah Kuala Muda, ia adalah sebuah bandar perindustrian dan merupakan bandar yang paling pesat membangun di negeri ini. Dalam sektor pelancongan, Sungai Petani mempunyai tarikan tersendiri dan beberapa lokasi peranginan turut berada sekitar bandar ini. Kali ini Percutian Bajet ingin berkongsi tempat menarik di Sungai Petani dan lokasi pelancongan yang boleh dikunjungi jika anda bercuti di sini.

Nota: Untuk melihat tempat-tempat menarik lain di Kedah, sila lawati halaman Tempat menarik di Kedah mengikut daerah.

Tempat menarik di bandar Sungai Petani

Jika anda ingin menginap di bandar Sungai Petani, terdapat banyak hotel yang boleh dipilih. Begitu juga dengan makanan. Banyak kedai makan sedap ada di bandar ini. Untuk mengisi ruang percutian, ada beberapa tempat menarik di bandar Sungai Petani yang boleh anda kunjungi seperti senarai dibawah.

Jam Besar Sungai Petani

Menara Jam Besar Sungai Petani ialah lokasi yang sangat terkenal dan harus dikunjungi jika anda datang ke bandar ini. Ia terletak di pusat bandar dan merupakan mercu tanda bandar Sungai Petani. Sejarah Menara Jam Besar Sungai Petani ini bermula pada tahun 1910, dimana ia telah dihadiahkan oleh Lim Lean Teng, seorang hartanah dari Sungai Lalang bagi memperingati King George V yang memerintah England pada masa itu sempena meraikan Jubli Perak.

Menara Jam Besar Sungai Petani siap dibina pada tahun 1936, iaitu kira-kira 26 tahun. Dengan ketinggian 15.2 meter, menara ini kelihatan begitu klasik. Rekabentuk senibina dan kedudukannya yang strategik menjadikan menara jam ini salah satu tarikan pelancong ditengah bandar. Ia juga merupakan tempat menarik di Sungai Petani waktu malam. Ada gerai makan dan gerai-gerai lain yang menjual berbagai barangan.

Lokasi:
Jam Besar Sungai Petani
Jalan Ibrahim,
Sungai Petani, Kedah Darulaman.

Menara Jam Besar Sungai Petani.

The Carnivall Water Park

Jika anda bercuti bersama keluarga, The Carnivall Water Park ialah tempat menarik di Sungai Petani yang harus dikunjungi. Ia adalah sebuah taman tema air yang sangat menyeronokkan. The Carnivall merupakan lokasi tumpuan utama percutian keluarga di musim cuti sekolah. Lokasinya yang tidak jauh dari pusat bandar dan kemudahan hotel penginapan turut mengundang pelancong dari luar.

Beberapa permainan gelongsor air menarik disediakan untuk pengunjung pelbagai peringkat umur. Ada bahagian kolam dan permainan air untuk kanak-kanak yang luas dan menarik. Ibubapa boleh membimbing anak-anak yang masih kecil untuk bermain disini. Bagi remaja dan orang dewasa pula terdapat dua menara yang menyediakan dua jenis gelongsor air menarik yang boleh dicuba.

Alamat:
The Carnivall
Persiaran Cinta Sayang,
08000 Sungai Petani, Kedah.

Lihat artikel: The Carnival Water Park Sungai Petani.

The Carnivall Water Park Sungai Petani.

Taman Jubli Perak

Taman Jubli Perak adalah tempat menarik di Sungai Petani yang terletak berhampiran dengan pusat bandar. Ia adalah sebuah taman rekreasi yang menjadi tempat riadah penduduk di bandar ini. Pada hujung minggu ia turut mengundang pelancong luar yang bercuti disini. Tarikan utama pengunjung kesini ialah kehijauan pokok-pokok besar yang merimbun dan suasana damai yang dirasai di Taman Jubli. Lanskap menarik dengan kolam ikan dan jambatan menambah kecantikan taman ini. Selain itu, disini juga terdapat beberapa jenis binatang yang dipelihara seperti rusa, burung kakak tua, burung hantu, helang dan lain-lain. Kemudahan yang ada termasuk trek jogging, wakaf, tandas, taman permainan kanak-kanak, medan selera dan tempat meletak kereta.

Alamat:
Taman Jubli Perak
05350 Sungai Petani,
Kedah.

Taman Jubli Perak Sungai Petani.

Tempat menarik di sekitar Sungai Petani

Sebenarnya agak banyak lokasi pelancongan yang ada disekitar Sungai Petani. Bagi pengunjung yang ingin keluar dari kesibukan kota, anda boleh memilih untuk bercuti di beberapa tempat menarik yang agak popular dikalangan pelancong seperti senarai dibawah.

Pantai Merdeka

Pantai Merdeka adalah lokasi pelancongan yang terkenal dan tidak jauh dari Sungai Petani. Ia menjadi tumpuan pengunjung di musim percutian terutama hari cuti umum. Ramai yang membawa keluarga untuk bersantai dan berkelah di tepi pantai ini. Kawasan pantainya agak luas dan lautnya agak landai. Ombak juga tidak kuat menjadikan pantai ini sesuai untuk mandi apabila air pasang.

Bagi pengunjung yang ingin bercuti di Pantai Merdeka, ada resort dan chalet menarik dikawasan ini. Anda boleh melakukan beberapa aktiviti seperti menaiki bot melawat tempat menarik, berkunjung ke Tanjung Dawai, makan mee udang yang terkenal di Pulau Sayak, melawat Kota Kuala Muda dan bermacam-macam lagi.

Alamat:
Pantai Merdeka
Kota Kuala Muda,
08500 Sungai Petani, Kedah.

Lihat artikel: Bercuti di Pantai Merdeka.

Pantai Merdeka.

Chalet Terapung PPK Merbok

Jika anda inginkan percutian yang unik, anda mungkin boleh mencuba Chalet Terapung PPK Merbok ini. Ia ialah lokasi pelancongan yang sangat terkenal bagi kaki pancing. Ia terletak ditengah sungai dimana pengunjung boleh memancing dari malam hingga ke pagi. Terdapat beberapa buah chalet disediakan untuk pengunjung. Anda boleh memilih untuk tinggal di chalet mewah seperti chalet VIP, chalet keluarga atau chalet bajet seperti asrama.

Kemudahan yang ada di Chalet Terapung PPK Merbok termasuk bilik berhawa dingin, katil queen, television, sofa, bilik mandi dengan hot shower, peti ais, dapur memasak dan tempat bbq. Walau bagaimanapun, anda perlu pastikan terlebih dahulu kerana ada chalet yang tidak ada kemudahan tersebut. Jika anda kaki pancing, chalet terapung ini adalah lokasi wajib singgah jika bercuti di Sungai Petani.

Berminat? Anda boleh hubungi:
Pertubuhan Peladang Kawasan Merbok,
Jalan Batu Hampar,
08400 Merbok, Kedah

Tel: 04-4572117
Email: ppkmerbok@lpp.gov.my
H/P: Hamdan Awang 019-4425560
H/P: Rozita Adnan 019-5775812
H/P: Mahayadin Bin Ismail 012-4633526

Chalet Terapung PPK Merbok.

Tanjung Dawai

Tanjung Dawai ialah kawasan perkampungan nelayan dan sangat terkenal dengan produk hasil laut. Ia adalah lokasi pelancongan menarik yang boleh anda singgah jika bercuti ke Sungai Petani. Ramai pelancong yang datang untuk membeli belacan, ikan kering, ikan bilis, keropok ikan, keropok lekor dan lain-lain lagi untuk dibawa pulang sebagai ole-ole kepada saudara-mara. Selain itu, anda juga boleh melawat kompleks LKIM Tanjung Dawai, bersantai ditepi pantai dan menjamu selera dengan makanan laut di restoran yang banyak terdapat di tepi pantai.

Lokasi:
Tanjung Dawai
08110 Bedong
Sungai Petani, Kedah

Tanjung Dawai.

Lembah Bujang

Lembah Bujang ialah kompleks sejarah di Sungai Petani yang boleh dilawati jika anda bercuti di bandar ini. Ia adalah kesan sejarah silam kerajaan Srivijaya yang pernah bertapak di Kedah sehingga kurun ke 12. Banyak artifek sejarah ditemui di Lembah Bujang seperti tembikar, perkakas batu, cebisan kaca, manik dan seramik Parsi. Lebih 50 buah kuil Hindu purba yang dikenali sebagai candi juga telah ditemui. Kawasan ini merupakan kawasan arkeologi yang terkaya di Malaysia.

Bagi anda yang meminati sejarah, Muzium Arkeologi Lembah Bujang menyimpan pelbagai khazanah yang ditemui di Lembah Bujang yang pasti menarik perhatian anda. Terdapat ribuan koleksi dipamerkan di dua buah galeri yang dibina dengan teknik-teknik pameran berinformatif. Selain itu, pengunjung juga boleh melawat tapak senibina silam yang ditemui dan dipulihara. Lembah Bujang adalah satu tempat menarik di Sungai Petani yang anda harus pergi. Masuk adalah percuma.

Alamat:
Lembah Bujang
08400 Merbok,
Sungai Petani, Kedah

Tapak Candi Lembah Bujang.

Jeti Sungai Semeling

Jeti Sungai Semeling ini terletak di pinggir bandar Sungai Petani. Lokasinya ialah di Sungai Merbok. Jeti ini sangat menarik kerana lanskap cantik yang dibina, pokok-pokok buluh yang menghiasi taman serta kawasan yang bersih. Ia adalah lokasi popular pasangan pengantin baru membuat wedding photoshoot. Disini juga terdapat restoran yang besar yang menyediakan berbagai masakan panas dan menjadi tarikan pengunjung untuk makan malam bersama keluarga ditepi sungai.

Apa yang menarik di Jeti Semeling Sungai Petani ini ialah laluan pejalan kaki sejauh 1 KM merentasi hutan bakau ditepi sungai ini. Pemandangan menarik hutan bakau dikiri kanan, burung-burung dan yang paling menarik pemandangan matahari terbenam yang sungguh mengasyikkan. Pengunjung juga boleh mengambil pakej river cruise yang disediakan disini. Anda akan dibawa menaiki bot menyusuri Sungai Merbok dan melihat pemandangan tepi sungai yang ditumbuhi pokok nipah dan hutan bakau. Selain itu, Jeti Semeling juga menjadi tumpuan kaki pancing.

Alamat:
Kompleks Pelancongan Jeti Semeling
Sungai Merbok,
08000 Sungai Petani, Kedah.

Jeti Semeling Sungai Petani.

Air terjun Tupah

Satu lagi tempat menarik di Sungai Petani yang boleh dikunjungi ialah air terjun Tupah. Ia terletak di kaki Gunung Jerai di kawasan Merbok. Lokasinya tidak berapa jauh dari Jeti Semeling. Taman rekreasi ini terkenal sebagai tempat mandi-manda, berkelah dan kawasan riadah. Suasana yang tenang dan mendamaikan pasti menarik hati anda.

Alamat:
Hutan Lipur Rekreasi Tupah
Merbok,
Kedah

Taman rekreasi air terjun Tupah.

Aktiviti menarik di Sungai Petani

Apa pula aktiviti menarik yang boleh dilakukan di Sungai Petani? Selain aktiviti pelancongan melawat tempat menarik seperti yang dinyatakan diatas, anda boleh membeli-belah, menonton wayang dan juga bermain bowling. Berikut ialah panduan dan lokasi yang boleh anda tuju.

Membeli-belah

Terdapat beberapa tempat membeli-belah yang menarik di bandar Sungai Petani yang boleh anda tuju.

  • Aman Jaya Mall - Terletak berhampiran susur keluar Sungai Petani Utara, Lebuhraya Utara Selatan. Sebuah pasaraya besar yang paling popular di bandar ini sekarang.
  • Central Square Sungai Petani - Terletak di tengah bandar. Ada pasaraya, bowling centre dan panggung wayang.
  • Pasaraya Tesco, Giant dan lain-lain.

Menonton wayang

Ada beberapa buah lokasi untuk anda menonton wayang di Sungai Petani.

  • Pasaraya Village Mall.
  • Aman Jaya Mall.
  • Central Square Sungai Petani.

Bermain bowling

Jika ingin bermain bowling, anda boleh ke lokasi dibawah.

  • Aman Jaya Mall.
  • Central Square Sungai Petani.
  • Park Avenue Super Bowl.

Tempat makan di Sungai Petani

Sungai Petani ialah syurga makanan. Jadi anda tidak perlu risau tentang makanan jika bercuti di bandar ini. Banyak kedai makan yang sedap boleh anda atur dari sarapan hingga ke makan malam. Sila lihat senarai penuh tempat makan sedap di Sungai Petani di halaman Tempat makan sedap di Sungai Petani, Kedah.

Penginapan di Sungai Petani

Banyak tempat penginapan di Sungai Petani seperti yang telah dinyatakan diatas. Anda boleh hubungi dan tempah melalui alamat dan nombor telefon yang disertakan. Jika anda menempah hotel secara online, mungkin ada potongan harga atau tawaran istimewa. Anda juga boleh membuat perbandingan harga hotel pada tarikh anda akan bercuti.

Untuk melihat perbandingan harga hotel di Pahang dan menempah bilik penginapan, anda boleh semak di Booking.com.

Nota: Untuk bercuti di Kedah, sila lawati halaman Senarai tempat menarik untuk percutian di Kedah.

Setakat ini dahulu yang dapat kami kongsikan tentang tempat-tempat menarik di Sungai Petani yang boleh anda lawati. Semoga perkongsian ini berguna untuk anda merancang lokasi yang hendak dituju bila bercuti ke bandar ini nanti. Jika ada tempat menarik lain atau ada maklumat salah yang kami kongsikan, sila komen dibawah. Selamat bercuti!

Comments

1

Terima kasih. Baru sampai di Sg. Petani. Harap dapat menghabiskan masa dengan baik di sini.

- www.semangatniaga.com -

Add new comment