Tempat menarik di Yan Kedah - Panduan lengkap

Sebagai salah satu destinasi pelancongan di Kedah, banyak tempat menarik di Yan telah dimajukan dan berbagai aktiviti disediakan untuk pelancong. Daerah yang kaya dengan tarikan semulajadi ini sesuai dijadikan destinasi percutian atau lawatan harian. Artikel ini akan memaparkan keunikan, tempat-tempat menarik, penginapan dan lain-lain sebagai panduan lengkap pengunjung yang ingin bercuti di sini.

Daerah Yan merupakan salah satu destinasi pelancongan yang cukup istimewa. Ia mempunyai segala yang diinginkan oleh pelancong. Disini terdapat kawasan peranginan tanah tinggi iaitu Gunung Jerai, taman rekreasi air terjun yang banyak, pantai menarik, pulau dan berbagai tarikan pelancongan lain tidak ketinggalan tempat makan yang sedap.

Jeti Kampung Kuala Dulang Kecil, Yan, Kedah.

Kawasan peranginan di daerah Yan Kedah

Daerah Yan mempunyai beberapa kawasan peranginan yang sentiasa menjadi tumpuan pelancong. Ia menjadi destinasi percutian dan perkelahan pada musim cuti sekolah dan hari cuti umum.

Berikut merupakan tempat peranginan di Yan Kedah yang paling popular.

Gunung Jerai

Gunung Jerai ialah tempat peranginan tanah tinggi yang popular di Kedah. Terdapat beberapa tarikan di puncak gunung seperti melihat pemandangan menarik di Taman Rimba, melawat Muzium Perhutanan, Telaga Tok Sheikh, Padang Tok Sheikh dan lain-lain. Pengunjung boleh memandu kereta sendiri hingga ke puncak atau naik dengan van di kaki gunung. Bagi pengnjung yang ingin bermalam, terdapat resort menarik iaitu Regency Jerai Hill Resort yang menyediakan penginapan, makanan dan aktiviti.

Maklumat lanjut lihat artikel Gunung Jerai - Percutian dan aktiviti menarik.

Muzium Perhutanan Gunung Jerai

Titi Hayun

Titi Hayun ialah tempat peranginan air terjun yang terkenal di Kedah. Terdapat air terjun dan kolam mandi yang menarik sesuai untuk percutian keluarga. Anda boleh berkelah seharian atau bermalam disini. Terdapat banyak penginapan disediakan seperti chalet, homestay dan resort. Ada chalet yang menyediakan kolam persendirian sesuai untuk yang membawa keluarga. Cuma elakkan berkunjung kesini pada musim kemarau kerana air terjun kurang dan tidak sesuai untuk mandi.

Maklumat lengkap lihat Titi Hayun Yan Kedah - Panduan percutian 2020.

Titi Hayun Yan

Tempat menarik di Yan Kedah

Banyak tempat menarik yang boleh dilawati sekiranya anda bercuti di daerah ini. Antara tempat menarik yang popular ialah:

Pantai Murni Waterfront

Pantai Murni Waterfront ialah tempat menarik yang menjadi tumpuan penduduk di daerah Yan dan Kedah amnya untuk bersantai bersama ahli keluarga dan rakan-rakan pada waktu petang. Disini terdapat dataran yang luas, medan selera, gerai makan, taman permainan dan berbagai aktiviti untuk kanak-kanak. Suasana agak sesak pada musim cuti sekolah dan cuti umum.

Maklumat lanjut lihat artikel Bersantai di Pantai Murni, Yan.

Pantai Murni Yan Kedah

Pantai Tanjung Jaga

Pantai Tanjung Jaga ialah tempat menarik di Yan yang sering menjadi destinasi pilihan kaki pancing. Suasana hutan yang teduh dan pantai berbatu besar ini bagaikan di Taman Negara Pulau Pinang. Selain itu, ia lebih sunyi berbanding Pantai Murni, Titi Hayun dan tempat menarik lain di daerah ini. Pantai ini juga adalah salah satu Geotapak di Kedah.

Pulau Songsong

Pulau menarik yang terletak di perairan Yan ini semakin dikenali kerana pantai yang cantik dan keunikan yang ada padanya. Tiada resort untuk penginapan disediakan. Pengunjung boleh berkhemah atau melakukan day trip. Perjalanan dengan bot mengambil masa lebih-kurang 15 minit sahaja. Walau bagaimanapun, untuk ke pulau ini anda perlu menanti hari air pasang tinggi. Pengunjung disyorkan membuat tempahan awal. Walk-in tidak disarankan.

Maklumat lanjut lihat artikel Pulau Songsong tempat menarik di Yan.

Pulau Songsong Yan Kedah

Air terjun

Air terjun ialah tarikan alam semulajadi yang cukup menarik di daerah Yan. Ia sering menjadi tumpuan masyarakat setempat untuk berkelah kecuali pada musim kemarau kerana air kurang dan kolam menjadi cetek. Terdapat banyak air terjun yang boleh dikunjungi selain Titi Hayun. Antara yang popular dikalangan pengunjung ialah:

  • Air terjun Puteri Mandi, Gunung Jerai - Anda perlu mendaki laluan yang agak mencabar dari Titi Hayun untuk tiba ke destinasi.
  • Air terjun Batu Hampar - Tidak Jauh dari Titi Hayun. Suasana kurang sesak dan agak sunyi. Ia menjadi pilihan pengunjung yang ingin jauh dari keriuhan.
  • Air terjun Seri Perigi - Air terjun yang tinggi dan menarik. Air disini berwarna hitam mungkin kerana daun-daun yang lama terendam di kolam.

Air terjun di Kampung Setar, Yan, Kedah.

Air terjun di Kampung Setar, Yan, Kedah.

Kem Maahad Tahfiz AlFityan di Kampung Setar, Yan, Kedah.

Kem Maahad Tahfiz AlFityan di Kampung Setar, Yan, Kedah.

Jambatan Pulau Bunting

Sudah ditutup kepada orang awam. Ia pernah menjadi tempat menarik di Yan Kedah yang sangat popular dikalangan pemancing ikan dan pengayuh basikal. Ramai juga yang membawa keluarga bersiar-siar diwaktu petang. Elok sangat ia ditutup kerana jambatan ini bagaikan tandas, dipenuhi najis dan busuk air kencing merata-rata. Jijik.

Jambatan Pulau Bunting

Aktiviti menarik di Yan Kedah

Ada berbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan sepanjang percutian di Yan. Antaranya ialah:

  • Berbasikal mendaki Gunung Jerai hingga ke puncak.
  • Berbasikal mengelilingi Gunung Jerai.
  • Memancing ikan (sportfishing) di tukun dan tuas sekitar perairan Yan.
  • Mendaki Gunung Jerai.
  • Jungle trekking.
  • Berkhemah.
  • Mandi air terjun.
  • Beli ikan kering dan hasil laut nelayan - Kuala Sungai Yan, Kuala Dulang dan lain-lain.
  • Melawat perkampungan nelayan, sawah padi dan projek homestay Kampung Raga.

Perusahaan sportfishing di Kampung Kuala Dulang Kecil, Yan, Kedah.
Sport fishing di Yan

Perusahaan ikan masik di Kampung Kuala Sungai Yan.
Perusahaan kecil nelayan di Yan

Tempat makan sedap di Yan Kedah

Sekiranya anda bercuti di Yan, jangan lupa untuk menjamu selera di tempat makan sedap yang kami senaraikan dibawah.

  • Kedai Burn - Terletak di Pantai Murni, Kedai Burn menyediakan makanan barat dan berbagai jenis burger. Beroperasi dari waktu petang hingga ke tengah malam.
  • Restoran Bersila - Terletak di Kampung Setar, Yan, Restoran Bersila menghidangkan makanan tengahari sahaja. Antara masakan istimewa ialah gulai itik dan itik goreng. Restoran ini kini jarang dibuka.
  • Restoran Ombak Lara - Nikmati mee udang di kampung Kuala Dulang Kecil. Paling popular. Selain itu, banyak restoran mee udang di daerah Yan. Semak google.
  • Medan selera di pekan Sungai Yan - Antara makanan yang sedap disini ialah pasembor.
  • Kedai Makan Seri Yan - Terkenal dengan gulai semilang. Makan tengahari. Ada ikan bakar, ayam bakar dan berbagai menu masakan kampung. Sedap dan murah.
  • D'Anjung Santai - Medan selera koperasi yang terletak di pekan Guar Chempedak ini beroperasi pada waktu petang hingga ke malam.
  • Medan selera Guar Chempedak - Terletak bertentangan dengan D'Anjung Santai. Antara makanan yang sedap di medan selera Guar Chempedak ialah bihun sup dan nasi ayam.
  • Roti canai Restoran Chilly - Batu 17, Guar Chempedak. Dibuka untuk sarapan pagi sahaja. Isnin-Selasa tutup.
  • Restoran At Satay Semeling cawangan Guar Chempedah - Jalan Guar Utama. Macam-macam satay, rojak, cucur udang, nasi goreng dan lain-lain.
  • Nasi Apollo Guar Kak Na Catering - Makan tengahari. Sedap dan murah. Tak dapat macam ni kat tempat lain.
  • Minum nira nipah - Ladang Nipah Ismail Che Kar, Jalan Kuala Sedaka, Yan. Sesuai untuk bersantai sambil menikmati air nira yang sejuk dengan kacang goreng.

Minum nira nipah di Yan

Pasar Malam di daerah Yan

Pasar malam di daerah Yan memang cukup menarik. Terdapat berbagai makanan tempatan yang dijual termasuk buah-buahan seperti durian, langsat, manggis dan lain-lain apabila tiba musimnya. Berikut ialah senarai pasar malam yang ada di daerah Yan.

  1. Pasar Malam Bukit Besar - Isnin, 4.00 Petang-10.00 Malam, Jalan Baru Bukit Besar.
  2. Pasar Malam Sungai Limau - Selasa, 4.00 Petang -10.00 Malam, Pekan Sungai Limau Dalam.
  3. Pasar Malam Simpang Tiga, Singkir - Rabu, 4.00 Petang -10.00 Malam, Simpan Tiga Singkir.
  4. Pasar Malam Sungai Yan - Khamis, 4.00 Petang -10.00 Malam, Pekan Sungai Yan.
  5. Pasar Malam Guar Chempedak - Sabtu, 4.00 Petang -10.00 Malam, Pekan Guar Chempedak.

Pasar malam Guar Chempedak Kedah

Kampung menarik di daerah Yan

Terdapat berbagai aktiviti ekonomi penduduk di daerah Yan. Antaranya ialah nelayan, pertanian sawah padi, usahawan kecil tradisional, berkebun dan lain-lain lagi. Sekiranya anda bercuti ke Yan Kedah, pastikan anda mengunjungi kampung-kampung menarik yang ada di sini seperti:

  • Kampung Kuala Dulang Kecil, Yan, Kedah - Kampung menarik yang dikelilingi sawah padi dan menghadap laut Selat Melaka. Apa yang menarik di kampung ini ialah sportfishing, pantai, sawah padi, nira nipah, mee udang.
  • Kampung Kuala Sungai Yan, Yan, Kedah. Apa yang menarik di kampung ini ialah sportfishing, pantai, ikan kering, nira nipah.
  • Kampung Setar, Yan, Kedah. Apa yang menarik di kampung ini ialah air terjun, Restoran Bersila, dusun buah-buahan.
  • Kampung Singkir Laut, Yan Kedah. Apa yang menarik di kampung ini ialah kolam udang, nira nipah, pantai.

Pemandangan sawah padi dan Gunung Jerai dari Kampung Sungai Bujur, Yan, Kedah.

Penginapan di Yan Kedah

Yan Kedah mungkin daerah kedua selepas Langkawi yang mempunyai paling banyak chalet penginapan. Apa yang menariknya, kebanyakan chalet mempunyai kolam masing-masing. Bagi pengunjung yang ingin bercuti bersama keluarga, ia tentulah lebih selesa.

Berikut ialah senarai hotel, motel, resort dan chalet di Yan Kedah. Anda boleh hubungi nombor telefon yang diberikan untuk maklumat lanjut.

  • Regency Jerai Hill Resort - Resort menarik di puncak Gunung Jerai. Telefon 04-466 7777.
  • Anjung Menjaro - Terletak di Titi Hayun. Ada kolam mandi. Telefon 012-424 7810.
  • Neo Era Chalet - Terletak di Titi Hayun. Ada kolam mandi. Telefon 012-557 9607.
  • Terrabait Premium Chalet -Terletak di Titi Hayun. Ada kolam mandi. Telefon 013-520 2855.
  • Damai Gunung - Terletak tidak jauh dari Seri Perigi. Ada kolam mandi. Telefon 019-457 2738.
  • Chalet dan Kem Warisan Ayahanda - Terletak di Batu Hampar. Ada sungai dan aktiviti menarik. Telefon 012-475 0661.
  • Salak Denai Chalet - Terletak berhampiran Batu Hampar. Ada kolam mandi. Telefon 012-537 6151.
  • Putri Ayu Chalet - Terletak di Bayu Hampar. Telefon 017-476 3556.
  • Chalet Rimbun Hijau - Ada kolam mandi. Telefon 012-510 8191.
  • Pawana Jerai Resort - Terletak di tepi pantai Ruat. Telefon 019-630 4799.
  • Casa Bayu Chalet - Terletak di tepi pantai Ruat. Telefon 019-529 4736.
  • Shafi Chalet - Terletak di Teroi. Kaki Gunung Jerai. Ada kolam mandi. Telefon 013-428 3325.
  • Dangau Ayahanda Chalet - Terletak di Teroi. Kaki Gunung Jerai. Ada kolam mandi. Telefon 019-357 9450.
  • D'Yan chalet - Terletak di Titi Hayun. Diuruskan oleh Majlis Daerah Yan. Telefon 04-447 1310.
  • Chalet D' Dusun Singkir - Kampung Singkir Genting, 08100 Yan, Kedah. Telefon 013-533 3934.
  • Chalet DGenting - Terletak di Kampung Singkir Genting. Telefon 019-559 9503.
  • Chalet Nur Kasih - Terletak di Kampung Singkir Genting. Telefon 013-591 6702.
  • D'Guar Motel - Terletak di Guar Chempedak. Berhampiran pekan. Telefon 012-407 2404.

Homestay menarik di Kampung Kuala Sungai Yan, Kedah.

Senarai homestay di Yan Kedah.

  • Homestay Kampung Raga, Yan, Kedah.
  • Kesuma Homestay, Pantai Murni, Yan, Kedah.
  • Homestay Pantai Murni, Yan, Kedah.

Pemandangan Jeti Kampung Kuala Dulang Kecil, Yan, Kedah.

Kesimpulan

Banyak tempat-tempat menarik di Yan Kedah yang unik tidak terdapat ditempat lain. Dengan perancangan itinerary yang betul, percutian anda disini pasti menarik dan memberi kepuasan tersendiri. Tempat penginapan yang banyak dan chalet-chalet menarik yang menyediakan kolam mandi sesuai untuk anda yang merancang hari keluarga, reunion dan sebagainya.

Setakat ini dahulu maklumat pelancongan yang dapat kami kongsikan. Sekiranya anda ingin menambah tempat menarik atau berkongsi pengalaman percutian disini sila komen. Buat semua pengunjung laman web Percutian Bajet, Selamat Bercuti!

Lihat semua Tempat menarik di Kedah mengikut daerah

Tarikan pelancongan lain

Jangan datang ke Kedah sebelum baca semua artikel dibawah.

  1. Tempat menarik: Top 10 tempat menarik di Kedah
  2. Tempat membeli-belah: Top 10 tempat membeli-belah di Kedah
  3. Aktiviti menarik: Top 10 aktiviti menarik di Kedah
  4. Terokai semua: Kedah - Tempat menarik, aktiviti dan percutian
Lokasi