Pantai Bisikan Bayu

Pantai Bisikan Bayu adalah salah satu tempat menarik di Kelantan yang cukup popular satu masa dahulu. Ia terkenal dengan pantai yang cantik, berpasir halus dan bersih. Pantai ini menjadi tumpuan orang-ramai pada musim cuti sekolah yang datang berkelah bersama keluarga. Struktur pantai yang landai juga sesuai untuk mandi laut jika ombak perlahan.

Nota: Untuk melihat lokasi menarik untuk bercuti, sila lawati halaman Senarai tempat menarik untuk percutian di Kelantan.

Pantai Bisikan Bayu.

Kami sempat berkunjung ke pantai ini yang juga dikenali dengan Pantai Dalam Rhu pada Februari 2017. Kawasan pantainya luas, berpasir halus dan menawarkan pemandangan menarik. Agak mengejutkan kerana kawasan pantai sunyi tanpa pengunjung. Kelihatan sebuah resort lama yang ditutup mungkin kerana kurang mendapat sambutan.

Lokasi

Pantai Bisikan Bayu terletak di Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan. Lokasinya tidak jauh dari sempadan negeri Terengganu. Jarak dari Kota Bharu ialah kira-kira 50km, manakala dari pekan Pasir Puteh lebih-kurang 16km. Jika menggunakan pengangkutan awam, teksi boleh menghantar anda terus ke pantai atau resort.

Alamat:
Pantai Bisikan Bayu,
16700 Cherang Ruku,
Kelantan

Peta Pantai Bisikan Bayu.

Tarikan pelancongan

Pertama kali tiba di pantai Bisikan Bayu, kami agak terkejut melihat suasana yang lengang dan sunyi di sini. Kami membayangkan keadaan meriah kerana ia merupakan destinasi pelancongan yang terkenal. Tiada restoran, gerai makan, kedai cenderahati atau aktiviti pelancongan yang boleh dilakukan. Namun, ia bukanlah sesuatu yang buruk. Pantai ini tetap menarik dan mempunyai tarikan tersendiri.

Pantai

Tarikan utama disini ialah pantai. Ia cukup popular suatu masa dahulu dan namanya gah hingga ke seluruh negara. Bagi pengunjung yang kerap ke pantai ini, mungkin kecantikannya tidak seperti dahulu. Hakisan dan kayu-kayu yang terdampar dibawa ombak ke pantai menyakitkan mata, namun bagi kami adalah biasa. Bukan sahaja di tanah besar, malah di pulau-pulau juga mengalami keadaan yang sama.

Pantai yang bersih dan cantik

Pantai ini memang cantik. Kawasan pantainya luas, berpasir bersih dan menawarkan pemandangan yang cukup menarik. Struktur pantai yang landai, air laut yang jernih dan desiran ombak yang menghempas pantai begitu mendamaikan. Bukan semua orang inginkan suasana meriah dan riuh-rendah di tempat percutian. Pantai Bisikan Bayu sesuai untuk mereka yang mencari ketenangan.

Berkelah

Pantai Bisikan Bayu sangat sesuai untuk dijadikan lokasi perkelahan keluarga. Dibawah teduhan rimbunan pokok-pokok rhu di tepi pantai, anda boleh berehat, menjamu selera sambil menikmati pemandangan laut yang mengasyikan.

Kawasan pantai yang luas.

Melihat matahari terbit

Salah satu tarikan di Pantai Bisikan Bayu ialah melihat matahari terbit. Ia merupakan lokasi strategik untuk menikmati keindahan waktu syuruk dimana pancaran cahaya membelah awan sebelum munculnya matahari perlahan-lahan di atas permukaan laut. Ia adalah pengalaman indah yang tidak dapat digambarkan dengan perkataan. Segalanya kebesaran Ilahi.

Berkhemah

Kawasan pantai Bisikan Bayu sangat luas dan lapang, sesuai untuk aktiviti perkhemahan. Tambahan pula, pantai ini agak sunyi kerana tidak ramai pengunjung. Ia adalah pilihan yang tepat bagi anda yang ingin mencari kedamaian dan keluar dari kesibukan kota.

Pemandangan Pantai Bisikan Bayu.

Memancing

Jika anda minat minat memancing, pastikan peralatan dibawa bersama bila bercuti ke Pantai Bisikan Bayu. Walaupun pantai ini bukan lokasi menarik untuk mencampak umpan tetapi Tok Bali memang terkenal sebagai kawasan perikanan. Ia cuma beberapa minit sahaja dari sini. Anda boleh memancing di kawasan muara atau mengambil pakej memancing di perairan Tok Bali.

Melawat tempat menarik

Beberapa tempat menarik ada disekitar pantai ini boleh dilawati semasa bercuti. Antara yang popular termasuk pasar pendaratan ikan dan replika bot nelayan di Tok Bali. Rugi jika anda tidak mendapatkan hasil laut segar seperti ikan, udang dan sotong untuk aktiviti bbq ditepi pantai. Selain itu, jangan ketinggalan untuk ke restoran popular Juara Ikan Bakar Tok Bali dan meggi ketam di Cherang Ruku.

Kemudahan

Di kawasan pantai ini disediakan surau, tandas, bilik persalinan, taman permainan dan juga terdapat sebuah chalet penginapan iaitu Taman Rehlah. Sayangnya, semua sudah ditutup dan tidak berfungsi lagi. Bangunannya masih ada tetapi bumbungnya telah runtuh. Agak menyedihkan kerana ia mencacatkan pemandangan pantai. Kami tidak pasti secara tepat tetapi melihat dari keadaan, ia telah bertahun-tahun tidak beroperasi.

Pondok rehat

Beberapa pondok rehat dapat dilihat di kawasan pantai masih dalam keadaan baik dan dapat dimanafaatkan pengunjung. Walau bagaimanapun, ia cuma tiang berbumbung tanpa kerusi tidak seperti yang biasa dilihat di taman rekreasi dan saiznya juga kecil.

Gerai makan

Tiada bangunan kedai makan atau kompleks perniagaan. Apa yang ada hanyalah gerai makan ditepi jalan berhampiran pantai. Jika bernasib baik, mungkin ia dibuka dan anda boleh menjamu selera dengan makanan tempatan seperti sata, keropok atau makanan ringan lain setelah penat mandi laut.

Penginapan

Tidak banyak tempat penginapan disediakan di kawasan Pantai Bisikan Bayu. Chalet Taman Rehlah telah ditutup. Cuma Tok Aman Bali Beach Resort sahaja yang beroperasi. Suka atau tidak, itu sahaja pilihan yang ada di pantai ini. Walau bagaimanapun, beberapa resort lain masih boleh didapati di sekitar pantai Tok Bali.

Tok Aman Bali Beach Resort

Tempat penginapan menarik di pantai Bisikan Bayu ialah Tok Aman Bali Beach Resort. Ia adalah sebuah resort yang menarik terletak di tepi pantai. Selain itu, terdapat sebuah tasik air tawar yang luas dikawasan resort. Aktiviti air seperti paddle boat dan berkayak boleh dilakukan di tasik ini. Bagi anda yang gemar bersukan, anda boleh menyewa basikal dan mengayuh dikawasan pantai untuk mengeluarkan peluh.

Tok Aman Bali Beach Resort.

Alamat:
Tok Aman Bali Beach Resort
No. Lot 6264-1, Pantai Bisikan Bayu,
16700 Cherang Ruku,
Kelantan

Telefon: +60 9-691 8899

Nota: Lihat senarai lengkap Tempat menarik di Kelantan untuk dilawati.

Bercuti di pantai Bisikan Bayu memang menyeronokkan. Ia adalah lokasi yang sesuai untuk bersama keluarga, kawan-kawan atau bersendiri. Anda boleh memilih untuk tinggal di Tok Aman Bali Beach Resort yang cukup selesa atau berkhemah di tepi pantai yang sudah pasti lebih mengujakan. Cuma yang agak kurang menarik ialah tiada kemudahan tandas awam dan bilik mandi, surau atau kedai makan dikawasan pantai.

Pada hari-hari biasa, Pantai Bisikan Bayu tidak menerima banyak kunjungan. Jika anda inginkan ketenangan, datang pada waktu begini. Suasana yang sunyi, bayu laut yang berhembus lembut dan desiran ombak menghempas pantai cukup mendamaikan. Jika ingin menikmati keindahan matahari terbit, datang awal selepas subuh. Anda pasti kagum melihat betapa indahnya alam ciptaan tuhan.

Add new comment