Pasar Siti Khadijah

Pasar Siti Khadijah ialah salah satu tarikan pelancongan popular di Kelantan. Ia adalah kompleks perniagaan yang mengumpulkan berbagai barangan tempatan seperti pakaian, kain batik, kain pasang, makanan, barangan dapur, aksesori dan bermacam-macam lagi. Bangunan besar setinggi tiga tingkat ini mempunyai berpuluh buah kedai yang kebanyakannya menjual barangan yang sama.

Nota: Lihat senarai lengkap Tempat menarik di Kelantan untuk dilawati.

Kedai kain.

Percutian Bajet sempat mengunjungi Pasar Siti Khadijah pada Februari 2017 yang lalu. Sebenarnya ia bukan kali pertama kami mengunjungi pasar ini. Biasanya jika datang ke sini hanyalah sekadar jalan-jalan menjamu mata kemudian beli sedikit buah tangan untuk dibawa pulang. Tetapi kali ini ia agak istimewa kerana kami melakukan lawatan lebih terperinci untuk memberi maklumat lengkap kepada pembaca. Ia memenatkan tetapi cukup seronok.

Lokasi

Pasar Siti Khadijah terletak di Kota Bharu. Lokasinya betul-betul dalam kawasan pusat bandar. Anda boleh terus memandu ke destinasi tetapi tempat meletak kereta agak terhad. Anda perlu mencari disekitar bangunan berhampiran dan berjalan kaki ke pasar jika tidak ingin bersusah-payah.

Alamat:
Pasar Siti Khadijah
Jalan Buluh Kubu,
15000 Kota Bharu,
Kelantan,

Peta Pasar Siti Khadijah.

Tarikan

Pasar Siti Khadijah popular sebagai tempat membeli-belah barangan tempatan. Ia mempunyai keunikan tersendiri kerana kedai-kedai disini dimonopoli oleh kaum wanita. Selain itu, pasar ini juga merupakan destinasi pilihan untuk menikmati makan tengahari. Bagi pelancong yang melawat Kelantan, khususnya Kota Bharu, tidak sempurna berkunjung ke sini jika tidak ke Pasar Siti Khadijah. Walau bukan untuk membeli-belah, keunikan dan budaya masyarakat tempatan cukup menarik untuk diperhatikan.

Membeli-belah

Tarikan utama di pasar ini ialah membeli-belah. Pelbagai barangan tempatan termasuk keperluan harian, bahan mentah seperti ikan dan sayuran serta berbagai barangan dapur dijual setiap hari. Selain itu, berbagai jenis pakaian lelaki dan wanita juga banyak terdapat disini. Bagi pelancong pula, pasar ini ialah lokasi untuk mendapatkan berbagai barangan untuk dibawa pulang seperti keropok ikan, dodol, serunding, beras siam, kain batik, kain pelikat, pakaian, tudung dan toto.

Tingkat bawah.

Bangunan Pasar Siti Khadijah mempunyai tiga aras. Aras bawah mengumpulkan kedai-kedai yang menjual barang dapur dan pasar basah. Barangan seperti sayur-sayuran segar, petai, jering, ikan kering, telur masin dan jeruk asam turut dijual. Jangan lupa untuk membeli beras siam yang banyak dijual disini. Ia jauh lebih enak berbanding beras tempatan biasa. Jenama yang dicadangkan ialah Beras Cap Burung Serindit. Anda juga boleh menikmati makanan tempatan di satu bahagian pasar yang menjual beraneka jenis kuih-muih tradisional dan moden.

Beras siam.

Aras satu terbahagi kepada beberapa bahagian. Di satu bahagian terdapat kedai-kedai makan yang menjual beraneka jenis makanan. Berjalan dikawasan ini benar-benar mencabar. Berbagai jenis masakan dipamerkan dan ia cukup membuka selera. Kawasan gerai juga boleh dikatakan bersih. Cuma kawasan makan agak sempit dan anda mungkin kurang selesa makan disebelah dapur memasak!

Bahagian makanan.
Keterangan gambar: Medan Selera Pasar Siti Khadijah.

Medan selera di tingkat 1 Pasar Siti Khadijah.
Keterangan gambar: Pandangan dari luar bahagian medan selera di tingkat 1, Pasar Siti Khadijah.

Dibahagian lain di aras satu ini terdapat kedai-kedai yang menjual makanan kering seperti serunding kelantan yang terkenal, keropok ikan, dodol, ikan kering, rempah-ratus dan lain-lain. Jangan lupa untuk membeli keropok ikan disini. Beli banyak-banyak sebab ia memang sedap, tahan lama dan boleh dijadikan buah tangan untuk saudara-mara.

Makanan ringan.
Keterangan gambar: Kedai makanan ringan.

Kedai runcit.
Keterangan gambar: Kedai runcit.

Di aras satu juga terdapat kedai-kedai yang menjual barangan perkahwinan. Kedainya agak besar dan banyak barang yang dijual. Tidak pasti bagaimana harga disini berbanding tempat-tempat lain.

Barangan perkahwinan.

Jika berjalan-jalan di aras satu, anda mungkin akan terjumpa kedai yang menjual barangan kraftangan ini. Walau bagaimanapun, tidak banyak barang menarik yang dijual.

Barangan kraftangan.

Aras dua pula merupakan bahagian pakaian. Disini terdapat kedai-kedai yang menjual kain pasang, kain batik, kain pelikat, telekung, beraneka jenis tudung, baju wanita, t-shirt dan lain-lain. Jika anda mencari barangan cenderahati untuk dibawa pulang, berbagai barangan yang sesuai bercirikan Kelantan boleh dibeli di pasar ini seperti t-shirt bercetak dan barangan kraftangan.

Kedai kain dan pakaian.

Waktu operasi:
Sabtu - Khamis: 7.00am - 6.00pm
Jumaat tutup.

Menjamu selera

Jika anda tidak tahu tempat menjamu selera di Kota Bharu, Pasar Siti Khadijah boleh dijadikan lokasi makan bersama keluarga. Untuk sarapan atau makanan ringan, beraneka jenis kuih-muih boleh didapati disini. Antara yang patut anda cuba ialah kuih akok, badak berendam, tepung pelita, kuih tahi itik dan puteri mandi.

Kuih-muih juga dijual.

Jika ingin makan tengahari, anda boleh ke medan selera di tingkat satu. Disini terdapat berbagai jenis makanan seperti sup, nasi, mee celup dan laksa. Kedai-kedai nasi campur mempamerkan masakan menyelerakan seperti udang besar, ayam berempah, gulai sotong dan lain-lain yang pasti membuatkan anda terliur. Jangan risau. Makan sahaja jika teringin kerana harga disini, mungkin mengelirukan jika dikatakan murah tetapi sejujurnya, sangat berpatutan.

Waktu operasi:
Sabtu - Khamis: 7.00am - 6.00pm
Jumaat tutup.

Kedai makan.

Pasar malam

Pasar malam dibuka setiap hari diperkarangan Pasar Siti Khadijah. Ia tidak sebesar Wakaf Che Yeh tetapi menarik untuk dikunjungi. Ia lebih santai dan tidak sesak dengan orang-ramai. Kawasan ini juga tidak sibuk di waktu malam. Anda boleh bersiar-siar mencuci mata sambil menikmati suasana malam di bandar Kota Bharu.

Kemudahan

Beberapa kemudahan awam disediakan di Pasar Siti Khadijah seperti tandas, masjid dan mesin ATM. Disebabkan pasar ini agak besar anda mungkin terpaksa berjalan sedikit mencari kemudahan yang disediakan.

Masjid Al-Baro'ah di sebelah Pasar Siti Khadijah.
Keterangan gambar: Masjid Al-Baro'ah, Pasar Besar Siti Khadijah.

Bahagian makanan mentah.

Nota: Untuk melihat lokasi menarik untuk bercuti, sila lawati halaman Senarai tempat menarik untuk percutian di Kelantan.

Melawat Pasar Siti Khadijah memberi berbagai pengalaman menyeronokkan. Daripada pengalaman sendiri, peniaga disini peramah dan jujur. Namun ada juga rakan-rakan yang pernah tertipu membeli kain. Jadi, hati-hati dan berwaspada selalu tak kira dimana. Pada yang minat mengambil gambar, pasar ini cukup berwarna-warni. Berbagai aksi juga boleh dirakamkan. Tengok keadaan, pastikan anda memohon izin pada yang berkenaan sebelum mengambil gambar. Setakat ini dahulu, semoga artikel ini bermanafaat pada anda. Jangan lupa kongsikan pada keluarga dan rakan-rakan. Selamat bercuti!

Add new comment