Tarikan pelancongan di Kelantan

Salah sebuah negeri yang menjadi destinasi pelancongan popular di pantai timur Semenanjung Malaysia ialah Kelantan. Negeri ini kaya dengan alam semulajadi yang cantik seperti air terjun, bukit dan gunung serta pantai-pantai menarik. Selain itu, negeri ini cukup terkenal dengan kebudayaan masyarakatnya yang unik. Bagi artikel kali ini, PercutianBajet akan senaraikan tarikan pelancongan di Kelantan dan juga aktiviti menarik yang ada sebagai panduan pengunjung untuk merancang percutian mereka serta memilih lokasi mana yang sesuai untuk dikunjungi.

Nota: Bagi lokasi menarik untuk bercuti, lihat artikel senarai tempat menarik untuk percutian di Kelantan.

Pengenalan Kelantan

Kelantan Darul Naim terletak di pantai timur semenanjung Malaysia. Negeri ini turut dikenali dengan nama Negeri Cik Siti Wan Kembang. Di bahagian utaranya bersempadan dengan Thailand dan bahagian timurnya berhadapan dengan Laut China Selatan. Bahagian hulunya pula ialah banjaran Titiwangsa. Terdiri daripada 10 jajahan iaitu:

  • Jajahan Kota Bharu
  • Jajahan Pasir Mas
  • Jajahan Tumpat
  • Jajahan Pasir Puteh
  • Jajahan Bachok
  • Jajahan Kuala Krai
  • Jajahan Machang
  • Jajahan Tanah Merah
  • Jajahan Jeli
  • Jajahan Gua Musang
  • Jajahan Kecil Lojing

Bandar-bandar utama di negeri Kelantan termasuk Kota Bharu sebagai ibu negeri, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Jeli, Rantau Panjang dan Pangkalan Chepa.

Lihat artikel tempat menarik di Kota Bharu Kelantan.

Tarikan utama pelancong ke Kelantan ialah membeli-belah, kebudayaan, makanan dan alam semulajadi. Ia menjadi destinasi popular percutian bajet keluarga di musim cuti sekolah. Jika anda merancang untuk bercuti ke sana, lihat senarai tempat menarik di Kelantan yang kami sediakan dibawah untuk panduan aktiviti anda.

Peta pelancongan dan tempat menarik di Kelantan.

Membeli-belah di Kelantan

Kelantan terkenal dengan produk tempatan yang bermutu seperti batik, songket dan barangan kraftangan menarik. Malah ia merupakan salah satu tarikan utama pelancong ke negeri ini. Berbagai jenis pusat membeli-belah yang menjual barangan tempatan dan juga import yang boleh anda kunjungi seperti:

  • Pasar Bazar Siti Khadijah - Menjual pelbagai jenis makanan termasuk barangan keperluan harian.
  • Bazar Buluh Kubu - Pusat jualan batik dengan kepelbagaian corak, berkualiti tinggi serta penjualan songket dan barangan kraftangan.
  • KB Bazar - Antara barangan yang ditawarkan termasuklah batik, barangan perak, perabot rumah, pakaian dan barangan antik yang dihasilkan sendiri oleh rakyat Kelantan.
  • Rantau Panjang - Kawasan bebas cukai yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand. Berbagai barangan ada disini seperti pinggan-mangkuk, makanan, pakaian, kelengkapan rumah dan sebagainya dijual dengan harga murah.
  • Pengkalan Kubor - Satu lagi pusat membeli-belah kawasan bebas cukai yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.
  • Bukit Bunga - Deretan kedai di kampung yang berhampiran dengan sempadan Malaysia-Thailand. Menawarkan pelbagai barangan dengan harga yang berpatutan.
  • Bazar Tok Guru - Menjual pelbagai aneka pakaian siap, batik dan songket, makanan tempatan seperti keropok dan dodol.
  • Wakaf Che Yeh - Pasar malam yang beroperasi dari siang hingga ke lewat pagi. menjual pelbagai barangan tempatan dan juga barangan import dari Thailand.
  • KB Mall
  • Pasar MPKB

Pasar Bazar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan.

Kebudayaan di Kelantan

Berbagai kebudayaan menarik ada di Kelantan. Malah ia merupakan salah satu tarikan pelancongan negeri ini dimana keunikan dan keistimewaannya masih dipelihara hingga sekarang. Antara yang terkenal ialah persembahan wayang kulit, dikir barat, permainan wau dan juga gasing.

  • Wau Bulan - Salah satu daripada berbagai jenis wau yang dimainkan di Kelantan. Wau ialah permainan tradisional di Kelantan. Terdapat berbagai jenis wau seperti wau jala budi, wau merak dan lain-lain lagi. Wau biasanya dimainkan selepas musim menuai padi. Pertandingan wau juga sering diadakan bagi menarik kedatangan pelancong ke Kelantan.
  • Gasing - Permainan tradisional orang melayu Kelantan. Terdapat dua jenis gasing iaitu Gasing Uri dan Gasing Pangkah. Gasing diperbuat dari kayu dan paksinya pula diperbuat dari besi.
  • Kertok - Permainan muzik tradisional ini dimainkan dimajlis-majlis keramaian. Kertok diperbuat dari kayu Merbau atau Nibong yang dilubangkan ditengahnya dan diisi dengan tempurung kelapa.
  • Rebana Ubi - Rebana Ubi ialah alat muzik tradisional melayu yang terkenal di Kelantan.
  • Wayang Kulit - Pertunjukan wayang kulit adalah hiburan tradisional masyarakat melayu di Kelantan. Ia masih popular sehingga kini dan selalu dimainkan dipersembahan kebudayaan.
  • Sepak Bulu Ayam - Permainan tradisional dimainkan oleh beberapa orang. Cara permainan ialah dengan menimang bulu ayam dengan kaki agar tidak jatuh ketanah.
  • Seni Silat Tari - Seni silat mempertahankan diri melayu di Kelantan. Selalu dipersembahkan di majlis-majlis keramaian dengan diiringi muzik tradisional seperti serunai, gendang dan gong.
  • Congkak - Permainan tradisional ini biasanya dimainkan oleh orang perempuan. Ia boleh didapati dengan mudah di kelantan. Sesuai dijadikan cenderahati kerana congkak diperbuat dari kayu dan dihias dengan cantik.
  • Dikir Barat - Seni hiburan masyarakat melayu Kelantan. Dikir barat dinyanyikan secara beramai-ramai dengan diketuai oleh tok juara dan tukang karut sebagai penyanyi utama.

Wau Bulan adalah permainan tradisi di Kelantan.

Kraftangan di Kelantan

Kelantan kaya dengan berbagai kraftangan yang menjadi tarikan pelancong. Jika anda bercuti ke kelantan, dapatkan hasil kraftangan bermutu seperti batik atau songket tenunan yang terkenal ke seluruh negara. Juga terdapat kraftangan lain seperti:

  • Batik
  • Songket
  • Perak
  • Ukiran Kayu
  • Buluh
  • Rotan
  • Tembikar
  • Perusahaan Besi

Makanan tradisi Kelantan

Salah satu tarikan pelancongan di Kelantan ialah makanannya. Kelantan mempunyai berbagai makanan unik yang tidak terdapat di negeri lain. Jika ke Kelantan, jangan lupa merasa juadah yang disenaraikan dibawah.

  • Nasi Kerabu
  • Nasi Dagang
  • Nasi Berlauk
  • Nasi Tumpang
  • Laksam
  • Sambal Daging (Serunding Daging)
  • Budu
  • Ayam Percik
  • Jala Mas
  • Lompat Tikam
  • Ketupat Sotong
  • Lempok
  • Tahi Itek
  • Buah Tanjung
  • Puteri Mandi
  • Akok

Nasi Kerabu adalah makan tradisi di Kelantan.

Pantai menarik di Kelantan

Bagi pelancong yang gemar mengunjungi pantai semasa percutian, anda boleh bergembira apabila bercuti ke Kelantan. Di Kelantan terdapat banyak pantai yang menarik serta berbagai aktiviti unik seperti pertandingan wau turut dijalankan di tepi pantai. Antara pantai yang boleh dikunjungi ialah:

  • Pantai Bisikan Bayu - Pantai menarik yang menjadi tarikan pelancong yang berkujung ke Kelantan. Ia terletak kira-kira 50 km dari Kota Bharu.
  • Pantai Cahaya Bulan - Terletak berhampiran bandar Kota Bharu, Pantai Cahaya Bulan merupakan salah satu destinasi wajib bagi pelancong yang bercuti ke Kelantan.
  • Pantai Tok Bali - Juga terletak berhampiran Kota Bharu, pantai Tok Bali sangat mempersonakan dengan pemandangan pantai dan laut yang menarik. Terdapat resort dan chalet bagi pelancong yang ingin bercuti disini.
  • Pantai Irama - Pantai yang sesuai untuk bersantai diwaktu petang sambil menjamu selera atau menjamah makanan ringan.
  • Pantai Sri Tujuh - Terletak lebih kurang 22 km dari Kota Bharu. Pantai ini merupakan tapak Pesta Pertandingan Wau Antarabangsa yang diadakan setiap tahun.
  • Pantai Sabak - Pantai ini terkenal dengan bot-bot nelayan yang dihias cantik dengan warna-warna yang terang dan unik. Pantai ini juga meriah kerana orang-ramai yang menunggu nelayan pulang untuk membeli hasil tangkapan.

Pantai Tok Bali, Kelantan.

Gunung di Kelantan

Bagi peminat aktiviti lasak dan pencinta alam semulajadi, terdapat beberapa buah bukit dan gunung di Kelantan yang menjadi tarikan para pendaki. Antaranya ialah:

  • Bukit Kemahang
  • Gunung Noring Timor
  • Gunung Berangkat
  • Gunung Chamah
  • Gunung Rabong
  • Gunung Ayam
  • Gunung Stong

Pusat kesenian Kelantan

Bagi peminat seni pula, terdapat gelanggang seni dan rekaan binaan menarik yang boleh dilihat di Kelantan. Antaranya ialah:

  • Gelanggang Seni.
  • Tokong-tokong Buddha.

Air terjun menarik di Kelantan

Kelantan mempunyai banyak air terjun menarik yang sentiasa dikunjungi masyarakat setempat dan juga pelancong dari luar. Malah salah satu air terjunnya iaitu Air terjun Jelawang adalah air terjun tertinggi di Asia tenggara. Berikut adalah senarai air terjun yang boleh dikunjungi semasa percutian di Kelantan.

  • Jeram Pasu - Kawasan rekreasi air terjun yang cukup popular di Kelantan. Airnya jernih dan sejuk serta udara yang segar dan nyaman sesuai dijadikan lokasi perkelahan keluarga.
  • Jeram Linang - Terletak di Hutan Simpan Ulu Sat, Machang. Jeram Linang adalah air terjun yang terkenal di Kelantan sebagai tempat rekreasi untuk perkelahan dan mandi manda.
  • Lata Rek - Terletak di Jajahan Kuala Krai, air terjun Lata Rek memiliki air terjun setinggi 20 meter dan 100 meter panjang. Kolam airnya tidak terlalu dalam dan sesuai untuk kanak-kanak mandi dan bermain air.
  • Lata Beringin - Air terjun ini terletak di Jajahan Kuala Krai dan sangat terkenal kerana memiliki air terjun setinggi 120 meter. Ianya sesuai dijadikan tempat perkhemahan kerana suasana dan kecantikan alam semulajadi.
  • Air Terjun Kuala Koh - Terletak dalam kawasan hutan yang kaya dengan flora dan fauna di dalam Jajahan Gua Musang. Mempunyai sebuah jambatan gantung dikawasan berhampiran untuk pengunjung menikmati keindahan alam semulajadinya.
  • Air Terjun Jelawang - Air terjun cantik setinggi 305 meter ini adalah yang tertinggi di Asia tenggara. Terletak di Gunung Stong iaitu dikawasan Hutan Simpan Dabong, Kelantan.
  • Air terjun Bukit Bakar - Kawasan perkelahan ini sangat menarik dan sering menjadi tumpuan orang-ramai di musim cuti.

Lihat lokasi percutian alam semulajadi menarik di Kelantan dalam artikel Hutan Lipur Gunung Stong Kelantan.

Air terjun Jelawang, Gunung Stong, Kelantan.

Tempat menarik lain di Kelantan

Tidak puas melancong di Kelantan? Jangan risau kerana banyak lagi tempat menarik di Kelantan yang boleh anda kunjungi. Dibawah ini ialah senarai tarikan pelancongan alam semulajadi, tempat sejarah dan juga tempat menarik lain yang boleh dilawati bila anda bercuti di Kelantan.

  • Tasik Pergau - Terletak dalam jajahan Jeli, tasik Pergau terkenal dengan projek hidroelektrik. Ia adalah destinasi percutian bajet yang menarik kerana chalet-chalet terapung dan banyak aktiviti yang boleh dijalankan seperti merentas hutan, berkayak dan berkhemah.
  • Mata Air Panas, Labok - Terletak dalam Jajahan Machang, kolam air panas ini sesuai untuk berendam melepaskan penat.
  • Gua Ikan - Terletak 2 KM dari Dabong, Taman Rekreasi Gua Ikan merangkumi Gua Ikan, Gua Pagar, Gua Keris dan Gua Gelap. Pengunjung dapat melihat gua batu kapur yang mempunyai stalaktit dan stalagmit yang unik dan mempersona.
  • Taman Kelip-Kelip, Kampung Pulau - Terletak di kawasan Kubang Kerian. Keindahan kelip-kelip dapat dilihat dari pukul 8 hingga 11 malam dari bulan Februari hingga Oktober.
  • Muzium Kelantan
  • Muzium Perang
  • Istana Jahar
  • Istana Batu
  • Kota Sultan Ismail Petra
  • Kampung Kraftangan
  • Gelanggang Seni
  • Masjid Negeri Al-Muhammadi
  • Masjid Langgar
  • Masjid Kampung Laut
  • Masjid Beijing
  • Suluk Tok Selehor

Nota: Maklumat lanjut mengenai tempat menarik boleh dibaca di halaman Tempat menarik di Kelantan untuk dilawati.

Kota Sultan Ismail Petra, Kelantan.

Program homestay di Kelantan

Jika ingin merasai pengalaman kehidupan dan melihat sendiri adat resam dan budaya masyarakat di Kelantan, anda harus tinggal sendiri bersama mereka. Ikuti program homestay yang ditawarkan. Berikut merupakan program homestay yang diikhtiraf oleh kerajaan negeri Kelantan:

  • Homestay Batu Papan, Gua Musang - Kampung dipinggir Sungai Galas. Pengunjung homestay berpeluang merasai kehidupan harian masyarakat disini iaitu bertani dan menternak ikan. Aktiviti lain ialah seperti mengunjungi Gua Madu, melihat sendiri bagaimana penduduk disini membuat kerepek, persembahan kebudayaan dan aktiviti sungai. Keterangan lanjut boleh hubungi : 019-9123400 (Zamri Bin Zakaria).
  • Homestay Renok Baru, Gua Musang - Nikmati suasana kampung yang bersih dan cantik, menghirup udara segar serta rasai sendiri pengalaman kehidupan harian masyarakat kampung seperti bertani dan menternak ikan. Banyak aktiviti menarik yang boleh dilakukan disini seperti berakit di Sungai Nenggiri, merentas kawasan penempatan orang asli, berkhemah dan mandi-manda di air terjun, melawat Taman Etnobotani, Gunung Rabong dan Air Terjun Pelangi. Keterangan lanjut boleh hubungi : 019-9921432 (Pn Syamsiah Binti Yusoff)
  • Homestay Pantai Suri, Tumpat - Rasai pengalaman kehidupan nelayan di homestay ini. Aktiviti menarik disini ialah seperti mengayam tikar, bermain wau, mencari belalang rusa, menyuluh ketam, mencari kelip-kelip, menyusuri sungai di kepulauan Tumpat dan lain-lain. Keterangan lanjut boleh hubungi : 011-25568984 (Pn Fadilah Binti Ramly).
  • Homestay Jelawang, Dabong - Pintu utama untuk ke Air Terjun Jelawang. Pelancong yang tinggal disini berpeluang melihat kebudayaan masyarakat setempat, mendaki Gunung Stong serta menjelajah ke Gua Ikan. Keterangan lanjut boleh hubungi : 09-9362698 (Mohd Fauzi Bin Mohd Noor).
  • Homestay Seterpa, Kota Bharu - Pelancong berpeluang menyaksikan demonstrasi membuat wau, mengutip getah sekerap, mencanting batik, memarut kelapa dan persembahan kebudayaan. Keterangan lanjut boleh hubungi : 013-9393553 (Dr Mohamed Saat Bin Ismail).
  • Homestay Kubang Telaga, Bachok - Tarikan utama yang ada di Homestay Kubang Telaga Bachok ialah tarikan panorama yang indah dan persembahan kebudayaan. Keterangan lanjut boleh hubungi : 013-6789893 (Awang Bin Mat Salleh).
  • Homestay Kemuchup, Machang - Antara tarikan utama disini alah permaian wau, barangan tembikar, dapat merasai pengalaman mengutip getah sekerap dan terdapat tempat perkelahan di Hutan Simpan Bukit Bakar dan Air Terjun Jeram Linang. Anda boleh berhubung terus dengan En.Mohd Nawai Bin Shayal untuk mendapat keterangan lanjut (014-2128889).
  • Homestay Bukit Jering, Jeli - Lokasi tidak jauh dari pusat pelancongan alam semulajadi seperti Taman Negeri Stong, Air Terjun Jelawang dan Sungai Pergau. Aktiviti yang boleh dilakukan disini antaranya ialah jungle tracking, memancing, menangkap ikan, menyertai aktiviti kebudayaan dan permainan tradisional. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Homestay Bukit Jering anda boleh bertanyakan kepada En. Mohd Pauzi Bin Muhammad (019-9061911).

Penginapan di Kelantan

Kemudahan penginapan di Kelantan seperti hotel, resort, chalet dan juga homestay boleh didapati di bandar-bandar utama dan juga lokasi pelancongan menarik lain seperti pantai, air terjun dan sebagainya. Anda boleh membuat tempahan lebih awal secara online terus melalui hotel atau agensi pelancongan. Untuk melihat perbandingan harga hotel di Kelantan dan menempah bilik penginapan dengan harga terendah, anda boleh ke BOOKING.COM.

Setakat ini dahulu senarai tarikan pelancongan di Kelantan yang dapat kami sediakan sebagai panduan merancang percutian anda. Kami akan sentiasa mengemaskini dan menambahbaik halaman ini agar dapat menjadi rujukan pengunjung yang ingin melancong ke Kelantan. Sekiranya anda ingin menambah lokasi menarik atau berkongsi pengalaman bercuti ke Kelantan, sila komen dibawah artikel ini. Selamat bercuti dari kami di PercutianBajet.

Comments

2

semua ini dapat membantu saya membuat karangan terima kasih :)

Sama-sama. Belajar rajin-rajin. :-)

Add new comment