Tempat menarik di Kota Bharu Kelantan

Bandar paling banyak lokasi pelancongan untuk dilawati di Kelantan ialah ibu negerinya iaitu Kota Bharu. Ada tempat-tempat bersejarah, beberapa lokasi membeli-belah yang menarik, kemudahan penginapan dan kedai makan yang banyak menjadikan bandar ini destinasi pilihan setiap kali tiba musim cuti sekolah. Kali ini Percutian Bajet akan berkongsi beberapa tempat menarik di Kota Bharu yang cukup popular dikalangan pelancong sebagai panduan anda.

Nota: Untuk bercuti, sila lawati halaman Tempat percutian menarik di Kelantan.

Menara Rehal

Satu tempat yang tidak akan terlepas perhatian sesiapa sahaja yang mengunjungi Kota Bharu ialah gerbang yang menjadi mercu tanda bandar ini iaitu Pintu Gerbang Kota Sultan Ismail Petra. Ia juga turut dikenali sebagai Menara Rehal. Kawasan ini menjadi tumpuan pelancong kerana banyak tempat menarik yang boleh dilawati. Lokasi pelancongan paling hampir ialah Istana Jahar.

Pintu Gerbang Kota Sultan Ismail Petra

Istana Jahar

Istana Jahar terletak di Kota Sultan Ismail Petra. Ia dibina pada tahun 1855 oleh Sultan Muhammad II untuk cucunda baginda Long Kundur. Istana yang dibina dari kayu ini mempunyai rekabentuk yang sangat cantik. Kini istana ini dijadikan Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan. Selesai melawat, anda boleh ke destinasi seterusnya yang paling hampir iaitu Kampung Kraftangan.

Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan

Kampung Kraftangan

Kampung Kraftangan ialah tempat menarik di Kota Bharu yang mesti dilawati. Di sini terdapat Muzium Kraftangan dimana pengunjung dapat melihat berbagai hasil kraftangan halus Kelantan seperti songket, batik, ukiran kayu, kerja perak dan lain-lain. Lebih menarik, demostrasi sulaman, menenun songket dan mencanting batik turut diadakan. Selain mengagumi kecantikan kraftangan, pengunjung turut mendapat ilmu bagaimana ia dihasilkan.

Waktu operasi:
Setiap hari: 8.30 pagi - 4.45 petang (kecuali Jumaat)

Kampung Kraftangan Kelantan

Muzium Diraja Istana Batu

Muzium Diraja Istana Batu terletak bersebelahan dengan Kampung Kraftangan. Muzium ini asalnya merupakan istana tempat bersemayam Al-Marhum Sultan Yahya Petra Ibni Al- Marhum Sultan Ibrahim semasa menjadi Tengku Mahkota Kelantan. Pada tahun 1991, ia telah dijadikan Muzium Diraja yang mempamerkan pelbagai khazanah Sejarah Kesultanan Kelantan sejak dahulu.

Muzium Diraja Istana Batu

Istana Balai Besar

Istana Balai Besar dibina pada tahun 1855 oleh Sultan Muhammad II. Ia merupakan tempat bersemayam sultan Kelantan pada masa dahulu. Kini ia merupakan tempat berlangsung upacara rasmi kerajaan. Binaan istana ini cukup cantik dan unik. Namun ia tidak dibuka untuk lawatan kepada orang awam. Walau bagaimanapun, pelancong masih dapat melihat kecantikan senibinanya dari pintu gerbang istana yang terletak berhampiran Pintu Gerbang Kota Sultan Ismail Petra.

Pintu Gerbang Istana Balai Besar

Padang Merdeka

Padang Merdeka terletak berhadapan Menara Rehal, padang ini sering dijadikan lokasi acara rasmi. Terdapat sebuah tugu memorial perang, balai cantik yang diperbuat dari kayu dan tiang bendera didalam kawasan padang yang berpagar ini.

Menara Jam Tambatan Diraja

Menara Jam Tambatan Diraja terletak ditebing Sungai Kelantan. Lokasinya ialah dihujung Padang Merdeka sebelah tiang bendera. Pengunjung boleh menaiki menara ini untuk melihat pemandangan bandar Kota Bharu dan Sungai Kelantan dari atas.

Menara Jam Tambatan Diraja

Memorial Perang Dunia Kedua

Bank Kerapu Memorial Perang Dunia Kedua atau Muzium Perang yang terletak di Jalan Sultan bersebelahan Padang Merdeka ini menyimpan khazanah seperti gambar, artikel dan artifek sejarah.

Bank Kerapu Memorial Perang Dunia Kedua

Muzium Islam

Muzium Islam terletak di Jalan Sultan bersebelahan dengan Bank Kerapu Memorial Perang Dunia Kedua. Ia mempunyai berbagai artifek yang menjelaskan bagaimana Islam berkembang di negeri Kelantan.

Muzium Islam Kelantan

Masjid Muhammadi

Masjid Muhammadi terletak berhampiran Muzium Islam. Ia adalah masjid tertua di Kota Bharu yang dibina pada tahun 1867 semasa pemerintahan Sultan Muhammad II. Masjid ini pada asalnya dibina dari kayu namun pengubahsuaian telah dilakukan dan menukar kepada batu pada tahun 1922.

Masjid Muhammadi atau Masjid Besar Kota Bharu

Pasar Siti Khadijah

Salah satu tempat menarik di Kota Bharu yang paling popular ialah Pasar Siti Khadijah. Pasar yang diberi nama sempena isteri Rasulullah s.a.w, yang merupakan usahawan wanita berjaya ini menempatkan kedai-kedai yang menjual pelbagai barangan tempatan. Sesuatu yang unik di pasar ini ialah kebanyakan peniaga terdiri dari kaum wanita. Antara yang menarik disini ialah tudung, kain, batik dan baju yang dijual dengan harga murah. Selain itu, disini juga lokasi terbaik untuk membeli keropok, kerepek dan makanan kering lain.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati halaman Pasar Siti Khadijah.

Pasar Siti Khadijah

Bazar Tok Guru

Satu lagi lokasi untuk membeli-belah ialah di Bazar Tok Guru. Pelbagai jenis tudung, kain, batik dan lain-lain boleh dibeli disini. Namun ia terletak agak jauh dari lokasi pelancongan yang telah disenaraikan diatas.

Bazar Tok Guru

Wakaf Che Yeh

Jika anda mencari tempat menarik di Kota Bharu waktu malam, Wakaf Che Yeh ialah pasar malam yang cukup mernarik untuk dikunjungi. Turut dikenali sebagai Uptown Kota Bharu, pasar ini beroperasi selepas Maghrib hingga ke awal pagi. Berbagai barangan boleh didapati di sini termasuk pakaian, makanan dan bermacam-macam lagi.

Maklumat lanjut boleh lihat di halaman Wakaf Che Yeh Kota Bharu.

Wakaf Che Yeh

Pantai Cahaya Bulan

Jika anda ingin bersiar-siar ditepi pantai sambil menikmati pemandangan laut, Pantai Cahaya Bulan ialah lokasi yang sangat popular di Kota Bharu yang boleh anda kunjungi. Di tepi pantai juga terdapat deretan kedai yang menghidangkan pelbagai makanan dan minuman untuk anda menjamu selera.

Pantai Cahaya Bulan atau PCB

Nota: Bagi pengunjung yang ingin melawat Kelantan, anda dinasihatkan agar memakai pakaian yang sopan dan tidak menjolok mata. Ini kerana negeri ini majoriti penduduknya beragama Islam dan sangat menitik-beratkan ajaran agama. Jaga pemakaian anda agar tidak menyinggung masyarakat tempatan terutama jika anda ke kawasan luar bandar.

Nota: Lihat senarai lengkap Tempat menarik di Kelantan untuk dilawati.

Kesimpulannya, banyak tempat menarik di Kota Bharu Kelantan yang boleh dilawati jika anda bercuti disini. Semoga dengan senarai yang dikongsikan diatas, anda dapat merancang lokasi yang sesuai untuk percutian bersama keluarga atau rakan-rakan. Sila kongsikan pengalaman anda diruangan komen dibawah. Selamat bercuti!

Lokasi