Wakaf Che Yeh Kota Bharu

Jika anda bercuti di Kota Bharu, jangan lupa untuk ke Wakaf Che Yeh. Ia adalah pasar malam yang besar dan meriah. Dibuka dari jam 8 malam hingga 2 pagi, ia adalah tempat menarik yang mesti dikunjungi di waktu malam. Anda boleh membeli-belah barangan tempatan seperti kain batik dan kain pasang atau berbagai barangan dari Thailand yang dijual dengan harga yang murah.

Tidak seperti kebanyakan pasar malam biasa yang dibuka secara mingguan, Wakaf Che Yeh dibuka setiap hari. Ia menjadi salah satu tarikan pelancongan yang terkenal di negeri Kelantan.

Nota: Lihat senarai lengkap Tempat menarik di Kelantan untuk dilawati.

Gerai barangan aksesori di Wakaf Che Yeh.

Lokasi

Wakaf Che Yeh terletak di Jalan Kuala Krai tidak jauh dari pusat bandar Kota Bharu. Jaraknya lebih-kurang 10 km, mengambil masa 10 - 20 minit perjalanan bergantung kepada kesesakan jika anda memandu kereta.

Tarikan

Tarikan utama Wakaf Che Yeh ialah membeli-belah. Berbagai barangan keperluan harian seperti baju, seluar, kain pasang, aksesori telefon, makanan dan bermacam-macam lagi boleh didapati disini. Gerai-gerai dibuka disepanjang lorong antara bangunan dan tepi jalan. Harga yang ditawarkan adalah lebih murah berbanding tempat lain di Kota Bharu.

Kedai kain murah di Wakaf Che Yeh.

Tarikan lain di wakaf Che Yeh ialah makanan. Ia menjadi lokasi pilihan orang-ramai menjamu selera bersama keluarga atau kawan-kawan. Banyak restoran yang menyediakan berbagai menu masakan untuk makan malam. Selain banyak pilihan, harga yang dikenakan juga berpatutan.

Pasar malam

Pasar malam ini terletak di tepi jalan dan lorong bangunan. Berbagai barangan dijual seperti pakaian, aksesori, beg dan lain-lain. Gerai-gerai tidak dibahagian mengikut kategori tertentu. Anda perlu berjalan meninjau sendiri melihat apa yang ada.

Kebanyakan gerai di pasar malam ini menjual baju wanita, pakaian lelaki dan pakaian kanak-kanak.

Gerai yang menjual berbagai jenis pakaian.

Seluar jeans turut dijual disini. Ada yang di import dari Thailand dan ada juga yang terpakai atau "bundle".

Gerai jeans yang terletak di lorong antara bangunan.

Selain gerai ditepi jalan, ada kedai di bangunan perniagaan yang dibuka. Antaranya kedai yang menjual kain pasang, cadar dan toto narita.

Kedai yang menjual kain pasang.

Ada juga kedai di bangunan perniagaan yang menjual pakaian seperti baju, seluar dan pakaian kanak-kanak di buka di waktu malam.

Kedai di bangunan perniagaan.

Berjalan-jalan di setiap lorong, berbagai barangan boleh ditemui. Antara yang menarik ialah gerai beg, dompet dan tali pinggang. Harga barangan ini memang lebih murah berbanding tempat lain.

Lorong gerai-gerai aksesori.

Jika tiada masalah kesihatan atau gangguan anak kecil, anda boleh meninjau setiap lorong yang ada di Wakaf Che Yeh ini. Kalau kaki anda berasa sakit, tukar saja kasut baru. Macam-macam jenis kasut ada dijual.

Gerai yang menjual berbagai jenis kasut.

Setelah penat berjalan, anda boleh berehat sambil menjamu selera di kedai makan berhampiran pasar malam. Ada juga gerai makanan di kawasan pasar malam. Makanan tempatan seperti dodol, serunding dan lain-lain turut dijual disini.

Gerai-gerai di tepi jalan.

Restoran

Selain pasar malam, Wakaf Che Yeh turut menjadi tumpuan untuk menjamu selera. Beberapa buah restoran terkenal ada disekitar Wakaf Che Yeh. Antaranya ialah KST Ikan Bakar, Al-Kahfi Tomyam dan Restoran Mawar Merah. Makanan dan minuman yang disediakan disini memang sedap dengan harga berpatutan.

Anda juga boleh mencuba restoran lain yang ada seperti:

  • Zaeman Nasi Kukus
  • Kedai Nasi Air
  • D'Amra Chicken Chop
  • Restoran Sup Urat Keting
  • Anis Ikan Bakar

Wakaf Che Yeh adalah destinasi menarik yang mesti dikunjungi jika bercuti di Kota Bharu. Ia akan sesak dengan orang-ramai yang datang untuk membeli-belah. Kebanyakkan pengunjung terdiri dari pelancong dan masyarakat setempat. Anda mungkin sukar mendapatkan tempat untuk meletak kenderaan. Tiada tempat letak kereta khusus disini. Anda boleh memilih mana-mana lokasi seperti ditepi jalan, lorong bangunan atau kawasan persendirian. Biasanya ada penjaga yang akan menunjukkan kawasan parking dan anda akan dikenakan bayaran sebanyak RM2.

Add new comment