Bercuti di Pantai Klebang Melaka

Pantai Klebang ialah salah satu lokasi menarik untuk bercuti di Melaka. Berbagai kemudahan dan tarikan pelancongan telah dibangunkan disini bagi menarik lebih ramai pelancong. Kali ini Percutian Bajet akan berkongsi keunikan dan keistimewaan yang ada di pantai ini sebagai panduan anda. Jadi semua, jom bercuti di pantai Klebang Melaka.

Nota: Untuk melihat destinasi pelancongan lain, sila lawati halaman Senarai tempat menarik di Melaka.

Lokasi Pantai Klebang

Klebang terletak di daerah Melaka Tengah. Lokasinya ialah diantara Bandar Melaka dan Sungai Udang berhampiran Pantai Puteri. Ia terbahagi kepada dua iaitu Klebang Kecil dan Klebang Besar. Pantai Klebang terletak di Klebang Besar.

Pantai Klebang Melaka.

Tarikan pelancongan di Pantai Klebang Melaka

Ramai yang datang ke Pantai Klebang ini untuk bersantai di tepi pantai. Terdapat beberapa tarikan pelancongan yang boleh dilawati seperti Muzium Kapal Selam dan Dataran 1Malaysia yang menjadi tarikan terbaru di Melaka.

Dataran 1Malaysia

Tempat menarik di Pantai Klebang yang menjadi tumpuan ramai ialah Dataran 1Malaysia. Ia adalah kawasan tepi pantai yang dibangunkan sebagai kawasan pelancongan. Walaupun masih baru ditambak dan pokok-pokok yang ditanam ditepi pantai masih belum cukup besar, namun ramai yang datang berehat bersama ahli keluarga untuk berkelah sambil menikmati bayu laut.

Pokok-pokok ditepi pantai Klebang yang cantik.
Keterangan gambar: Pokok-pokok ditepi pantai Klebang yang cantik.

Antara tarikan di Dataran 1Malaysia Pantai Klebang ini ialah penginapan unik yang dibina menggunakan bas lama dan diberi nama Bustel, kawasan pantai yang luas, gerai makanan sepanjang jalan dan beberapa aktiviti menarik yang disediakan disini. Jika anda merancang untuk kesini, masa yang paling meriah ialah dihujung minggu dan cuti umum. Ramai yang membanjiri pantai ini dari petang hngga ke malam.

Gerai-gerai makanan ditepi pantai.
Keterangan gambar: Gerai-gerai makanan ditepi pantai untuk pengunjung menjamu selera.

Muzium Kapal Selam

Muzium Kapal Selam ialah tempat menarik di Pantai Klebang yang mesti dilawati. Ia adalah sebuah kapal selam sebenar yang dijadikan muzium dan satu-satunya yang terdapat di Malaysia. Kapal selam jenis FS Ouessant Agosta 70 dari Perancis ini telah dibawa pulang dan tiba di Melaka pada 12 November 2011. Apa yang dipamerkan di muzium ini ialah sejarah kapal selam dan perkembangannya di Malaysia.

Muzium Kapal Selam dibuka setiap hari dari pukul 9:00 AM – 5:30 PM pada hari bekerja dan 9:00 AM – 6:30 PM pada hari minggu.

Alamat:
Muzium Kapal Selam
Dataran 1Malaysia,
Klebang, 75200 Melaka.

Muzium Kapal Selam di Pantai Klebang Melaka.
Keterangan gambar: Pengunjung juga boleh melawat Muzium Kapal Selam yang terletak tidak jauh dari Dataran 1Malaysia.

Aktiviti menarik di Pantai Klebang

Ada beberapa aktiviti menarik yang boleh dilakukan di Pantai Klebang. Jika anda berkunjung ke Dataran 1Malaysia, aktiviti-aktiviti berikut adalah yang paling menyeronokkan:

Main layang-layang

Salah satu aktiviti menarik di tepi pantai ialah bermain layang-layang. Jika anda bercuti di Pantai Klebang, ada beberapa peniaga yang menjual layang-layang. Angin pantai yang menghembus dan kawasan yang luas sangat sesuai untuk bermain disini. Bagi yang membawa anak-anak, bermain layang-layang bersama pasti membuatkan percutian lebih bermakna buat mereka.

Bermain layang-layang di pantai Klebang.

Menunggang kuda padi

Di tepi pantai Klebang ini ada operator yang menawarkan perkhidmatan menunggang kuda padi. Bagi anda yang bersaiz agak kecil bolehlah mencuba. Jika tidak, biar anak-anak sahaja yang bergembira. Anda akan dibawa menunggang kuda dikawasan sekitar dengan harga RM10.

Naik kereta kuda

Disini juga terdapat kereta kuda yang boleh anda naiki untuk bersiar-siar ditepi pantai. Perkhidmatan ini ada waktu siang dan juga malam. Tapi bila malam, kereta kuda ini lebih menarik kerana dihiasi lampu berwarna-warni. Kadar harga naik kereta kuda ini bergantung pada jarak.

Menunggang ATV

Aktiviti lain yang menarik di Pantai Klebang ialah menunggang ATV. Ia adalah aktiviti popular di mana-mana tempat pelancongan sekarang. Ini kerana motosikal empat roda ini agak lasak dan menunggangnya memberi rasa 'adventure' dan keseronokan tersendiri. Ia adalah aktiviti yang harus anda cuba jika bercuti di Pantai Klebang Melaka.

ATV Pantai Klebang Melaka.

Tempat makan di Pantai Klebang

Pantai Klebang ialah lokasi menarik untuk bersantai dan makan-makan. Banyak gerai di medan selera di tepi pantai yang boleh anda singgah untuk mengalas perut. Berbagai makanan dijual disini tapi rasanya biasa-biasa saja. Ada satu tempat makan di Pantai Klebang yang anda mesti cuba iaitu:

Klebang Original Coconut Shake

Jika anda berkunjung ke Melaka jangan lupa untuk mencuba coconut shake sedap di Pantai Klebang. Nama kedainya ialah Klebang Original Coconut Shake. Kedai ini agak sibuk dan sentiasa dipenuhi pelanggan. Yang bagusnya terdapat dua kaunter jualan iaitu didalam kedai dan juga drive-thru untuk pelanggan yang ingin bungkus. Selain menjual coconut shake, disini juga ada juadah makanan lain seperti nasi lemak, mee goreng dan kuih-muih.

Klebang Original Coconut Shake.

Harga coconut shake:
Biasa : RM2.
Special : RM2.50.

Kedai ini dibuka dari jam 11.00 pagi hingga 6.30 petang.

Alamat:
Klebang Original Coconut Shake
231-1, Batu 3 3/4,
Klebang, 75250 Melaka.

Coconut shake original pantai klebang

Tempat penginapan di Pantai Klebang

Ada beberapa tempat penginapan menarik di Pantai Klebang yang boleh dipilih seperti:

Klebang Beach Resort Melaka

Klebang Beach Resort Melaka ialah sebuah resort terkenal yang terletak berhampiran Pantai Klebang Melaka. Resort ini menyediakan beberapa jenis bilik yang sesuai untuk penginapan percutian anda seperti Deluxe, Suite dan Family. Berbagai kemudahan disediakan dan yang menarik pastinya kolam renang. Harga bilik bermula dari RM160 hingga RM233 untuk sati malam.

Klebang Beach Resort.

Alamat:
Klebang Beach Resort
92-1, KM 9, Batang Tiga,
76400 Tanjung Kling, Melaka.

Hubungi:
Tel : +606 - 315 5888 / 06 - 3151915
Fax : +606 - 315 1713
Email : kbresort@hotmail.com

Bustel Klebang Melaka

Bustel ialah salah satu tarikan yang ada di Pantai Klebang. Ia adalah tempat penginapan unik yang dibina dari bas lama dan diubah-suai menjadi bilik tidur yang menarik. Anda dapat melihat deretan bas-bas lama yang disusun dengan kemas di Dataran 1 Malaysia, Pantai Klebang. Selain penginapan, bas lama juga diubah-suai menjadi cafe tempat pengunjung menjamu selera. Kemudahan yang disediakan di Bustel Klebang ialah:

  • Bilik mandi (tanpa hot shower).
  • Tandas.
  • Katil queen.
  • Meja
  • TV

Bustel Pantai Klebang Melaka.

Harga bilik:
Hari biasa = RM90/malam.
Hujung minggu dan cuti umum = RM130/malam.

Alamat:
Bustel Klebang Melaka
Dataran 1 Malaysia,
Pantai Klebang, Melaka.

Hubungi:
Tel : 019 741 4113

Kemudahan tandas awam yang juga menggunakan bas lama

Hotel Pantai Klebang

Disebabkan Klebang Beach Resort dan juga Bustel Klebang Melaka sangat popular, ia selalunya habis ditempah. Anda tidak perlu risau. Ada banyak hotel, resort dan homestay dikawasan Pantai Klebang. Anda boleh menyemak harga dan menempah bilik penginapan di BOOKING.COM. Kadang-kadang ada tawaran harga promosi dan potongan harga yang murah jika anda menempah lebih awal.

Setakat ini dahulu yang dapat kami kongsikan tentang tarikan pelancongan yang ada di Pantai Klebang. Walaupun tidak banyak tempat menarik yang boleh dikunjungi, namun lokasinya yang strategik dan jauh dari kesibukan cukup sesuai dijadikan lokasi untuk bercuti. Jika anda pernah kesini, jangan lupa kongsikan pengalaman dibahagian komen dibawah. Semoga maklumat ini berguna pada pengunjung yang merancang untuk bercuti di Pantai Klebang Melaka.

Comments

1

Terbaik, terima kasih untuk maklumat yang berguna untuk melancong ke Melaka

Add new comment