Makan malam di PNK Melaka Barat

PNK Melaka Barat merupakan salah sebuah pusat pelancongan di Melaka yang semakin popular. Jika anda tidak pernah mendengar sebelum ini, PNK ialah ringkasan kepada Persatuan Nelayan Kawasan. Perkhidmatan pelancongan yang ditawarkan disini ialah Medan ikan bakar dan juga bilik penginapan yang diberi nama Chalet Nelayan. Editor Percutian Bajet berpeluang ke Melaka cuti sekolah baru-baru ini dan sempat bermalam serta menjamu selera di sini. Jadi berikut adalah maklumat ringkas serta huraian kami mengenai lokasi percutian ini dan juga perkhidmatan yang diberi.

Tempat menarik berhampiran PNK Melaka Barat

Lokasi PNK Melaka Barat

PNK Melaka Barat terletak di Kuala Linggi, Melaka. Jika anda menginap di Bandar Melaka, memang agak jauh untuk ke mari. Perjalanan mengambil masa hampir sejam memandu kenderaan sendiri. Untuk datang ke sini semata-mata hendak makan malam di Medan Ikan Bakar mungkin tidak berbaloi. Namun jika anda ingin bercuti di Pengkalan Balak, cubalah luangkan masa untuk ke PNK ini. Selain menjamu selera, ada beberapa tempat menarik yang boleh dilawati.

Alamat:
PNK Melaka Barat,
KM 43, Kuala Sungai Baru,
Kuala Linggi,
78200 Melaka.

Hubungi:
Tel : 06-3876832
Fax :06-3878404

Medan Ikan Bakar

Medan Ikan Bakar in beroperasi dari petang hingga ke malam. Berbagai jenis hasil laut yang segar seperti ikan, sotong, udang, kerang dan siput disediakan untuk pengunjung. Anda boleh memilih sendiri jenis ikan, saiz dan sebagainya untuk dimasak atau dibakar. Lokasi Medan Ikan Bakar ini ialah ditepi laut. Pemandangan menarik dan bayu laut yang menghembus memang mendamaikan.

Medan Ikan Bakar PNK Melaka Barat

Kami memilih ikan siakap bersaiz sederhana untuk dimasak 3 rasa, siput pahat masak pedas, tomyam seafood, telur dadar dan juga sayur goreng. Minuman yang dipesan ialah satu jag air tembikai. Setelah menunggu hampir 30 mint, makanan siap dihidangkan.

Siakap tiga rasa

Siput Pahat masak pedas

Kangkong goreng

Tomyam seafood

Rasa makanan disini boleh dikatakan sedap. Kami dapat menjamu selera dengan selesa dalam suasana tenang dan cukup menarik. Harga makanan untuk empat orang makan seperti menu diatas ialah RM99.

Chalet Nelayan

PNK Melaka Barat turut menyediakan kemudahan penginapan untuk tetamu yang berkunjung ke sini. Jadi pada anda yang ingin membawa keluarga bercuti di Melaka, Chalet Nelayan di PNK boleh dijadikan lokasi penginapan anda. Sebanyak 20 buah bilik yang selesa terdapat disini.

Kemudahan yang ada ialah seperti:

  • Dewan Seminar.
  • Dewan mesyuarat yang boleh memuatkan sehingga 150 orang.
  • 4 buah bilik LDK.
  • Surau.
  • Pondok rehat.
  • Kolam renang untuk kanak-kanak.
  • Padang permainan.
  • Kayak.
  • Telematch.

Harga waktu biasa:
Kadar sewa: RM85/sehari

Harga musim cuti sekolah:
Bilik : RM107.
Tilam extra: RM20.

Komen dan pengalaman kami di Chalet Nelayan PNK Melaka Barat:
Positif : Bilik cantik, kemas, bersih.
Negatif:

  1. Air sangat perlahan. Shower air cuma meleleh.
  2. Tandas tidak ada air, jadi tak boleh flush. Tiada baldi atau cebok disediakan untuk curah tandas selepas buang air. Kami membuat aduan dan meminta baldi dan cebok di reception tetapi tidak dihantar. Kami terpaksa mencari sendiri baldi mop lantai, basuh dan tadah air. Satu pengalaman yang tidak sepatutnya berlaku pada tetamu dan agak malang bila ia berlaku pada editor Percutian Bajet.
  3. Tilam extra dengan RM20 dijanjikan tapi cuma toto dan bantal yang diberi.

Diharap pihak pengurusan PNK mengambil-berat akan hal-hal seperti ini dan menambah-baik kekurangan yang ada agar tidak berlaku lagi dimasa hadapan.

Tempat menarik

PNK Melaka Barat sendiri adalah menarik dan terdapat beberapa lokasi cantik untuk bergambar disekitar kawasan ini. Ia juga sesuai untuk menikmati suasana matahari terbenam. Selain itu beberapa tempat menarik berhampiran PNK Melaka Barat boleh dilawati seperti:

  • Perkampungan Nelayan Tradisional - PNK Melaka Barat terletak di kawasan perkampungan nelayan. Anda boleh bersiar-siar di sekitar perkampungan nelayan tradisional yang menarik ini.
  • Tempat Bersejarah Bukit Supai - Agak malang kerana kami tidak sempat ke lokasi bersejarah ini.

Pemandangan matahari terbenam di PNK Melaka Barat

Setakat ini sahaja yang dapat kami kongsikan mengenai PNK Melaka Barat dari pengalaman menginap selama satu malam disini. Secara jujurnya, kami mengesyorkan makan malam disini tetapi untuk penginapan terpulanglah pada anda. Kepada pengunjung yang pernah bercuti di sini, sila kongsikan pengalaman anda di ruangan komen semoga membantu pengunjung lain yang ingin datang ke mari.

Add new comment