Melaka River Cruise

Melaka River Cruise ialah aktiviti pelancongan yang boleh dilakukan jika anda ke bandar Melaka. Anda akan dibawa menaiki bot menyusuri Sungai Melaka sejauh sembilan kilometer untuk melihat berbagai tarikan yang ada disepanjang tebing sungai. Ia adalah pengalaman yang sangat menyeronokkan. Perjalanan selama 45 minit bagaikan tak terasa. Disini saya senaraikan apa yang menarik boleh diperhatikan semasa mengikuti aktiviti river cruise di Sungai Melaka sebagai panduan anda yang berminat untuk mencuba.

Aktiviti River Cruise Melaka.
Keterangan gambar: Aktiviti pelancongan menarik River Cruise Melaka.

Tarikan Melaka River Cruise

Pengunjung boleh mengikuti aktiviti river cruise diwaktu siang atau malam. Kedua-duanya sangat menarik dan mempunyai keistimewaan tersendiri. Berikut ialah antara tarikan yang ada bila menaiki Melaka River Cruise sesi siang.

Wall Art

Semasa menaiki river cruise ini, pelancong akan dapat melihat berbagai jenis lukisan menarik di dinding-dinding bangunan yang terletak ditebing sungai. Berbagai tema lukisan yang unik dapat diperhatikan dimana ia hanya dapat dilihat dari tepi sungai Melaka.

Lanskap menarik

Berbagai lanskap menarik ada disepanjang tebing Melaka. Mungkin ramai yang tidak sedar akan wujudnya laluan pejalan kaki, taman-taman mini serta binaan lanskap yang ada disebalik bangunan lama yang terletak disini. Bila menaiki Melaka River Cruise, anda dapat melihat bandar Melaka dari sisi yang berlainan dan ia benar-benar menakjubkan.

Pemandangan Melaka River Cruise di waktu malam.
Keterangan gambar: Pemandangan Melaka River Cruise diwaktu malam.

Kampung melayu tradisional

Kampung Morten ialah perkampungan melayu tradisional yang terletak ditebing Sungai Melaka. Kampung ini telah wujud sejak dari zaman penjajah lagi. Semasa menaiki Melaka River Cruise, pengunjung dapat melihat deretan rumah tradisional yang cantik terletak ditepi sungai. Kebanyakkan rumah-rumah ini dibina dari kayu. Disini juga terdapat sebuah rumah dalam keadaan asal dengan rekabentuk senibina melayu zaman dahulu yang sangat mengagumkan.

Kampung Morten Melaka.
Keterangan gambar: Kampung Morten, sebuah perkampungan melayu bersejarah di Melaka.

Jambatan

Semasa menaiki Melaka River Cruise, bot akan lalu dibawah beberapa jambatan yang menyeberangi Sungai Melaka. Antaranya ialah Jambatan Datuk Mohd Zin, Jambatan Hang Tuah, Jambatan Kampung Morten, Jambatan Pasar, Jambatan Kampung Jawa, Jambatan Chan Koon Cheng dan Jambatan Tan Kim Seng. Pengunjung akan dapat melihat senibina unik setiap jambatan dari dekat. Apa yang menariknya, ia benar-benar menawarkan pemandangan mengagumkan bila dipandang dari sudut yang berbeza.

Hotel

Salah satu tarikan yang ada disepanjang tebing sungai Melaka ialah hotel. Berbagai jenis hotel termasuk hotel mewah, hotel bajet dan rumah tumpangan boleh dilihat semasa menaiki river cruise. Apa yang menariknya, bahagian belakang hotel yang menghadap sungai disediakan kerusi dan meja untuk tetamu beristirehat. Juga terdapat kedai kopi atau cafe yang dihias menarik. Dapat dilihat dengan jelas betapa suasana ini dapat menarik pelancong-pelancong dari luar negara.

Hotel menarik di tepi Sungai Melaka.
Keterangan gambar: Hotel menarik ditepi Sungai Melaka.

Bangunan lama

Semasa menaiki Melaka River Cruise ini, pengunjung dapat melihat beberapa bangunan lama yang terletak ditebing sungai. Ada bangunan yang dijadikan hotel, restoran, cafe, kedai kraftangan dan lain-lain. Malah sebuah panggung wayang Cathay lama juga terletak ditepi sungai ini. Anda mungkin telah melihat bangunan-bangunan ini dari hadapan tetapi bahagian belakang bangunan ada keistimewaan tersendiri. Melihat dari atas bot semasa menyusuri Sungai Melaka membuatkan saya benar-benar kagum.

Kincir Air Kesultanan Melaka

Salah satu tarikan yang ada semasa menaiki river cruise ialah Kincir Air Kesultanan Melaka yang telah dibina semula di sungai ini. Kincir air yang sangat besar ini cukup unik dan jika di Malaysia hanya boleh dilihat di negeri ini sahaja.

Kincir Air Kesultanan Melaka.
Keterangan gambar: Kincir Air Kesultanan Melaka.

Hutan Paya Bakau

Ditepi Sungai Melaka ini terdapat hutan paya bakau yang subur menghijau. Ia bagaikan taman indah menghiasi bandar Melaka yang pesat membangun. Sebenarnya pokok-pokok bakau disini dipelihara bagi menghalang hakisan tebing sungai. Ia juga menjadi habitat semulajadi haiwan yang ada disini.

Melaka River Cruise waktu malam

Pengalaman berbeza dapat dirasa bila melakukan aktiviti Melaka River Cruise diwaktu malam. Anda akan dapat melihat semua tempat menarik yang ada seperti di sesi siang tetapi pemandangannya sangat berlainan. Antara yang menarik ialah:

Lampu berwarna warni

Lampu berwarna-warni dapat dilihat semasa menaiki river cruise menyusuri sungai Melaka diwaktu malam. Lampu-lampu ini menghiasi bangunan, taman dan lanskap, jambatan serta lain-lain lagi. Ia menghasilkan pemandangan unik dan cukup cantik. Ia adalah keistimewaan utama menaiki Melaka River Cruise diwaktu malam.

Taman Tema Air

Sebuah Taman Tema Air yang dibina ditepi Sungai Melaka sangat cantik bila dilihat dari atas bot semasa aktiviti river cruise di waktu malam. Semasa siang ia tidak berapa menonjol tetapi dengan kesan lampu berwarna-warni dan "spot light" di malam hari, ia memberikan pandangan sangat berbeza.

Jambatan yang cantik

Sama seperti Taman Tema Air, jambatan-jambatan yang ada di sepanjang Sungai Melaka ini sangat cantik di waktu malam. Lampu berbagai warna menghiasi jambatan. Pantulan cahaya dari sungai menambah kecantikan yang ada. Ia benar-benar menarik dan pasti mempesonakan sesiapa sahaja.

Lokasi Melaka River Cruise

Lokasi Melaka River Cruise ialah di Bandar Melaka. Pengunjung akan dibawa menaiki bot sejauh 9 KM menyusuri Sungai Melaka. Perjalanan mengambil masa lebih-kurang 45 minit.

Kaunter tiket

Dua buah kaunter tiket Melaka River Cruise disediakan iaitu di Muara Sungai Melaka, berhampiran Muzium Samudera dan juga di Taman Rempah, Jalan Tun Mutahir.

Kaunter tiket Melaka River Cruise.
Keterangan gambar: Kaunter tiket Melaka River Cruise di Muara Sungai Melaka.

Waktu operasi

Waktu operasi Melaka River Cruise ialah dari pukul 9 pagi hingga 11.30 malam. Pelancong boleh memilih untuk mengikuti sesi siang atau malam. Anda boleh memilih untuk mengikuti sesi siang dan malam jika berkesempatan. Ia memang tidak mengecewakan.

Melaka River Cruise waktu malam.
Keterangan gambar: Melaka River Cruise di waktu malam.

Harga tiket Melaka River Cruise

Harga tiket Melaka River Cruise adalah sangat berpatutan dengan apa yang ditawarkan. Pilihan disediakan samada tiket untuk individu atau secara berkumpulan. Harga yang dikenakan ialah seperti berikut.

Harga tiket pemegang MyKad

Dewasa: RM10.
Kanak-kanak: RM5.
Berkumpulan (satu bot): RM400.

Harga tiket pelancong asing

Dewasa: RM15.
Kanak-kanak: RM7.
Berkumpulan (satu bot): RM600.

Menaiki bot river cruise Melaka.
Keterangan gambar: Menaiki bot river cruise Melaka.

Kesimpulannya, Melaka River Cruise ialah aktiviti pelancongan yang mesti dilakukan jika anda bercuti di negeri ini. Berbagai tarikan seperti yang telah disenaraikan diatas dapat dilihat. Tidak banyak lokasi pelancongan lain yang menawarkan pekhidmatan sebegini. Malah boleh dikatakan, aktiviti river cruise di Melaka ialah yang paling menarik di Malaysia. Ia adalah satu pengalaman unik dan menyeronokkan. Aktiviti ini juga sesuai untuk pelbagai peringkat umur dan boleh dilakukan samada bersama rakan-rakan atau ahli keluarga. Akhir sekali, jika artikel ini berguna untuk anda, jangan lupa kongsikan kepada rakan-rakan di laman sosial sebagai tanda sokongan. Selamat bercuti!

Add new comment