Melawat Muzium Samudera Melaka

Muzium Samudera terletak berhadapan dengan Craft Centre atau Medan Samudera. Didalamnya terdapat dua buah muzium iaitu Muzium Kapal dan Muzium Maritim. Paling menyerlah tentu sekali Muzium Kapal kerana ianya cukup unik dan menarik perhatian. Kapal ini dibina pada tahun 1990 replika kepada kapal Portugis iaitu Flor de La Mar. Pengunjung berpeluang melihat bagaimana keadaan dalam kapal zaman dahulu. Berbagai maklumat berkenaan kerajaan Melaka pada zaman dahulu boleh didapati disini. Pameran meliputi lukisan, peta, replika kapal dan beberapa artifek berkaitan perdagangan di Melaka.

Nota: Untuk melihat tarikan pelancongan lain yang ada di negeri ini, sila lawati halaman Senarai tempat menarik di Melaka.

Replika kapal lama

Pada yang pertama kali melawat muzium ini, ia cukup menarik dan mengujakan. Pengunjung akan menaiki tangga yang dibina ditepi kapal. Dari atas kapal, anda boleh melihat pemandangan menarik muara Sungai Melaka dan kawasan berhampiran. Disini ada tiga tempat yang boleh dilawati iaitu pameran utama didalam kapal, Bilik Peta dan juga Bilik Kapten.

Tangga untuk menaiki Muzium Samudera
Tangga untuk menaiki Muzium Samudera atau Muzium Kapal.

Sebelum masuk ke dalam ruang dalam kapal, pengunjung boleh menaiki tangga untuk melihat Bilik Kapten. Di bahagian ini juga terletaknya menara tinjau. Saya amat teringin untuk menaiki menara tinjau kapal ini namun ragu-ragu samada dibenarkan atau tidak. Lagi satu, ia pasti menarik perhatian ramai.

Bilik Kapten kapal.
Pemandangan dalam Bilik Kapten.

Menara Tinjau di Muzium Kapal.
Menara Tinjau yang ada di Muzium Kapal.

Turun dari Bilik Kapten, saya masuk ke Bilik Peta pula. Ia terletak disebelah kanan kapal. Disini terdapat peta dunia zaman dahulu.

Bilik Peta.
Bilik Peta yang terletak disebelah kanan Muzium Kapal.

Bahagian dalam muzium kapal ini mempunyai tiga tingkat ruang pameran. Terdapat tangga kayu untuk ke setiap tingkat. Ianya kemas dan cantik. Saya tidak pasti samada ia mengikut rekaan asal kapal Flor de La Mar atau diubah-suai bagi tujuan pameran. Setiap tingkat mempunyai ruang pameran masing-masing. Suasana agak gelap namun masih selesa untuk membaca maklumat yang ada. Anda perlu membawa kamera yang baik untuk mengambil gambar dengan cantik di sini.

Audio Tour.
Audio Tour bagi pengunjung yang inginkan maklumat dan penerangan semasa melawat Muzium Samudera.

Koleksi model kapal.
Koleksi model kapal yang dipamerkan di Muzium Samudera.

Wang lama yang dipamerkan.
Wang lama yang pernah digunakan di zaman kesultanan Melaka.

Bilik tahanan.
Bilik Tahanan yang terletak di aras bawah.

Selesai melawat Muzium Kapal, saya ke Muzium Maritim pula. Kedua-dua muzium ini terletak bersebelahan. Jika Muzium Kapal memaparkan sejarah di zaman Kesultanan Melaka, Muzium Maritim mempamerkan berbagai maklumat dan khazanah laut di Malaysia. Ini termasuk barangan, peralatan dan teknologi perkapalan.

Muzium Samudera 2 atau Muzium Maritim.
Muzium Samudera 2 atau Muzium Maritim.

Pameran dalam Muzium Maritim.
Berbagai pameran berkaitan laut yang ada di Muzium Maritim Melaka.

Waktu operasi:
Isnin - Khamis: 9.00 pagi - 5.30 petang.
Jumaat - Ahad: 9.00 pagi - 9.00 malam.

Harga tiket / Bayaran masuk:
Dewasa: RM 3.00.
Kanak-kanak/pelajar: RM 1.00.

Hubungi:
Kompleks Warisan Melaka
Jalan Kota,
75000 Melaka

Telefon : (+606) 333 3333
Fax : (+606) 282 6745
Email : helpdesk[at]perzim.gov.my

Melawat Muzium Samudera di Melaka ini sangat menarik pada kali pertama. Jika anda belum pernah masuk sebelum ini, cubalah luangkan masa jika datang lagi ke sini. Berbagai maklumat tentang sejarah kesultanan Melaka ada di sini. Malah harga tiket pun tidaklah mahal. Anda boleh bawa keluarga beramai-ramai.

Add new comment