Melawat Zoo Melaka

Zoo Melaka merupakan salah satu destinasi pelancongan popular di negeri Melaka. Ia adalah lokasi menarik dan sesuai untuk seisi keluarga. Bagi yang mementingkan pendidikan anak-anak, melawat zoo adalah pendedahan yang sangat baik. Melihat haiwan dan binatang liar secara langsung pasti memberi pengalaman baru menarik buat mereka. Kali ini Percutian Bajet ingin berkongsi maklumat tentang zoo kedua terbesar di Malaysia ini dengan anda semua. Jika anda merancang untuk jalan-jalan ke Zoo Melaka, mari lihat apa yang ada di sana.

Nota: Untuk melihat tempat menarik di lokasi lain di Melaka, sila lawati halaman Senarai tempat menarik di Melaka untuk dilawati.

Zoo Melaka mula dibuka pada tahun 1963. Ia mengamalkan konsep terbuka dengan mengekalkan persekitaran alam semulajadi yang menghijau. Zoo Melaka berperanan sebagai pusat penyelidikan hidupan liar, pemuliharaan pembiakan dan pusat pendidikan zoo. Terdapat lebih 1,200 haiwan yang merangkumi sekitar 200 jenis spesies. Terdapat berbagai tarikan di Zoo Melaka seperti binatang liar dari luar dan dalam negara termasuk Harimau Malaya.

Harimau Malaya
Keterangan gambar: Spesis Harimau Malaya yang terdapat di Zoo Melaka.

Lokasi dan waktu operasi

Zoo Melaka terletak di kawasan Ayer Keroh. Bagi pengunjung dari luar negeri Melaka yang ingin terus ke zoo, anda boleh menggunakan Lebuhraya Utara Selatan dan ikut susur keluar Ayer Keroh. Lokasi zoo hanya lebih-kurang 3 KM dari susur keluar. Jika dari pusat bandar Melaka, ia terletak kira-kira 13 kilometer sahaja.

Lokasi Zoo Melaka

Alamat:
Melaka Zoo & Night Safari
Jalan Hang Tuah Jaya, Ayer Keroh,
75450 Melaka

Hotline : 1300 22 3000
Tel : +606 232 4053 / 06 232 4054
Fax : 606-232 5859
Email : info@melakazoo.com

Waktu melawat Zoo Melaka:
Zoo Melaka dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 6 petang.
Night Safari dibuka pada Jumaat dan Sabtu malam dari pukul 8.00pm hingga 11.00pm.

Peta Zoo Melaka
Keterangan gambar: Peta Zoo Melaka dan lokasi haiwan.

Harga tiket Zoo Melaka

Harga tiket masuk bagi warganegara Malaysia dewasa, kanak-kanak dan warga emas.

  • Harga tiket dewasa - RM17.80.
  • Kanak-kanak umur 12 tahun ke bawah - RM7.10.
  • Harga tiket Warga Emas - RM7.10.

Harga tiket Zoo Melaka bagi pelancong asing adalah berbeza. Untuk bukan warganegara Malaysia, harga tiket adalah seperti berikut:

  • Harga tiket dewasa - RM23.70.
  • Kanak-kanak umur 12 tahun ke bawah - RM17.80.
  • OKU dewasa - RM7.10.
  • OKU kanak-kanak - RM5.00.

Harga tiket perkhidmatan tram Zoo Melaka ialah:

  • Harga tiket dewasa - RM5.
  • Kanak-kanak umur 12 tahun ke bawah - RM3.

Kaunter tiket Zoo Melaka
Keterangan gambar: Kaunter tiket Zoo Melaka dan harga tiket masuk untuk dewasa dan kanak-kanak.

Menarik di Zoo Melaka

Zoo Melaka bukan sekadar lokasi untuk melihat berbagai jenis binatang. Ia menawarkan pemuliharaan binatang liar khususnya dalam pembiakan dan perlindungan haiwan yang terancam. Bagi menghasilkan pameran haiwan yang terbaik, Zoo Melaka menyediakan persekitaran semulajadi dengan tumbuh-tumbuhan, kolam air dan lain-lain sebagaimana habitat asal haiwan tersebut.

Singa di Zoo Melaka
Keterangan gambar: Singa juga terdapat di Zoo Melaka.

Suasana alam semulajadi di Zoo Melaka cukup menenangkan malah ia bagaikan sebuah kawasan rekreasi yang sangat menarik. Berjalan didalam kawasan zoo dari satu tempat ke tempat lain melihat berbagai jenis haiwan yang ada memang santai. Pengunjung pasti terhibur melihat pertunjukan haiwan seperti Bird Show, Elephant Feeding dan Keeper Talk yang dilakukan oleh jurulatih berpengalaman.

Zirafah di Zoo Melaka
Keterangan gambar: Beberapa ekor zirafah boleh dilihat di Zoo Melaka.

Zoo Melaka turut menawarkan program pendidikan yang disasarkan kepada pelajar sekolah dan juga universiti. Antara program yang disediakan ialah:

  • Kinder Zoo - Di sini kanak-kanak prasekolah akan didedahkan dengan aktiviti bilik darjah yang menyeronokkan dengan pembelajaran tentang haiwan hidup di sekitar zoo.
  • Fresh Zoo - Dalam program ini pelajar sekolah rendah akan didedahkan kepada sesi kelas dimana pembelajaran berkisarkan haiwan sebenar yang ada di sekitar zoo.
  • Peer Zoo - Program untuk pelajar sekolah menengah ini adalah sesi kelas haiwan di seluruh zoo dengan pelbagai aktiviti termasuk 'Sehari sebagai Zookeeper'.
  • Uni Zoo - Program seminar untuk pelajar universiti dan kolej juga disediakan dimana berbagai penemuan tentang habitat dan tingkah-laku haiwan dikongsikan bagi menggalakkan pelajar yang berminat untuk menjalankan program penyelidikan dan latihan.

Tidak ketinggalan, program untuk syarikat korporat, jabatan kerajaan dan swasta juga disediakan iaitu Zoomanji. Ia adalah aktiviti luar yang lasak dan cukup menyeronokkan dilakukan didalam zoo. Program Zoomanji cukup ideal untuk 'Team Building' yang berkesan.

Gajah di Zoo Melaka
Keterangan gambar: Gajah dibiarkan hidup dalam habitat semulajadinya.

Night Safari

Tidak lengkap melawat Zoo Melaka jika tidak mengunjungi Night Safari. Pengunjung boleh melihat aktiviti dan tingkah-laku haiwan liar diwaktu malam. Berbagai perkara menarik dan penemuan baru menanti pengunjung seperti mengesan kedudukan haiwan, melihat cara haiwan tidur, mengetahui jenis haiwan yang aktif diwaktu malam dan macam-macam lagi. Night Safari pasti memberi satu pengalaman baru yang menyeronokkan.

Salah satu aktiviti menarik Night Safari ialah 'Jungle Trail (Rhythm of the Night)'. Ia adalah aktiviti di waktu malam didalam zoo diikuti jejak ke Taman Burung Melaka. Pengunjung berpengalaman melihat haiwan diwaktu malam dan bangun diawal subuh dengan kicauan burung-burung dan suara binatang-binatang liar yang ada di zoo. Ia adalah satu pengalaman hebat yang pasti tidak akan dilupakan.

Mercu Zoo Melaka
Keterangan gambar: Mercu Zoo Melaka yang terletak berhampiran pintu masuk.

Kemudahan

Beberapa kemudahan disediakan untuk pengunjung yang melawat Zoo Melaka seperti:

  • Tempat meletak kereta.
  • Surau.
  • Tandas.
  • First Aid Station.
  • Lost & Found.
  • Locker.

Penunjuk arah dalam Zoo Melaka
Keterangan gambar: Papan-tanda penunjuk arah dalam Zoo Melaka.

Makanan dan minuman

  • Gerai makanan di sekitar zoo.
  • Restoran di atas tasik.
  • Kiosk airkrim.

Rhino Cafe dalam Zoo Melaka
Keterangan gambar: Rhino Cafe antara kedai makan yang terdapat dalam Zoo Melaka.

Kedai cenderahati turut disediakan dimana terdapat berbagai barangan cenderahati boleh dibeli sebagai kenangan melawat Zoo Melaka. Antara yang menarik ialah t-shirt Zoo Melaka, keychains dan gelas bergambar.

Kedai cenderahati dalam Zoo Melaka
Keterangan gambar: Kedai Cenderahati terletak sebelum pintu keluar Zoo Melaka.

Melawat Zoo Melaka sangat menyeronokkan. Ia amat sesuai dikunjungi beramai-ramai bersama ahli keluarga. Bukan hanya kanak-kanak malah ibubapa pasti turut gembira melihat berbagai jenis binatang yang ada. Untuk lebih menarik, rancanglah lebih awal untuk mengikuti program yang ditawarkan. Bukan sekadar melakukan aktiviti menarik, pendedahan kepada haiwan liar akan memberi kesedaran betapa program pemuliharaan haiwan sangat penting untuk generasi akan datang. Bawalah keluarga anda jalan-jalan ke Zoo Melaka cuti nanti.

Add new comment