Senarai tempat menarik di Melaka

Melaka terkenal dengan tempat-tempat bersejarah peninggalan Kerajaan Kesultanan Melaka dan juga penjajah. Oleh itu ia dikenali dengan nama Melaka Bandaraya Bersejarah. Ia turut diisytiharkan oleh UNESCO sebagai Bandar Warisan Dunia. Selain dari tarikan tempat bersejarah, terdapat banyak tempat menarik di Melaka untuk dilawati seperti pantai yang cantik, taman tema dan juga tempat-tempat percutian keluarga yang lain. Dengan kemudahan tempat penginapan yang banyak terdiri dari hotel berprestif, resort menarik dan hotel-hotel bajet, tidak hairanlah Melaka menjadi salah satu destinasi pelancongan paling popular di Malaysia.

Untuk melihat tempat menarik di Bandar Melaka sahaja, sila ke halaman: Tempat menarik di bandar Melaka.

Masjid yang terletak ditepi pantai Selat Melaka.
Sebuah masjid yang cantik terletak ditepi pantai Selat Melaka.

Jika anda ingin bercuti di Melaka, pastikan anda melakukan sedikit kajian dan membuat perancangan percutian yang rapi agar tidak terlepas mengunjungi tempat-tempat menarik disana. Anda boleh mengambil pakej percutian ke Melaka yang disediakan oleh agensi pelancongan atau memandu sendiri ke sana. Bagi membantu anda membuat perancangan percutian, disini ialah senarai tempat menarik di Melaka untuk dilawati mengikut jenis pelancongan.

Lihat artikel: Tempat percutian di Melaka menarik untuk keluarga.

Tempat bersejarah di Melaka

Tarikan utama pelancong ke negeri Melaka ialah untuk melihat kesan peninggalan sejarah silam. Melaka pernah dijajah oleh Portugis, Belanda dan Bristish selama beratus-ratus tahun. Berikut ialah senarai tempat bersejarah di Melaka yang boleh dilawati.

Kota A Famosa

Kota A Famosa ialah tempat menarik di Melaka yang paling terkenal. Kota ini dibina oleh Portugis pada tahun 1511 sebagai kubu pertahanan sebaik sahaja mereka berjaya menawan negeri ini. Ia berikutan penentangan dari penduduk Melaka yang tidak berhenti-henti pada masa itu. Walau bagaimanapun, kota ini berjaya disiapkan juga dan struktur binaannya cukup kukuh dengan empat menara dan tembok setebal 2.4 meter hingga 4.5 meter. Kota A Famosa telah membantu Portugis mempertahankan Melaka dari serangan luar dan memerintah Melaka selama 130 tahun.

Serangan Belanda pada kurun ke 17 telah memusnahkan beberapa bahagian Kota A Famosa manakala pihak British yang memerintah Melaka selepas itu tidak berminat untuk membaikinya. William Farquhar iaitu Gabenor Melaka antara tahun 1803 hingga 1818 telah mengarahkan agar seluruh kota ini dimusnahkan kerana takut Melaka akan jatuh ke tangan musuh. Atas arahan itu, maka runtuhlah A Famosa dan yang tinggal cuma satu pintu kotanya sahaja yang dapat dilihat hingga hari ini, iaitu Porta de Santiago.

Terletak di Bandar Hilir, kesan peninggalan Kota A Famosa ini sekarang merupakan satu tempat pelancongan di Melaka yang dikunjungi pelancong setiap hari.

Kota A Famosa kesan peninggalan sejarah di Melaka.
Kota A Famosa merupakan kesan peninggalan sejarah di Melaka yang sentiasa dikunjungi pelancong.

Jonker Street Melaka

Jonker Street terkenal dengan barangan antik pelbagai pilihan yang dijual disini. Pengunjung dapat melihat berbagai artifek yang berusia ratusan tahun serta koleksi-koleksi menarik yang mempunyai sejarah tersendiri. Lantaran itu, Jonker Street telah terkenal hingga ke seluruh dunia sebagai tempat terbaik mendapatkan barangan antik.

Kini Jonker Street telah dikenali sebagai Jalan Hang Jebat. Banyak kedai-kedai kraftangan dan cafe baru dibuka dan menambahkan kemeriahan di kawasan ini.

Pintu gerbang ke China Town di Melaka.
Pintu gerbang ke China Town yang terletak di Jonker Street, Melaka.

Kesan peninggalan sejarah Melaka

Terdapat banyak lagi tempat bersejarah di Melaka yang boleh dilawati jika anda bercuti di negeri ini. Penjajah telah meninggalkan bangunan-bangunan pentadbiran, rumah penginapan dan keagamaan dan ianya masih kekal hingga ke hari ini. Kesan peninggalan sejarah Melaka yang boleh dilihat antaranya ialah:

  • Kota St. John - Dibina diatas bukit oleh Belanda yang menjajah Melaka. Terdapat meriam peninggalan mereka didalam kota ini.
  • Gereja St. Peter - Gereja Katolik yang dibina pada tahun 1710 oleh Belanda semasa menjajah Melaka.
  • Gereja St. Paul - Gereja ini pula dibina pada tahun 1521 oleh Portugis semasa menjajah Melaka.
  • Gereja Christ - Dibina pada tahun 1753 dengan rekabentuk senibina Belanda.
  • Gereja St. Francis Xavier - Dibina oleh seorang paderi Perancis sebagai tanda kejayaan St. Francis Xavier menyebarkan agama Kristian di Asia Tenggara.
  • Bangunan Stadthuys - Bangunan penempatan rasmi Gabenor Belanda dibina pada tahun 1650.
  • Perkuburan Belanda - Kubur dari kurun ke-17 ini terletak bersebelahan replika Istana Kesultanan Melaka.
  • Perigi Hang Li Poh - Juga dikenali sebagai Perigi Raja.

Apa yang menarik akan kesan peninggalan sejarah ini ialah rekabentuk bangunan senibina Portugis dan senibina Belanda yang unik kekal dipelihara dan menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

Gereja St Paul Melaka.
Gereja St Paul di Melaka.

Pulau dan pantai di Melaka

Negeri Melaka menghadap laut Selat Melaka di sebelah baratnya. Terdapat beberapa pantai yang cantik boleh dikunjungi jika anda bercuti ke Melaka. Hotel dan resort menarik juga dibina disekitar pantai untuk penginapan pelancong. Selain dapat menikmati suasana yang damai ditepi pantai, anda boleh menjamu selera dengan berbagai jenis makanan laut yang sedap-sedap di restoran-restoran yang terdapat disini. Berikut ialah senarai pantai di Melaka yang menarik untuk dijadikan lokasi percutian anda.

Pantai Klebang Melaka

Pantai Klebang ialah satu lokasi pelancongan di Melaka yang semakin terkenal. Antara yang paling terkenal dan menjadi tumpuan ialah Dataran 1Malaysia yang baru dibangunkan. Dataran ini yang terletak ditepi pantai, sering menjadi tumpuan masyarakat setempat dan juga pelancong untuk bersantai diwaktu petang hingga ke tengah malam. Manakala tarikan lain di Pantai Klebang ialah Klebang Original Coconut Shake, Muzium Kapal Selam dan yang terbaru BUSTEL iaitu bas lama yang dijadikan hotel penginapan di Dataran 1Malaysia.

Jika anda inginkan percutian yang tenang ditepi pantai, Dataran 1Malaysia mungkin kurang sesuai kerana suasana disini boleh dikatakan agak meriah. Pantai ini sentiasa mengundang pengunjung yang datang untuk berkelah, menjamu selera di gerai-gerai makanan dan juga melakukan aktiviti-aktiviti menarik lain yang ada disini. Jika anda tidak kisah, terdapat beberapa hotel dan resort menarik yang boleh anda pilih sebagai lokasi penginapan seperti:

  • Bustel.
  • Klebang Beach Resort Melaka.
  • Mabohai Resort Klebang.
  • Homestay Klebang Beach Melaka.
  • Inn House Horizon.
  • Klebang Besar Townlodge.

Lihat artikel: Bercuti di Pantai Klebang Melaka untuk maklumat lanjut.

Pemandangan menarik Pantai Klebang di Melaka.
Pantai Klebang adalah salah satu tempat pelancongan di Melaka yang sangat popular.

Pantai Puteri Melaka

Pantai Puteri (atau Pantai Putri) ialah sebuah pantai di Melaka yang sangat popular dikalangan pelancong. Asalnya dipanggil Pantai Jaring, Pantai Rombang dan Pantai Kundur iaitu nama pantai perkampungan nelayan dikawasan berkenaan. Pantai Puteri terletak dalam daerah Melaka Tengah. Pantai menarik di Melaka sepanjang 2.5 kilometer ini menawarkan panorama yang cukup indah buat pengunjung. Samada anda ke sini kerana bercuti atau sekadar berjalan-jalan, ia pasti berbaloi. Kemudahan asas turut disediakan. Antara fasiliti yang ada di Pantai Puteri Melaka ialah medan makan, masjid dan tandas awam. Jika anda ingin bercuti disini, banyak penginapan yang ada seperti:

  • Hotel Pantai Puteri Melaka.
  • Anjung Sayang Chalet.
  • Pantai Puteri Homestay.

Pantai Puteri Melaka.
Pemandangan Pantai Puteri, Melaka.

Pantai Tanjung Bidara

Pantai perkelahan terkenal ini terletak dalam daerah Alor Gajah. Ia merupakan salah satu tempat percutian menarik di Melaka yang menjadi tumpuan semasa cuti sekolah. Terdapat beberapa resort cantik disini yang sesuai dijadikan lokasi penginapan anda. Sekiranya anda merancang untuk bercuti disini, tempah resort atau chalet penginapan lebih awal. Walaupun banyak resort di sepanjang pantai namun semuanya akan penuh. Pantai Tanjung Bidara sering menjadi pilihan keluarga, jabatan, institut pengajian dan lain-lain untuk berbagai program seperti hari keluarga, kem motivasi dan sebagainya.

Pantai Tanjung Bidara Melaka.
Pemandangan di Pantai Tanjung Bidara, Melaka.

Pantai Pengkalan Balak

Sinambungan pantai Tanjung Bidara. Ia berada di sepanjang pantai yang sama. Pantainya cantik, landai dan sesuai untuk mandi. Seperti Tanjung Bidara, pantai Pengkalan Balak ialah tempat pelancongan di Melaka yang sangat popular. Terdapat kemudahan penginapan berupa chalet yang banyak disekitar pantai ini. Namun pastikan anda menempah penginapan lebih awal jika ingin bercuti di sini.

Di hari minggu pantai ini menjadi tumpuan penduduk setempat untuk bersantai dan berkelah bersama keluarga. Di musim cuti sekolah ia akan penuh dengan pelancong dari merata-rata negeri. Ditepi pantai Pengkalan Balak terdapat banyak restoran makanan laut dan juga gerai-gerai yang menjual berbagai-bagai makanan, permainan dan pakaian.

Pantai Pengkalan Balak.
Pantai Pengkalan Balak merupakan salah satu destinasi percutian popular di Melaka pada musim cuti sekolah.

Pantai Padang Kemunting

Pantai Padang Kemunting juga berada dikawasan yang sama. Jika dari Pengkalan Balak, ia terletak dihujung jalan. Jadi anda perlu masuk lebih jauh. Salah satu tempat percutian pantai di Melaka yang cukup popular namun ia agak sunyi berbanding pantai Pengkalan Balak. Sesuai jika anda inginkan percutian yang lebih tenang. Anda boleh melihat penyu Karah, iaitu spesis penyu yang hampir pupus. Di pantai ini juga terdapat resort yang menarik. Jika anda merancang untuk bercuti di kawasan berhampiran pantai, berikut ialah senarai resort yang popular:

  • Ismah Beach Resort Melaka.
  • Kemunting Beach Resort
  • Chalet Darul Aslah, Melaka

Pantai Padang Kemunting Melaka.
Pemandangan Pantai Padang Kemunting, Melaka.

Pulau di Melaka

Terdapat dua buah pulau pelancongan di Melaka iaitu:

  • Pulau Besar - Terletak di Selat Melaka kira-kira 3 batu nautika dari Bandar Hilir, Melaka. Pulau ini terkenal dengan berbagai cerita mitos dan lagenda. Terdapat banyak makam lama, perigi, batu dan lain-lain yang mempunyai cerita tersendiri. Disini juga terdapat resort selesa untuk penginapan pelancong yang ingin bercuti di pulau ini.
  • Pulau Upeh - Pulau pemuliharaan penyu Karah.

Muzium di Melaka

Antara tempat menarik di Melaka yang boleh dilawati ialah muzium. Anda boleh melawat muzium untuk melihat khazanah silam dan mempelajari sejarah lampau sejak zaman Kesultanan Melaka. Malah, negeri ini mempunyai begitu banyak muzium sebagai gedung koleksi peradaban yang boleh dikunjungi. Jika anda memang meminati sejarah, anda pasti teruja. Berikut adalah senarai muzium di Melaka yang cukup menarik.

Kompleks Muzium Stadthuys

Muzium Melaka terletak didalam bangunan sejarah terkenal, iaitu Bangunan Stadthuys. Kompleks Muzium Stadthuys atau lebih dikenali sebagai Dutch Square ini terletak di Bandar Hilir, Melaka. Beberapa buah muzium berada disini iaitu:

  1. Muzium Sejarah dan Etnografi - Muzium ini terletak di bangunan Stadthuys. Aras bawahnya mempamerkan corak kehidupan masyarakat tempatan yang berbilang bangsa seperti adat istiadat perkahwinan, cara kehidupan seharian, bentuk pertanian serta pelbagai peralatan lain yang digunakan oleh masyarakat Melaka.
  2. Galeri Laksamana Cheng Ho - Terletak berhampiran Muzium Sejarah dan Etnografi, Galeri Laksamana Cheng Ho memaparkan kisah pelayaran Laksamana Cheng Ho (Zheng Ho) serta mempamerkan barangan antik porselin, replika kapal, koleksi buku-buku yang menceritakan riwayat hidupnya dan maklumat yang berkaitan.
  3. Muzium Sastera - Muzium yang menyimpan berbagai karya sastera dari dahulu hingga kini. Antaranya termasuk Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hukum Kanun Melaka, Munsyi Abdullah dan cerita-cerita rakyat. Hasil-hasil karya budaya berbentuk penulisan tradisional seperti pantun, gurindam, nazam dan puisi juga boleh didapati disini. Selain penulisan, hasil-hasil lukisan yang menggambarkan peristlwa-peristiwa penting dari Sejarah Melayu dan bentuk-bentuk hukuman yang dilaksanakan menurut Hukum Kanun Melaka turut dipamerkan.
  4. Muzium Belia Malaysia - Terletak di aras bawah Balai Senilukis Melaka. Ia adalah sebahagian dari bangunan merah atau Dutch Square Melaka.

Kompleks Muzium Stadthuys.
Bangunan Stadthuys yang dijadikan Kompleks Muzium Melaka.

Senarai Muzium di Melaka

Melaka mungkin negeri yang mempunyai paling banyak muzium. Dibawah ialah senarai muzium lain yang ada di Melaka:

  • Muzium Pemerintahan Demokrasi - Bekas Bangunan Dewan Undangan Negeri iaitu tempat persidangan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Melaka dan Pembentangan Belanjawan Negeri yang tidak digunakan lagi dan dijadikan muzium.
  • Muzium Tuan Yang Terutama - Bangunan bekas kediaman rasmi dan pejabat Gabenor Belanda di Melaka pada kurun ke-17.
  • Muzium Islam Melaka - Bangunan lama bekas Pejabat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jalan Kota, Melaka. Mempamerkan replika Al-Quran terawal, sejarah masjid, replica pedang Nabi S.A.W.
  • Istana Kesultanan Melaka - Replika istana dizaman Kesultanan Melayu Melaka.
  • Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan - Mengumpulkan dokumen, artifek dan lain-lain yang berkaitan dengan perjuangan mencapai kemerdekaan.
  • Galeri Seni PERZIM
  • Muzium Rakyat
  • Muzium Kecantikan
  • Galeri Layang-Layang
  • Muzium UMNO
  • Muzium Adat Istiadat Alor Gajah
  • Muzium Pertanian
  • Muzium Samudera - Muzium Kapal dan Muzium Samudera 2 yang terletak di bandar Melaka. Sangat menarik. Sila lihat artikel penuh di Melawat Muzium Samudera Melaka.
  • Muzium Warisan Baba Nyonya
  • Muzium Pulau Besar
  • Muzium Setem Melaka
  • Villa Sentosa - Muzium persendirian milik Tuan Hj. Hashim bin Dato Demang Hj. Abdul Ghani. Terletak di Kampung Morten, iaitu kampung melayu yang terletak di tengah-tengah Bandar Melaka.

Muzium Islam di Melaka.
Bangunan Muzium Islam Melaka yang unik dan menarik.

Bangunan keagamaan di Melaka

Faktor lain yang menjadi tarikan pelancongan di Melaka ialah bangunan keagamaan. Kerana sejarahnya yang lama, Melaka mempunyai beberapa bangunan keagamaan yang masih kekal terpelihara hingga ke hari ini. Antara bangunan tempat beribadat yang cantik dan unik yang boleh anda lawati ialah:

  • Masjid Kampung Hulu - Masjid paling tua yang dibina pada tahun 1728 semasa penjajahan Belanda ini masih berada ditapak asal pembinaannya iaitu di tengah Bandar Melaka.
  • Masjid Tengkera - Masjid kedua tertua dan dibina pada zaman penjajahan Belanda di Melaka.
  • Masjid Tanah - Masjid yang dibina dari tanah sekitar 1800an.
  • Masjid kampung Kling - Salah sebuah masjid tertua yang terletak di Bandar Melaka.
  • Masjid Al-Azim - Masjid yang mempunyai rekabentuk yang sangat cantik ini terletak kira-kira 3 KM dari Bandar Melaka.
  • Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi - Antara kuil Hindu terawal yang dibina pada tahun 1781.
  • Kuil Sam Po Kong.
  • Kuil Hang Li Poh.
  • Kuil Cheng Hoon Teng Temple.

Masjid tertua di Melaka dibina di zaman Belanda.
Masjid Kampung Hulu adalah masjid tertua di Melaka yang dibina di zaman penjajahan Belanda.

Tempat pelancongan menarik di Melaka

Tidak puas melawat Melaka? Jangan risau kerana banyak lagi lokasi pelancongan dan aktiviti yang boleh dilakukan. Untuk mencipta kenangan manis, ada beberapa aktiviti yang lebih santai dan romantik di beberapa lokasi. Berikut ialah senarai tempat-tempat menarik di Melaka untuk dilawati bersama keluarga atau kawan-kawan.

Menara Taming Sari

Menara setinggi 80 meter ini adalah lokasi terbaik untuk pelancong melihat panorama Bandar Melaka dari atas. Ia akan berpusing 360 darjah agar pelancong boleh melihat pemandangan sekeliling. Dari Menara Taming Sari, beberapa tempat menarik di Melaka boleh di lihat seperti Bukit St.Paul, Bangunan Memorial Kemerdekaan, Muzium Samudra, Flor De La Mar, Dataran Pahlawan, Masjid Selat Melaka, Pulau Besar dan laut Selat Melaka yang membiru.

Menara Taming Sari boleh memuatkan sehingga 80 orang dan pelancong berpeluang melihat pemandangan menarik Bandar Melaka selama 7 minit. Jangan lepaskan peluang menaiki menara ini jika anda bercuti di Melaka. Harga tiket untuk dewasa ialah RM 20.00, manakala bagi kanak-kanak RM10.00.

Menara Taming Sari.
Menara Taming Sari di Bandar Melaka.

Sungai Melaka

Sungai Melaka bukanlah tempat menarik untuk mandi-manda. Ia menjadi tarikan pelancong kerana adanya aktiviti pelancongan menarik iaitu River Cruise. Pelancong boleh menyusuri Sungai Melaka dengan bot pelancongan untuk melihat pemandangan menarik di pinggir sungai. Pemandangan indah juga dapat dilihat diwaktu malam kerana rumah-rumah dan bangunan ditepi sungai dihias dengan menarik dan lampu yang berwarna-warni.

Lihat artikel: Melaka River Cruise.

Pemandangan Sungai Melaka.
Pemandangan Sungai Melaka yang cantik di waktu malam.

A Famosa Resort Melaka

A Famosa Resort Melaka adalah tempat pelancongan menarik yang terletak di Alor Gajah. Terdapat berbagai jenis penginapan selesa seperti condotel dan villa yang mengagumkan. Namun tarikan utama ialah tiga buah taman tema yang ada di resort ini iaitu Safari Wonderland, Water Theme Park dan Cowboy Town.

Lihat artikel: Bercuti di A Famosa Resort Melaka untuk maklumat lanjut.

A Famosa Resort Melaka.
A Famosa Resort Melaka.

Dataran Pahlawan Melaka

Dataran Pahlawan Melaka ialah salah satu tempat bersejarah di Melaka dimana berlangsungnya peristiwa penting berkaitan dengan kemerdekaan negara. Pada 20 Februari 1956, rakyat dari berbagai pelusuk tanahair telah berkumpul di dataran ini bagi menyambut kepulangan Rombongan Merdeka dari London yang diketuai oleh Tuanku Abdul Rahman. Di Dataran Pahlawan Melaka inilah Tunku telah mengumumkan tarikh kemerdekaan negara kita yang bakal diisytiharkan pada 31 Ogos 1957.

Di hadapan dataran ini terletak Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan dan di bawah dataran ini pula sekarang sudah ada kompleks membeli-belah.

Dataran Pahlawan di Melaka.
Dataran Pahlawan adalah antara tempat tumpuan pelancong di Melaka.

Tempat palancongan lain

Beberapa tempat pelancongan lain yang agak menarik boleh dikunjungi bersama keluarga seperti:

  • Dataran Sejarah.
  • Melaka tropical fruit farm, Sungai Udang.
  • Taman Rekreasi Air Terjun Gunung Ledang.
  • Turtle information Centre Melaka.

River cruise di Sungai Melaka.
Melaka River Cruise adalah antara aktiviti pelancongan menarik di Melaka.

Tempat menarik di Ayer Keroh, Melaka

Tempat menarik di Melaka bagaikan tidak ada akhirnya. Anda perlu bijak mengatur lokasi yang ingin dilawati dan juga aktiviti yang ingin dilakukan. Dan pastinya lokasi terakhir yang ingin kami kongsikan ialah Ayer Keroh Melaka. Ia merupakan salah satu tempat pelancongan paling popular di Malaysia. Tidak lengkap percutian anda jika tidak ke sini. Dibawah ialah senarai tempat pelancongan menarik di Ayer Keroh yang menjadi tumpuan pelancong.

Taman Mini Malaysia

Salah satu tempat pelancongan di Melaka yang cukup mengagumkan. Taman Mini Malaysia adalah sebuah taman yang menghimpunkan rumah-rumah tradisional dari setiap negeri di seluruh Malaysia. Rumah-rumah ini dibina dengan rekabentuk dan senibina asal, saiz sebenar dan mengandungi elemen-elemen asli sebagaimana yang terdapat dinegeri asal.

Apabila melangkah masuk ke dalam rumah, pengunjung akan dapat melihat ruang dalaman dihias dengan kraftangan asli dari negeri asal. Disini juga terdapat patung berpakaian tradisional negeri tersebut diletakkan dengan baik bagi menggambarkan keadaan sebenar didalam rumah.

Bagi pengunjung yang mencintai kebudayaan dan warisan, anda pasti terpesona melihat segala yang dipamerkan di Taman Mini Malaysia ini.

Taman Mini Malaysia.
Salah sebuah rumah tradisional di Taman Mini Malaysia, Melaka.

Taman Mini Asean

Taman Mini Asean terletak disebelah Taman Mini Malaysia. Ia dibina dengan konsep yang sama seperti Taman Mini Malaysia. Di taman ini anda akan dapat melihat rumah-rumah dengan rekabentuk senibina asal dari negara Malaysia, Thailand, Filipina, Singapura, Indonesia dan Brunei.

Taman Burung Melaka

Taman Burung Melaka adalah satu lokasi menarik yang sesuai dilawati bersama keluarga. Taman ini berupa sebuah sangkar besar yang mempunyai berbagai spesis burung didalamnya. Antara spesis menarik yang ada didalam taman burung ini ialah burung merak dan burung kakak tua. Pengunjung boleh berjalan didalam taman burung yang berkonsep terbuka dengan pokok-pokok semulajadi dan dihias landskap menarik dengan kolam, pokok-pokok bunga, air terjun dan pondok rehat untuk bersantai. Pengunjung juga boleh menaiki lif ke menara tinjau untuk melihat dari atas burung-burung yang ada didalam taman ini.

Taman Burung Melaka.
Burung dilepas bebas di Taman Burung Melaka.

Zoo Melaka

Tidak sah melancong bersama keluarga jika tidak melawat zoo. Ia adalah pendedahan yang baik untuk anak-anak mengenal dan melihat sendiri haiwan yang ada di alam ini. Jika anda bercuti ke Melaka, terdapat sebuah zoo menarik yang boleh dikunjungi. Zoo Melaka adalah zoo kedua terbesar di Malaysia dan mempunyai 215 spesies haiwan merangkumi unggas, mamalia, reptilia dan amfibia.

Haiwan dari berbagai negara di Asia tenggara dan juga Afrika terdapat disini. Antara yang menarik ialah Badak Sumatera, harimau belang, seladang, kijang dan juga rusa. Zoo Melaka juga menawarkan 'night safari' pada hari setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad. Bagi pengunjung yang ingin melihat aktiviti haiwan pada waktu malam, night safari dibuka dari pukul 8:00 hingga 11:30 malam.

Lihat artikel: Melawat Zoo Melaka.

Badak yang terdapat di Zoo Melaka.
Badak yang terdapat di Zoo Melaka.

Taman Botanikal Melaka

Taman Botanikal Melaka adalah sebuah taman rekreasi menarik yang terletak di Ayer Keroh. kawasan hutan tropika seluas 359 hektar ini mengandungi berbagai flora dan fauna menarik sedia menanti kedatangan pengunjung yang cintakan alam semulajadi. Antara aktiviti yang boleh dilakukan di Taman Botanikal Melaka ialah perkhemahan, merentas hutan dan memanjat bukit. Dikawasan ini juga terdapat tempat yang sesuai untuk beriadah seperti jogging dan berbasikal.

Taman Botanikal Melaka.
Taman Botanikal Melaka adalah destinasi menarik bagi pencinta alam semulajadi.

Taman Buaya Melaka

Tidak puas melihat haiwan di Zoo Melaka, anda boleh ke Taman Buaya Melaka pula. Taman seluas 3.5 hektar ini terletak dalam kawasan hutan simpan negeri Melaka. Terdapat 115 ekor buaya dari empat spesis dan satu spesis aligator didalam taman ini. Antara yang menarik di Taman Buaya Melaka ialah pertunjukan buaya yang diadakan pada hari Sabtu, Ahad, Cuti Sekolah dan Cuti Umum dari pukul 11.30 pagi hingga 2.30 petang.

Selain buaya, taman ini juga menyediakan beberapa tarikan lain seperti:

  • Miniatur Malaysia - Terdapat berbagai replika monumen bersejarah di Malaysia.
  • Taman rekreasi air - Berbagai permainan air yang menarik.
  • Sudut reptilia - Terdapat berbagai jenis reptilia seperti ular, buaya dan lain-lain.
  • Walkthrough Aviary - Berbagai jenis burung boleh dilihat disini.
  • Mammalia House - Terdapat beberapa spesis haiwan dari luar negara.

Taman Buaya Melaka.
Taman Buaya Melaka adalah destinasi pelancongan menarik yang tidak boleh dilupakan.

Taman Rama-Rama Melaka

Satu lagi tempat menarik di Melaka untuk dilawati jika berkunjung ke Ayer Keroh. Taman Rama-rama ini merangkumi kawasan hutan seluas 11 ekar. Terdapat lebih 20 spesis rama-rama terdapat disini termasuk rama-rama kebangsaan Rajah Brooke, Black and White Helen (Papilio nephelus) dan juga Malayan Birdwing (Troides).

Kemudahan laluan pejalan kaki dibina di Taman Rama-rama Melaka bagi memudahkan pengunjung melawat kawasan-kawasan menarik di taman ini. Pokok-pokok bunga berbagai jenis turut ditanam menghiasi taman menjadikan kawasan ini cukup menarik untuk bergambar. Selain rama-rama yang berterbangan di taman, terdapat muzium yang mempamerkan berbagai spesis rama-rama yang sudah diawet.

Taman Rama-Rama Melaka.
Taman Rama-Rama adalah tempat menarik untuk dikunjungi bersama keluarga.

Melaka Wonderland

Antara tempat pelancongan di Melaka yang sesuai untuk seisi keluarga ialah taman tema air. Melaka Wonderland Theme Park & Resort ialah taman tema air popular yang terletak di Melaka. Lokasi taman tema ini ialah di Ayer Keroh. Berbagai aktiviti menarik disediakan untuk pengunjung seperti:

  • Tornado Chaser.
  • Kamikaze Race.
  • 1 Big Wave Pool.
  • Adventure Island.
  • Aqua Bubbles.
  • Fun Fair.

Sebagai salah satu tempat percutian menarik di Melaka, terdapat berbagai pakej yang ditawarkan untuk pengunjung Melaka Wonderland Theme Park & Resort. Anda boleh menyemak promosi di laman web PercutianBajet atau laman rasmi Melaka Wonderland Theme Park & Resort bagi mendapatkan harga pakej yang terbaik.

Lihat artikel: Percutian menarik di Melaka Wonderland untuk maklumat lanjut.

Taman tema Melaka Wonderland.
Melaka Wonderland ialah tempat menarik untuk bersuka-ria bersama keluarga.

Tempat menarik lain di Ayer Keroh, Melaka

  • Taman Ular dan reptilia
  • Tasik Ayer Keroh

Homestay di Melaka

Akhir sekali, bagi pengunjung yang ingin melihat lebih dekat budaya dan adat-resam orang Melaka, anda boleh mengikuti program homestay yang disediakan oleh kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan. Apa yang menarik ialah berbagai program diatur di homestay-homestay ini seperti persembahan kebudayaan, permainan tradisional, pembuatan kuih tradisional dan berbagai-bagai lagi. Selain itu pengunjung juga boleh mengikuti aktiviti harian penduduk dan mempelajari adat-resam serta tata-susila yang diwarisi berzaman.

Berikut ialah homestay yang ada di Melaka. Sila hubungi penyelaras homestay untuk maklumat lanjut berkenaan program yang diatur serta syarat-syarat penyertaan.

  • Homestay Seri Tanjung, Masjid Tanah - Hubungi En. Mohd Yusof Bin Saleh, 013-613 8821.
  • Homestay Kg. Pulai, Merlimau - Hubungi Tn. Hj. Seman Bin Derus, 019-666 4948.
  • Homestay Kg. Parit Penghulu, Sungai Rambai - Hubungi En. Suparman bin Abu, 019-644 2380.
  • Homestay Kg. Alai - Hubungi En. Akramuddin Bin Hj. Abd. Aziz, 016 – 666 6649.
  • Homestay Ayer Limau, Masjid Tanah - Hubungi En. Zohaime bin Muhammad Sori, 06 – 384 7822.
  • Homestay Tambak Paya - Hubungi En. Hj. Jeni @ Zaini B. Hj Samsuri, 012-669 7269.
  • Homestay Kg.Morten, Banda Hilir - Hubungi Tn Hj Rahim Bin Hj Alimat, 012-229 0848.

Makanan tradisional Melaka

Melaka terkenal dengan masakan Baba dan Nyonya. Kebanyakkan hidangannya adalah pedas dan berempah. Lain-lain makanan dan masakan tradisi di Melaka ialah:

  • Cencaluk - Sejenis makanan yang dimakan bersama ulam dan nasi. Ia diperbuat dari udng kecil yang dipanggil udang geragau. Banyak dijual didalam botol dikedai-kedai di Melaka.
  • Belacan - Ia adalah sejenis makanan tradidional melayu yang diperbuat dari isi udang. Belacan biasanya dicampur dalam masakan atau dibuat penyicah yang dipanggil sambal belacan untuk dimakan bersama ulam atau ikan bakar ketika hidangan makan tengahari.
  • Gula Melaka - Gula yang diperbuat dari nira kelapa. Ia biasa digunakan dalam masakan kuih-muih.
  • Dodol - Makanan manisan yang terkenal di Melaka. Dodol biasanya berwarna gelap (coklat) tetapi kini boleh didapati dalam berbagai warna.
  • Tapai - Sejenis makanan manis yang diperbuat dari pulut, ragi dan gula yang diperap. Biasanya ia dibalut dengan daun tapai, daun getah atau daun pisang. Juga terdapat tapai ubi.
  • Nasi Ayam Bebola - Nasi ayam dalam bentuk bebola yang boleh dimakan dengan sekali suapan.
  • Asam pedas - Asam pedas ialah masakan tradisional Melaka. Ia adalah masakan pedas ikan berkuah yang terkenal di Melaka.
  • Satay celup.

Selain itu, Melaka juga terkenal dengan makanan laut. Anda boleh menikmati berbagai masakan hasil laut di Umbai, Muara Sungai Duyong, Pangkalan Balak dan beberapa tempat lagi sekitar kawasan berhampiran pantai.

Lihat artikel: Makan malam di PNK Melaka Barat yang merupakan salah satu lokasi menarik untuk menjamu selera.

Tapai pulut Melaka
Tapai pulut adalah makanan tradisional masyarakat melayu Melaka.

Hotel bajet di Melaka

Hotel dan resort boleh didapati disetiap tempat percutian di Melaka. Berikut ialah senarai hotel bajet dibawah RM200 untuk penginapan satu malam yang boleh dipilih jika bercuti di Melaka:

  • Hotel Layang Layang Guest House - Terletak di Jalan Tukang Besi, Pusat Bandar Melaka. Mempunyai 20 bilik. Harga RM85 - RM111.
  • Hotel Oriental Riverside Residence Guest House - Terletak di Jalan Kampong Pantai, Pusat Bandar Melaka. Mempunyai 6 bilik. Harga RM52 - RM85.
  • Hotel Hong Jonker Street - Terletak di Jalan Masjid, Kampung Hulu, Melaka. Mempunyai 12 bilik. Harga RM63 - RM104.
  • Hotel 1511 Guest House - Terletak di Taman Kota Laksamana, Melaka. Mempunyai 7 bilik. Harga RM82 - RM104.
  • Hotel Vienna Inn Malacca - Terletak di Ujong Pasir, Melaka. Mempunyai 18 bilik. Harga RM82 - RM89.
  • Hotel Driftwood Guest House - Terletak di Jalan Ujong Pasir, Melaka. Mempunyai 4 bilik. Harga RM130 - RM341
  • Hotel Da Som Inn - Terletak di Jalan Tukang Emas, Melaka. Mempunyai 10 bilik. Harga RM85 - RM178.
  • Hotel Discovery Cafe & Guest House - Terletak di Jalan Bunga Raya, Melaka. Mempunyai 20 bilik. Harga RM44 - RM56.
  • Vinz Boutique Hotel - Terletak di Jalan Tun Tan Cheng Lock, Melaka. Mempunyai 5 bilik. Harga RM122 - RM193.
  • Hotel Puri - Hotel bertaraf 3 bintang. Masih ada bilik dibawah RM200. Terletak di Jalan Tun Tan Cheng Lock, Melaka. Mempunyai 82 bilik. Harga RM152 - RM412.

Untuk melihat potongan harga hotel dan resort di Melaka, anda boleh menyemak serta menempah bilik penginapan terus melalui atas talian di BOOKING.COM.

Setakat ini dahulu senarai tempat menarik di Melaka yang dapat kami sediakan untuk anda. Kami akan sentiasa mengemaskini maklumat tempat pelancongan dan aktiviti menarik yang ada di Melaka agar dapat menjadi rujukan pengunjung yang ingin bercuti kesana. Semoga maklumat ini membantu anda merancang destinasi mana yang harus dituju untuk percutian bersama keluarga di Melaka Negeri Bersejarah. Jika anda ingin berkongsi tempat percutian di Melaka atau pengalaman percutian anda, sila komen dibawah artikel ini.

Comments

7

Boleh tak masukkan senarai tempat makan di Melaka yang sedap? Rasanya ramai yang nak tau. Terima kasih.

Kami akan usahakan untuk mengumpul tempat makan di Melaka yang sedap. Cuma masa agak terhad di bulan Ramadhan ini. Mungkin ada pengunjung lain yang ingin berkongsi tempat makan sedap di Melaka, dipersilakan.

Boleh senaraikan tempat yg menarik di melaka? Saya dan keluarga akan bercuti di melaka pd 10/10/15. Itu pertama kali saya ke melaka,

Tempat menarik yang sesuai untuk lawatan keluarga ialah taman tema. Anda boleh bawa keluarga bercuti di A'Famosa Resort. Taman Mini Malaysia dan Mini Asean juga menarik.

Jika anda bercuti beberapa hari, mungkin berbagai tempat yang menarik lain seperti tempat bersejarah, muzium dan pantai menarik yang boleh anda lawati.

Sila rujuk senarai tempat menarik dan penerangan dalam artikel diatas untuk mendapat gambaran tempat menarik yang ada di Melaka.

Semoga membantu.

Syabas untuk laman yang penuh berinfomasi tetapi sepatutnya untuk percutian bajet, lebih baik dimasukkan senarai harga, cth harga tiket river cruise atau lain lain bayaran yang difikirkan akan perlu ditanggung pengunjung terutama yang berkeluarga besar

Terima kasih diatas komen anda. Sebenarnya memang ada dinyatakan harga aktiviti dan tempat menarik tetapi didalam setiap artikel khusus sesuatu tempat pelancongan atau lokasi percutian yang kami ulas secara detail. Senarai umum tempat menarik negeri tidak dinyatakan. Walau bagaimanapun cadangan anda akan kami pertimbangkan.

Tapai Pulut Sarimah adalah salah satu pengusaha tapai pulut yang terkenal di Melaka

Add new comment