Tempat menarik di Nilai Negeri Sembilan

Nilai ialah sebuah bandar baru terancang yang terkenal sebagai lokasi membeli-belah barangan murah. Tidak sah melancong ke Negeri Sembilan jika tidak singgah disini. Keistimewaan membeli-belah di Nilai ialah pengunjung tidak perlu pergi ke merata-rata tempat untuk mencari barangan yang dikehendaki. Semuanya ada di satu lokasi, iaitu kawasan perniagaan yang disediakan. Selain itu di sini juga terdapat beberapa tarikan pelancongan lain seperti pelancongan pendidikan, tarikan alam semulajadi dan tempat-tempat menarik. Kali ini Percutian Bajet akan berkongsi beberapa tempat menarik di Nilai Negeri Sembilan yang boleh dikunjungi sebagai panduan anda yang ingin ke sini.

Nota: Untuk melihat tempat menarik di lokasi lain di Negeri Sembilan, sila lawati halaman Senarai tempat menarik di Negeri Sembilan untuk percutian keluarga.

Tempat pelancongan menarik

Ada beberapa tempat pelancongan di Nilai yang boleh dikunjungi jika bercuti ke sini. Berbeza dengan lokasi percutian lain, tarikan bandar ini lebih kepada membeli-belah dan pelancongan pendidikan. Berikut ialah maklumat ringkas dan senarai tempat membeli-belah, pelancongan pendidikan dan tarikan lain yang ada di Nilai Negeri Sembilan.

Nilai 3 Wholesale Centre

Tempat menarik di Nilai yang mesti dikunjungi ialah Nilai 3 Wholesale Centre. Ia adalah sebuah tempat membeli-belah yang menempatkan pelbagai barangan yang dijual secara borong dan runcit. Kawasan seluas 165 hektar ini mempunyai 750 buah kedai dan mula diperkenalkan pada Disember 2001. Antara barangan yang ada disini termasuk barangan kraftangan, perabot serta pakaian seperti baju, tudung, telekung, kain pasang dan berbagai barangan tekstil lain. Selain itu, disini juga terdapat berbagai aksesori perkahwinan, aksesori kereta dan barangan perhiasan rumah seperti lampu perhiasan, karpet dan langsir.

Oleh kerana semua kedai-kedai ini terletak di satu kawasan yang sama, ia menjadi one stop destination bagi penduduk tempatan dan juga pelancong dari luar membeli-belah. Harga yang ditawarkan juga amat berpatutan menjadikan Nilai 3 Wholesale Centre ini sentiasa dikunjungi orang-ramai.

Lokasi / Alamat:
Nilai 3 Wholesale Centre Management Sdn Bhd,
No. 231, Jalan Nilai 3/8,
71800 Nilai
Negeri Sembilan.

Nilai 3 Negeri Sembilan.

Nilai Square

Nilai Square ialah tarikan utama pelancong yang ingin membeli-belah di Nilai Negeri Sembilan. Ia adalah kawasan berbumbung diantara bangunan kedai perabot dan hiasan rumah yang dibina bagi menempatkan gerai-gerai yang menjual pelbagai barangan terutama pakaian dan fabrik. Ada barangan yang dijual secara borong dan harga yang ditawarkan adalah agak murah. Ramai peniaga dari luar yang datang ke sini untuk mendapatkan stok perniagaan mereka. Manakala barangan yang dijual secara runcit pula kebanyakannya memang lebih murah dari kedai-kedai biasa. Perniagaan di Nilai Square ini hampir sama dengan Pasar Melayu Kemboja cuma bezanya disini ia lebih tersusun dan kemudahan yang disediakan adalah lebih baik. Sememangnya sebuah tempat menarik di Nilai yang tidak boleh dilepaskan oleh sesiapa sahaja yang bercuti ke Negeri Sembilan.

Lokasi / Alamat:
Nilai Square
No. 231, Jalan Nilai 3/8,
71800 Nilai
Negeri Sembilan.

Nilai Square Negeri Sembilan.

Dataran Nilai

Lokasi yang menjadi tumpuan penduduk tempatan untuk bersantai bersama keluarga ialah Dataran Nilai. Ia terletak di tengah-tengah pusat bandar dan mudah untuk dikunjungi. Disini terdapat sebuah menara jam yang menjadi mercu tanda bandar Nilai, sebuah kawasan mini ampiteater yang agak luas dan sebuah bangunan kraftangan. Kemudahan tempat letak kereta dan taman permainan kanak-kanak juga disediakan. Dataran Nilai mempunyai lanskap menarik dan sesuai untuk mereka yang suka bergambar.

Jika anda mencari tempat menarik di Nilai waktu malam, Dataran Nilai cukup meriah terutama pada malam minggu. Ramai yang membawa keluarga bersantai, makan-makan dan bermain bersama ahli keluarga disini.

Dataran Nilai Negeri Sembilan.

Taman Awam Nilai

Antara tempat menarik di Nilai yang boleh dikunjungi ialah Taman Awam Nilai. Ia adalah sebuah kawasan rekreasi seluas empat hektar yang mempunyai kemudahan trek jogging sepanjang 1 KM, taman permainan kanak-kanak, peralatan sukan regangan, gelanggang bola keranjang, sepak takraw serta padang bola. Taman rekreasi ini menjadi tempat beriadah terutama pelajar-pelajar institusi pengajian yang ada di bandar Nilai.

Apa yang lebih menarik ialah terdapat mural enam Perdana Menteri Malaysia yang dibina di Taman Awam Nilai ini. Mural dari batu granit ini mempunyai keterangan tentang pemimpin-pemimpin yang pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia. Ia adalah sesuatu yang unik terletak dalam satu kawasan yang cantik.

Taman Awam Nilai Negeri Sembilan.

Pelancongan pendidikan

Nilai Negeri Sembilan juga terkenal sebagai sebuah bandar ilmu dimana terdapat banyak institusi pendidikan awam dan swasta ditubuhkan disini. Antara yang ada disini ialah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam yang ke-12 di Malaysia. Ia menawarkan beberapa kursus pengajian Islam seperti Quran dan sunnah, syariah dan undang-undang, ekonomi, sains dan teknologi serta lain-lain lagi.

Universiti Sains Islam Malaysia menjadi tumpuan pelajar bukan saja dari Malaysia malah seluruh dunia. Penekanan pendidikan Islam, penggunaan teknologi maklumat dan penumpuan bahasa Arab serta Inggeris menjadi tarikan selain berbagai kemudahan yang disediakan di universiti ini. Bagi guru-guru yang ingin membawa pelajar melawat tempat menarik di Nilai Negeri Sembilan, USIM adalah lokasi yang tidak boleh dilupakan.

Alamat / Lokasi:
Universiti Sains Islam Malaysia
Bandar Baru Nilai,
71800 Nilai, Negeri Sembilan.
Tel : 06-798 8000
Website : www.usim.edu.my
Email : pro@usim.edu.my

Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan.

Institusi pendidikan lain yang ada di Nilai ialah:

  • Nilai International College.
  • INTI International College.
  • PNC International College of Nursing & Health Science.
  • MURNI Nursing College.
  • Kolej Lagenda dan Institut Teknologi Pertama, Mantin.
  • Global Institute of Studies (GIS).
  • Manipal International University.

Homestay Kampung Pelegong

Bagi anda yang ingin merasai suasana kehidupan kampung dan melihat sendiri cara hidup, adat-resam serta kebudayaan masyarakat, Homestay Kampung Pelegong adalah destinasi menarik yang boleh dijadikan lokasi percutian anda. Berbagai program kebudayaan diatur sepanjang tahun di sini. Pengunjung berpeluang mengikuti rutin harian penduduk kampung yang menjalankan pelbagai kegiatan termasuk ternakan ikan air tawar, membuat roti, barangan kraftangan serta mencuba berbagai aktiviti seperti menoreh getah, memancing, mandi di sungai dan membuat kuih-muih tradisional. Pengunjung juga boleh mempelajari permainan tradisional seperti galah panjang, congkak, batu seremban dan gasing.

Program dan aktiviti sebegini adalah satu peluang yang baik bagi ibubapa mendedahkan anak-anak pada kebudayaan dan warisan yang ada di Malaysia. Homestay Kampung Pelegong juga merupakan lokasi pilihan untuk program anak angkat institusi pengajian tinggi yang ada di kawasan ini. Sememangnya homestay ini satu tempat menarik di Nilai yang unik dan cukup menarik untuk bercuti.

Lokasi / Alamat:
Kg, Pelegong Batu 8,
71900 Labu,
Negeri Sembilan.

Aktiviti di Homestay Kampung Pelegong.

Tempat makan menarik

Beberapa tempat makan menarik ada di Nilai Negeri Sembilan yang boleh anda kunjungi untuk menjamu selera. Ada yang yang menyediakan resepi kampung, selera tempatan dan tidak ketinggalan makanan barat yang menyelerakan. Senarai berikut ialah antara tempat makan sedap yang terkenal di bandar ini.

Aunty Aini

Restoran yang menyediakan masakan kampung yang sangat menyelerakan. Berbagai hidangan disediakan seperti asam pedas ikan merah, burung puyuh goreng, ulam-ulaman dan berbagai-bagai menu lagi. Keistimewaan Aunty Aini ialah restoran ini berkonsepkan kampung dimana ia beratapkan nipah, dikelilingi pepohon yang menghijau dan dihiasi pokok-pokok bunga menarik memenuhi laman. Suasana damai ini pasti menambah selera anda menikmati hidangan yang disajikan.

Waktu perniagaan:
Makan tengahari: 11.30 pagi hingga 2.30 petang
Makan malam: 5.30 petang hingga 11.30 malam
Tutup: Ahad.

Alamat / Lokasi restoran:
Aini Ahmad
Batu 16, Kampung Chelet,
Jalan Sepang,
71800 Nilai.
Tel: 06-7991276
Tel.(HP): 012-3075834

Restoran Aunty Aini, Nilai.

MMA Santai Corner, Bandar Baru Nilai

Banyak gerai yang ada disini. Antara makanan yang sedap dan popular ialah sup, asam pedas, mee udang dan ABC. Jika anda mencari lokasi untuk makan malam sedap di Nilai, MMA Santai Corner di Bandar Baru Nilai ini memang tidak mengecewakan.

Alamat / Lokasi restoran:
Bandar Baru Nilai,
71800 Nilai,
Negeri Sembilan.

Mee udang di MMA Santai Corner, Bandar Baru Nilai.

Restoran Aiyunie Seafood

Restoran ini terletak di Desa Jasmin jalan ke Desa Cempaka. Anda boleh mencuba tomyam, sup ayam, siakap stim dan kerang bakar. Masakan lain yang disediakan juga memang sedap-sedap belaka. Harganya agak murah dan sesuai membawa keluarga menjamu selera disini.

Alamat / Lokasi restoran:
Jalan BBN 5/2a,
Bandar Baru Nilai,
71800 Nilai,
Negeri Sembilan.

Penginapan

Jika anda mencari penginapan, terdapat beberapa buah hotel di Nilai yang sesuai dijadikan tempat bermalam. Hotel paling menarik ialah Nilai Springs Resort Hotel iaitu hotel bertaraf 4 bintang yang cukup terkenal di bandar ini. Selain itu disini juga terdapat banyak hotel bajet terutama disekitar kawasan Putra Nilai.

Nilai Springs Resort Hotel.

Untuk melihat perbandingan harga hotel di Nilai dan menempah bilik penginapan, anda boleh semak di Hotelscombined.

Walaupun bukan sebuah lokasi percutian menarik, Nilai terkenal sebagai lokasi persinggahan untuk membeli-belah jika melancong ke Negeri Sembilan. Tidak lengkap percutian anda jika tidak berkunjung ke bandar ini. Selain itu, Nilai juga terkenal dengan pelancongan pendidikan yang menarik ramai pelancong ke sini sepanjang tahun. Semoga maklumat ringkas yang dikongsikan ini membantu memberi sedikit gambaran tentang bandar ini. Selamat bercuti dan berkunjung ke tempat-tempat menarik di Nilai Negeri Sembilan.

Comments

1

tengah serching mee udang, singgah sini baca info about nilai. thanks for sharing

Add new comment