Pantai Teluk Cempedak, Kuantan

Teluk Cempedak Kuantan terkenal dengan pantainya yang cantik. Ramai pelancong yang mengunjungi pantai ini untuk melihat keindahan pemandangan ditepi laut, bersiar-siar di tepi pantai yang berpasir putih bersih dan mandi laut. Lebih dikenali dengan panggilan TC, kawasan pantai ini sentiasa menjadi tumpuan orang-ramai siang dan juga malam. Kali ini Percutian Bajet akan menyingkap keistimewaan pantai Teluk Cempedak sebagai panduan kepada pengunjung yang merancang untuk bercuti ke sini.

Nota: Untuk melihat tempat menarik lain yang ada di negeri Pahang, sila lawati halaman Senarai tempat menarik di Pahang untuk dilawati.

Kawasan pantai Teluk Cempedak Kuantan.

Apa ada di Teluk Cempedak?

Sesiapa sahaja yang bercuti ke Kuantan pasti akan ke pantai ini. Apa ada di Teluk Cempedak yang menyebabkan ramai pelancong berkunjung ke sini? Antara tarikan utama ialah:

  • Kawasan pantai yang sangat cantik - Pantai yang berpasir putih dan bersih.
  • Tempat makan menarik - Terdapat kedai makan dan restoran makanan segera yang terletak ditepi pantai.
  • Meriah - Berbagai jenis gerai yang menjual bermacam-macam barangan.
  • Aktiviti menarik - Mandi laut, bermain layang-layang, banana boat, jetski, sukan pantai dan lain-lain.

Pantai Teluk Cempedak Kuantan.

Lokasi dan perjalanan

Pantai Teluk Cempedak terletak hanya kira-kira 5 KM dari bandar Kuantan. Jika ingin ke sini, anda boleh terus memandu kenderaan sendiri hingga ke destinasi. Dari Kuala Lumpur, ikut Lebuhraya Karak dan ikut susur keluar Gambang untuk ke Kuantan. Kemudahan papan tanda yang jelas dan GPS akan membantu anda tiba ke lokasi dengan mudah. Jika anda memilih untuk menggunakan pengangkutan awam, anda boleh:

  1. Mengambil bas ekspress ke Kuantan. Dari Kuantan ke pantai Teluk Cempedak, anda boleh mengambil teksi.
  2. Pengunjung juga boleh menaiki kapal terbang ke Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan. Dari lapangan terbang, anda boleh mengambil teksi terus ke pantai Teluk Cempedak.

Tarikan pelancongan

Tarikan pelancongan utama di Teluk Cempedak Kuantan ialah pantainya. Suasana disini juga meriah kerana terdapat banyak restoran ditepi pantai dan juga restoran makanan segera yang dibuka 24 jam. Jika ingin dihuraikan dengan lebih terperinci, keistimewaan Teluk Cempedak ialah:

Pantai yang cantik

Pantainya memang cantik dan menarik untuk mandi-manda atau sekadar bersantai menikmati bayu laut. Ada juga yang bermain layang-layang, bermain pasir, bergambar dan lain-lain.

Pantai Teluk Cempedak yang cantik.

Deretan gerai di pantai

Berbagai jenis gerai yang menjual pelbagai barangan termasuk barangan cenderahati. Ada keychain, fridge magnet, gelang nama dan bermacam-macam lagi. Suasana meriah disini berlanjutan hingga ke tengah malam.

Tempat permainan kanak-kanak

Ada taman permainan kanak-kanak dan bermacam-macam permainan lagi terutama pada musim cuti sekolah. Kadang-kadang ada mini go kart dan bouncy castle. Ibu bapa boleh berehat sambil memerhatikan anak-anak bermain.

Laluan pejalan kaki

Terdapat laluan pejalan kaki dibina dengan kayu di tepi pantai ini yang sangat panjang hingga ke Pantai Tanjung Pelindung. Pengunjung boleh berjalan melihat pemandangan menarik ombak menghempas batu-batu, melalui kawasan hutan atau berehat di pondok rehat yang disediakan. Dikawasan ini juga terdapat banyak monyet.

Batu-batu besar dan unik

Selain kawasan pantai yang berpasir putih dan halus, terdapat kawasan berbatu besar di pantai Teluk Cempedak ini. Pengunjung boleh berjalan melihat batu-batu besar yang unik semasa air surut. Pemandangan disini juga sangat menarik.

Pemandangan batu besar di Teluk Cempedak.

Aktiviti menarik

Teluk Cempedak sangat meriah terutama di musim cuti sekolah. Ramai yang membawa keluarga bercuti di pantai ini. Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini ialah:

  • Banana boat.
  • Jet ski.
  • Mandi laut.
  • Berkelah dan bersantai ditepi pantai.
  • Bermain layang-layang.
  • Jungle trekking.
  • Berjalan-jalan ditepi pantai.
  • Membeli-belah produk tempatan.
  • Menjamu selera.

Teluk Cempedak, Kuantan, Pahang.

Makanan

Pengunjung tidak perlu risau tentang makanan jika ke Teluk Cempedak Kuantan. Terdapat banyak kedai yang menjual berbagi jenis makanan panas dan juga makanan segera. Tempat makan yang ada ialah:

  • Medan selera Teluk Cempedak - Tempat makan yang menghadap laut. Sangat cantik dan bersih.
  • Restoran makan segera - KFC, McDonald dan lain-lain.
  • Beberapa restoran makanan melayu, ala-thai dan makanan laut juga ada.

Kemudahan

Antara kemudahan asas yang disediakan di Teluk Cempedak ialah:

  • Tandas.
  • Bilik mandi.
  • Surau.

Penginapan

Tidak seperti di Cherating, pantai Teluk Cempedak tiada longgokan hotel atau resort ternama memenuhi kawasan ini. Antara penginapan yang ada ialah:

  • Hotel Hyatt Regency - Satu-satunya hotel di pantai ini. Hotel bertaraf 5 bintang namun ulasan tetamu ramai yang kurang berpuas-hati dengan layanan dan bilik yang disediakan. Kelebihannya ialah hotel ini betul-betul berada ditepi pantai.
  • Kuantan Tembeling Resort - Terletak agak jauh dari pantai Teluk Cempedak. Namun resort ini agak menarik dengan kemudahan kolam renang yang luas. Telefon +60 9-568 2888.
  • Terdapat beberapa buah hotel bajet tidak berapa jauh dari pantai seperti TC Beach Hotel, RZ Guest House, Nusantara Bajet dan Anjung Selesa Guest House.

Oleh kerana jarak pantai yang tidak berapa jauh dari pusat bandar, anda masih boleh mendapatkan penginapan terbaik disekitar bandar Kuantan. Memilih tempat penginapan menarik adalah perkara penting jika bercuti. Untuk melihat tawaran potongan harga hotel di Kuantan, anda boleh menyemak dan menempah bilik penginapan melalui BOOKING.COM.

Teluk Cempedak Kuantan ialah pantai yang sangat popular di Pahang. Pantainya cantik, bersih, berpasir halus, landai dan sesuai untuk mandi. Suasana di sini juga sangat meriah hingga ke malam. Kekurangannya mungkin kawasan pantai yang agak kecil dan tidak banyak tempat penginapan berhampiran dengan pantai. Ia sesuai untuk persinggahan sahaja bukan untuk bercuti. Bagi pengunjung yang pernah ke Pantai Teluk Cempedak, kongsikan pengalaman anda dibahagian komen dibawah.

Add new comment