Percutian menarik ke Cherating Pahang

Cherating ialah salah satu lokasi pelancongan menarik di Pahang. Ia merupakan tempat peranginan yang sangat popular kerana mempunyai pantai yang cantik dan kemudahan penginapan menarik yang disediakan. Disini juga terdapat sebuah resort antarabangsa terkenal iaitu Club Med, yang merupakan cawangan pertama di Asia. Bagi pengunjung yang mencari lokasi menarik di tepi pantai, Percutian Bajet ingin berkongsi maklumat mengenai percutian menarik ke Cherating Pahang.

Nota: Untuk melihat tempat menarik lain yang ada di negeri Pahang, sila lawati halaman Senarai tempat menarik di Pahang untuk dilawati.

Pantai Cherating.

Apa ada di Cherating?

Jika anda bercuti ke Cherating, terdapat beberapa tempat menarik dan aktiviti pelancongan yang boleh dilakukan seperti:

  • Lokasi pelancongan menarik - Kawasan pantai yang cantik.
  • Aktiviti pelancongan - Memancing, banana boat, sukan pantai dan lain-lain.
  • Mengunjungi tempat pelancongan - Ada beberapa tempat menarik di Cherating yang boleh dilawati.
  • Makanan - Kedai makan dan restoran yang menjual berbagai jenis makanan.
  • Penginapan - Banyak hotel dan resort menarik terdapat disini.

Pantai Cherating Pahang.

Bagaimana untuk ke Cherating?

Bagi pengunjung di semenanjung Malaysia yang telah memilih untuk bercuti di Cherating, anda boleh terus memandu kenderaan sendiri hingga ke destinasi. Dari Kuala Lumpur, ambil Lebuhraya Karak dan ikut susur keluar Jabor untuk ke Cherating. Kemudahan jalanraya yang baik, papan tanda dan GPS akan membantu anda tiba ke lokasi tanpa masalah. Jika anda memilih untuk menggunakan pengangkutan awam, anda boleh:

  1. Mengambil bas ekspress ke Kuantan. Dari Kuantan ke Cherating, anda boleh mengambil teksi.
  2. Mengambil bas ekspress ke Kemaman, Terengganu. Dari Kemaman ke Cherating, anda boleh mengambil teksi.
  3. Pengunjung juga boleh menaiki kapal terbang ke Kuantan. Dari Kuantan, anda boleh mengambil teksi terus ke Cherating.
Peta laluan untuk ke Cherating.

Tempat menarik di Cherating

Selain bersantai di tepi pantai dan mandi laut, terdapat beberapa tempat menarik yang boleh dilawati jika anda bercuti ke Cherating. Oleh kerana lokasi yang hampir dengan Terengganu, pengunjung juga boleh melawat beberapa destinasi pelancongan yang ada di Kemaman. Sebagai panduan, berikut ialah senarai tempat menarik di Cherating dan kawasan berhampiran yang boleh dikunjungi.

Pantai Cherating

Pantai Cherating menarik untuk mandi-manda dan berkelah. Walau bagaimanapun, pengunjung hanya boleh mandi laut semasa air surut. Jika air pasang atau air tinggi, pengunjung dilarang mandi kerana bahaya. Kawasan pantai ini akan menjadi tumpuan pelancong setiap kali tiba musim cuti sekolah. Suasana Pantai Cherating amat meriah pada ketika itu dimana orang-ramai bermain layang-layang, bola sepak pantai, bola tampar, ada yang bermain luncur air dan lain-lain. Berbagai jenis gerai yang menjual permainan, makanan, pakaian dan cenderahati juga ada disini.

Melawat Pusat Santuari Penyu

Jika anda membawa anak-anak bercuti, ada tempat menarik di Cherating yang boleh anda lawati bagi memperkenalkan kepada mereka hidupan laut yang jarang dilihat iaitu penyu. Pengunjung boleh ke Pusat Penerangan dan Konservasi Penyu Cherating untuk melihat dengan lebih dekat pusat penetasan penyu dan anak-anak penyu yang akan dilepaskan ke laut. Berbagai maklumat tentang penyu ada disini. Penyu-penyu yang terdapat disini adalah dari spesis Karah dan Agar. Selain itu, disini juga terdapat pameran pemuliharaan penyu dan hidupan laut. Masuk adalah percuma.

Pantai Teluk Mak Nik

Pantai Teluk Mak Nik juga dikenali sebagai Monica Bay adalah merupakan kawasan pantai yang cantik dengan deretan pohon rhu merendang. Ia merupakan kawasan yang menarik untuk aktiviti perkelahan. Kawasan ini juga merupakan lokasi penyu bertelur. Lantaran itu ia akan ditutup pada waktu malam.

Melihat kelip-kelip di Sungai Cherating

Ingin sesuatu yang lebih mengagumkan? Anda boleh menaiki bot di waktu malam melihat kelip-kelip di Sungai Cherating. Menyusuri sungai melihat keindahan kelip-kelip cukup menenangkan. Anda juga boleh melihat kelip-kelip di Sungai Yak Yah, Kemaman atau di Kampung Ibok, Chukai, Kemanan yang terletak tidak jauh dari Cherating.

Mencanting batik di Limbong Art

Satu lagi tempat menarik di Cherating yang wajar dikunjungi ialah Limbong Art. Anda boleh melihat bagaimana membuat batik dan berbagai kraftangan ukiran kayu yang cantik. Limbong Art terletak di Kampung Cherating Lama. Pengunjung juga berpeluang mencanting (melukis) sendiri batik dengan membeli kain kosong yang ada disini. Harga kain berbeza bergantung pada saiz. Cubalah mana tahu anda ada bakat seni tersembunyi.

Tempat-tempat menarik lain yang boleh dikunjungi jika bercuti ke Cherating ialah:

  • Membeli hasil laut segar seperti ikan, udang, ketam dan lain-lain di Kompleks LKIM, Kemaman, Terengganu.
  • Zoo Kemaman - Terletak tidak jauh dari Cherating. Membawa anak-anak anda ke sini pasti menggembirakan mereka. Selain melihat haiwan yang ada di zoo, disini juga terdapat taman tema air yang cukup menarik.

Mencanting batik di Cherating.

Aktiviti menarik di Cherating

Percutian pasti hambar tanpa aktiviti-aktiviti menarik untuk dilakukan. Jika bercuti di Cherating, anda tidak perlu risau. Banyak yang boleh dilakukan seperti senarai dibawah:

  • Cherating Mangrove River Cruise.
  • Melihat kelip-kelip.
  • Trip snorkeling ke Pulau Ular.
  • Trip memancing.
  • Berkayak.
  • Banana boat.
  • ATV ride.
  • Mandi laut.
  • Berkelah dan bersantai ditepi pantai.
  • Bermain bola tampar pantai.
  • Bermain bola sepak pantai.
  • Bermain layang-layang.
  • Melihat matahari terbenam.
  • Membeli-belah produk tempatan.
  • Menjamu selera makanan tempatan.

Bermain layang-layang di tepi pantai Cherating.

Makanan di Cherating

Terdapat banyak tempat makan sedap di Cherating. Pengunjung juga boleh mencuba makanan tradisional dan unik seperti sata, otak-otak dan keropok lekor. Makanan lain yang popular ialah gulai kawah, nasi dagang, ikan bakar dan makanan laut. Sebagai panduan pengunjung yang ingin menjamu selera, dibawah ialah senarai tempat makan di Cherating yang boleh anda kunjungi:

  • Warung Awang Ikan Bakar - Terletak ditepi jalan menghala ke Kemaman. Lokasinya selepas simpang ke Club Med. Untuk makan malam, makan yang disediakan disini cukup menyelerakan. Ia dibuka dari pukul 5 petang hingga ke tengah malam.
  • Warung D'Nie, Restoran Rogayah - Makanan sedap di kedai makan ini ialah nasi kukus gulai kawah dan ayam greng berempah.
  • Restoran RC2 - Restoran ini terletak berhampiran RnR Chendor (selepas RnR). Makan yang sedap disini ialah nasi kerabu ayam bakar, dan nasi minyak dengan beraneka lauk.
  • Warung Aziz Satar - Tempat makan terkenal yang menjual sata dan otak-otak.
  • Warung Pok Su & Mok Su - Lokasinya berhampiran Balai Polis Peramu. Terdapat berbagai jenis makanan laut seperti sotong, bebola ikan dan ikan segar yang digoreng.
  • Che Wan Kuala Kemaman - Tempat makan otak-otak yang sedap.

Penginapan di Cherating

Penginapan yang selesa adalah asas pada percutian yang menyeronokkan. Mood percutian anda akan berubah jika mendapat bilik penginapan teruk yang tidak sepadan dengan harga. Buat sedikit kajian hotel yang ingin anda tempah. Pastikan anda membaca ulasan yang diberikan oleh pengunjung. Bagi membantu anda mendapatkan tempat penginapan, senarai dibawah adalah antara hotel dan resort paling popular di Cherating yang menjadi pilihan pelancong:

Senarai resort dan hotel di Cherating

Jika anda merancang untuk bercuti beberapa hari, terdapat banyak penginapan menarik yang boleh anda pilih. Dibawah ini ialah senarai resort dan hotel di Cherating yang sering menjadi pilihan pelancong.

  • Cherating Bayview Resort.
  • Suria Cherating Beach Resort.
  • Cherating Bay Resort.
  • Residence Inn Cherating.
  • Eastana Beach Resort Cherating.
  • The Legend Cherating Beach Resort.
  • Impiana Resort Cherating.
  • Holiday Villa Beach Resort Cherating.
  • Casa Titik.
  • Santuary Resort Apartment Hotel.
  • Tanjung Inn Chalet Cherating.

Memilih tempat penginapan menarik semestinya bergantung pada bajet. Namun anda masih boleh mendapatkan harga yang murah jika menempah secara online di laman web hotel. Untuk melihat tawaran potongan harga hotel di Cherating, anda boleh menyemak dan menempah bilik penginapan melalui BOOKING.COM.

Cherating ialah tempat percutian yang sangat popular di Malaysia. Pantainya cantik, bersih, berpasir halus, landai dan sesuai untuk mandi. Jika anda mencari lokasi menarik untuk percutian keluarga atau honeymoon, percutian ke Cherating adalah pilihan yang tepat. Semoga maklumat yang kami kongsikan ini membantu anda yang merancang untuk ke sana. Bagi pengunjung yang ingin berkongsi pengalaman menarik bercuti di Cherating, sila komen dibawah.

Comments

1

info ini sgt berguna buat saya.mggu dpn ni kami nak kesana..

Add new comment