Tempat menarik di Temerloh Pahang

Jika anda sedang mencari lokasi percutian menarik di Pahang, apa kata anda cuba ke Temerloh. Ianya terletak ditengah-tengah antara Kuala Lumpur dan Kuantan. Banyak tempat-tempat menarik di Temerloh yang boleh dilawati seperti lokasi pelancongan alam semulajadi, makanan tempatan yang sedap dan berbagai tarikan lagi. Bagi membantu anda mengenali lokasi menarik yang ada, Percutian Bajet telah senaraikan destinasi yang boleh anda tuju bersama maklumat dan alamat untuk dihubungi.

Untuk melihat tempat-tempat menarik lain yang ada di Pahang, sila lawati halaman Senarai tempat menarik di Pahang untuk dilawati.

Tempat pelancongan menarik

Bandar Temerloh terletak ditebing Sungai Pahang. Ia menawarkan pemandangan menarik ditebing sungai yang cukup menenangkan. Disamping itu, kedai-kedai makan juga banyak dan turut menghidangkan pelbagai masakan tempatan yang enak. Namun percutian anda tidak lengkap jika tidak mengunjungi pusat pelancongan yang ada di daerah ini. Berikut ialah beberapa tempat pelancongan menarik di Temerloh yang boleh dilawati.

Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan

Tempat menarik di Temerloh yang mesti dlawati ialah Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan yang terletak di Kuala Gandah, Lanchang. Pusat ini berperanan melindungi dan memberi rawatan kepada anak-anak gajah yang ditinggalkan kumpulan, gajah denak dan gajah liar yang ditangkap sebelum dilepaskan ke Taman Negara. Selain itu, pusat ini juga turut memberi kesedaran kepada orang-ramai tentang bahaya kepupusan dimana gajah adalah antara spesis yang semakin terancam di Malaysia.

Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan.

Antara program dan aktiviti menarik yang disediakan disini ialah memerhati kehidupan anak gajah yang dilepaskan secara bebas dalam kawasan berpagar, menonton dokumentari proses menyelamatkan gajah liar dari kawasan konflik ke habitat baru, melihat gajah dewasa dan anak gajah dimandi dan dibersihkan serta penerangan tentang gajah. Berbagai maklumat mengenai gajah boleh didapati disini.

Waktu operasi:
Setiap hari : 8 pagi - 4.30 petang.

Alamat / Lokasi:
Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah
Jabatan Perhilitan,
Kuala Gandah,
28500 Lanchang,
Pahang Darul Makmur, Malaysia

Hubungi:
Tel: 013-9790272 Kaunter: 013-9088207
Faks: 09-279 0398
E-mail : necc@wildlife.gov.my

Taman Tema Air Kubang Gajah

Taman Tema Air Kubang Gajah (Kubang Gajah Mini Waterpark) ialah antara tempat menarik di Temerloh yang sesuai dikunjungi bersama keluarga. Walaupun ia tidak sebesar dan sehebat Legoland atau Sunway Lagoon waterpark, tapi cukup untuk menggembirakan anak-anak anda.

Temerloh Mini Waterpark.

Waktu operasi:
Isnin - Jumaat : 11 pagi - 7.15 petang.
Sabtu, Ahad dan Cuti Umum : 9 pagi - 7.15 petang.
Tutup : Setiap hari Selasa.

Harga Tiket / Bayaran Masuk:
Kanak-kanak (setahun hingga 12 tahun) : RM8.
Dewasa (13 tahun dan keatas) : RM10.
OKU (separuh harga) : RM4-RM5.
Penjaga (yang tidak main air) : RM1.

Alamat / Lokasi:
Kubang Gajah Mini Waterpark
Taman Awam Kubang Gajah
28000 Temerloh,
Pahang

Pusat Pemuliharaan Seladang

Mungkin ramai yang belum pernah melihat seladang secara langsung. Ini kerana seladang Malaysia adalah antara spesis terancam teruk akibat penerokaan hutan yang berleluasa dan pemburuan haram. Jika bercuti ke Temerloh, anda berpeluang melawat Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar Rusa dan Seladang yang terletak di Felda Jenderak Selatan, Kuala Krau. Pusat konservasi yang ditubuhkan pada tahun 1976 ini telah berjaya membiakkan lebih 33 ekor seladang spesis Bos gaurus hubbacki iaitu seladang yang terbesar di Malaysia. Pengunjung dapat melihat bagaimana seladang ini ditempatkan secara berkumpulan didalam kawasan habitat semulajadi yang berpagar.

Pusat Pemuliharaan Seladang Kuala Krau Temerloh.

Waktu operasi:
Isnin - Khamis : 9 pagi - 4 petang.
Sabtu, Ahad dan Cuti Umum : 9.30 pagi - 3 petang.
Jumaat : 9 pagi - 4 petang. Rehat 12 tengahari - 2.30 petang.

Harga Tiket / Bayaran Masuk: Percuma.

Alamat / Lokasi:
Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar Rusa dan Seladang
Felda Jenderak Selatan,
28000 Kuala Krau,
Pahang

Hubungi:
Tel: 09-276 2593

Deerland Park

Deerland Park ialah tempat dimana anda boleh melihat pelbagai spesis rusa tempatan dan luar negara. Bukan itu sahaja, pengunjung boleh mendapatkan berbagai maklumat mengenai rusa, menyentuh dan memberi makan rusa-rusa yang jinak. Selain rusa disini juga terdapat binatang lain seperti pelanduk, landak, memerang, burung unta, burung merak dan lain-lain. Pengunjung turut berpeluang melawat Deerland Nature dimana terdapat pelbagai jenis herba semulajadi yang baik untuk kesihatan.

Deerland Park Temerloh.

Waktu operasi:
Sabtu - Khamis: 10.30 pagi - 5.30 petang.
Jumaat: Tutup.

Harga Tiket / Bayaran Masuk:
Dewasa : RM6.
Kanak-kanak : RM3.

Alamat / Lokasi:
Deerland Park
28500 Lanchang,
Pahang

Hubungi:
Tel: 09-2779305 / 012-9627249
Email: deer_land@hotmail.com

Pasar Sehari Temerloh

Pasar Sehari Temerloh dikatakan pasar hari yang terpanjang dan terbesar di negeri Pahang. Ia dibuka setiap hari Ahad dari pukul 7 pagi. Lokasi pasar sehari ini ialah di pesisir Jalan Lurah Semantan berhampiran Sungai Pahang. Pelbagai barangan hasil pertanian dan produk tempatan dijual. Pengunjung boleh mendapatkan barangan keperluan dapur, sayur-sayuran, buah-buahan dan berbagai jenis makanan termasuk kuih-muih beraneka jenis. Selain itu, pakaian juga turut dijual disini.

Pasar Sehari Temerloh.

Alamat / Lokasi:
Pekan Hari Temerloh
Jalan Lurah Semantan
Temerloh,
Pahang

Gunung Senyum

Salah satu tempat menarik di Temerloh yang boleh dilawati oleh pencinta alam semulajadi ialah Hutan Lipur Gunung Senyum. Ia terletak di daerah Temerloh iaitu di Felda Jengka 25, Jengka, Pahang. Jarak pusat pelancongan ini dari Temerloh ialah lebih-kurang 40 km, hampir 50 minit perjalanan menaiki kereta.

Gunung Senyum Temerloh.

Pemandangan gunung ini cukup menarik terutama pembentukan semulajadi dari batu kapur yang berusia ribuan tahun. Selain kaya dengan pokok-pokok herba dan berbagai jenis flora serta fauna, disini juga terdapat banyak gua-gua yang menarik untuk diterokai.

Gua Gunung Senyum.

Alamat / Lokasi:
Hutan Lipur Gunung Senyum
Pejabat Hutan Daerah Temerloh,
28000 Temerloh,
Pahang

Aktiviti menarik di Temerloh

Ada beberapa aktiviti menarik yang boleh anda lakukan semasa bercuti di Temerloh. Selain aktiviti mandi-manda di waterpark dan melawat tempat-tempat menarik seperti senarai diatas, anda boleh mengikuti program homestay, memancing dan mencuba makanan yang sedap di kawasan ini.

Program homestay menarik

Jika anda berminat untuk mempelajari budaya masyarakat tempatan di Temerloh, Homestay Desa Murni, Rumpun Makmur dan Jengka 25 menawarkan berbagai program dan aktiviti menarik buat peserta homestay. Antara aktiviti yang ditawarkan termasuk persembahan kebudayaan, adat-istiadat perkahwinan, perusahaan kecil, pembuatan kuih-muih tradisional dan banyak lagi. Paling menarik. pengunjung dapat mengikuti aktiviti harian penduduk dan berpeluang untuk turut sama melibatkan diri dalam aktiviti yang dijalankan.

Homestay Desa Murni Temerloh.

Alamat / Lokasi:
Homestay Desa Murni
28010 Kerdau,
Temerloh,
Pahang

Hubungi:
Tel: +6019 - 986 5070

Memancing

Salah satu aktiviti menarik yang boleh dilakukan jika bercuti di Temerloh ialah memancing di Sungai Pahang dan Sungai Semantan. Sungai-sungai ini memang terkenal dengan berbagai spesis ikan. Antara ikan yang ada termasuk Patin, Jelawat, Baung, Tenggalan, Lampam, Belida, Tilapia dan Kerai. Selain itu, sungai ini juga terkenal sebagai lokasi memancing udang galah. Jadi, jangan lupa membawa peralatan memancing jika anda bercadang untuk bercuti di daerah ini.

Memancing di Temerloh.

Temerloh yang dikenali sebagai bandar ikan Patin mempunyai keunikan makanan tersendiri. Disini ada masakan tempatan yang cukup istimewa iaitu gulai tempoyak ikan patin dan juga masak lemak ikan patin. Jika berkunjung ke Temerloh, anda boleh melihat sendiri berapa banyak sangkar ikan di sepanjang Sungai Pahang. Kedai-kedai makanan disini juga banyak menghidangkan gulai ikan patin. Jika ingin mencuba keenakan ikan patin, pastikan anda bertanya dahulu jenis ikan tersebut. Ini kerana jika ikan sungai, harga boleh mencecah RM40 seketul.

Gulai ikan patin.

Setakat ini dahulu senarai tempat menarik di Temerloh untuk dilawati jika anda bercuti di daerah ini. Bagi pengunjung yang pernah bercuti ke lokasi menarik lain yang ada disekitar kawasan ini, sila kongsikan dibahagian komen dibawah. Semoga maklumat ini berguna pada mereka yang merancang untuk bercuti di Temerloh nanti. Selamat bercuti!

Comments

1

Temerloh juga titik tengah semenanjung.

Add new comment