Merancang percutian bajet

Jika anda bercadang untuk bercuti dan merancang aktiviti percutian sendiri, ada beberapa perkara yang harus anda tahu dan lakukan terlebih dahulu. Disini kami telah menyediakan satu artikel panduan merancang percutian bajet untuk membantu anda membuat persediaan asas percutian anda.

Merancang percutian bajet untuk kepuasan anda.

Secara asasnya, untuk merancang sendiri percutian bajet, anda perlu:

  1. Tentukan jenis percutian - Ada berbagai jenis percutian. Adakah anda ingin bercuti ke pulau, percutian ke taman tema atau percutian ke pusat peranginan? Tentukan percutian bagaimana yang anda inginkan.
  2. Pilih destinasi percutian - Apabila anda sudah tentukan jenis percutian yang anda mahu, sekarang senaraikan destinasi percutian yang ada. Pilih destinasi berdasarkan aktiviti yang disediakan, kemudahan tempat penginapan, kos pengangkutan dan makanan serta lain-lain berdasarkan bajet anda.
  3. Jumlah peserta - Adakah anda ingin bercuti bersendirian, bersama rakan atau bawa keluarga? Ambil kira jumlah peserta dan bersama siapa anda bercuti kerana ini akan mempengaruhi bajet anda. Anda sendiri tahu anda akan keluarkan duit untuk siapa.
  4. Bajet perbelanjaan.
    • Kos Pengangkutan.
    • Kos penginapan.
    • Kos makanan.
    • Kos aktiviti
  5. Membuat tempahan pengangkutan (jika berkenaan) - Bargantung dengan cara pengangkutan yang anda pilih dan juga destinasi percutian, anda perlu buat tempahan awal. Contohnya, jika anda memilih destinasi percutian ke pulau, pastikan anda menempah bot dengan lebih awal.
  6. Membuat tempahan penginapan (perlu) - Anda harus membuat tempahan penginapan awal melainkan anda merancang untuk tidur didalam khemah.
  7. Membuat tempahan aktiviti (jika berkenaan) - Sesetengan aktiviti pelancongan memerlukan anda membuat tempahan terlebih dahulu.

Percutian bajet melancong ke tempat menarik di Malaysia.

Bajet perbelanjaan percutian

Seterusnya anda perlu rancang bajet perbelanjaan bagi semua perkara dengan terperinci. Kira kos untuk setiap satu iaitu pengangkutan, penginapan, makanan dan aktiviti untuk setiap peserta dibawah tanggungan anda.

Anda boleh mengurangkan bajet percutian dengan menjimatkan kos penginapan. Secara amnya, harga menyewa motel lebih murah dari hotel. Harga chalet pula lebih murah dari resort dan begitu juga harga dorm lebih murah dari bilik. Pilih mana yang sesuai untuk anda dengan bajet percutian yang ada samada menginap di hotel, motel, resort, chalet, homestay ataupun dorm.

Jika ingin bercuti bersama rakan-rakan dengan kenderaan sendiri, anda boleh berkongsi kereta. Anda sudah menjimatkan kos petrol dan juga tol. Ada juga destinasi percutian dimana kos sewa kenderaan lebih menjimatkan dari membawa kenderaan sendiri. Sebaiknya selidik dahulu sebelum membuat keputusan. Namun kebiasaannya, kos pengangkutan awam adalah lebih murah. Jadi untuk penjimatan, gunakan jenis pengangkutan awam yang paling murah. Contohnya, utamakan bas sebelum teksi.

Jika boleh, elakkan tarikh percutian bajet di musim cuti persekolahan dan cuti umum kerana harga penginapan dan lain-lain lebih mahal pada waktu itu. Aktiviti yang paling banyak menelan kos semasa percutian ialah "makan". Samada sedar atau tidak, kita memang "tidak berkira" pasal makan. Sekiranya bajet kurang mengizinkan, rancanglah dengan teliti dan makan hanya pada masa dan tempat yang sepatutmya. Anda juga boleh membawa bekalan makanan tertentu untuk menjimatkan kos.

Roti canai adalah makanan popular di Malaysia.

Akhir sekali, kembali pada perkara pertama senarai merancang percutian bajet, jenis percutian adalah yang paling banyak mempengaruhi kos keseluruhan percutian. Contoh pertama, percutian ke taman tema biasanya ada tiket berasingan untuk aktiviti atau program tertentu. Dengan kata lain, anda perlu mengeluarkan kos tambahan untuk membeli tiket aktiviti tersebut. Contoh kedua, jenis percutian pendidikan atau pelancongan bandar. Selain kos tiket untuk masuk ke berbagai tempat, kos pengangkutan, penginapan dan makanan juga lebih tinggi dari percutian alam semulajadi atau pelancongan luar bandar.

Berbagai perkara lain lagi yang turut mempengaruhi kos sesuatu percutian termasuk destinasi percutian. Namun segalanya berbalik pada perancangan anda. Rancanglah dengan teliti, dapatkan maklumat dan buat tempahan awal. Kadang-kadang ada promosi harga rendah yang ditawarkan oleh hotel, syarikat pengangkutan dan tempat pelancongan. Ambil kesempatan tersebut.