Hentian RnR Titiwangsa

Bagi sesiapa yang melalui Lebuhraya Timur-Barat dari Kedah ke Kelantan pasti pernah melalui Hentian RnR Titiwangsa. Ia adalah hentian rehat yang terletak di tanah tinggi Banjaran Titiwangsa. Hentian ini popular kerana pemandangan menarik yang boleh dilihat terutama apabila cuaca cerah. Selain itu, inilah satu-satunya hentian rehat yang selesa boleh di singgah sebelum tiba ke pekan terhampir Jeli atau Grik.

Nota: Untuk melihat destinasi pelancongan lain, sila lawati halaman Senarai tempat menarik untuk percutian di Perak.

Pemandangan yang sangat menarik.

Kami sempat singgah di hentian ini semasa perjalanan dari Kedah ke Kelantan pada Mac 2017. Suasana disini memang menarik seperti yang diperkatakan. Pukul 10 pagi, keadaan masih sejuk dan nyaman. Udara segar berhembus lembut. Agak ramai yang singgah untuk berehat, ke tandas, makan-minum di medan selera dan bersantai menikmati pemandangan yang cantik.

Lokasi

Hentian RnR Titiwangsa terletak dalam negeri Perak. Ia terletak di tengah-tengah antara Grik, Perak dan Jeli, Kelantan. Jika dari Grik, anda akan bertemu Tasik Temenggor terlebih dahulu. Dari situ, perjalanan mendaki lebih-kurang 30 KM sebelum tiba ke hentian ini. Jika dari Jeli, jaraknya kira-kira 50 KM.

Alamat:
Hentian Titiwangsa,
Lebuhraya Timur-Barat,
33300 Gerik,
Perak

Peta Hentian RnR Titiwangsa.

Tarikan pelancongan

Keindahan pemandangan yang boleh dinikmati di Hentian Titiwangsa ini cukup mengagumkan. Walaupun ia bukan satu destinasi yang harus dituju, tetapi kedudukannya di laluan utama yang menghubungkan pantai timur dengan utara Semenanjung Malaysia, ia wajar di war-warkan kepada semua.

Pemandangan bukit-bukau.

Pemandangan

Apa yang paling menarik di sini ialah keindahan bukit-bukau yang saujana mata memandang. Pemandangan hutan semulajadi yang menghijau bertemu kaki langit cukup mengagumkan. Jika bernasib baik, anda dapat melihat kabus memutih dicelah bukit dan lakaran awan berbagai corak menghiasi langit menambahkan lagi kecantikan yang ada. Ia benar-benar mendamaikan.

Gunung-ganang menghijau.

Selain itu, hentian ini juga dihiasi taman bunga dan lanskap menarik. Pokok-pokok bunga berwarna-warni ditanam disekeliling kawasan dan dijaga dengan baik. Suasana yang sejuk dengan udara yang nyaman membuatkan anda seolah-olah berada di taman bunga di luar negara.

Pokok-bunga berwarna-warni.
Keterangan gambar: Pokok-pokok bunga di Hentian Titiwangsa.

Taman bunga yang cantik.
Keterangan gambar: Taman bunga yang dan lanskap menarik.

Pokok paku-pakis.
Keterangan gambar: Pokok paku-pakis.

Pemandangan yang cantik.
Keterangan gambar: Salah satu pemandangan cantik di Hentian Titiwangsa.

Kemudahan

Sesuai dengan statusnya sebagai hentian rehat, RnR Titiwangsa menyediakan kemudahan awam yang diperlukan oleh pengguna Lebuhraya Timur-Barat ini. Antara kemudahan yang ada termasuk:

Medan selera

Bagi pengunjung yang ingin mengalas perut, sebuah medan selera yang agak besar disediakan. Makanan yang ada termasuk nasi campur, roti, kek dan lain-lain. Turut terdapat disini ialah kedai burger dan kiosk yang menjual berbagai barangan runcit. Anda boleh membeli makanan ringan untuk dimakan dalam perjalanan.

Medan Selera.

Tandas awam

Tandas awam yang besar dan bersih disediakan untuk orang-ramai yang berhenti di sini. Dua bahagian tandas lelaki dan wanita dilengkapi bilik mandi terletak sebelah-menyebelah. Ia dijaga dengan baik dan bersih. Tiada tandas rosak atau tidak berfungsi semasa kunjungan kami.

Surau

Sebuah surau yang agak besar disediakan cukup untuk pengunjung beramai-ramai mendirikan solat berjemaah dengan selesa. Bekalan air untuk berwuduk juga tiada masalah. Sejadah dan kain sembahyang disediakan atau mungkin juga di wakaf oleh orang-ramai.

Tempat rehat

Sebuah tempat rehat disediakan disebelah medan selera hentian ini. Kawasan berbumbung dengan lantai simen yang agak luas menjadi tempat merebahkan badan melepaskan penat memandu. Ia juga digunakan oleh pengunjung untuk menjamu selera bekalan makanan yang dibawa. Pada saya, ia adalah kemudahan yang cukup baik dan bermanafaat. Semoga pengguna sama-sama menjaga dengan baik terutama dari aspek kebersihan serta bertimbang-rasa dengan pengguna lain yang ingin berehat.

Nota: Untuk melihat senarai lengkap tempat menarik untuk dilawati, sila ke halaman Tempat menarik di Perak mengikut daerah.

Hentian RnR Titiwangsa.

Hentian RnR Titiwangsa bukanlah destinasi percutian tetapi ia adalah tempat menarik yang mesti singgah jika melalui kawasan ini. Walaupun ada yang pernah berkhemah, namun ia bukanlah aktiviti yang sesuai dilakukan di tempat sebegini. Jika anda inginkan suasana alam semulajadi untuk aktiviti perkhemahan, dua destinasi paling hampir sesuai dipilih iaitu Royal Belum State Park dan Taman Negeri Gunung Stong.

Add new comment