Panduan bercuti di Pulau Pangkor

Pulau Pangkor adalah sebuah pulau pelancongan yang popular di pantai barat semenanjung Malaysia. Ia terletak di perairan Lumut, Perak. Tidak seperti pulau-pulau menarik di pantai timur, pulau ini boleh dikunjungi sepanjang tahun. Kos untuk bercuti juga tidak terlalu tinggi. Banyak chalet murah dikawasan pantai yang boleh dipilih bersesuaian dengan bajet anda.

Tarikan utama pelancong ialah kecantikan pantai, air laut yang jernih dan laut yang kaya dengan coral serta hidupan laut yang cantik. Pulau Pangkor juga merupakan pulau bersejarah dimana ia pernah menjadi salah satu penempatan Belanda di nusantara ini pada zaman dahulu. Buat pengunjung yang ingin merancang percutian bajet ke Pulau Pangkor, ini ialah maklumat aktiviti pelancongan dan tempat menarik sebagai panduan anda.

Terokai semua: Pulau Pangkor - Tempat menarik, aktiviti dan percutian.

Lokasi

Pulau Pangkor terletak di perairan Selat Melaka. Ia termasuk dalam daerah Manjung didalam Negeri Perak Darul Ridzuan. Bandar terhampir dengan Pulau Pangkor di tanah besar ialah Lumut. Para pelancong yang ingin ke Pulau Pangkor akan menaiki feri dari Jeti Lumut atau Marina Island.

Peta Pulau Pangkor menunjukkan tempat-tempat menarik untuk dilawati.

Pengangkutan

Ada dua terminal feri untuk ke Pulau Pangkor. Terminal asal iaitu Jeti Lumut masih berfungsi hingga hari ini. Manakala terminal baru iaitu Kompleks Jeti Marina Island ialah jeti baru yang lebih hampir dengan Pulau Pangkor.

Jeti Lumut

Pengunjung yang hendak ke Pulau Pangkor boleh membawa kenderaan sendiri hingga ke bandar Lumut. Jika melalui lebuhraya dari selatan. anda boleh mengikut susur keluar Bidor, manakala dari utara anda boleh mengikut susur keluar Changkat Jering. Terdapat kawasan meletak kereta yang luas disediakan seperti tempat meletak kereta persendirian, perkarangan masjid Lumut atau parking bertingkat Majlis Perbandaran Manjung. Melainkan waktu puncak musim cuti sekolah atau cuti umum, kawasan letak kereta ini memang mencukupi. Pelancong yang ingin bercuti ke Pulau Pangkor juga boleh menggunakan kemudahan pengangkutan awam seperti bas atau teksi. Banyak syarikat bas ekspress dari bandar utama di Malaysia yang menyediakan perjalanan ke Manjung atau terus ke Lumut.

Seterusnya, pengunjung perlu mendapatkan tiket feri di Jeti Lumut untuk ke Pulau Pangkor. Terdapat banyak feri yang beroperasi seawal 6.30 pagi hingga 8.30 malam. Kadar tambang untuk dewasa ialah RM10.00 manakala kanak kanak RM5.00. Perjalanan feri ke Pulau Pangkor mengambil masa kira-kira 45 minit. Apabila tiba di Pulau Pangkor, terdapat van pelancongan atau teksi yang boleh membawa pengunjung ke resort atau chalet penginapan. Pengunjung boleh menyewa basikal, motosikal atau kereta jika hendak melawat tempat bersejarah atau mengunjungi tempat menarik di Pulau Pangkor.

Jeti Lumut dimana pengunjung boleh mendapatkan feri ke Pulau Pangkor.

Kompleks Jeti Marina Island

Kompleks Jeti Marina Island ialah terminal feri baru yang cantik dan lebih dekat dengan Pulau Pangkor. Berbanding Jeti Lumut yang terletak di kuala Sungai Manjung, jeti baru ini terletak berhadapan dengan Pulau Pangkor. Perjalanan feri cuma mengambil masa lebih-kurang 10-15 minit sahaja. Feri berjalan setiap 1 jam bermula 7.15 pagi hingga feri terakhir jam 8 malam.

Perjalanan ke Kompleks Jeti Marina Island hampir sama dengan Jeti Lumut. Dari Manjung atau Sitiawan, anda terus ke Komplek Jeti Marina Island mengikut Jalan Teluk Muruh (A186).

Harga tiket feri dari jeti Marina Island ke Pulau Pangkor ialah RM14 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak. Umur 3 tahun ke bawah percuma.

Jika anda datang dengan kenderaan sendiri, bayaran tempat letak kereta ialah RM15 sehari untuk parking berbumbung. Manakala parking tengah panas RM0.70/jam.

Kompleks Jeti Marina Island

Pengunjung juga boleh menaiki penerbangan Berjaya Air dari Kuala Lumpur terus ke lapangan terbang Teluk Dalam, di Pulau Pangkor.

Lapangan terbang yang terletak di Teluk Dalam, Pulau Pangkor.

Tempat bersejarah untuk dilawati

Pulau Pangkor pernah menjadi penempatan Belanda yang menjajah nusantara ini pada kurun ke 16. Lantaran itu, beberapa kesan peninggalan sejarah dapat dilihat di pulau ini. Antara lokasi yang boleh dilawati ialah:

Kota Belanda

Kota Belanda terletak di Teluk Gedung, Pulau Pangkor. Kota ini dibina pada tahun 1670 sebagai stor menyimpan bijih timah yang dilombong di Perak. Walau bagaimanapun, ia telah dimusnahkan ada tahun 1690 oleh orang melayu yang tidak berpuas-hati dengan Belanda.

Ia telah dibina semua pada tahun 1743 dan digunakan sehingga tahun 1779. Kota ini tidak digunakan lagi selepas itu dan terbiar sehingga tahun 1973, Jabatan Muzium telah memulihara kota ini sebagai satu monumen dan tapak sejarah.

Kota Belanda Pulau Pangkor

Batu Bersurat Belanda

Batu Bersurat Belanda terletak di Teluk Gedung, Pulau Pangkor. Dibatu besar yang terbelah dua ini terdapat ukiran gambar dan tulisan ringkas yang ditinggalkan oleh Belanda yang menduduki pulau ini pada kurun ke 16 hingga 17.

Batu Bersurat Belanda di Pulau Pangkor

Galeri Panorama Pangkor

Galeri Panorama Pangkor ialah sebuah sekolah lama yang dijadikan mini muzium. Ia menyimpan berbagai koleksi sejarah Pulau Pangkor dan negeri Perak. Selain itu terdapat beberapa koleksi lukisan dan barangan lama yang dipamerkan kepada pengunjung.

Galeri Panorama Pangkor

Pantai menarik di Pulau Pangkor

Pulau Pangkor mempunyai beberapa pantai menarik yang boleh dikunjungi. Pantainya berpasir bersih dengan air laut yang jernih serta pohon-pohon rendang melambai dipersisiran pantai menjadi tarikan pelancong ke pulau ini. Selain itu, ia juga menjadi tumpuan pengunjung yang ingin melakukan aktiviti watersport, menjamu selera atau bersantai sambil menikmati panorama indah matahari terbenam.

Berikut ialah senarai pantai menarik di Pulau Pangkor yang mesti dikunjungi.

Pantai Pasir Bogak

Pantai Pasir Bogak terletak tidak jauh dari pekan Pulau Pangkor. Pantai ini popular dengan watersport dan aktiviti pantai lain. Banyak resort dan chalet berhampiran pantai. Begitu juga dengan restoran dan kedai makan.

Pantai Pasir Bogak diwaktu malam

Pantai Teluk Nipah

Pantai Teluk Nipah ialah lokasi percutian popular di Pulau Pangkor. Ia adalah kawasan pantai yang cantik. Banyak kemudahan disediakan seperti resort dan chalet untuk penginapan pelancong, kedai makan dan aktiviti watersport. Kedai dan gerai dibina disepanjang pantai. Tempat ini tidak ubah seperti Pantai Cenang Langkawi sekitar tahun 80an.

Pantai Teluk Nipah

Pantai Teluk Ketapang

Pantai Teluk Ketapang terletak di antara Pantai Pasir Bogak dan Teluk Nipah. Ia terletak di kaki bukit. Pantai ini sangat cantik dan masih terpelihara dengan persekitaran alam semulajadi. Disini juga terdapat Pusat Konservasi Penyu yang sedang dalam proses pembangunan.

Pantai Teluk Ketapang

Coral bay

Coral Bay terletak bersebelahan dengan pantai Teluk Nipah. Pantainya cantik dan popular sebagai lokasi menarik untuk melayan matahari terbenam. Disini juga terdapat restoran makanan laut yang popular dikalangan pengunjung Pulau Pangkor.

Coral Bay Pulau Pangkor

Teluk Dalam

Teluk Dalam ialah kawasan perkampungan nelayan. Ia terletak tidak jauh dari Teluk Nipah. Disini ada pantai yang cantik, jeti nelayan, resort menarik dan Lapangan Terbang Pulau Pangkor, sebuah lapangan terbang kecil yang jarang dilihat.

Teluk Dalam

Teluk Segadas

Teluk Segadas ialah pantai yang cantik terletak didalam Hutan Simpan Pulau Pangkor. Ia terletak tidak jauh dari Masjid Terapung di Teluk Gedung. Anda perlu berjalan merentas hutan lebih-kurang 20 minit untuk sampai ke pantai ini. Ia juga popular sebagai lokasi perkhemahan.

Pantai menarik di Pulau Pangkor

Pulau menarik

Terdapat beberapa pulau kecil disekitar Pulau Pangkor. Pengunjung yang ingin ke pulau-pulau ini boleh menyewa bot atau mengambil pakej aktiviti yang ditawarkan.

  1. Pulau Pangkor Laut - Pangkor Laut Resort, Emerald Bay.
  2. Pulau Mentangor - Pakej Island hopping. cruise dan snorkeling.
  3. Pulau Giam - Pakej Island hopping. cruise dan snorkeling.
  4. Pulau Sembilan - Pakej memancing.

Pangkor Laut Resort yang terletak di Pulau Pangkor Laut.

Tempat menarik di Pulau Pangkor

Selain tempat bersejarah dan pantai yang cantik, beberapa tempat menarik di Pulau Pangkor boleh dilawati. Antara yang paling popular ialah Masjid Terapung dan Pangkor Island 3D Art House.

Pangkor Island 3D Art House

Pangkor Island 3D Art House terletak di Kampung Sungai Pinang Besar. Berbagai lukisan 3D menarik menanti pengunjung. Banyak koleksi lukisan menarik berasaskan apa yang ada pulau ini. Sesuai untuk anda yang gemar bergambar dan pandai beraksi.

Tidak dinafikan kebanyakan 3D art galeri ini hampir sama dimana-mana sahaja tetapi ia juga adalah tempat anda boleh berseronok bersama keluarga atau rakan-rakan. Dengan aksi menarik, sudut yang betul dan kamera yang baik, anda dapat menghasilkan gambar yang pasti meninggalkan memori indah sepanjang hayat.

Alamat:
Pulau Pangkor 3D Art House
27A, Tingkat Atas,
Sungai Pinang Besar,
32300 Pulau Pangkor,
Perak

Hubungi:
Tel: 016-5583670
Email : -

Harga tiket:
Harga tiket / Bayaran masuk
Dewasa : RM15
Kanak-kanak : RM10

Waktu operasi:

Setiap hari : 10.00 am - 6.00 pm

Masjid Terapung Pulau Pangkor

Masjid Al-Badr Seribu Selawat  atau lebih dikenali sebagai Masjid Terapung ialah sebuah masjid yang cantik dan mesti dilawati. Ia terletak di Teluk Gedung, Pulau Pangkor. Ia sesuai dikunjungi siang dan juga malam. Pengunjung dapat melihat pemandangan berbeza dan cukup menarik.

Masjid Terapung

Kilang Hasil Laut Paksu

Kilang Hasil Laut Paksu ialah satu-satunya kilang bumiputera muslim di Pulau Pangkor. Ia terletak di Sungai Pinang Kecil. Kilang ini memproses serta menghasilkan produk hasil laut seperti sate ikan, sotong dan lain-lain. Selain itu, barangan mentah seperti ikan kering dan ikan bilis turut dijual.

Kilang Hasil Laut Paksu

Pekan Pangkor

Pekan Pangkor adalah salah satu tempat menarik untuk dikunjungi. Diwaktu pagi, anda boleh melawat pasar yang menjual ikan segar, sotong, udang dan lain-lain. Disini juga ialah lokasi untuk membeli-belah barangan hasil laut terutama ikan bilis mata biru yang sangat popular dikalangan pengunjung.

Pekan Pangkor juga ialah lokasi menarik untuk sarapan pagi dan bersantai diwaktu malam.

Pekan Pangkor

Tempat menarik lain yang boleh dilawati di Pulau Pangkor ialah:

  1. Kilang Satay Fish - Kilang Hai Seng Hin.
  2. Tukang bot - Terletak di Sungai Pinang Kecil. Kilang ini agak bising dengan bunyi mesin pemotong kayu.

Maklumat lanjut lihat Top 10 tempat menarik di Pulau Pangkor yang percuma.

Aktiviti menarik di Pulau Pangkor

Berbagai aktiviti menarik ada di Pulau Pangkor yang boleh dilakukan sepanjang percutian anda disana. Ada aktiviti yang memerlukan pakej dan ada yang tidak. Antara aktiviti menarik yang boleh anda lakukan ialah:

  1. Mandi laut dan bersantai di tepi pantai melihat pemandangan menarik.
  2. Melawat tempat menarik di sekitar pulau - Island Tour dengan van - Harga lebih kurang RM80 - RM100 (bergantung).
  3. Sewa basikal atau motosikal dan mengelilingi Pulau.
  4. Memancing ikan dan candat sotong -Bagi yang minat memancing, jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan trip memancing disekitar perairan Pulau Pangkor.
  5. Melihat matahari terbenam di tepi pantai.
  6. Jungle trekking.
  7. Berkayak - RM10 sejam.
  8. Snorkeling - RM15 seorang.
  9. Scuba Diving - Harga bergantung pada pakej.
  10. Pukat Tarik - Pakej 4 orang keatas. Rasakan sendiri bagaimana menangkap ikan menggunakan pukat tarik.
  11. Water sport - bermain jet ski, menaiki, banana bot, berkayak, island hopping dan juga bermain bola tampar pantai.
  12. Boat trip - Harga bergantung pada pilihan trip.
  13. Sunset Cruising - RM400 bagi pakej 4 - 6 orang.

Maklumat lanjut lihat Top 10 aktiviti menarik di Pulau Pangkor.

Melihat matahari terbenam di tepi pantai Pulau Pangkor.

Hotel, resort dan chalet di Pulau Pangkor

Resort dan chalet di Pulau Pangkor paling banyak di kawasan pantai popular seperti pantai Pasir Bogak dan Teluk Nipah. Harga bilik bergantung pada hotel, jenis bilik dan katil single/double. Biasanya harga bermula dari RM60 - RM200 semalam.

Senarai resort yang terdapat di kawasan Pantai Pasir Bogak:

  1. Coral Bay Resort.
  2. Golden Beach Resort.
  3. Pangkor Sandy Beach Resort.
  4. Pangkor Village Beach Resort.
  5. Puteri Bayu Resort.
  6. Sea View Resort.
  7. Uptown Beach Resort.
  8. Ye Lin Guesthouse.

Chalet menarik yang terdapat di resort di Pulau Pangkor.

Senarai resort yang terdapat di kawasan Pantai Teluk Nipah:

  1. Anjungan Beach Resort & Spa.
  2. Budget Beach Resort.
  3. D’ Senja Chalet.
  4. Flora Beach Resort.
  5. Horizon Inn.
  6. Hornbill Resort.
  7. Lyana Villa Chalet.
  8. Nipah Bay Villa.
  9. Nipah Guest House.
  10. Nipah Waterfront.
  11. Ombak Inn Chalet.
  12. Palma Beach Resort.
  13. Pangkor Bayview Resort.
  14. Pangkor Inn Chalet.
  15. Pangkor Indah Beach Resort.
  16. Panvill Resort & Training Camp.
  17. Purnama Beach Resort.
  18. Raudhah Camp.
  19. Seagull Beach Resort.
  20. Sunset View Resort.
  21. Suria Beach Resort.

Lihat artikel: Purnama Beach Resort.

Hornbill Resort Teluk Nipah

Senarai resort yang terdapat di kawasan Pekan Pangkor:

  1. D’Kampung Guest House.
  2. Chuan Fu Hotel.
  3. Min Lian Hotel.

Senarai resort yang terdapat di kawasan pantai persendirian:

  1. Pangkor Island Beach Resort.
  2. Teluk Dalam Resort.
  3. Swiss-Court Holiday Apartments Damai Laut.

Untuk melihat potongan harga hotel dan resort di Pulau Pangkor, anda boleh menyemak dan menempah bilik penginapan melalui BOOKING.COM.

Kos percutian bajet ke Pulau Pangkor

Bagi membantu anda membuat perancangan percutian ke Pulau Pangkor, dibawah ialah senarai kos yang perlu untuk seorang. Bagi percutian bajet, pilih aktiviti yang sesuai bagi menjimatkan kos.

  • Kos pengangkutan dari rumah ke Jeti Lumut - Bergantung pada lokasi anda.
  • Kos letak kereta di jeti - RM15 sehari.
  • Kos tiket feri ke Pulau Pangkor - Harga tiket feri ke Pulau Pangkor ialah RM10 dewasa dan RM5 kanak-kanak (Tiket pergi-balik).
  • Kos penginapan di Pulau Pangkor - Harga resort atau chalet diantara RM60 - RM200 untuk 1 malam.
  • Kos makan di Pulau Pangkor - Sarapan pagi RM7.00, Makan tengahari RM12.00, Makan malam RM12.00 (Anggaran untuk seorang).
  • Kos aktiviti snorkeling di Pulau Pangkor - RM15.00 seorang.
  • Kos aktiviti banana boat di Pulau Pangkor - RM15.00 seorang (Min 7 orang).
  • Kos aktiviti island hopping di Pulau Pangkor - RM15.00 seorang.
  • Kos aktiviti jetski di Pulau Pangkor - RM200.00 sejam.
  • Kos aktiviti kayak di Pulau Pangkor - RM20.00 sejam.
  • Kos pakej memancing di Pulau Sembilan - RM1200.00 semalaman (Max 10 orang).
  • Kos pakej memancing di sekitar Pulau Pangkor - RM800.00 semalaman (Max 10 orang).
  • Kos untuk Jungle Trecking - RM10 seorang (Untuk kumpulan melebihi 20 orang).
  • Kos untuk aktiviti Pukat Tarik - RM300.00 (5 - 10 orang).
  • Kos sewa motor - RM30 - RM40 (Bergantung pada jenis motor).
  • Kos Sewa Kereta - RM90.00 - RM120.00 sehari (Bergantung pada jenis kereta).

Harus diingat, kos berubah mengikut musim percutian. Harga akan bertambah pada waktu hujung minggu, musim cuti sekolah dan cuti umum.

Kesimpulan

Ramai pelancong dalam dan luar negara memilih untuk bercuti di Pulau Pangkor. Selain tarikan semulajadi pantainya yang cantik, banyak tempat menarik boleh dilawati. Aktiviti pelancongan juga turut disediakan. Cuma pengunjung perlu lebih teliti dalam memilih tempat penginapan kerana banyak resort dan chalet yang sudah agak lama serta uzur. Harga makanan dan minuman juga agak mahal.

Setakat ini dahulu maklumat ringkas mengenai Pulau Pangkor yang dapat kami kongsikan. Kami akan sentiasa mengemaskini halaman ini dari semasa ke semasa. Sekiranya maklumat ini berguna untuk anda, jangan lupa SHARE di laman fb, twitter dan lain-lain sebagai tanda penghargaan. Jika anda pernah ke sini dan ingin berkongsi pengalaman atau menambah apa yang kurang, sila komen dibawah. Kami amat menghargainya. Terima kasih dan selamat bercuti ke Pulau Pangkor!

Lokasi

Add new comment

Restricted HTML

  • Allowed HTML tags: <a href hreflang> <em> <strong> <cite> <blockquote cite> <code> <ul type> <ol start type> <li> <dl> <dt> <dd> <h2 id> <h3 id> <h4 id> <h5 id> <h6 id>
  • Lines and paragraphs break automatically.
  • Web page addresses and email addresses turn into links automatically.
CAPTCHA
This question is for testing whether or not you are a human visitor and to prevent automated spam submissions.