Senarai tempat menarik untuk percutian di Perak

Perak ialah salah sebuah negeri di Malaysia yang mempunyai banyak tempat-tempat pelancongan menarik. Ia terkenal dengan pelancongan alam semulajadi, pantai dan pulau, taman tema serta beberapa tarikan lain. Jika anda ingin beristirehat, menenangkan diri dan melupakan bebanan tugas atau kekusutan fikiran, anda boleh memilih mana-mana lokasi yang sesuai dari senarai tempat menarik untuk percutian di Perak yang kami kongsikan dibawah.

Nota: Untuk melihat semua tempat menarik yang ada di negeri Perak, sila lawati halaman Tempat menarik di Perak mengikut daerah.

Felda Residence Hot Springs

Felda Residence Hot Springs ialah lokasi percutian menarik bagi mereka yang ingin beristirehat dan keluar dari kesibukan kota. Ia merupakan salah satu tempat menarik di Perak yang sangat agak popular. Kawasan ini akan sesak dengan orang-ramai yang membawa keluarga masing-masing di musim cuti sekolah. Jika anda ke sini bukan pada musim cuti, suasana agak sunyi dan mendamaikan sangat sesuai bagi meleraikan kekusutan fikiran. Terletak di Sungai Klah, lokasinya lebih-kurang 12 KM dari susur keluar Sungkai, Lebuhraya Utara-Selatan. Perjalanan dengan kereta mengambil masa kira-kira 20 minit untuk tiba ke destinasi. Tiba sahaja di pusat rekreasi kolam air panas, anda akan merasa cukup tenang kerana kehijauan pokok-pokok hutan dan kelapa sawit yang mengililingi kawasan ini.

FELDA Residence Hot Springs.

Kawasan air panas semulajadi ini telah dibangunkan dan dimajukan menjadi salah satu tarikan pelancong yang utama di Perak. Berbagai kemudahan disediakan untuk pengunjung termasuk bilik penginapan yang cantik dan selesa, kolam mandi yang luas serta restoran untuk menjamu selera. Selain mandi di kolam air panas, Felda Residence Hot Springs turut menyediakan pusat spa dan kecantikan, perkhidmatan urutan serta sewa basikal kepada pengunjung.

Harga bilik 1 malam untuk 2 orang bermula dari RM220.

Lokasi / Alamat:
Felda Residence Hot Springs
Sungai Klah,
35600 Sungkai,
Perak.

Bandaraya Ipoh

Jika anda inginkan percutian yang lebih santai dan bebas, bandaraya Ipoh adalah destinasi pelancongan bandar yang mempunyai berbagai tarikan tersendiri. Ia sesuai dijadikan lokasi percutian keluarga atau bersendirian. Banyak hotel bertaraf 5 bintang dan hotel murah yang boleh dipilih mengikut kesesuaian bajet. Banyak tempat-tempat menarik di Perak juga terdapat disini antaranya muzium, taman rekreasi, gua dan tempat bersejarah. Selain itu, bandaraya ini juga mempunyai beberapa keistimewaan dan keunikan seperti koleksi lukisan mural yang terletak di dinding bangunan lama, bazar Memory Lane dan Gerbang Malam yang terletak di Jalan Tahwil Azhar serta menjamu selera di Restoran Nasi Ganja yang cukup terkenal. Untuk penginapan pula, banyak hotel boleh dipilih mengikut kesesuaian bajet anda.

Maklumat terperinci boleh dibaca di halaman Tempat menarik di Ipoh dan panduan percutian.

Taman Rekreasi Gunung Lang di Ipoh.

Lost World of Tambun

Lost World Of Tambun ialah tempat menarik di Perak yang sangat terkenal. Lokasinya di Ulu Kinta, Ipoh. Ia adalah sebuah taman tema air yang sangat menarik dan sesuai untuk dijadikan lokasi percutian keluarga. Berbagai permainan air seperti papan gelongsor, kolam berombak, sungai dan tempat mainan kanak-kanak disediakan untuk pengunjung. Selain itu, disini juga terdapat Amusement Park yang mempunyai berbagai aktiviti mengujakan untuk dicuba.

Taman Tema Air Lost World Of Tambun.

Untuk percutian yang penuh dengan aktiviti dan kegembiraan, Lost World Of Tambun adalah pilihan yang tepat. Anda tidak akan bosan sepanjang berada disini. Setelah puas bermain air dan mencuba permainan yang ada, anda boleh melawat Petting Zoo, dimana lebih 55 spesis binatang boleh ditemui. Pengunjung boleh memberi makan dan melihat pertunjukan binatang yang sangat menyeronokkan.

Untuk maklumat lanjut, sila lihat artikel Percutian ke Lost World of Tambun.

Bukit Larut

Jika anda ingin bercuti di kawasan tanah tinggi yang sejuk dan menyegarkan, Bukit Larut yang terletak di Taiping adalah destinasi pelancongan yang boleh anda pilih. Ia adalah antara pusat peranginan tanah tinggi yang terawal dibangunkan dan telah terkenal sejak zaman sebelum kemerdekaan. Walaupun tidak sehebat Cameron Highland, Bukit Larut tetap ada tarikan tersendiri. Keindahan hutan semulajadi, pokok-pokok bunga, flora dan fauna yang banyak terdapat disini cukup menarik. Pengunjung juga boleh melihat pemandangan sekitar Taiping hingga ke Selat Melaka jika cuaca cerah dan tidak berkabus. Jika inginkan aktiviti mencabar, anda boleh merentas hutan, menjejak air terjun, melihat burung dan haiwan lain yang ada disini. Bagi pencinta alam semulajadi, menikmati keindahan alam, menghirup udara segar dan suasana yang damai di puncak Bukit Larut pasti memikat hati anda.

Cendana Hut di Bukit Larut.

Untuk penginapan pula, ada beberapa buah banglo dan rumah rehat yang boleh disewa. Antaranya ialah Cendana Hut, Banglo Permai View, Beringin, Angkasa, Cendana, Sri Kayangan dan Rumah Rehat Gunung Hijau. Harga banglo adalah sekitar RM400 semalam. Perlu diingat, pengunjung harus membawa barang-barang masakan sendiri kerana tiada restoran dan kedai makan untuk anda menjamu selera di puncak Bukit Larut.

Lihat artikel Bercuti di Bukit Larut.

Bukit Merah Laketown Resort

Satu lagi tempat menarik untuk percutian di Perak yang sangat popular ialah Bukit Merah Laketown Resort. Ia adalah sebuah resort didalam kawasan taman tema air. Pengunjung boleh menikmati keseronokan bermain gelongsor air, mandi kolam dan permainan lain yang disediakan disini. Selain itu, pengunjung juga boleh menaiki mini cable car dan melawat mini zoo yang terletak dalam kawasan resort.

Kampung Air Bukit Merah Laketown Resort.

Kemudahan penginapan seperti bilik, apartmen dan chalet atas air boleh dipilih mengikut kesesuaian. Untuk menjamu selera, beberapa buah restoran dan cafe disediakan. Jika anda inginkan percutian riang-ria di satu lokasi menarik, Bukit Merah Laketown Resort pasti tidak mengecewakan.

Maklumat lanjut boleh dibaca dalam artikel Percutian menarik di Bukit Merah Laketown Resort.

Pulau Pangkor

Jika belum pernah bercuti di Pulau Pangkor, ia harus menjadi destinasi pilihan anda untuk percutian akan datang. Ia adalah tempat menarik di Perak yang paling popular. Pulau ini merupakan destinasi pelancongan yang sangat menarik, berbagai aktiviti boleh dilakukan dan paling penting, tidak memerlukan bajet yang tinggi. Tarikan utama di Pulau Pangkor ialah pantai-pantai yang cantik dengan air laut yang jernih, sesuai untuk mandi-manda dan melakukan aktiviti sukan air. Selain itu, pelancong boleh melawat tempat bersejarah peninggalan Belanda dan mengelilingi pulau.

Lihat artikel tempat menarik di Pulau Pangkor untuk maklumat lanjut.

Pantai cantik di Pulau Pangkor.

Penginapan di Pulau Pangkor tidak menjadi masalah kerana banyak hotel dan resort dibina dikawasan pantai. Anda boleh memilih resort yang menyediakan pakej makanan dan aktiviti pelancongan jika pertama kali datang ke sini. Ia lebih memudahkan dan anda hanya bergembira sahaja.

Bagi memudahkan anda memilih tempat penginapan, berikut ialah senarai resort di Pulau Pangkor dan maklumat ringkas untuk panduan.

Pangkor Waterfall Beach Resort

Jika anda inginkan percutian bajet, Pangkor Waterfall Beach Resort menawarkan harga yang sangat berpatutan untuk pasangan dan juga keluarga. Resort ini terletak di lokasi pelancongan utama iaitu Teluk Nipah. Ia menawarkan tempat penginapan yang selesa dengan beberapa kemudahan termasuk restoran, bbq dan wifi percuma.

Pangkor Waterfall Beach Resort.

Anda juga boleh mendapatkan pakej aktiviti pelancongan seperti berkayak, snorkeling, memancing dan merentas hutan melalui Pangkor Waterfall Beach Resort. Biasanya harga aktiviti adalah berasingan. Jadi anda boleh memilih sendiri aktiviti yang ingin dilakukan mengikut bajet dan kesesuaian.

Alamat:
Pangkor Waterfall Beach Resort
Teluk Nipah,
32300 Pangkor,
Perak

Harga:
Harga bilik 1 malam untuk 2 orang bermula dari RM75.
Harga chalet 1 malam untuk 2 orang bermula dari RM115.

Nipah Bay Villa

Nipah Bay Villa ialah sebuah resort popular untuk percutian bajet di Pulau Pangkor. Ia terletak di Pantai Teluk Nipah. Resort ini menawarkan bilik penginapan ekonomi hingga ke villa keluarga. Fasiliti yang disediakan termasuk bilik berhawa dingin, perabot asas, tv, bilik mandi dengan kemudahan air panas, kemudahan bbq, cafe dan wifi percuma. Makanan tempatan dan antarabangsa turut disediakan di Nipah Bay Villa Sidewalk Café yang selesa. Pelancong juga boleh mengatur aktiviti pelancongan seperti snorkeling, berkayak dan lain-lain melalui resort ini.

Lihat artikel Bercuti di Nipah Bay Villa Pulau Pangkor untuk maklumat lanjut.

Nipah Bay Villa.

Alamat:
Nipah Bay Villa
Lot 4442 & 4434, Teluk Nipah,
32300 Pangkor,
Perak

Harga:
Harga bilik 1 malam untuk 2 orang bermula dari RM80.
Harga chalet 1 malam untuk 2 orang bermula dari RM130.

Puteri Bayu Beach Resort

Salah satu resort popular di Pulau Pangkor ialah Puteri Bayu Beach Resort. Ia menjadi pilihan ramai kerana lokasinya betul-betul ditepi Pantai Pasir Bogak. Jadi pelancong tidak perlu berjalan jauh untuk mandi laut, bersiar-siar ditepi pantai atau menikmati pemandangan menarik sambil minum petang.

Puteri Bayu Beach Resort.

Puteri Bayu Beach Resort menawarkan berbagai jenis penginapan untuk pelancong seperti bilik hotel, chalet dan villa keluarga. Setiap bilik dilengkapi dengan tv, peti sejuk, bilik mandi dan pembuat teh/kopi. Pengunjung juga boleh memilih bilik yang mempunyai tempat duduk dan balkoni peribadi untuk menikmati pemandangan laut atau taman tropika.

Lihat artikel Puteri Bayu Beach Resort untuk maklumat lanjut.

Alamat:
Puteri Bayu Beach Resort
Pantai Pasir Bogak,
32300 Pangkor,
Perak

Harga:
Harga bilik 1 malam untuk 2 orang bermula dari RM140.
Harga chalet 1 malam untuk 2 orang bermula dari RM250.

Vikri Beach Resort

Resort lain yang ada dikawasan pantai Pasir Bogak ialah Vikri Beach Resort. Ia terletak ditepi pantai dan tidak jauh dari kaki bukit. Resort ini menyediakan bilik-bilik berhawa dingin yang dilengkapi tv, meja dan kerusi serta bilik mandi. Sesetengah bilik mempunyai balkoni untuk pengunjung bersantai. Anda pasti merasa tenang dikelilingi kehijauan pokok-pokok hutan semulajadi dan juga pantai cantik yang hanya terletak diseberang jalan. Kemudahan lain yang disediakan termasuk bbq, restoran dan aktiviti sukan air.

Vikri Beach Resort.

Alamat:
Vikri Beach Resort
Lot 6 & 7, Pantai Pasir Bogak,
32300 Pangkor,
Perak

Harga:
Harga bilik 1 malam untuk 2 orang bermula dari RM130.

Coral Bay Resort

Coral Bay Resort ialah salah sebuah resort popular di Pulau Pangkor. Ia terletak berhampiran pantai Pasir Bogak. Resort ini dilengkapi dengan kolam renang, wifi percuma dan tempat meletak kereta. Bilik-bilik pula dilengkapi dengan penghawa dingin, tv, peti sejuk, pembuat teh/kopi dan bilik mandi peribadi dengan kemudahan pancuran mandian air panas.

Coral Bay Resort.

Jika anda inginkan percutian yang menarik di Pulau Pangkor, Coral Bay Resort menawarkan tempat penginapan yang selesa dengan layanan yang mesra. Anda boleh menikmati urutan yang menenangkan di spa. Untuk menjamu selera, Restoran Moonlight Serenade menyajikan pelbagai hidangan dan masakan ala-Thai yang pasti memenuhi citarasa anda.

Aktiviti menarik yang boleh dilakukan disini ialah:

  • Memancing
  • Berkayak
  • Snorkeling
  • Kemudahan sukan air
  • Sauna
  • Gymnasium
  • Pusat spa dan kesihatan
  • Perkhidmatan urutan
  • Taman permainan kanak-kanak
  • Kelab kanak-kanak

Alamat:
Coral Bay Resort
Lot 34, Pantai Pasir Bogak,
32300 Pangkor,
Perak

Harga:
Harga bilik 1 malam untuk 2 orang bermula dari RM170.

Anjungan Beach Resort

Jika anda inginkan percutian yang lebih istimewa, Anjungan Beach Resort adalah lokasi yang cukup menarik di Pulau Pangkor untuk bercuti bersama orang tersayang. Ia adalah resort cantik yang menawarkan penginapan selesa dan menyeronokkan. Resort ini menggabungkan hiasan tropika dengan gaya kontemporari yang pasti memikat hati anda. Dengan kehijauan hutan semulajadi berhampiran dan hiasan lanskap yang cantik dalam kawasan resort, ia adalah destinasi sempurna untuk beristirehat menenangkan fikiran.

Anjungan Beach Resort.

Anjungan Beach Resort terletak bersebelahan Pantai Teluk Nipah yang memang terkenal dengan keindahan dan kejernihan airnya. Resort ini pasti memikat hati pengunjung yang datang kerana rekabentuk yang sangat menarik dan unik. Dengan kolam renang luas berbentuk bot yang terletak dihalaman resort, ia kelihatan begitu mewah. Bilik yang luas dengan perabot yang disusun indah cukup mempersonakan.

Kemudahan yang disediakan termasuk restoran, wifi percuma dan kemudahan bbq. Setiap bilik di Anjungan Beach Resort dilengkapi penghawa dingin, tv satelit, mini bar dan alat membuat teh/kopi. Bilik mandi pula mempunyai pancuran air panas dan alat pengering rambut. Pengunjung boleh bersantai di balkoni peribadi yang menawarkan pemandangan kolam renang atau taman. Untuk menikmati makanan pula, Gallery Café menyajikan sarapan tempatan dan barat yang pasti memenuhi citarasa anda.

Resort ini terletak berhampiran dengan Pulau Giam, iaitu lokasi snorkeling popular di Pulau Pangkor. Ia juga berhampiran dengan gerai-gerai penjaja dikawasan pantai Teluk Nipah. Anda boleh bersiar-siar, membeli-belah atau menjamu selera disini. Aktiviti lain yang boleh dilakukan ialah seperti ATV, memancing, candat sotong, berkayak, snorkeling. jet ski dan banana boat.

Alamat:
Anjungan Beach Resort
6610 Nipah Bay,
32300 Pangkor,
Perak

Harga:
Harga bilik 1 malam untuk 2 orang bermula dari RM268.

Teluk Senangin

Jika anda tidak ingin bercuti ke Pulau Pangkor, anda boleh ke Teluk Senangin yang terletak di Seri Manjung. Lokasinya kira-kira 32 KM dari bandar Setiawan. Teluk Senangin ialah destinasi percutian pantai yang sangat sesuai untuk percutian bajet bersama keluarga mahupun rakan-rakan. Disini terdapat pantai yang agak luas dan cantik. Banyak resort murah yang diusahakan oleh penduduk tempatan sesuai dijadikan tempat penginapan. Malah hotel-hotel selesa turut terdapat di kawasan pantai ini. Aktiviti pelancongan yang boleh dilakukan ialah mandi laut, bermain sukan pantai, ATV, memancing dan lain-lain lagi.

Lihat artikel Bercuti di Teluk Senangin untuk maklumat lanjut.

Teluk Senangin Perak.

Teluk Batik

Teluk Batik ialah tempat menarik untuk percutian di Perak yang tidak asing lagi. Ia mempunyai kawasan pantai yang luas dan cantik. Disini juga terdapat berbagai aktiviti pelancongan terutama aktiviti air seperti banana boat, sailing boat dan meronda dengan bot. Kemudahan awam turut disediakan seperti kawasan meletak kereta, tandas awam, bilik mandi, gerai makanan, kerusi pantai dan lain-lain lagi.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati halaman Bercuti di Teluk Batik Lumut.

Teluk Batik.

Untuk penginapan pula, terdapat beberapa buah resort menarik yang boleh dipilih seperti Teluk Batik Resort, Teluk Batik Holiday Apartment, Virgo Batik Resort dan Marina Cove Resort. Semuanya menyediakan penginapan selesa dengan kemudahan restoran untuk anda menjamu selera. Jika anda inginkan percutian bajet, beberapa pilihan penginapan ada seperti Kenangan Chalet dan Homestay Teluk Batik.

Swiss-Garden Beach Resort, Damai Laut

Swiss-Garden Beach Resort Damai Laut ialah resort menarik yang terletak di Lumut, Perak. Ia terkenal kerana mempunyai padang golf sendiri yang pernah memenangi anugerah dan pengiktirafan. Resort yang cantik ini dikelilingi kehijauan hutan semulajadi yang cukup mendamaikan. Bukan itu sahaja, resort ini cuma beberapa langkah dari pantai yang cantik berpasir bersih. Pendek kata, ia adalah tempat menarik untuk percutian yang cukup sempurna buat sesiapa sahaja.

Swiss-Garden Beach Resort Damai Laut.

Keistimewaan lain di Swiss-Garden Beach Resort, Damai Laut ialah ia mempunyai kolam renang yang luas, restoran ditepi laut yang menawarkan panorama indah, lounge dengan live band dan berbagai aktiviti menarik untuk dilakukan. Bilik-bilik penginapan berhawa dingin sepenuhnya dan dilengkapi balkoni yang luas. Fasiliti seperti tv satelit, mini bar, pembuat teh/kopi dan bilik mandi dengan pancuran air panas disediakan bagi keselesaan tetamu.

Aktiviti menarik yang boleh dilakukan disini ialah:

  • Gelanggang tennis
  • Padang golf
  • Memancing
  • Billiard
  • Pingpong
  • Berkanu / Berkayak
  • Menunggang kuda
  • Kemudahan sukan air
  • Sauna
  • Gymnasium
  • Pusat spa dan kesihatan
  • Perkhidmatan urutan
  • Tub mandian panas/jakuzi
  • Kawasan pantai peribadi
  • Bilik permainan
  • Taman permainan kanak-kanak
  • Karaoke
  • Kelab kanak-kanak

Alamat:
Swiss-Garden Beach Resort
Persiaran Swiss-Garden,
Jalan Damai Laut,
Teluk Senangin,
32200 Lumut,
Perak

Harga:
Harga 1 malam untuk 2 orang bermula dari RM268.

Belum Rainforest Resort

Jika anda pencinta alam semulajadi dan inginkan percutian yang menakjubkan, Belum Rainforest Resort yang terletak di Pulau Banding, Gerik adalah pilihan yang sempurna. Dengan suasana yang hening dan damai serta kehijauan hutan semulajadi dikelilingi tasik yang cantik, ia adalah lokasi paling menarik untuk anda beristirehat dan keluar dari kesibukan kota.

Belum Rainforest Resort.

Belum Rainforest Resort menyediakan penginapan yang cantik dan unik. Makanan dan minuman ada dihidangkan di restoran dalam kawasan resort. Menginap disini cukup memuaskan. Kemudahan dan aktiviti yang disediakan pula sangat menarik menjadikan percutian disini begitu indah dan tidak dapat dilupakan.

Aktiviti menarik yang boleh dilakukan disini ialah:

  • Kayak dan kano disediakan untuk menjelajahi pulau dan persekitarannya.
  • Melawat Kampung Orang Asli di Kejar Hilir.
  • Menyusur air terjun Ruok dengan bot.
  • Memancing.
  • Berkayak.
  • Berbasikal.
  • Perkhidmatan urutan.
  • Pusat spa dan kesihatan.

Alamat:
Belum Rainforest Resort
Pulau Banding,
33200 Gerik,
Perak

Harga:
Harga pakej penginapan dan aktiviti untuk 3h2m bermula dari RM560.

Pangkor Laut Resort

Tempat menarik untuk percutian di Perak yang paling sempurna dan bertaraf antarabangsa ialah Pangkor Laut Resort. Ia terletak di sebuah pulau persendirian berhampiran Pulau Pangkor. Resort ini cukup menarik dan mewah sesuai dengan harganya. Villa penginapannya terletak ditepi laut dan dikelilingi taman-taman tropika yang indah. Setiap villa mempunyai balkoni sendiri untuk tetamu bersantai menikmati pemandangan yang benar-benar mengagumkan.

Pangkor Laut Resort & Spa Village.

Antara kemudahan yang disediakan di Pangkor Laut Resort ialah dua buah kolam renang, spa, gelanggang squasy, gelanggang tennis dan restoran yang menyediakan masakan asia, makanan laut, masakan barat, Cina dan Itali untuk tetamu menjamu selera.

Harga :
Harga 1 malam untuk 2 orang bermula dari RM960.

Untuk melihat potongan harga hotel dan resort di Perak, anda boleh menyemak serta menempah bilik penginapan terus melalui atas talian di BOOKING.COM.

Banyak tempat menarik di Perak yang boleh dijadikan lokasi percutian. Walau bagaimanapun, kami cuba berikan destinasi yang popular, kos yang murah dan aktiviti menarik yang ada dikawasan berkenaan. Diharapkan senarai tempat menarik untuk percutian di Perak yang kami sediakan ini membantu anda memilih lokasi yang sesuai untuk bercuti kali ini. Sekiranya anda rasa kami telah melakukan sesuatu yang baik, sila kongsikan maklumat ini kepada rakan-rakan fb anda sebagai tanda penghargaan. Kami amat menghargainya. Jika ada kekurangan, tinggalkan komen dibawah. Kami akan cuba perbaiki. Terima kasih atas sokongan semua dan selamat bercuti!

Add new comment