Taman Rekreasi Gunung Lang

Taman Rekreasi Gunung Lang ialah tempat menarik di Ipoh yang semakin popular dikalangan pelancong dalam dan luar negeri. Ia adalah tasik bekas lombong yang cantik dikelilingi bukit batu kapur yang unik. Bukan itu sahaja, tempat ini telah dimajukan dengan beberapa binaan dan ciptaan yang menambah keindahan sedia ada.

Taman rekreasi ini terbahagi kepada dua kawasan iaitu kawasan pintu masuk dan kawasan rekreasi diseberang tasik. Pengunjung boleh menaiki bot untuk ke kawasan rekreasi dimana beberapa tarikan menanti.

Taman Rekreasi Gunung Lang Ipoh Perak

Lokasi Taman Rekreasi Gunung Lang

Taman Rekreasi Gunung Lang terletak di pinggir bandaraya Ipoh. Anda boleh memandu terus dari pusat bandaraya ke destinasi mengikut Jalan Kuala Kangsar. Jarak lebih-kurang 12KM iaitu kira-kira 15 minit perjalanan memandu kereta.

Jika dari Lebuhraya PLUS, ikut susur keluar Ipoh/Jelapang/Sungai Siput. Jarak ke destinasi lebih-kurang 5KM sahaja. Anda boleh cari lokasi menggunakan Google Maps atau Waze. Cari Taman Rekreasi Gunung Lang. Jangan cari 'Gunung Lang' sahaja kerana anda akan dibawa ke lokasi lain.

Alamat:
Taman Rekreasi Gunung Lang
Jalan Damai,
30100 Ipoh,
Perak

Hubungi:
Tel: 05-208 3333
Email : mbi@mbi.gov.my
Facebook : Majlis Bandaraya Ipoh

Harga tiket:
Harga tiket bot
Dewasa : RM3
Kanak-kanak : RM1.50

Waktu operasi:

Setiap hari : 8.30 am - 6.00 pm

Apa yang menarik di Taman Rekreasi Gunung Lang?

Ada beberapa tarikan di Taman Rekreasi Gunung Lang yang menggamit pengunjung ke mari. Setibanya disini pengunjung akan dapat melihat air terjun buatan yang turun dari puncak bukit batu kapur. Disini juga terbentang sebuah tasik yang dikelilingi hutan dan bukit.

Air terjun buatan di Taman Rekreasi Gunung Lang

Tasik

Tasik yang luas ini sebenarnya ialah sebuah bekas lombong suatu ketika dahulu. Kerana lokasi dan suasana semulajadi tempat ini yang menarik, ia telah dimajukan menjadi salah satu destinasi pelancongan di Ipoh.

Tasik di Taman Rekreasi Gunung Lang

Air tasik kelihatan berwarna hijau mungkin kerana pantulan kehijauan hutan disekelilingnya. Didalam tasik ini juga terdapat beberapa spesis ikan. Pengunjung berpeluang memberi makan ikan-ikan ini. Dapat dilihat antara spesis yang ada ialah keli dan patin.

Tarikan tempat ini bukan setakat ini sahaja. Pengunjung perlu ke destinasi pelancongan sebenar iaitu Taman Rekreasi Gunung Lang yang terletak diseberang tasik. Untuk ke sana, pengunjung harus menaiki bot kurang dari 5 minit untuk tiba ke lokasi.

Taman Rekreasi Gunung Lang Ipoh

Menaiki bot

Pengunjung boleh membeli tiket bot di kaunter tiket bangunan jeti. Tiket berharga RM3 untuk dewasa dan RM1.50 untuk kanak-kanak. Pada musim cuti sekolah atau hari cuti umum, anda mungkin terpaksa beratur panjang kerana ramai yang membawa keluarga kesini.

Dua buah bot berfungsi membawa penumpang pergi dan balik. Bot dilengkapi jaket keselamatan yang diletakkan dikerusi penumpang. Walaupun perjalanan cuma beberapa minit, anda dinasihatkan memakai jaket kesematan ini.

Bot Taman Rekreasi Gunung Lang

Mini Zoo

Mendarat di jeti Taman Rekreasi Gunung Lang, pengunjung dikehendaki bergambar terlebih dahulu. Ia adalah sebahagian dari polisi keselamatan. Selepas itu, pengunjung boleh bersiar-siar disini. Apa yang menarik perhatian selepas keluar dari jeti ialah kandang-kandang binatang mini zoo yang ada disekitar kawasan ini.

Kuda Pony

Terdapat beberapa jenis binatang di mini zoo Taman Rekreasi Gunung Lang. Ada burung merak, itik, lembu, rusa, ostrich, kuda pony dan lain-lain. Pengunjung hanya perlu berjalan mengikut laluan yang disediakan untuk melihat semua binatang yang ada. Walaupun tidak banyak spesis haiwan yang ada namun ia cukup untuk menggembirakan ibubapa yang membawa anak-anak kesini.

Mini Zoo

Menara Tinjau

Ada dua buah menara tinjau di taman rekreasi ini. Sebuah menara terletak ditepi bukit batu kapur dan sebuah lagi terletak ditepi tasik. Kedua-dua menara ini menawarkan pemandangan menarik, cuma banyak sedikit tenaga diperlukan untuk memanjat hingga keatas.

Anda mungkin mengambil sedikit masa sebelum dapat menikmati sepenuhnya pemandangan dari puncak menara. Setelah hilang semua kepenatan, jangan lupa abadikan sebanyak mungkin gambar-gambar menarik untuk dijadikan kenangan dan tanda kejayaan.

Menara Tinjau

Rumah Perak

Pengunjung pasti akan terperasan rumah kayu yang cantik terletak ditengah taman rekreasi. Ia bukan chalet kerana tiada resort di sini. Sebenarnya itu adalah Rumah Perak, iaitu rumah tradisional yang ada di negeri ini.

Pengunjung boleh masuk kedalam rumah untuk melihat dengan lebih dekat keindahan senibina dan rekabentuk tradisional ini. Namun agak mengecewakan kerana tiada apa-apa didalam rumah. Walau bagaimanapun kipas dan lampu disediakan agar pengunjung tidak kepanasan atau berada dalam kegelapan.

Lanskap

Disekitar taman rekreasi terdapat banyak pokok-pokok bunga ditanam. Ia menambahkan keindahan tempat ini. Beberapa binaan dari kayu sebagai dekorasi taman juga dapat dilihat namun kebanyakannya sudah rosak dan hampir reput. Ia mungkin kelihatan penuh dengan seni tetapi tidak menolak hakikat bahawa ia terbiar dan tidak mendapat penjagaan yang sewajarnya.

Lanskap Taman Rekreasi Gunung Lang

Aktiviti

Memberi makan ikan

Di kaunter tiket bot ada dijual makanan ikan dan roti. Makanan ikan berharga RM1 dan roti RM2 sebungkus kalau tidak salah ingatan saya. Pengunjung boleh memberi makan ikan dari platfom yang terletak ditepi tasik. Saya dapat melihat kumpulan ikan patin sebesar paha orang dewasa semasa mencampakkan roti disini.

Apa yang saya kurang senangi ialah pengunjung memberi makan monyet yang banyak berkeliaran di dalam kawasan taman. Mungkin ia kelihatan takut-takut pada masa ini tetapi pengajaran di Taman Botani Pulau Pinang dan Zoo Taiping perlu diambil perhatian. Perbuatan ini akan menyebabkan monyet-monyet menjadi ganas pada masa akan datang.

Platfom untuk memberi makan ikan

Beriadah/Berbasikal

Taman Rekreasi Gunung Lang adalah tempat yang menarik untuk beriadah kerana suasana alam semulajadi disini. Kawasan ini redup dan teduh kerana pokok-pokok yang ada disekitar kawasan taman. Ia juga dikelilingi bukit yang agak tinggi. Pengunjung boleh menyewa basikal dengan bayaran RM5 sejam bagi orang dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak.

Beriadah berjalan kaki

Beriadah berjalan kaki melawat taman.

Berkelah

Ada keluarga yang berkelah semasa saya berkunjung. Ia kelihatan menarik dengan suasana teduh dan udara nyaman di taman ini. Namun saya tidak pasti ia dibenarkan atau tidak. Cuma diharap pengunjung dapat membawa sisa-sisa makanan dan sampah semasa pulang.

Berkelah di bawah pokok

Kemudahan

Taman permainan kanak-kanak

Sebuah taman permainan kanak-kanak disediakan. Kemudahan ini masih dalam keadaan elok dan boleh digunakan. Ia sesuatu yang baik juga kerana ramai kanak-kanak kelihatan seronok bermain disini.

Taman Permainan Kanak-kanak

Pondok Rehat

Kawasan taman rekreasi ini agak luas. Penat juga bila berjalan lebih-lebih lagi jika anda datang hampir tengahari atau awal petang. Untungnya disini terdapat banyak pondok-pondok rehat yang disediakan untuk pengunjung. Lebih menarik pada waktu ini jika ada aiskrim atau air minuman.

Pondok rehat disediakan

Gerai minuman

Memang nasib baik di Taman Rekreasi Gunung Lang ini ada gerai minuman. Aiskrim Malaysia yang sangat sedap cuma RM1 sebatang. Air minuman juga harga seperti biasa. Setelah penat berjalan dan matahari yang semakin panas, aiskrim dan air tin adalah nikmat yang perlu disyukuri.

Surau

Kemudahan surau disediakan untuk pengunjung Taman Rekreasi Gunung Lang. Ia kelihatan bersih dan selesa. Namun saya membatalkan niat untuk solat kerana dipenuhi kanak-kanak. Satu sikap orang kita yang sangat mengecewakan ialah sering menjadikan surau tempat salin diapers anak, tempat mandi anak serta membiarkan anak-anak bermain riuh-rendah didalam surau sedangkan sudah masuk waktu solat.

Tandas

Tandas awam disediakan untuk buang hajat atau mandi anak. Ia terletak disebelah surau. Bangunannya agak besar hampir sebesar surau. Papan tanda lokasi juga banyak disediakan. Anda tidak akan terlepas pandang.

Lihat video bot untuk ke Taman Rekreasi Gunung Lang.

Kesimpulan

Taman Rekreasi Gunung Lang adalah tempat menarik yang mesti dilawati jika anda berkunjung ke Ipoh. Tempat ini benar-benar cantik dan menawarkan suasana alam semulajadi yang mendamaikan. Memang ada kekurangan disana-sini tetapi ia tidaklah sampai tahap merosakkan keindahan tempat ini.

Anda mungkin terbaca dimana-mana bahawa mini zoo di taman ini tidak terjaga dan berbau busuk. Malah tasik ini juga dikatakan berbau busuk. Ia tidak seburuk yang dikatakan. Bau mesti ada dimana-mana zoo, agro farm atau mana-mana ladang menternak binatang.

Tidak semua orang mampu membawa keluarga bergembira di taman tema yang harga tiketnya tidak masuk akal. Sekurang-kurangnya, ramai yang mampu membawa keluarga melawat tempat menarik ini. Jujur, ia tidak mengecewakan.

Destinasi pelancongan lain

Beberapa tempat menarik berhampiran boleh dilawati jika anda berkunjung kesini. Antara destinasi pelancongan yang tidak boleh dilepaskan ialah:

  1. Destinasi pelancongan lain: Tempat menarik di Ipoh
  2. Tempat menarik berhampiran: Tempat menarik di Taiping Perak
  3. Tempat percutian: Senarai tempat menarik untuk percutian di Perak
  4. Terokai semua: Tempat menarik di Perak mengikut daerah
Lokasi

Add new comment

Restricted HTML

  • Allowed HTML tags: <a href hreflang> <em> <strong> <cite> <blockquote cite> <code> <ul type> <ol start type> <li> <dl> <dt> <dd> <h2 id> <h3 id> <h4 id> <h5 id> <h6 id>
  • Lines and paragraphs break automatically.
  • Web page addresses and email addresses turn into links automatically.
CAPTCHA
This question is for testing whether or not you are a human visitor and to prevent automated spam submissions.