Teluk Nipah Pulau Pangkor

Teluk Nipah ialah destinasi percutian popular di Pulau Pangkor, Perak. Ia terkenal dengan pantai yang cantik. Kawasan ini telah dimajukan dengan berbagai kemudahan seperti tempat penginapan, kedai dan operator pelancongan.

Pantai Teluk Nipah terletak agak jauh dari pekan. Kawasan ini juga tiada perkampungan penduduk. Anda mungkin membayangkan ia adalah pantai yang sunyi. Sebenarnya tidak.

Kawasan pantai Teluk Nipah mempunyai banyak resort, deretan kedai dan berbagai aktiviti watersport. Ia cukup meriah dari pagi hingga ke malam terutama pada musim cuti sekolah.

Matahari terbenam di Teluk Nipah

Apa ada di Teluk Nipah?

Apa ada di Teluk Nipah yang membuatkan ramai pelancong berkunjung ke sini?

Pantai yang cantik

Tarikan utama di Teluk Nipah ialah pantainya yang cantik, berpasir halus dan air laut yang jernih sesuai untuk mandi. Kawasan pantainya juga luas dan tidak sesak walaupun pada hari cuti umum.

Pengunjung boleh bersiar-siar di pantai atau bersantai melihat pemandangan laut yang cukup mendamaikan. Disini juga merupakan lokasi strategik untuk melihat pemandangan matahari terbenam.

Pantai Teluk Nipah

Pantai Teluk Nipah Pulau Pangkor

Resort

Banyak resort dan chalet tepi pantai di Teluk Nipah. Hampir semuanya menawarkan penginapan selesa. Harganya juga tidak terlalu mahal. Bergantung kepada jenis bilik, katil single atau keluarga, biasanya harga ialah diantara RM60 - RM200.

Kebanyakan resort juga mempunyai restoran atau kafe sendiri dan menyediakan makanan jika pengunjung mahu. Anda patut pertimbangkan aktiviti bbq di tepi pantai jika bercuti beramai-ramai. Selain itu, perkhidmatan sewa kenderaan, aktiviti watersport dan island hoppingĀ  turut ditawarkan.

Hornbill Resort Teluk Nipah

Teluk Nipah Pulau Pangkor

Kedai makan

Jika musim cuti sekolah, banyak restoran dan kedai makan disepanjang pantai dibuka dari pagi hingga ke malam. Pengunjung tidak perlu pergi jauh untuk menjamu selera. Namun pada hari-hari biasa, kebanyakannya ditutup. Sebagai ingatan, harga makanan agak mahal.

Nipah Deli dan Daddy's Cafe, dua buah restoran makanan laut popular ditepi pantai terletak di Coral Bay, iaitu sebuah lagi pantai menarik di Pulau Pangkor. Ia terletak bersebelahan pantai Teluk Nipah. Anda hanya perlu menunggang motosikal seminit untuk ke sini.

Kedai makan di Teluk Nipah

Malam di Teluk Nipah

Watersport

Aktiviti watersport memang banyak disini terutama dimusim cuti sekolah. Beberapa operator menawarkan berbagai permainan menarik seperti Banana boat, Outrigger, Paparazzi, Big Mable, Matrix, Half Pipe, Super Cube, High Roller, Water ski dan Parasailing.

Aktiviti lain yang turut ditawarkan ialah berkayak dan menunggang jet ski.

Aktiviti berkayak di Teluk Nipah

Island cruise

Island cruise atau island hopping turut ditawarkan oleh operator pelancongan di Teluk Nipah. Biasanya aktiviti ini termasuk snorkeling dan melawat pantai. Anda akan dibawa ke pulau-pulau berhampiran dan melakukan aktiviti snorkeling dikawasan air jernih yang terdapat karang serta ikan-ikan yang cantik.

Pantai Teluk Nipah

Aktiviti menarik di Teluk Nipah

Percutian pasti hambar tanpa aktiviti-aktiviti menarik untuk dilakukan. Jika bercuti di Teluk Nipah, anda tidak perlu risau. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan.

Anda mungkin terperasan jika bercuti di Pulau Pangkor yang disini banyak burung enggang atau hornbill. Ia ada dikawasan resort, tepi pantai dan kelihatan jinak. Salah satu aktiviti menarik yang tidak boleh dilepaskan di Teluk Nipah ialah memberi makan burung enggang. Apa yang perlu anda lakukan ialah membeli pisang, buka kulit, patahkan isinya dan lambung pada enggang tersebut. Ia akan menyambar makanan dan ia menyeronokkan. Anda juga boleh melihat aktiviti memberi makan enggang ini di hadapan Sunset View Chalet. Banyak burung enggang akan berkumpul di kawasan lapang tepi jalanraya sekitar jam 6.30 petang.

Burung enggang atau Hornbill

Aktiviti lain yang boleh dilakukan ialah:

  • Mandi laut - Air laut bersih dan jernih. Pantainya landai serta ombak juga tidak kuat. Pantai ini sangat sesuai untuk mandi-manda.
  • Bermain bola tampar pantai.
  • ATV - Harganya RM30 untuk 15minit.
  • Melihat matahari terbenam.
  • Membuat sand castle bersama anak-anak.
  • Berkayak.
  • Memancing - Ada beberapa lokasi memancing di sekitar pantai Teluk Nipah tetapi buat pemancing serius, anda boleh menyewa bot atau pakej memancing di Pulau Sembilan.
  • BBQ - Peralatan disediakan oleh chalet.
  • Perkhemahan - Tapak perkhemahan disediakan oleh beberapa pemilik chalet.

Maklumat lanjut lihat Top 10 aktiviti menarik di Pulau Pangkor.

Sunset di Teluk Nipah

Penginapan di Teluk Nipah

Pantai Teluk Nipah Pulau Pangkor mempunyai banyak tempat penginapan untuk pelancong yang ingin bercuti disini. Terdapat lebih 20 resort yang menawarkan bilik dan chalet selesa. Kemudahan yang disediakan termasuk bilik berhawa dingin, katil queen, katil single, bilik mandi dengan tandas dan hot shower. Ada juga chalet yang menyediakan kemudahan untuk bbq. Antara resort popular ialah:

  1. Anjungan Beach Resort & Spa. Telefon 05-685 1500
  2. Nipah Water Front Beach Resort. Telefon 05-685 5485
  3. Seaview Pangkor Resort. Telefon 05-685 2005
  4. Flora Beach Resort. Telefon 05-685 3878
  5. Palma Beach Resort. Telefon 05-685 3693
  6. Pangkor Bay View Beach Resort. Telefon 05-685 3540
  7. Lyana Villa. Telefon 05-685 3393
  8. Pangkor Island Chalet. Telefon 017-467 3477
  9. OYO Ombak Inn Chalet. Telefon 010-401 1393
  10. Suria Beach Resort. Telefon 012-319 3023
  11. Nipah Bay Villa. Telefon 05-685 2198
  12. Joe Fisherman Inn. Telefon 012-525 1821
  13. Budget Beach Resort. Telefon 05-685 3529
  14. Hornbill Resort. Telefon 05-685 2005
  15. Purnama Beach Resort. Telefon 05-685 3533
  16. Pangkor Palm Bay Resort. Telefon 05-685 5067
  17. Sunset View Chalet. Telefon 05-685 5448
  18. MNY Hotel & Resort. Telefon 05-685 5588
  19. Nipah Guesthouse Pangkor. Telefon 017-506 9259
  20. Seagull Beach Resort. Telefon 05-685 2878
  21. OYO Panvill Resort. Telefon 05-685 5112
  22. Horizon Inn. Telefon 05-685 3398
  23. Pangkor Inn Chalet. Telefon 017-467 3477
  24. Pangkor Indah Beach Resort. Telefon 05-685 2107

Anda boleh semak lokasi hotel melalui Google Maps. Sila berhati-hati kerana sesetengah resort sengaja menandakan lokasi ditepi pantai tetapi sebenarnya tidak. Gambar juga tidak banyak membantu. Anda boleh klik Browse Street View Images untuk betul-betul pasti.

Resort Teluk Nipah

Resort di Pantai Teluk Nipah

Chalet di Teluk Nipah

Anda juga boleh menyewa homestay di Teluk Nipah. Jika anda mempunyai keluarga yang besar atau datang beramai-ramai, homestay lebih mudah dan selesa berbanding menyewa banyak bilik atau chalet. Antara homestay popular ialah:

  • Tokyah Homestay Pulau Pangkor. Telefon 012-454 5816, 017-599 3824
  • Asrah Homestay Pangkor. Telefon 012-550 2457

Kesimpulan

Teluk Nipah ialah lokasi pelancongan yang cukup menarik untuk bercuti samada bersama keluarga atau rakan-rakan. Ia adalah destinasi percutian pantai yang mempunyai segala kemudahan dan aktiviti. Resort disini sentiasa penuh di musim cuti sekolah dan cuti umum. Pastikan anda membuat tempahan awal.

Cuma beberapa perkara yang perlu diambil perhatian. Kebanyakan resort di Teluk Nipah telah beroperasi berpuluh tahun. Ada chalet yang sudah lama dan sesetengahnya agak uzur. Pastikan anda membaca ulasan pengunjung sebelum membuat keputusan.

Selain itu, lokasinya agak jauh dari pekan. Namun itu bukanlah kekurangan sebaliknya memberi satu pilihan kepada pengunjung yang inginkan percutian yang tenang dan damai di tepi pantai.

Artikel berkaitan

Jangan datang ke Pulau Pangkor sebelum baca artikel dibawah.

Lokasi

Add new comment

Restricted HTML

  • Allowed HTML tags: <a href hreflang> <em> <strong> <cite> <blockquote cite> <code> <ul type> <ol start type> <li> <dl> <dt> <dd> <h2 id> <h3 id> <h4 id> <h5 id> <h6 id>
  • Lines and paragraphs break automatically.
  • Web page addresses and email addresses turn into links automatically.
CAPTCHA
This question is for testing whether or not you are a human visitor and to prevent automated spam submissions.