Tempat menarik di Ipoh - Panduan 2020

Ipoh merupakan lokasi percutian popular kerana kedudukannya yang strategik dan banyak tempat pelancongan menarik yang boleh dilawati. Selain itu, kemudahan pengangkutan awam dan hotel penginapan yang banyak juga menjadi faktor utama ibu negeri Perak ini menjadi pilihan pelancong untuk bercuti. Bagi memudahkan pengunjung merancang percutian mereka, kali ini Percutian Bajet memilih untuk menyingkap keistimewaan yang ada, aktiviti yang boleh dilakukan, tempat-tempat menarik di Ipoh yang boleh dilawati dan tarikan lain yang ada di Bandaraya Bunga Kertas ini untuk dijadikan panduan.

Nota: Untuk melihat senarai tempat menarik lain di Perak, sila lawati Senarai tempat menarik untuk percutian di Perak.

Lokasi dan peta

Ipoh terletak di daerah Kinta, Perak. Ia meliputi kawasan seluas 643 km². Jarak dari Kuala Lumpur ialah lebih-kurang 205 KM. Dengan kemudahan lebuhraya, ia hanya mengambil masa kira-kira 2 jam untuk tiba di sini. Manakala dari utara pula, jarak dari tol Juru Pulau Pinang cuma 135 KM dan mengambil masa hanya 1 jam 30 minit sahaja.

Peta Ipoh.

Pengangkutan

Pelancong boleh memandu terus ke Ipoh samada menggunakan kemudahan jalan persekutuan atau lebuhraya yang pantas. Bagi backpackers, terdapat banyak kemudahan pengangkutan awam seperti bas ekspress dan juga keretapi yang menjimatkan. Bagi anda yang ingin lebih cepat, anda boleh mengambil penerbangan terus ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh.

Bandaraya Ipoh mempunyai kemudahan pengangkutan awam yang baik. Terdapat banyak bas dan teksi yang boleh membawa anda kemana-mana destinasi menarik di sini.

Tempat menarik di Ipoh

Dibawah ialah senarai beberapa tempat menarik di Ipoh untuk dilawati jika anda berkunjung ke bandaraya ini.

Gua Tempurung

Gua tempurung terletak di Gopeng. Ia adalah sebuah gua batu kapur yang cantik. Pada zaman dahulu, aktiviti perlombongan bijih timah turut dilakukan di beberapa lokasi didalam gua ini. Semasa Perang Dunia kedua, gua ini menjadi tempat perlindungan penduduk dari tentera Jepun. Ia juga pernah dijadikan tempat persembunyian komunis semasa zaman darurat. Apabila Jepun menakluki kawasan ini, ia dijadikan pusat tahanan banduan.

Gua Tempurung Ipoh.

Gua ini mula dibangunkan sebagai pusat pelancongan oleh kerajaan negeri Perak pada tahun 1995 dan mula dibuka kepada orang-ramai pada tahun 1997. Berbagai kemudahan disediakan didalam gua ini seperti lampu, tangga dan jambatan bagi memudahkan pelancong menyusuri gua dan menikmati pemandangan indah yang terbentuk didalam gua. Bahagian bumbung gua ini mempunyai kubah yang berbentuk seperti tempurung kelapa. Ia adalah gua batu kapur terpanjang di Semenanjung Malaysia iaitu 4.5 KM tetapi kawasan yang boleh dimasuki pengunjung adalah sekitar 1.9 KM sahaja.

Didalam gua ini terdapat ikan yang hidup didalam sungai, burung-burung yang membuat sarang didalam gua serta pokok paku-pakis yang jarang ditemui. Beberapa pecahan terdapat didalam gua ini dan laluan ke beberapa bahagian yang menarik boleh dilalui pengunjung. Keunikan dan pemandangan mengagumkan pasti memberi kepuasan kepada sesiapa sahaja terutama mereka yang meminati keindahan semulajadi, aktiviti lasak dan pengembaraan.

Alamat:
Pusat Pelancongan Gua Tempurung,
31600 Gopeng,
Perak Darul Ridzuan

Masjid Negeri

Masjid yang menjadi mercu tanda di Ipoh ini mempunyai rekabentuk dan senibina yang unik. Salah satu keunikan masjid ini ialah terdapat 125 buah kubah dibina diatas bumbung masjid. Masjid dua tingkat ini berkeluasan 84 meter panjang dan 42 meter lebar. Tingkat atas mempunyai dewan solat utama, dewan solat muslimat dan juga bilik mesyuarat manakala tingkat bawah menempatkan pejabat pentadbiran, kawasan wuduk, bilik air dan ruang solat tambahan.

Masjid Negeri Perak ini mula dibina pada tahun 1966 bagi menampung jemaah yang besar di bandar Ipoh. Ia siap dibina pada tahun 1968 dengan kos sebanyak RM1.84 juta. Pada 15 September 1978, masjid ini telah dirasmikan oleh Sultan ldris Iskandar Shah II , sempena perayaan ulangtahun keputeraan baginda yang ke-33. Nama Masjid Negeri ini telah diabadikan dengan nama baginda pada tahun 1984.

Bagi muslim yang bercuti di Ipoh, elok juga anda menziarahi Masjid Negeri ini dengan niat untuk beribadat dan sama-sama solat berjemaah bukannya niat untuk melancong. Semoga kunjungan ini meningkatkan keimanan dan keinsafan dalam diri.

Alamat:
Masjid Sultan Idris Shah II
Jalan Sultan Iskandar Syah
30000 Ipoh,
Perak Darul Ridzuan

Taman Alam Kinta

Bagi anda yang suka melihat burung, ada sebuah lokasi menarik yang boleh anda kunjungi jika bercuti ke Ipoh. Taman Alam Kinta ialah sebuah taman burung yang menarik. Ia terletak di Kampung Pisang, Batu Gajah. Taman ini merupakan sebuah lokasi persinggahan burung dari berbagai benua di dunia.

Kawasan seluas 2000 ekar ini merupakan bekas lombong bijih timah dan dikelilingi pokok-pokok hutan yang menghijau. Antara spesis burung yang ada ialah Burung Pucung Seriap, Burung Pucung Keladi, burung Pucung Cina, burung Serandau, burung Pangling dan banyak lagi. Suasana yang sungguh mendamaikan pasti membuatkan anda berasa tenang. Jangan lupa membawa teropong dan kamera jika ingin datang kemari.

Alamat:
Taman Alam Kinta
Kampung Pisang, Batu Gajah,
Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

Taman Rekreasi Gunung Lang

Taman Rekreasi Gunung Lang ialah tempat menarik di Ipoh yang harus dikunjungi jika anda bercuti di bandaraya ini. Ia merupakan sebuah tasik bekas lombong bijih timah yang dipulihara untuk dijadikan destinasi pelancongan di Ipoh. Ia terletak diatas bukit batu kapur. Lokasinya tidak jauh dari pusat bandar iaitu di Jalan Kuala Kangsar.

Tasik ini terdapat pelbagai spesis ikan air tawar dan juga itik. Pengunjung boleh mengelilingi persekitaran tasik dengan menaiki bot. Selain itu, pengunjung juga boleh melawat ke pulau seberang tasik. Di situ terdapat mini zoo, rumah rehat, dua buah menara tinjau, taman bunga, taman permainan serta keindahan semulajadi bukit dan gunung di sekitar pulau berkenaan.

Kemudahan yang terdapat di Taman Rekreasi Gunung Lang ialah tempat letak kereta yang luas, laluan pejalan kaki, menara pandang jauh, cafe, jeti bot dan tandas.

Harga tiket untuk menaiki bot:
Dewasa : RM3.
Kanak-kanak : RM1.50.
Warga Emas : RM1.50.

Alamat:
Taman Rekreasi Gunung Lang
Jalan Damai,
30100 Ipoh, Perak

Maklumat lanjut lihat Taman Rekreasi Gunung Lang

Taman Rekreasi Gunung Lang Ipoh.

Rafflesia Trek

Jika ingin lebih pengembaraan, anda boleh merentas hutan melihat bunga terbesar didunia iaitu Rafflesia. Perjalanan memasuki hutan melihat keindahan alam semulajadi memang menyeronokkan. Berbagai flora dan fauna dapat dilihat. Pengalaman begini dapat membuka mata kita untuk menghargai warisan yang tak ternilai yang ada di bumi tercinta ini.

Lokasi:
Ulu Geroh Raflesia Conservation Center
Kg Ulu Geroh,
Gopeng,
Perak Darul Ridzuan.

Rafflesia trek Ipoh.

Ladang penternakan kuda

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa terdapat ladang penternakan kuda di Malaysia. jika bercuti di Ipoh, anda boleh melawat Ladang kuda National Stud Farm yang terletak di Tanjung Rambutan.

Alamat:
National Stud Farm
Jalan Chemor,
Tanjong Rambutan,
31250 Perak.

Hubungi:
Tel: (605) 5332144, 5332145
Fax : (605) 5334900

Taman Herba Negeri Perak

Taman herba seluas 22 hektar ini mempunyai lebih 527 spesis herba yang mempunyai pelbagai kegunaan seperti perubatan, aromatherapi, kosmetik dan juga makanan termasuk ulam dan rempah-ratus. Antara spesis terkenal yang boleh didapati di Taman Herba Negeri Perak ialah misai kucing, kunyit bonglai, kacip fatimah, tutup bumi rimba, emas cotek, jerangau, rempah padang, kunyit, serai wangi dan bungah cengkih.

Taman ini sebenarnya sangat menarik. Kawasannya bersih, hutan dan rumput yang menghijau dengan tasik yang cantik begitu mendamaikan. Kemudahan yang disediakan termasuk trem, tapak perkhemahan, surau dan dewan taklimat.

Harga tiket:
Dewasa : RM2.
Kanak-kanak : RM1.
Memancing : 3 Jam - RM10.
Perkhemahan/hari Keluarga : 1 Tapak - RM200.

Lokasi:
Taman Herba Negeri Perak
Simpang Sindhu
Kampung Kepayang,
31300 Ipoh, Perak.

Hubungi:
Tel: 05-3572290
Fax : 05-3577597

Lukisan mural di Ipoh

Dihasilkan oleh Ernest Zacharevic, seorang pelukis dari Lithuania dan juga Oldtown White Coffee bagi meraikan heritage dan sejarah Bandaraya Ipoh. Terdapat 8 lukisan mural yang mengagumkan di dinding 8 buah bangunan pekan lama Ipoh. Berikut adalah senarai lukisan dan lokasi bangunan:

  1. A Paper Plane - Lokasi (4.598776 N, 101.077827 E)
  2. An Old Uncle Drinking Coffee - Lokasi (4.59843 N, 101.078542 E)
  3. A Yellow Hummingbird - Lokasi (4.596715 N, 101.078483 E)
  4. A 'Kopi' Break - Lokasi (4.596771 N, 101.078612 E)
  5. A Bag Of Coffee - Lokasi (4.595918 N, 101.078195 E)
  6. Girl On A Wall In Bandar Timah - Lokasi (4.59691 N, 101.078152 E)
  7. Old Town Relives Nostalgia With Trishaw - Lokasi (4.59531 N, 101.078511 E)
  8. Tin Mining Town With Chinese-Style Painting - Lokasi (4.5964 N, 101.079252 E)

Lukisan Mural di Ipoh.

Tempat menarik lain di Ipoh

  • Bukit Kledang - Salah satu tempat menarik di Ipoh waktu malam. Anda boleh melihat pemandangan menarik bandar Ipoh waktu malam dari Bukit Kledang.
  • Kelab Lumba Kuda - Melihat kuda, menunggang kuda, belajar menunggang kuda.
  • Lost World of Tambun - Lokasi percutian keluarga yang terkenal di Ipoh ini sentiasa menjadi tumpuan pelancong taman tema air dari seluruh negara. Lihat artikel Percutian ke Lost World of Tambun

Tempat bersejarah di Ipoh untuk dilawati

Terdapat beberapa tempat bersejarah yang boleh dilawati di Ipoh.

Istana Kellie

Istana Kellie atau Kellie's Castle terletak di Batu Gajah. Ia memiliki rekabentuk unik dipengaruhi senibina India. Kedudukannya diatas bukit membuatkannya kelihatan sangat mengagumkan. Sejarah Kellie's Castle ini bermula pada tahun 1915 dimana ia dibina oleh William Kellie Smith untuk isterinya Agnes. Batu marmar dengan pekerja-pekerja mahir telah dibawa dari India untuk menyiapkan istana ini. Walau bagaimanapun, wabak penyakit dan perang dunia telah menyebabkan pembinaan istana ini terbantut. Akhirnya ia terbengkalai setelah kematian William Kellie Smith pada tahun 1926. Istana ini kini dipelihara seperti asalnya oleh kerajaan negeri Perak dan menjadi salah satu tarikan pelancongan di Ipoh.

Kellie Castle di Batu Gajah, Perak.

Waktu operasi: 9 pagi - 6 Petang.

Bayaran masuk (harga tiket) :
Dewasa : RM4
Sekolah Menengah : RM3
Sekolah Rendah : RM2

Hubungi:
Tel : +605 365 1336

Alamat:
Chalet Mdkb Kellies Castle
Jalan Gopeng,
31000 Batu Gajah, Perak.

Stesen Keretapi Ipoh

Bangunan menakjubkan dengan struktur senibina Turki ini begitu terkenal sehingga digelar Taj Mahal Ipoh. Ia dibina pada tahun 1935 oleh British. Bangunan ini turut menempatkan Hotel Majestic selain daripada pejabat urusan Keretapi Tanah Melayu sendiri. Kepada mereka yang gemar menangkap gambar, Stesen Keretapi Ipoh adalah lokasi yang cantik untuk melakukan sesi penggambaraan. Terdapat banyak kelebihan yang ada disini antaranya ialah, suasana persekitaran yang cantik dan reka bentuk bangunan yang klasik.

Stesen Keretapi Ipoh.

Hubungi:
Tel : +605 254 0481

Alamat:
Ipoh Railway Station
Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab,
30000 Ipoh Perak,
Malaysia.

Menara Peringatan Birch

Sebuah menara sejarah yang terletak di bandaraya Ipoh. Ia merupakan menara jam yang dibina bagi memperingati pembunuhan J.W.W Birch pada tanggal 2 November 1875, bekas Residen British yang pertama negeri Perak, semasa peristiwa Pasir Salak. Menara Peringatan Birch dibina pada tahun 1909. Ia direka berbentuk 4 segi dan kos membuatnya mencecah RM25,000. Ditengah-tengah menara ini dilukis manusia yang membawa maksud kesatuan dan tamadun.

Lokasi: Menara Peringatan Birch ini terletak berhadapan dengan Masjid Negeri Perak dan berada didalam sebuah taman kecil yang dihiasi dengan bunga indah.

Bayaran masuk (harga tiket) : Percuma.

Muzium Darul Ridzuan

Terletak berhampiran Bangunan SUK Negeri Perak. Bangunan ini dibina dengan ciri-ciri Inggeris. Terdapat dua buah kubu pertahanan udara dibina pada 1940 untuk berlindung dari serangan tentera Jepun. Tujuan asal muzium ini adalah untuk menyimpan bahan sejarah perlombongan bijih timah dan perhutanan di Ipoh.

Waktu operasi: 9 pagi - 5 Petang.

Bayaran masuk (harga tiket) : Percuma.

Alamat:
Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab
30000 Ipoh Perak, Malaysia.

Muzium Geologi

Muzium ini dibina pada tahun 1957. Terletak di Jalan Sultan Azlan Shah, Muzium Geologi ini mempunyai lebih 600 koleksi sampel mineral yang dipamerkan kepada pengunjung.

Hubungi:
Tel : +605 545 7644
Fax : +604 656 3531

Alamat:
Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia
Jalan Sultan Azlan Shah Peti surat 1015
30820 Ipoh Perak, Malaysia.

Aktiviti menarik di Ipoh

Ada beberapa aktiviti menarik yang boleh dilakukan selain melawat tempat menarik di Ipoh. Antaranya ialah:

Mandi air Terjun

Terdapat dua air terjun yang biasa dikunjungi di Ipoh iaitu:

  1. Kledang Saiong Forest Eco Park - Kawasan perkelahan yang popular. Terletak di Persiaran Meru Utama, Ipoh, Perak.
  2. Ulu Chepor - Terkenal dengan pusat perkelahan Chepor yang merupakan tempat mandi dan rekreasi popular di Chemor. Airnya yang sejuk dan nyaman serta kehijauan hutannya memberi kesegaran kepada pengunjung yang datang kesini.

Extrem Park Sunway City Ipoh

Extrem Park Sunway City Ipoh terletak di Persiaran lagun. Permainan yang ada ialah seperti paintball, Go Kart, futsal dan ATV Power-Packed Bikes.

Membeli-belah

Ada beberapa lokasi membeli-belah yang menarik di Ipoh yang boleh anda kunjungi iaitu:

  1. Memory Lane yang terletak di Jalan Tahwil Azhar. Ia dibuka pada setiap hari Ahad bermula jam 7 pagi hingga lewat tengahari. Memory Lane sangat terkenal kerana berbagai barangan dijual disini.
  2. Gerbang Malam di Jalan Tahwil Azhar. Beroperasi dari lewat petang hingga awal pagi setiap hari. Gerbang Malam merupakan salah satu tempat menarik di Ipoh waktu malam yang sangat popular.
  3. AEON Station 18 (terbesar di asia tenggara)
  4. MYDIN MALL Meru Raya,(Terbesar di Malaysia)
  5. Greentown Mall - Jalan Hospital, 30450 Ipoh.
  6. Jusco Kinta City Ipoh - Jalan The Lean Swee, 31450 Ipoh.
  7. Ipoh Parade - Jalan Sultan Abdul Jalil, 30450 Ipoh.
  8. Megoplex ,Medan Gopeng

Gerbang Malam Ipoh

Tempat makan menarik di Ipoh

Terdapat beberapa tempat makan menarik di Ipoh yang sangat terkenal boleh dikunjungi jika anda bercuti di sini. Pelbagai jenis makanan boleh anda dapati. Dibawah ini ialah antara kedai makan yang popular.

Nasi Ganja Ipoh

Nasi kandar ini menumpang di restoran cina di Jalan Yang Kalsom berhampiran balai polis. Menu popular disini ialah nasi putih dengan ayam goreng merah, sambal rempah, timun dan telur masin. Memang amat menyelerakan. Pasti ramai yang tertanya-tanya kenapa nasi ganja sangat popular teruatamanya kepada kaum Melayu dan India. Kalau nak diikutkan restoran ini merupakan kedai kopi cina lama.

Perniagaan nasi ganja ini sebenarnya ialah dari perkongsian pemilik kedai kopi, Ang Kwang Ngiap yang hanya menjual minuman dengan pemilik nasi kandar, Mohd Nihmatullah Syed Mustafa. Resepi rahsia turun temurun yang diwarisi oleh Mohd Nihmatullah membuatkan kedai ini sentiasa penuh. Selain itu, rempah ratus masakan yang digiling sendiri secara tradisional membuatkan masakan lebih enak.

Untuk maklumat anda kedai ini sudah beroperasi lebih dari 50 puluh tahun. Antara menu yang wajib anda cuba jika makan di nasi ganja ialah ayam merah yang mendapat sambutan menggalakan. Walaupun ramai pelanggan yang terpaksa beratur panjang untuk makan, hal ini tidak mematahkan niat mereka. Janji dapat menghilangkan rasa ketagih pada nasi ganja. Kenapa diberi gelaran nasi ganja? Ini kerana ramai yang mencubanya pasti nak lagi. Restoran ini beroperasi setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 9 malam.

Alamat
Kedai Kopi Yong Suan
No 2, Jalan Yang Kalsom
Taman Jubliee
30300 Ipoh, Perak

Restoran Nasi Ganja Ipoh

Restoran Nasi Vanggey

Restoran nasi kandar yang terkenal di Ipoh. Menu masakannya sama seperti lain-lain restoran nasi kandar. Keistimewaannya adalah dari resepi rempah tersendiri yang memberikan rasa yang cukup menyelerakan.

Restoran Nasi Vanggey Ipoh.

Alamat:
Nasi Vanggey
Greentown Business Centre,
30450 Ipoh, Perak.

Restoran Mee rebus Ramli

Jika anda ke Ipoh, jangan lupa singgah makan di Restoran Mee Rebus Ramli. Restoran ini sangat popular dan menjadi tumpuan pelancong. Kepada penggemar mee rebus anda harus cuba dan rasa keenakan mee rebus Ramli. Selain dari makanan yang sedap, harga untuk semangkuk mee rebus hanyalah RM3.90.

Restoran ini sangat kemas dan bersih meja dan kerusi yang disusun rapi manakala semua pekerja di restoran ini memakai pakaian seragam. Selain dari mee rebus, ada disediakan menu lain seperti makanan barat, laksa, mee sup, nasi ayam, nasi goreng chicken chop, kueyteow goreng dan nasi goreng ayam.

Lokasi Restoran Mee Rebus ini terletak bersebelahan dengan KFC, Pizza dan terletak didalam kawasan tasek Ipoh. Mee rebus Ramli telah membuka 2 cawangan restoran yang terletak di Jalan Raja Ekram dan Persiaran Perpaduan Utara 1 Ulu Kinta Perak. Jangan lepaskan peluang untuk rasa Mee rebus Ramli jika anda ke Ipoh. Selamat menjamu selera.

Alamat:
Restoran Mee rebus Ramli
No. 767 , Taman Tasik Jaya
Jalan Kuala Kangsar,
31400 Ipoh, Perak.

Nasi Ayam Taugeh

Jika anda bercuti di Ipoh jangan lupa untuk ke Warung Bunga Raya di Gugusan Manjoi untuk merasa Nasi Ayam Taugeh yang sangat popular disini. Rasanya memang sedap. Lagipun, memang susah hendak jumpa nasi ayam taugeh di mana-mana. Ayamnya boleh dipilih samada ayam kukus (putih) atau ayam panggang. Harga untuk set nasi ayam sepinggan hanyalah RM5. Makanan lain turut disediakan seperti masakan nelayu, cina dan masakan barat. Kepada penggemar nasi ayam dan ingin mencari kelainan pastikan anda rasa Nasi Ayam Taugeh ini. Beroperasi dari 6 petang hingga larut malam.

Alamat
Huri Nasi Ayam
Gugusan Manjoi,
30300 Ipoh, Perak.

Restoran Tasik Raban

Restoran Tasik Raban terletak di Jalan Kompleks Sukan. Ia adalah tempat makan menarik di Ipoh yang sangat popular. Restoran ini menyediakan menu makan tengahari dan salah satu medan makan tumpuan pelancong. Restoran Tasik Raban meyediakan pelbagai jenis menu yang berasakan masakan kampung yang sangat enak dan menu utama ialah ikan bakar air tawar.

Beroperasi dari pukul 11.30 pagi sehingga 4.30 pagi. Kelainan rasa sambal dan ikan yang segar membuatkan setiap pelanggan yang datang pasti tidak akan kecewa dengan hidangan yang ada. Restoran Tasik Raban ini sudah beroperasi lebih dari 10 tahun. Jika anda kesini menu yang wajib dicuba ialah ikan bakar. Terdapat rasa yang berbeza pada sambal dan kuah ikan bakar.

Selain itu menu istimewa yang dihidangkan untuk pelanggan ialah gulai tempoyak, ikan pekasam dan lain-lain lagi. Antara jenis ikan bakar yang disediakan ialah talapia, keli, kembung, pari, plata, siakap, jelawat, patin, lampan dan lain-lain lagi. Harga untuk ikan bakar mengikut harga pasaran dan saiz ikan. Selain itu, kemudahan yang disediakan ialah surau dan tandas untuk keselesaan pelanggan yang datang kesini.

Hubungi
Tel : 019 - 521 5657,
Tel: 013 - 597 8100
Tel: 013 - 511 8659
Tel: 017 - 505 0424

Alamat
Restoran Tasik Raban
TK 19, Kg Kota Tampan
33400 Lenggong Perak.

Mee Daud Mat Jasak

Antara tarikan lain yang ada di Ipoh ialah Mee Daud Mat Jasak. Jika anda ke Ipoh pastikan anda mencuba mee kari dan mee kicap yang menjadi kegilaan ramai pelacong dan sering menjadi tumpuan pelancong yang datang kesini. Keistimewaan mee kari ini ialah kuah karinya yang berlemak dan pekat selain itu disediakan bersama fish ball dan tauhu untuk menaikkan selera tetamu.

Mee kicap disajikan bersama dengan yong taufu. Keenakan mee kicap ialah kerana campuran kicap yang digunakan ketika memasak dan sup yang disediakan. Mee daud Mat Jasak telah membuka 4 cawangannya di sekitar Bandar Ipoh. Gerai ini dibuka seawal 8 pagi sehingga 2 petang dan ditutup sekejap dan akan dibuka semula pada pukul 43.0 petang sehingga 10 malam.

Alamat
Mee Daud Mat Jasak
Jalan Datuk Onn Jaafar,
Taman Jubilee,
30300 Ipoh, Perak.

Tempat makan lain di Ipoh

  • Port Laypark D'Polo - Berbagai makanan tempatan dan luar negara. Lokasi di Persiaran Brash, 30350 Ipoh, Negeri Perak
  • Nasi Lemak Ayam Kampung di Jalan Ali Pitchay, Ipoh.
  • Mee Udang Ketam Sempoi Diraja di Lorong Sungai Choh 10, Tanjung Rambutan, Ipoh.
  • Medan Selera Taman Kanak-Kanak di Jalan Dato Tahwil Azhar, Ipoh.

Port Laypark D'Polo

Penginapan di Ipoh

Ipoh mempunyai banyak hotel yang sesuai untuk anda pilih sebagai penginapan percutian. Ada hotel mewah dan juga hotel bajet ditengah bandaraya. Untuk melihat senarai hotel yang mendapat sijil halal di Perak, anda boleh melawat halaman Senarai hotel di Perak yang mendapat sijil halal Jakim.

Untuk melihat senarai dan potongan harga hotel di Ipoh, anda boleh menyemak dan menempah bilik penginapan melalui BOOKING.COM.

Ipoh ialah destinasi percutian menarik sesuai untuk semua. Banyak lokasi pelancongan yang boleh dilawati. Tarikan berbagai makanan yang sedap ialah bonus buat pengunjung. Disamping itu, percutian di Ipoh tidak akan hambar kerana berbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan. Dengan senarai tempat menarik di Ipoh yang kami sediakan diatas diharap dapat membantu anda merancang dan memilih lokasi yang sesuai untuk dikunjungi semasa bercuti nanti.

Lokasi