Tempat menarik di Kuala Kangsar untuk dilawati

Kuala Kangsar adalah Bandar Diraja Perak yang mempunyai banyak tarikan pelancongan. Terkenal dengan labu sayong, sebenarnya banyak tempat-tempat menarik di Kuala Kangsar yang boleh dilawati jika anda bercuti di bandar ini. Kali ini Percutian Bajet akan berkongsi beberapa lokasi yang boleh anda kunjungi sebagai panduan untuk merancang percutian anda di daerah terkenal ini.

Nota: Untuk melihat tempat menarik lain yang ada di Perak, sila lawati halaman Senarai tempat menarik untuk percutian di Perak.

Lokasi

Kuala Kangsar terletak ditengah negeri Perak. Hampir semua laluan darat dari Ipoh ke utara Semenanjung Malaysia akan melalui daerah ini termasuk keretapi dan Lebuhraya Utara-Selatan. Pengunjung yang memandu kenderaan sendiri dari Kuala Lumpur ke Kuala Kangsar boleh menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan dan ikut susur keluar Kuala Kangsar. Perjalanan dari plaza tol ke pusat bandar hanya mengambil masa lebih kurang 10 minit sahaja.

Tempat menarik di Kuala Kangsar

Kuala Kangsar ialah sebuah daerah yang sangat cantik dan bersih. Suasana disini cukup nyaman dan menenangkan. Ia sesuai sekali dijadikan lokasi percutian keluarga di musim cuti sekolah. Banyak pusat pelancongan, tempat-tempat bersejarah dan tarikan alam semulajadi ada di sini. Berikut ialah senarai tempat menarik di Kuala Kangsar yang boleh dilawati.

Pusat Kraftangan Mariwasa

Salah satu tempat menarik di Kuala Kangsar untuk dilawati ialah Pusat Kraftangan Mariwasa. Ia agak istimewa kerana selain pameran pelbagai barangan kraftangan, disini pengunjung berpeluang melihat sendiri bagaimana barangan tersebut dibuat. Antara barangan yang terdapat disini ialah pelbagai kraftangan hiasan rumah, barangan perak, pingat-pingat termasuk pingat darjah kebesaran. Pusat Kraftangan Mariwasa di Kuala Kangsar adalah sebuah lokasi pelancongan unik yang mesti dilawati seandainya anda bercuti disini. Untuk maklumat lanjut, lawatan rasmi, lawatan sambil belajar dan sebagainya, anda boleh hubungi alamat dibawah.

Pusat Kraftangan Mariwasa Kuala Kangsar

Alamat:
Mariwasa Kraftangan Sdn.Bhd
Lot 522, Kawasan Perusahaan,
33000 Kuala Kangsar,
Perak

Hubungi:
Tel: 05-776 5888 / 0214 / 0215
Fax: 05-776 0213
Email: sales@mariwasakraftangan.com
Laman web: www.mariwasakraftangan.com

Pusat Pembangunan Kraftangan Perak

Peminat kraftangan tempatan yang bercuti di Kuala Kangsar jangan lupa untuk melawat Pusat Pembangunan Kraftangan Perak yang terletak di Enggor, kira-kira 8 KM dari Kuala Kangsar. Perjalanan hanya mengambil masa lebih-kurang 10 minit jika anda memandu kereta. Pusat kraftangan ini mengumpul pelbagai barangan termasuk produk paling terkenal di Kuala kangsar iaitu labu sayong.

Kraftangan Kuala Kangsar

Alamat:
Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perak
Kilometer 40, Jalan Ipoh,
33600 Enggor,
Perak

Hubungi:
Tel: 05-757 6200

Alang-alang dah ke sini, anda bolehlah lawati kilang kicap Tamin yang juga terletak di Enggor.

Kilang kicap Tamin

Tamin adalah antara keluaran terawal kicap bumiputera di Perak. Melawat kilang ini akan memberi ilmu baru bagaimana kicap dibuat. Pengunjung dapat melihat bagaimana proses penghasilan kicap yang masih mengekalkan cara tradisional iaitu melalui proses pemerapan kacang soya. Kebanyakkan pengusaha kicap lain menggunakan hasil ekstrak kacang soya yang dihasilkan dengan segera menggunakan teknologi moden. Namun penghasilan kicap secara tradisional dikatakan lebih baik kerana mempunyai khasiat yang baik untuk kesihatan. Selain itu, disini juga terdapat bilik pameran yang mengumpulkan barangan keluaran Tamin selain kicap seperti sirap, sos dan lain-lain.

Kacang soya yang diperap
Keterangan gambar: Kacang soya yang diperap untuk dibuat kicap.

Alamat:
Kilang Kicap Tamin
No.3955, Jalan Ipoh Batu 25,
33600 Enggor,
Perak

Hubungi:
Tel: +60 5-757 6577

Pusat Kraftangan Labu Sayong

Labu sayong ialah bekas mengisi air yang dibuat dari tanah liat. Air dikatakan lebih sejuk dan mempunyai khasiat kepada kesihatan jika disimpan dalam bekas minuman ini. Produk tradisional ini banyak dihasilkan di kampung-kampung sekitar Mukim Sayong, Kuala Kangsar. Anda tentu sudah faham dari mana datangnya nama labu sayong sekarang.

Berbagai jenis, bentuk dan saiz labu sayong dijual disini. Selain labu untuk mengisi air minuman, terdapat labu untuk hiasan seperti bekas lampu yang cukup cantik dan menarik untuk diletak diruang tamu rumah. Pengunjung Pusat Kraftangan Labu Sayong juga dapat melihat bagaimana proses membuat labu dari mula hingga ke akhir.

Alamat:
Pusat Kraftangan Labu Sayong
Mukim Sayong,
33000 Kuala Kangsar,
Perak

Galeri Sultan Azlan Shah

Galeri Sultan Azlan Shah ialah sebuah muzium menarik yang terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Ia menyimpan pelbagai barangan yang pernah dimiliki oleh Sultan Azlan Muhibbudin Shah. Selain itu terdapat juga kisah-kisah dan perjalanan hidup baginda untuk dilihat dan diikuti sendiri oleh rakyat jelata. Bangunan cantik dan bersejarah yang menempatkan galeri ini berusia lebih 100 tahun dan dahulunya dikenali sebagai Istana Ulu. Sekiranya anda inginkan lawatan berpandu, sila maklumkan tarikh dan masa lawatan kepada pihak pengurusan galeri sekurang-kurangnya seminggu sebelum tarikh lawatan.

Galeri Sultan Azlan Shah

Waktu operasi:
Setiap hari : 10.00 am to 5.00 pm.
Tutup : Hari raya puasa dan hari raya haji.

Harga tiket / Bayaran masuk:
Dewasa : RM4.
Warga emas / IPT / Sekolah menengah : RM2.
Pelajar sekolah rendah : RM1.

Alamat:
Galeri Sultan Azlan Shah
33000 Kuala Kangsar,
Perak

Hubungi:
Tel: 05-7775362
Email: gsas@perak.gov.my

Muzium Diraja Perak

Muzium Diraja Perak adalah tempat menarik di Kuala Kangsar yang mesti dilawati bagi peminat sejarah dan senibina melayu. Ia dahulunya dikenali sebagai Istana Kenangan (Istana Lembah atau istana Tepas) terletak di Bukit Chandan. Bangunan dengan rekabentuk tradisional melayu ini begitu mengagumkan dan dibina tanpa menggunakan paku walaupun sebatang. Pengunjung dapat melihat bentuk asal bilik-bilik istana dimana terdapat bilik istirehat, bilik peraduan, balairong seri dan singgahsana. Selain itu, maklumat sejarah kerajaan Perak dari zaman silam turut dipamerkan.

Muzium Diraja Perak

Alamat:
Muzium Diraja Perak
Bukit Chandan,
33000 Kuala Kangsar,
Perak

Hubungi:
Tel: 05-7765500

Masjid Ubudiah

Masjid Ubudiah yang terletak di Bukit Chandan adalah merupakan Masjid Diraja Perak. Batu Asas masjid ini diletakkan pada 26 September 1913 oleh Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I, namun atas beberapa masalah yang melanda, ia hanya berjaya disiapkan dan dirasmikan pada tahun 1917 oleh Sultan Abdul Jalil Nasaruddin Shah.

Tarikan masjid ini ialah pada senibinanya dan ia termasuk salah sebuah masjid yang paling cantik di Malaysia. Masjid ini berbentuk segi lapan (octagon) dan memiliki kubah induk besar ditengahnya yang berwarna emas. Dikeliling masjid pula terdiri empat buah menara dengan kubah yang lebih kecil dan diantaranya pula terdapat menara-menara kecil berjumlah 16 menara kesemuanya.

Masjid Ubudiah Kuala Kangsar

Alamat:
Masjid Ubudiah
Bukit Chandan,
33000 Kuala Kangsar,
Perak

Masjid Kampung Kota Lama Kanan

Jika Masjid Ubudiah di Bukit Chandan terkenal dengan kecantikan senibinanya, Masjid Kampung Kota Lama Kanan pula ialah masjid lama yang berusia ratusan tahun. Di dalam masjid ini terdapat sebuah batu nisan tunggal bagi memperingati Al-Marhum Sultan Mansur Syah 1. Di luar masjid pula terdapat sebuah meriam "Padam Pelita" yang terletak berhampiran kaki masjid.

Masjid Kota Lama Kanan

Alamat:
Masjid Kampung Kota Lama Kanan
33000 Kuala Kangsar,
Perak

Pelancongan alam semulajadi di Kuala Kangsar

Bagi para pencinta alam semulajadi, ada beberapa tempat menarik di Kuala Kangsar yang boleh dilawati jika anda bercuti disini. Antara yang menarik ialah meneroka hutan simpan Ulu Kernas, mandi air terjun, menyusuri Sungai Perak dan mandi air panas semulajadi di Ara Panjang.

Sungai Perak

Salah satu aktiviti menarik di Kuala kangsar ialah menaiki bot menyusuri Sungai Perak. Pengunjung akan dapat melihat pemandangan menarik di tebing sungai dalam perjalanan selama 30 minit. Bermula dari Jeti Bot Penambang, anda akan dibawa ke Jambatan Sultan Abdul Jalil dan kemudian patah balik ke Jeti Padang Kawad.

Sungai Perak

Waktu operasi:
Hari minggu sahaja: 11 pagi hingga 6 petang.

Harga tiket / Bayaran tambang River Cruise:
Satu bot 8 orang : Masa 30 minit. Harga RM30.00.

Alamat:
Jeti Bot Penambang
33000 Kuala Kangsar,
Perak

Air Terjun Hutan Lipur Ulu Kenas

Bagi peminat air terjun, ada satu tempat menarik di Kuala Kangsar yang boleh anda kunjungi. Ia terletak dikawasan hutan simpan yang tenang serta kaya dengan flora dan fauna. Lokasi yang dimaksudkan ialah air terjun Hutan Lipur Ulu Kenas yang cukup popular di daerah ini. Ia terletak hanya kira-kira 15 km dari pusat bandar. Pengunjung boleh mandi dan berendam dalam air terjun yang sangat sejuk, berkelah atau berehat menikmati keindahan alam semulajadi yang cukup menarik disini.

Air terjun Ulu Kenas

Alamat:
Taman Rekreasi Ulu Kenas
Kampung Ulu Kenas,
33000 Kuala Kangsar,
Perak

Empang Pecah

Jika air terjun di Taman Rekreasi Ulu Kenas tidak cukup menarik bagi anda, ada satu lokasi air terjun lagi yang sangat cantik iaitu Empang Pecah. Ia terletak lebih atas dari air terjun Ulu Kenas. Anda perlu berjalan kaki dan mendaki menyusuri denai bersebelahan Kem Bina Negara Ulu Kenas untuk sampai ke destinasi. Anda pasti teruja melihat air terjun yang cantik dan kolam mandi yang luas sedang menanti. Dan apabila anda menjejakkan kaki kedalam kolam, air yang sejuk menyegarkan memberi kepuasan yang tidak terkata.

Empang Pecah Ulu Kenas

Alamat:
Empang Pecah
Hutan Lipur Ulu Kenas,
33000 Kuala Kangsar,
Perak

Mendaki Gunung Bubu

Gunung Bubu terletak di Hutan Lipur Ulu Kenas, Kuala Kangsar. Ia adalah puncak popular pendaki gunung di daerah ini. Para pendaki akan mula bergerak melalui Taman Rekreasi Ulu Kenas menuju ke Kem Sg Gading dan bermalam disitu. Ini kerana perjalanan ke kem tersebut mengambil masa yang agak lama iaitu sekitar 6 jam. Seterusnya, pendakian ke puncak gunung akan mangambil masa sekitar 5 jam untuk tiba ke destinasi.

Alamat:
Gunung Bubu
Hutan Lipur Ulu Kenas,
33000 Kuala Kangsar,
Perak

Kolam Air Panas Ara Panjang

Kolam Air Panas Ara Panjang, Manong ini ialah sebuah kawasan tasik air panas semulajadi yang cantik. Tasik atau kolam ini kurang dikenali kerana tiada pembangunan besar-besaran dilakukan. Anda masih boleh menikmati suasana alam semulajadi dimana pokok-pokok besar tumbuh ditepi kolam meneduhkan kawasan ini. Suasana agak semak dan tidak terjaga di kolam ini mungkin tidak memenuhi kehendak sesetengah pengunjung. Namun jika anda pencinta alam semulajadi, merendam kaki sambil menikmati kehijauan pokok-pokok disini memberi kepuasan tersendiri.

Kolam air panas Ara Panjang

Alamat:
Kolam Air Panas Ara Panjang,
Manong,
33000 Kuala Kangsar,
Perak

Tempat bersejarah di Kuala Kangsar

Ada beberapa tempat bersejarah di Kuala Kangsar yang boleh dilawati sepanjang percutian anda di sini seperti pokok getah pertama di Malaysia, Jambatan Victoria dan bangunan-bangunan bersejarah. Selain menghargai warisan peninggalan silam, anda pasti mengagumi kehebatan senibina bangunan yang wujud pada masa itu.

Pokok Getah Pertama dan Tertua di Malaysia

Pokok getah pertama dibawa ke Malaysia pada tahun 1876 dan ditanam di rumah residen Perak di Kuala Kangsar. Sebanyak sembilan pokok yang ditanam, tetapi cuma sepokok sahaja yang hidup dan masih boleh dilihat hingga ke hari ini. Lokasi pokok ini ialah berhampiran Pejabat Daerah Kuala Kangsar.

Pokok getah tertua di Malaysia

Lokasi:
Pejabat Daerah Kuala Kangsar
33000 Kuala Kangsar,
Perak

Menara Pavilion Segi Empat

Jika anda berkunjung ke Kuala kangsar, jangan lupa untuk melawat Menara Pavilion Segi Empat yang terletak di Jalan Bendahara. Menara ini didirikan pada tahun 1920 semasa pemerintahan Sultan Iskandar Shah yang memerintah Perak dari tahun 1918-1938. Pada masa itu ia digunakan sebagai tempat istirehat oleh Sultan Iskandar selepas bermain polo. Sekarang ia merupakan salah satu tempat bersejarah yang menjadi tarikan pelancong di Kuala kangsar.

Menara Pavilion Kuala Kangsar

Alamat:
Menara Pavilion Segi Empat
Jalan Bendahara,
33000 Kuala Kangsar,
Perak

Jambatan Victoria

Jambatan Keretapi Victoria dibina pada tahun 1897 dan dirasmikan oleh Sultan Idris Murshidul Azam Shah pada tahun 1900. Ia menghubungkan laluan keretapi dari Kuala Kangsar dan Enggor merentangi Sungai Perak. Siapnya jambatan ini menjadi sejarah penting dimana pengangkutan keretapi dari Perai ke Johor Bahru dapat digunakan sepenuhnya. Bagi anda yang menghargai sejarah, jangan lupa melawat Jambatan Victoria (turut dikenali sebagai Jambatan Enggor) untuk melihat struktur binaan jambatan ini. Pastikan anda membawa kamera kerana ia cukup menarik dijadikan subjek untuk diabadikan dalam koleksi senibina bersejarah anda.

Jambatan Victoria Kuala Kangsar

Alamat:
Jambatan Victoria
Enggor,
33000 Kuala Kangsar,
Perak

Setakat ini dahulu yang dapat kami kongsikan tentang tempat menarik di Kuala Kangsar yang boleh dilawati. Ada beberapa pusat pelancongan lagi yang boleh dikunjungi dan akan ditambah pada masa hadapan. Pada anda yang pernah berkunjung ke Bandar Diraja Perak ini, apa pendapat anda bila bercuti di sini? Sila kongsikan pengalaman percutian anda dibahagian komen dibawah. Semoga maklumat anda dapat membantu pembaca yang lain. Jangan lupa kongsikan artikel ini di fb anda!

Add new comment