Tempat menarik di Perlis

Walaupun lebih terkenal dengan Harum Manis, sebenarnya banyak tempat menarik di Perlis boleh dilawati jika anda berkunjung ke negeri ini. Paling ketara ialah keindahan sawah padi yang luas terbentang dan bukit-bukit batu kapur yang unik cukup menarik perhatian. Selain itu, ada tarikan alam semulajadi, taman rekreasi, tempat membeli-belah dan berbagai destinasi pelancongan menanti pengunjung. Kemudahan hotel dan resort menarik serta makanan yang sedap pasti menyeronokkan lagi percutian anda di Indera Kayangan.

Untuk melihat tarikan pelancongan lain, sila lawati halaman Senarai tempat menarik dan tarikan pelancongan di Perlis.

Tempat menarik alam semulajadi

Tarikan pelancongan alam semulajadi di Perlis cukup popular terutama Taman Negeri yang mempunyai berbagai keistimewaan tersendiri. Jika anda seorang yang sukakan aktiviti lasak seperti mendaki bukit dan meneroka gua, atau anda seorang yang mencintai alam semulajadi yang gemar menikmati keindahan, mengambil gambar, memerhatikan binatang dan tumbuhan, tempat menarik alam semulajadi dibawah harus dikunjungi.

Taman Negeri Perlis

Taman Negeri Perlis ialah destinasi pelancongan alam semulajadi yang paling menarik di Perlis. Ia terletak di Banjaran Nakawan yang terdiri dari bukit-bukit batu kapur yang cantik dengan cerun berhutan, gua-gua yang unik dan aliran sungai yang jernih. Tarikan utama di Taman Negeri ini ialah Gua Wang Burma yang terbentuk dalam batu kapur Setul berusia lebih 500 tahun.

Taman Negeri Perlis.

Taman Negeri Perlis yang terdiri daripada Hutan Simpan Mata Ayer dan Hutan Simpan Wang Mu merangkumi keluasan kira-kira 5000 hektar. Ia kaya dengan pelbagai spesis tumbuh-tumbuhan termasuk herba, binatang liar seperti monyet, burung dan serangga. Tarikan terbaru di Taman Negeri Perlis ini ialah penemuan lapan spesis burung enggang atau kenyalang. Spesis tersebut ialah Oriental Pied Hornbill, Black Hornbill, Bushy Crested Hornbill, Wrinkled Hornbill, Rhinoceros Hornbill, Great Hornbill, Helmeted Hornbill dan White Crowned Hornbill.

Hutan Lipur Bukit Ayer

Hutan Lipur Bukit Ayer ialah tempat menarik di Perlis yang sangat popular. Ia adalah lokasi yang mesti dikunjungi bagi mereka yang suka mandi air terjun. Ada air terjun dan kolam mandi yang luas termasuk kolam untuk kanak-kanak. Hutan lipur ini menjadi tempat berkelah, berehat, bercuti dan berbagai aktiviti rekreasi bukan saja bagi penduduk setempat malah pelancong luar.

Chalet Hutan Lipur Bukit Ayer.

Kawasan rekreasi Hutan Lipur Bukit Ayer sangat cantik. Persekitarannya bersih dan teduh dikelilingi pokok-pokok besar hutan tropika. Selain air terjun, aktiviti lain yang sering dilakukan ialah perkhemahan, jungle trekking, kursus, photografi dan seminar. Kemudahan yang terdapat disini termasuk pusat penerangan, bilik air, gerai makanan, chalet, surau, pondok rehat, tapak perkemahan dan taman permainan kanak-kanak.

FRIM Canopy Walk

Bagi pencinta alam semulajadi, FRIM Canopy Walk ialah satu lagi tempat menarik di Perlis yang boleh dilawati. Ia terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Mata Ayer, Kaki Bukit, Perlis. Pengunjung dapat menikmati keindahan hutan dari atas, melihat puncak berbagai jenis pokok-pokok yang terdapat disini. Laluan Canopy sepanjang 100 meter ini mencecah ketinggian sehingga 17 meter pada sesetengah tempat.

Frim Canopy Walk Perlis.

Keistimewaan FRIM Mata Ayer ialah ia terletak dikawasan Hutan Monsun Tropika, satu-satunya hutan jenis ini yang ada di Semenanjung Malaysia. Selain Canopy Walk, berbagai aktiviti lain boleh dilakukan. Pengunjung boleh melawat Galeri Jati, kawasan tanaman pokok Jati seluas 455 hektar atau melakukan aktiviti perkhemahan. Kemudahan tempat penginapan turut disediakan dimana guesthouse, log cabin dan hostel boleh disewa dengan harga yang sangat berpatutan. Ia adalah salah satu destinasi percutian alam semulajadi di Perlis yang cukup menarik.

Gua Kelam

Salah satu tempat menarik di Perlis yang terkenal ialah Gua Kelam. Lokasinya ialah di Kaki Bukit. Gua ini adalah sebuah lagi gua yang terletak di Banjaran Nakawan selain dari Gua Wang Burma yang pernah dikatakan diatas.

Pemandangan didalam Gua Kelam di Perlis.

Gua Kelam adalah salah sebuah gua yang cukup menarik ada di semenanjung Malaysia. Terdapat sungai didalamnya yang mengalir jernih. Ia pernah digunakan untuk operasi perlombongan bijih timah suatu ketika dahulu. Kini terdapat laluan pejalan kaki yang dibina bagi memudahkan pelancong meneroka didalamnya. Lampu juga telah dipasang menjadikan gua ini tidak lagi kelam seperti dahulu. Apa yang menariknya, dihujung perjalanan, pelancong akan keluar ke suatu taman yang cantik dikelilingi pokok-pokok besar yang menghijau. Ia benar-benar mengagumkan.

Tasik Timah Tasoh

Tasik Timah Tasoh terletak di pinggir Banjaran Nakawan, tidak jauh dari Hutan Lipur Bukit Ayer. Lokasinya di puncak bukit ditepi jalan utama Kangar ke Padang Besar. Sebenarnya ia adalah tasik buatan untuk dijadikan empangan bagi menampung keperluan industri dan pertanian di Perlis. Kawasan sekeliling tasik ini masih diliputi hutan semulajadi.

Pemandangan di Tasik Timah Tasoh.

Tarikan utama pelancong ke sini ialah pemandangan indah tasik yang luas dilihat dari puncak bukit yang cukup mempersonakan. Selain itu, ia juga merupakan lokasi pilihan para pemancing. Sebuah resort dibina sebagai tempat penginapan pengunjung yang ingin bercuti dikawasan ini. Kemudahan restoran yang menyediakan berbagai jenis makanan dan sebuah dataran untuk menikmati pemandangan indah turut terdapat disini. Sesuatu yang tidak dapat dilupakan ialah pengalaman menikmati kambing golek sambil menyaksikan keindahan matahari terbenam di ufuk barat sewaktu bercuti di Tasoh Lake Resort & Retreat dahulu. Terbaik!

Untuk maklumat lanjut, sila lawati halaman Timah Tasoh Lakeview Resort.

Hutan Lipur Bukit Kubu

Bukit Kubu terletak di Kuala Perlis. Ia adalah salah satu tarikan pelancongan yang unik dan mesti dikunjungi jika anda sukakan aktiviti lasak mendaki bukit dan meneroka gua. Bukit ini diliputi hutan yang subur dan sebuah gua batu kapur yang mempunyai pembentukan geogologi menarik. Walau bagaimanapun, untuk meneroka gua, anda perlu mendapat kebenaran dari Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.

Pemandangan dalam Gua Hutan Lipur Bukit Kubu.

Pengunjung boleh mendaki ke puncak bukit melalui anak tangga yang disediakan atau mengikut laluan denai Hutan Lipur Bukit Kubu. Dipuncak bukit terdapat menara tinjau dimana pengunjung boleh melihat bandar Kuala Perlis dari atas. Anda pasti terpesona menyaksikan keindahan sawah padi dan kawasan sekitar hingga ke daerah Satun di Thailand.

Taman Rekreasi

Taman rekreasi ialah antara tempat menarik di Perlis yang boleh dilawati jika berkunjung ke negeri ini. Beberapa lokasi sering menjadi tumpuan pelancong seperti Taman Rekreasi Bukit Jernih, Taman Rekreasi Tasik Melati dan Taman bunga kertas Tuanku Lailatul Shahreen.

Taman Rekreasi Tasik Melati

Taman Rekreasi Tasik Melati ialah lokasi riadah yang sangat popular dikalangan penduduk negeri Perlis. Lokasinya kira-kira 10KM dari pusat bandar Kangar. Tasik yang cantik dan permai ini pada asalnya dibangunkan sebagai sumber air untuk pertanian dikawasan sekitar. Ini kerana air tasik ini tidak pernah kering walaupun di musim kemarau.

Taman Rekreasi Tasik Melati.

Melihat kepada keindahan semulajadi yang ada disini, ia lantas dimajukan menjadi lokasi pelancongan. Kini Taman Rekreasi Tasik Melati cukup menarik dihiasi lanskap, laluan pejalan kaki, pondok rehat, trek jogging, tandas, surau, taman permainan kanak-kanak dan berbagai kemudahan lain. Ia telah menjadi destinasi pilihan untuk beriadah, rekreasi dan bercuti bersama keluarga.

Taman Bunga Kertas Tuanku Lailatul Shahreen

Salah satu taman rekreasi yang boleh dikunjungi semasa bercuti di Perlis ialah Taman Bunga Kertas Tuanku Lailatul Shahreen. Ia terletak di Laman Cenderawasih, berhampiran Taman Budaya Negeri, iaitu di kaki Bukit Lagi. Taman ini cukup indah untuk bergambar. Pokok-pokok bunga kertas pelbagai warna dengan latarbelakang bukit memberikan pemandangan seolah-olah musim bunga di luar negara. Disini juga terdapat sebuah menara berkubah yang cantik. Jika anda menginap di Hotel Seri Malaysia Kangar, jangan lupa untuk ke taman ini kerana lokasinya memang berhampiran.

Taman Rekreasi Bukit Jernih

Taman Rekreasi Bukit Jernih ialah tempat menarik yang terletak di Mata Ayer, Perlis. Ia merupakan lokasi perkelahan popular dikalangan penduduk tempatan. Tempat ini juga sering menjadi pilihan untuk beriadah, kem motivasi dan perkhemahan.

Sungai di Taman Rekreasi Bukit Jernih.

Terletak di kaki bukit batu kapur yang unik, taman rekreasi ini menawarkan suasana yang damai dikelilingi pokok-pokok yeng menghijau dan udara bersih. Walaupun tanpa air terjun, sungai ini sudah cukup memberi keseronokan terutama pada anak-anak untuk bermandi-manda.

Taman Rekreasi Pengkalan Asam

Jika anda bercuti di Kangar dan mencari lokasi menarik untuk beriadah, Taman Rekreasi Pengkalan Asam yang terletak dalam kawasan pusat bandar cukup sesuai untuk dikunjungi. Trek jogging ditepi sungai dan kemudahan outdoor gym yang disediakan disini pasti membantu anda mengeluarkan peluh. Bagi yang ingin bersiar-siar bersama keluarga, ada jambatan gantung, gazebo, taman permainan kanak-kanak dan beberapa lokasi menarik di taman ini. Kemudahan wakaf, surau dan tandas awam turut disediakan kepada para pengujung.

Zoo dan Taman Haiwan

Tidak banyak zoo dan taman haiwan di Perlis. Tempat yang paling popular ialah Taman Ular dan Reptilia yang termasuk salah satu dari 7 Persona Perlis.

Taman Ular Perlis

Taman Ular dan Reptilia Perlis terletak di Sungai Batu Pahat. Ia adalah lokasi pelancongan terkenal dan merupakan salah satu dari 7 Persona Perlis. Taman ini mengumpulkan lebih 200 ekor ular yang terdiri dari 34 spesis. Sebanyak 25 spesis adalah dari ular-ular tempatan manakala 9 spesis adalah dari luar negara. Selain untuk pameran, penyelidikan turut dijalankan dimana kajian anti-racun dijalankan secara menyeluruh bagi tujuan perubatan.

Taman Ular dan Reptilia Perlis.

Pengunjung berpeluang melihat secara dekat dibahagian pameran tertutup dan juga dikawasan terbuka dimana ular-ular dibiarkan hidup dalam habitat semulajadi mereka. Antara spesis yang ada ialah ular sawa, ular tedung, ular ekor merah, ular kapak, ular rusuk kerbau, ular katam dan punti. Selain ular, beberapa binatang turut terdapat disini seperti landak, memerang, biawak bercabang ekor, katak bertanduk, ijok, iguana dan tuntung. Taman Ular ialah tempat menarik di Perlis yang mesti dilawati.

Muzium dan Tempat Bersejarah

Salah satu tempat menarik yang mesti dilawati bila melancong ialah muzium. Ia adalah lokasi yang mengumpulkan berbagai maklumat dan pameran berkaitan sesuatu tempat seperti sejarah dan warisan, kebudayaan dan sosio ekonomi.

Muzium Kota Kayang

Jika anda bercuti di Perlis, terdapat sebuah muzium yang cukup menarik untuk dikunjungi. Muzium Kota Kayang yang terletak di Marhum Kayang menyimpan berbagai khazanah penting yang menceritakan sejarah silam negeri Perlis Indera Kayangan. Kompleks yang cantik ini terbahagi kepada beberapa bahagian seperti Galeri Am, Galeri Diraja dan Kebudayaan serta Galeri Arkeologi dan Senjata.

Muzium Kota Kayang.

Kompleks Muzium Kota Kayang ini dibina pada tahun 1991. Ia mengambil inspirasi dari kewujudan Kota Indera Kayangan yang wujud disini sekitar tahun 1661 hingga 1687. Kesan sejarah masih dapat dilihat dimana makam sultan dan dua lagi makam lain berhampiran kompleks ini dijaga dengan rapi.

Agro-Tourism

Tarikan pelancongan lain yang ada di Perlis ialah Agro-Tourism atau Pelancongan Pertanian. Anda tentu sekali pernah mendengar tentang Harum Manis, iaitu mempelam yang cukup terkenal kerana rasanya yang sedap (dan harganya yang mahal). Jika bercuti di negeri ini, anda boleh melawat ladangnya dan melihat dengan lebih dekat bagaimana mempelam yang istimewa ini ditanam, dijaga dan dipetik. Selain itu, beberapa destinasi pelancongan lain yang tidak kurang menariknya boleh dikunjungi seperti Taman Herba, Ladang Nipah Kipli, Taman Anggur Perlis dan Ladang Tebu Chuping yang merupakan salah satu dari 7 Persona Perlis.

Taman Herba

Taman Herba atau Rimba Herba Perlis terletak di Sungai Batu Pahat, Kangar. Ia mula dibangunkan pada tahun 1988 dan dibuka kepada orang-ramai pada tahun 1999. Taman seluas 12 hektar ini menempatkan berbagai jenis herba berkhasiat. Lebih 1,200 herba tempatan dan luar termasuk Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Cekor, Halia, Serai, Mengkudu, Selasih dan Kayu Manis boleh dilihat di sini.

Taman Herba Perlis.

Selain untuk tujuan pameran, Taman Herba ini berperanan memberi maklumat tentang nilai ubatan dan cara penggunaan jenis-jenis herba kepada orang-ramai. Dibawah pengurusan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, ia dikendalikan dengan baik sekali. Taman ini dibangunkan dengan konsep hutan terancang, dimana pengunjung dapat melihat pokok-pokok herba dalam suasana semulajadi yang cukup mendamaikan. Antara yang menarik ada disini ialah laluan interpretasi, laman orkid dan teratak rendaman kaki dalam minyak herba. Pengunjung juga boleh membeli pokok-pokok herba dan produk herba yang turut dijual dengan harga yang murah.

Ladang Nipah Kipli

Ladang Nipah Kipli terletak di Kuala Sanglang, tidak jauh dari pekan Kuala Perlis. Tidak ramai yang mengetahui tarikan pelancongan yang satu ini. Namun, ia adalah tempat menarik di Perlis yang mesti dilawati. Berbagai keistimewaan ada disini. Anda pasti akan mendapat pengalaman baru yang cukup manis dan tidak dapat dilupakan.

Ladang Nipah Kipli.

Seperti namanya, ia adalah ladang nipah dimana pengunjung dapat melihat secara dekat berbagai produk dihasilkan dari tumbuhan ini. Sebagai maklumat, daun nipah dijadikan atap rumah, pucuknya dijadikan daun rokok, air dari pokok nipah diambil untuk diminum (dinamakan nira nipah atau orang Kelantan panggil tuak) atau dijadikan jeli dan boleh juga dibuat cuka makan. Namun yang menariknya ialah suasana tenang dan damai. Udara disini bersih, segar malah terdapat gerai makan dimana pengunjung dapat menikmati air nira segar yang pasti memberi pengalaman manis kerana rasanya yang cukup manis. Makanan lain turut disediakan seperti ABC, cendol, laicikang, bihun sup dan lain-lain.

Taman Anggur Perlis

Taman Anggur Perlis adalah satu tempat menarik di Perlis yang cukup popular dikalangan palancong tempatan. Ini kerana ramai yang ingin melihat secara dekat bagaimana rupa pokok yang berasal dari luar negara ini dan bagaimana ia ditanam. Lokasi taman anggur ialah di Kangar, berhampiran Taman Ular dan Taman Herba.

Taman Anggur Perlis.

Walau bagaimanapun, taman yang dibangunkan sejak 2005 dan dibuka kepada orang-ramai pada Julai 2011 kini ditutup sementara kerana pihak yang menguruskannya tidak lagi mampu meneruskan kerja-kerja penyelenggaraan. Ia kini dibawah penjagaan Jabatan Pertanian Negeri Perlis.

Ladang Tebu Chuping

Ladang Tebu Chuping adalah salah satu dari 7 Persona Perlis dan merupakan yang paling "HOT" kerana kawasan ini mencatatkan suhu yang paling panas di Malaysia. Ia adalah tempat menarik yang mesti dilawati jika bercuti di negeri ini. Lokasi ladang ini ialah di Beseri iaitu kira-kira 23 KM ke utara Kangar. Pemandangan ladang yang luas terbentang dengan kehijauan dedaunan tebu pasti menawan hati sesiapa sahaja yang berkunjung ke mari. Ladang tebu seluas 22,000 hektar ini ditanam bagi menghasilkan gula untuk dipasarkan bukan sahaja di Perlis, malah negeri-negeri lain di Malaysia.

Ladang Tebu Chuping.

Homestay Kampung Ujung Bukit

Jika anda ke Perlis, jangan lupa melawat Kampung Ujung Bukit di Kangar. Kampung yang terkenal dengan program homestay ini adalah lokasi terbaik untuk Agro-Tourism dimana pelancong boleh melawat ladang mangga termasuk Harum Manis yang menjadi salah satu dari 7 Persona Perlis, sawah padi dan lain-lain. Lebih menarik lagi jika anda tinggal di homestay disini bagi mengikuti berbagai program dan aktiviti yang disediakan. Anda akan merasai pengalaman tinggal di kampung, berkebun, menanam padi di sawah dan menoreh getah. Suasana damai dimana keindahan rumah-rumah kampung dan keramahan penduduk pasti meninggalkan memori indah yang tidak akan dilupakan.

Homestay Kampung Ujung Bukit.

Membeli-belah

Tarikan pelancongan lain yang ada di Perlis ialah membeli-belah. Oleh kerana lokasi negeri ini terletak di sempadan Malaysia dan Thailand, maka banyak barangan dari negara jiran boleh didapati di pekan bebas cukai. Jika anda bercuti di Perlis, jangan lupa untuk melawat Padang Besar dan Wang Kelian yang terletak di sempadan.

Padang Besar

Padang Besar ialah destinasi yang sudah lama popular dikalangan pelancong yang berkunjung ke Perlis. Ia adalah lokasi membeli-belah berbagai barangan terutama yang di import dari negara jiran seperti makanan, pakaian, perhiasan, kelengkapan rumah dan bermacam-macam lagi. Walaupun harganya tidak semurah dahulu lantaran kejatuhan matawang Ringgit namun barangan yang jarang didapati di Malaysia memang berbaloi untuk dibeli.

Gerai makan ringan di Padang Besar, Perlis.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati halaman Membeli-belah di Padang Besar, Perlis.

Pasar Ahad Wang Kelian

Satu lagi tempat menarik di Perlis untuk membeli-belah ialah Pasar Ahad Wang Kelian. Pasar ini sebenarnya terletak di sempadan sebelah negara Thailand. Pengunjung dari Malaysia yang ingin membeli-belah di pasar ini perlu meninggalkan kenderaan di tempat letak kereta berhampiran pos kawalan Malaysia dan berjalan kaki ke kawasan pasar.

Pasar Ahad Wawng Kelian.

Pasar ini sangat luas dengan deretan gerai jualan di sepanjang jalan. Berbagai barangan boleh didapati membuatkan anda hampir tidak terasa kepenatan walaupun hampir 1 KM berjalan. Antara yang menarik ialah barangan rumah seperti periuk belanga, toto, tikar, karpet, peralatan dapur, peralatan elektrik, barangan hiasan, cenderahati, pakaian, beg kulit, handbag, kasut, tudung, aksesori wanita dan mainan kanak-kanak. Selain itu, buah-buahan dan makanan turut dijual. Jangan lupa untuk merasa makanan disini kerana rasanya yang enak. Antara hidangan yang popular dikalangan pelancong ialah pulut ayam dan somtam.

Masjid dan Rumah Ibadat

Masjid sering menjadi tarikan pelancong walau dimana sahaja. Walau tujuan utama untuk beribadat, namun ia juga menjadi produk pelancongan Islam. Tiada tempat yang lebih tenang dari masjid. Tidak hairanlah sekarang semakin ramai yang lebih suka berehat di masjid, beriktikaf sambil menghayati keindahan senibina yang mengagumkan. Di Perlis terdapat dua buah masjid yang harus anda kunjungi iaitu Masjid Al Hussain atau Masjid Terapung Kuala Perlis dan Masjid Alwi di Kangar.

Masjid Terapung

Masjid Al Hussain atau Masjid Terapung terletak di Kuala Perlis. Lokasinya berhampiran dengan Jeti Kuala Perlis. Masjid indah yang dibina di pantai menganjur ke Selat Melaka ini menelan belanja sebanyak 12 Juta. Masjid ini mempunyai sebuah kubah besar dan menara yang agak tinggi. Kawasan masjid agak luas. Kemudahan tempat meletak kereta dan pondok rehat disediakan.

Masjid Terapung Kuala Perlis.

Masjid Alwi

Masjid Alwi di Kangar ini adalah salah sebuah masjid yang tercantik di Perlis. Senibinanya hampir sama dengan Masjid Zahir di Alor Setar. Kubahnya berwarna hitam dan dindingnya berwarna putih. Masjid ini pernah dijadikan sebagai Masjid Negeri sebelum digantikan dengan masjid baru di Bandar Diraja Arau.

Masjid Alwi Kangar.

Pelancongan Bandar

Perlis adalah negeri yang paling kecil di Malaysia. Penduduknya tidaklah seramai negeri-negeri lain. Tiada bandar metropolitan yang tidak pernah tidur. Namun bagi anda yang sukakan pelancongan bandar, ibu negerinya, Kangar dan Kuala Perlis sesuai dijadikan destinasi percutian keluarga.

Kangar

Kangar ialah Ibu Negeri Perlis. ia adalah lokasi pelancongan bandar yang paling menarik kerana beberapa destinasi pelancongan yang ada di sini. Antara lokasi menarik yang terdapat disekitar pusat bandar ialah Dataran Keris, Kangar Water Front, Masjid Alwi, Pengkalan Asam dan beberapa tempat menarik lain yang dinyatakan diatas. Restoran dan tempat makan memang banyak. Jika teringin untuk membeli-belah, pasaraya yang paling popular disini ialah The Store.

The Store Kangar.

Kuala Perlis

Destinasi lain yang boleh dijadikan lokasi percutian ialah Kuala Perlis. Bandar ini terkenal dengan Masjid Terapung, laksa Kuala Perlis, jeti, medan selera ditepi laut dan Kompleks Muzium Kota Kayang. Selain itu, beberapa tempat menarik seperti Ladang Nipah Kipli, Taman Rekreasi Bukit Kubu dan tarikan pelancongan dikawasan berhampiran juga boleh dilawati. Tempat makan memang banyak disekitar bandar Kuala Perlis. Tempat penginapan menarik yang ada disini ialah Putra Brasmana Hotel yang terletak tidak jauh dari pantai.

Putra Brasmana Hotel, Kuala Perlis.

Untuk melihat potongan harga hotel dan resort di Perlis, anda boleh menyemak serta menempah bilik penginapan terus melalui atas talian di BOOKING.COM.

Setakat ini dahulu senarai tempat menarik di Perlis yang dapat kami kongsikan kepada anda. Lokasi-lokasi diatas sangat sesuai untuk dilawati semasa bercuti di negeri ini. Kami cuba memberikan informasi yang tepat dan terbaik untuk percutian anda. Jika maklumat ini berguna, sila kongsikan kepada rakan-rakan di laman fb, twitter atau g+ sebagai tanda penghargaan. Jika ada yang kurang sila tinggalkan komen agar dapat kami perbaiki kelemahan yang ada. Sokongan anda sangat kami hargai. Terima kasih dan selamat bercuti di Perlis Indera Kayangan!

Add new comment