Balik Pulau Penang

Balik Pulau yang terkenal dengan durian sedap adalah destinasi menarik untuk dikunjungi di Penang. Terdapat banyak tarikan pelancongan termasuk tempat menarik untuk dilawati, aktiviti dan tempat makan untuk dicuba. Diseluruh pulau, tempat ini adalah yang terbaik untuk anda merasai suasana perkampungan petani dan nelayan.

Kawasan ini adalah antara yang paling kurang sibuk di Penang. Namun kemudahan pelancongan seperti tempat penginapan, makan dan pengangkutan tidak menjadi masalah. Sekiranya anda ingin bercuti disini, banyak homestay yang menawarkan penginapan selesa untuk anda seisi keluarga. Untuk menjamu selera, tempat makan sedap juga tidak kurang berbanding tempat lain di Penang.

Lokasi dan pengangkutan

Balik Pulau terletak dibahagian barat Pulau Pinang. Jaraknya lebih-kurang 22 KM dari Bandaraya Georgetown. Perjalanan dengan kereta dari pusat bandaraya mengambil masa kira-kira 37 minit. Jika menggunakan perkhidmatan awam, anda boleh menaiki:

  1. Bas - Rapid Penang nombor 401(Weld Quay), 404(Pantai Acheh) dan 502(Weld Quay). CAT percuma di Balik Pulau.
  2. Teksi
  3. Grab

Pengunjung yang memandu kenderaan sendiri boleh ke Balik Pulau melalui George Town, Teluk Bahang atau jika dari Jambatan Pulau Pinang, boleh melalui Bayan Lepas. Jalan ke sini agak menarik kerana terdapat beberapa lokasi yang menawarkan pemandangan menarik dari tempat tinggi seperti di Bukit Genting dan Empangan Teluk Bahang.

Alamat:
Balik Pulau
11000 Balik Pulau,
Pulau Pinang

Peta Balik Pulau.

Tempat menarik di Balik Pulau

Tarikan utama pelancong ke Balik Pulau ialah durian. Pada musim buah-buahan, ramai yang berkunjung kesini untuk merasa pelbagai jenis durian. Namun tempat ini tidak kurang tarikannya berbanding tempat lain di Penang. Antara tempat menarik di Balik Pulau yang boleh dilawati ialah:

Audi Dream Farm

Audi Dream Farm ialah ladang ternakan yang menarik untuk dilawati. Ia adalah tempat menarik di Balik Pulau yang semakin popular dikalangan pelancong. Terdapat berbagai jenis binatang seperti kambing, kuda padi, arnab, itik, merpati dan lain-lain. Ladang ini adalah lokasi yang sesuai dikunjungi bersama keluarga terutama bagi mereka yang tinggal di bandar. Melihat binatang ini di depan mata dan bagaimana ia diternak tentu sekali memberi pengalaman menyeronokkan kepada anak-anak.

Alamat: Audi dreamfarm 145, MK B, Sg.Rusa, 11010 Balik Pulau, Pulau Pinang

Audi Dream Farm

Saanen Dairy Goat Farm

Saanen Dairy Goat Farm ialah satu lagi ladang ternakan yang boleh dikunjungi. Bezanya disini binatang ternakan utama ialah kambing. Ada juga binatang lain yang diternak seperti arnab, burung unta, rusa dan lain-lain. Namun ia tidak banyak seperti di Audi Dream Farm.  Pengunjung juga tidak perlu membayar tiket untuk masuk ke ladang ini.

Apa yang menarik disini ialah pengunjung berpeluang menyentuh dan memberi makan kambing. Apa yang perlu anda lakukan ialah membeli makanan di kaunter dan bawa makanan ke kandang kambing. Berebut-rebut kambing menghulur kepala nanti. Cuma beringat jika anda membawa anak-anak yang masil kecil. Kambing agak agresif bila melihat makanan. Takut anak anda terkejut nanti.

Maklumat lain yang mungkin perlu anda tahu ialah ladang ini terletak agak jauh didalam kampung. Anjing juga banyak dikawasan ladang namun semuanya jinak. Produk dari susu kambing juga ada dijual disini.

Alamat: Saanen Dairy Goat Farm, 298 Mukim 1 Sungai Pinang, 11010 Balik Pulau, Penang

Saanen Dairy Goat Farm

Street Art Balik Pulau

Street Art Balik Pulau ialah satu lagi tarikan pelancongan utama yang membawa pelancong ke sini. Beberapa lukisan besar di dinding bangunan cukup mengagumkan. Sesiapa sahaja yang terpandang pasti terpesona dengan hasil seni yang unik ini. Cuma agak sedih kerana beberapa lukisan menarik sudah mulai pudar dimamah cuaca.

Dua lukisan popular Street Art Balik Pulau ialah:

  • Wrinkled Old Fisherman oleh Julia Volchkova - 11000 Balik Pulau, Penang
  • Square ll - Wall Art - No.8 Dataran Tuah, Jalan Besar, 11000 Balik Pulau, Pulau Pinang

Street Art Balik Pulau

Sawah padi Balik Pulau

Tempat menarik di Balik Pulau yang tidak boleh ditinggalkan ialah sawah padi. Diseluruh pulau, hanya disini masih terdapat sawah padi yang diusahakan penduduk. Semasa musim padi, kehijauan sawah ini menjadi tarikan pengunjung bukan sahaja penduduk Penang malah pelancong luar untuk bersantai melihat pemandangan dan juga bergambar. Ia adalah pemandangan menarik yang cukup mengagumkan.

Beberapa lokasi sawah padi boleh ditemui di Balik Pulau antaranya ialah dalam perjalanan ke Countryside Stables Penang dan Kampung Terang

Kampung Terang, 11000 Balik Pulau, Penang

Sawah padi Balik Pulau

Pantai Pasir Panjang

Tempat menarik lain yang mesti dilawati di Balik Pulau ialah Pantai Pasir Panjang. Ia adalah pantai yang sangat cantik namun terletak agak jauh dari pekan. Ramai yang datang untuk berkelah, memancing dan mandi laut disini terutama pada musim cuti sekolah. Cuma perlu diingat pantai ini agak merbahaya kerana kawasan laut curam dan dalam. Pelancong luar yang mandi dipantai ini semuanya memakai jaket keselamatan.

Saya tidak mengesyorkan pengunjung untuk mandi di pantai ini. Selain merbahaya, kemudahan tidak disediakan untuk pengunjung membersihkan diri selepas mandi. Cukuplah sekadar melihat pemandangan pantai yang cantik dan menikmati keindahan matahari terbenam yang begitu mempersonakan.

Alamat: Pulau Betong, 11000 Balik Pulau, Pulau Pinang

Pantai Pasir Panjang

Countryside Stables Penang

Countryside Stables Penang ialah tempat menarik di Balik Pulau yang seronok untuk dilawati. Terdapat lebih 20 ekor kuda termasuk kuda poni di kandang yang luas ini. Pengunjung boleh melihat berbagai jenis kuda, memberi makan, menyentuh dan menunggang kuda. Selain itu, beberapa ekor rusa juga ada diternak disini.

Kandang kuda Balik Pulau

Tempat ini adalah antara destinasi pelancongan popular di Penang. Ia juga merupakan tarikan pelancongan unik yang jarang dilihat dimana-mana tempat lain di Malaysia. Cuma anda perlu mengeluarkan belanja yang agak besar jika ingin kesini lebih-lebih lagi jika mempunyai ahli keluarga yang ramai.

Alamat: Lot 10050, Jalan Sungai Burung, Kampung Sungai Burung, 11000 Balik Pulau, Pulau Pinang

Countryside Stables Penang

Aktiviti menarik di Balik Pulau

Selain melawat tempat menarik di Balik Pulau, anda juga boleh melakukan beberapa aktiviti menarik disini. Berikut ialah antara aktiviti popular yang boleh dicuba.

Penang ATV Eco Tour Balik Pulau

Satu lagi aktiviti menarik di Balik Pulau yang boleh anda lakukan ialah melawat kawasan dengan ATV. Penang ATV Eco Tour menawarkan pakej menarik untuk aktiviti ini.

298, Mukim I, Kampung Perlis, 11000 Balik Pulau, Penang

Menunggang kuda

Di Countryside Stables Penang, anda boleh menunggang kuda atau menaiki kereta kuda. Ia adalah aktiviti yang cukup menyeronokkan. Harga untuk menunggang kuda untuk dewasa ialah RM20 dan kanak-kanak RM17.

Tempat makan di Balik Pulau

Tempat makan di Balik Pulau memang banyak. Dari sarapan pagi hingga makan malam, anda boleh mencuba berbagai jenis makanan di restoran yang ada disini.

Jika anda jenis yang bangun awal pagi, ada beberapa tempat sarapan popular yang boleh dikunjungi seperti:

  • Astaka pasar MPPP
  • Roti Canai Pak Ku depan Pejabat Agama
  • Roti Canai dan Tose Haq Sg Rusa
  • Nasi Campur Gulai Panas Hj Anuar tepi Masjid Sg Rusa
  • Roti Canai Roti Jambul Leman Man Kenit Sg Pinang
  • Pelbagai Nasi Lemak Dan Kuih Muih Pak Mat Dadih depan bulatan kongsi
  • Pelbagai Nasi Lemak Dan Kuih depan Barvin Simpang 4
  • Pelbagai Nasi Lemak Dan Kuih area Astaka Simpang 4 jalan pasar malam
  • Pelbagai Nasi Lemak Dan Kuih area Astaka Padang Bola Kongsi

Mak Ngah Gulai Warisan

Jika anda jenis yang susah bangun pagi, anda boleh sarapan atau terus makan tengahari di lokasi berikut:

  • Restoran Peladang - Jalan Genting Balik Pulau, Kawasan Sri Pulau, Pulau Pinang, 11000 Balik Pulau. 7.30am - 3pm
  • Mak Ngah Gulai Warisan - Jalan Sungai Nipah, Kampung Permatang Tengah, 11000 Balik Pulau, Pulau Pinang. 10am - 3.00pm
  • Eryna Cafe Curry Claypot - Jalan Kuala Sungai Pinang, 11000 Balik Pulau, Penang. 10am - 4pm
  • Restoran Muhibah depan bulatan kongsi
  • Kedai Makan tepi pejabat pos Balik Pulau
  • Nasi Dalca Kak Rose tepi jalan masuk IPD Polis Barat Daya
  • Kedai Makan Abg Wan Kuala Jalan Bharu (istimewa ikan sembilang ikan pari gulai masak panas²)
  • Kedai Makan Kak Ta Jalan Bharu depan Gerai Bahulu Jalan Bharu(istimewa ikan belah belakang dan ayam goreng rempah)
  • Kedai Makan Pak Kop Kuala Sg Pinang(istimewa ikan jenahak, bawal angsa dan lain-lain masak CLAYPOT panas)
  • Syed Kari Ikan Ayer Putih selepas Bomba dari arah Kongsi (Kari ikan panas²)
  • Astaka Dataran Tuah (istimewa ikan bawal goreng panas dan macam--macam ada)
  • Mysara Cafe Taman Manggis Indah (istimewa gulai daging batang pisang kawah dan pelbagai lauk pauk)
  • Jambu Cafe Taman Manggis Indah

Untuk makan petang, anda boleh cuba Laksa Janggus di alamat 338 MK, Jalan Bharu, Kampung Perlis, 11000, Penang. Waktu operasi ialah 3.30pm hingga 8pm.

Restoran Laksa Janggus Balik Pulau

Rujukan: Penang Kini. Senarai port makan di Balik Pulau.

Hotel di Balik Pulau

Tidak banyak hotel di Balik Pulau. Ada beberapa penginapan mewah yang menarik seperti MaliHom Private Estate (RM539) dan Fig Tree Hill resort (RM375). Jika ingin bercuti disini, anda boleh pilih chalet atau homestay.

Untuk melihat senarai dan potongan harga tempat penginapan di Balik Pulau, anda boleh menyemak dan menempah bilik penginapan melalui BOOKING.COM.

Kesimpulan

Balik Pulau adalah tempat menarik yang mesti dikunjungi jika bercuti di Penang. Walaupun tidak popular seperti George Town, Teluk Bahang, atau Batu Feringgi, banyak aktiviti yang boleh dilakukan dan banyak tempat menarik yang boleh dilawati. Bagi anda yang belum pernah ke sini, apa kata cuti nanti bawa keluarga atau rakan-rakan bercuti bersama. Kami yakin anda pasti seronok. Jangan lupa kongsikan apa yang menarik sepanjang percutian anda di Balik Pulau diruangan komen.

Artikel berkaitan

Jangan datang ke Penang sebelum baca semua artikel dibawah.

  1. Tempat menarik: Top 10 tempat menarik di Penang
  2. Tempat membeli-belah: Top 10 tempat membeli-belah di Penang
  3. Aktiviti menarik: Top 10 aktiviti menarik di Penang
  4. Terokai semua: Penang - Tempat menarik, aktiviti dan percutian
Lokasi

Add new comment

Restricted HTML

  • Allowed HTML tags: <a href hreflang> <em> <strong> <cite> <blockquote cite> <code> <ul type> <ol start type> <li> <dl> <dt> <dd> <h2 id> <h3 id> <h4 id> <h5 id> <h6 id>
  • Lines and paragraphs break automatically.
  • Web page addresses and email addresses turn into links automatically.
CAPTCHA
This question is for testing whether or not you are a human visitor and to prevent automated spam submissions.