Feri Penang - aktiviti menarik yang dilupakan!

Feri Penang adalah perkhidmatan penting yang menjadi penghubung utama antara tanah besar dan Pulau Pinang sebelum wujudnya Jambatan Pulau Pinang. Malah sehingga sekarang ia merupakan pengangkutan utama bagi orang awam yang tidak menggunakan kenderaan untuk berulang-alik antara tanah besar dan Pulau Pinang.

Feri Penang adalah salah satu tarikan pelancongan yang terkenal namun sering diabaikan oleh pengunjung yang bercuti di pulau mutiara. Ini kerana ramai yang menganggap ia adalah perkhidmatan pengangkutan semata-mata. Sebenarnya tidak. Menaiki feri Penang adalah aktiviti menarik yang mesti dilakukan paling tidak sekali kerana pengalaman menaiki feri dan pemandangan yang boleh dilihat sangat mengujakan.

Pemandangan cantik dari feri Penang

Lokasi Feri Penang

Jeti Feri Penang terletak di Pengkalan Weld, George Town manakala di tanah besar pula terletak di Butterworth. Penumpang hanya perlu membayar tiket sekali sahaja iaitu di Pengkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth. Perkhidmatan feri dari Pulau Pinang ke Butterworth adalah percuma.

Alamat:
Pangkalan Raja Tun Uda
Pengkalan Weld,
George Town,
10300 George Town,
Penang

Hubungi:
Tel Pejabat (Penang) : 04 261 0290, 04 210 2363
Tel Pejabat (Butterworth) : 04 331 2796, 04 310 2377
Email : suggest@rapidkl.com.my

Harga tiket:
Harga tiket feri adalah dari Butterworth ke Jeti Penang.
Tambang Dewasa : RM1.20
Tambang kanak-kanak : RM0.60
Basikal : RM1.40
Motosikal : RM2.00
Kereta : RM7.70

Dari Jeti Penang ke Butterworth tidak perlu tiket. Percuma.

Waktu operasi:

Setiap hari : 5.20 am - 12.10 am (Butterworth)

Setiap hari : 5.40 am - 12.40 am (Jeti Penang)

Fakta sejarah Feri Penang

Perkhidmatan feri Penang bermula pada 1894. Ia diusahakan oleh Quah Beng Kee dan saudara. Pada waktu ini, perkhidmatan feri beroperasi antara Jeti Pulau Pinang, Kedah dan beberapa tempat pendaratan di Province Wellesly, Seberang Perai.

Pada tahun 1924, perkhidmatan ini diambil-alih oleh Lembaga Pelabuhan Pulau Pinang. Jeti baru dibina iaitu Church Street Ghaut di Pulau Pinang dan Mitchgel Pier di Butterworth. Beberapa feri baru ditambah iaitu Feri Kulim dan Feri Tanjung pada 1929 dan Feri Bagan pada tahun 1938.

Feri berselisih

Pada tahun 1941, serangan Jepun telah menenggelamkan Feri Kulim dan Feri Tanjung manakala Feri Bagan pula dibawa lari Jepun ke Sumatera. Selepas tamat perang, feri Bagan diperbaiki dan beroperasi semula pada 1946.

Sepuluh tahun kemudian, pada 1956, Suruhanjaya Pulau Pinang ditubuhkan dan mengambil-alih Feri Penang. Perkhidmatan feri baru, Pulau Pinang, yang boleh membawa penumpang dan kenderaan berat ditambah. Pada tahun 1959, 4 buah feri yang sama ditambah iaitu Pulau Aman, Pulau Langkawi, Pulau Pangkor dan Pulau Tioman.

Kapal di laut

Pada tahun 1956 juga, dua buah jeti baru iaitu Pengkalan Raja Tun Uda di Pulau Pinang dan Pengkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth dibina. Ia dirasmikan oleh Tunku Abdul Rahman pada 23 September 1959.

Seterusnya pada tahun 1994 berlaku pengkorporatan Suruhanjaya Pulau Pinang kepada Penang Port Sdn. Bhd.

Perkhidmatan ini kemudian diambil-alih oleh Rapid Ferry Sdn. Bhd, iaitu syarikat dibawah Prasarana Sdn. Bhd pada 1 May 2018. Terkini, Disember 2019, Feri Penang akan diambil semula oleh Penang Port Sdn. Bhd.

Nama feri Penang lain ialah Pulau Payar, Pulau Angsa, Pulau Kapas, Pulau Rimau, Pulau Undan, Pulau Rawa dan Pulau Talang-talang. Jangan risau dengan nama-nama ini kerana semua feri hanya berulang-alik antara Butterworth dan Pulau Pinang.

Pemandangan George Town

Kemudahan dan fasiliti

Perkhidmatan yang disediakan oleh Feri Penang ialah pengangkutan kepada penumpang dan kenderaan. Kenderaan pula dihadkan cuma kepada kereta dan motorsikal. Jika membawa kenderaan, anda mesti menunggu giliran untuk masuk kedalam feri. Pada musim cuti, anda mungkin terpaksa menunggu lama kerana kenderaan memang banyak.

Bahagian kenderaan Feri Penang

Jika tidak membawa kenderaan, anda terus saja mengikut laluan penumpang feri hingga ke tempat menunggu yang berpagar. Kerusi disediakan disini. Pintu pagar akan dibuka setelah feri bersedia. Jika pertama kali menaiki feri Pulau Pinang, anda pasti teruja melihat rekabentuk feri ini yang berbeza dari feri lain di Malaysia. Masuk ke dalam feri, anda bebas memilih tempat duduk atau berdiri sahaja.

Bahagian penumpang feri Penang

Kemudahan dan fasiliti yang disediakan didalam feri ialah, tempat duduk untuk penumpang, tandas dan kiosk makanan.

Tandas feri Penang

Apa yang menarik?

Perkhidmatan feri yang penuh sejarah ini cukup menarik terutama jika ia adalah pertama kali. Jika anda bercuti di Penang bersama pasangan, pilih masa yang sesuai dan bawa pasangan anda menaiki feri. Pemandangan disepanjang perjalanan sangat menarik dan romantik. Jika anda membawa keluarga atau kawan-kawan, bawa mereka merasai pengalaman bersama.

Pemandangan menarik

Feri

Feri Penang tidak seperti feri ke Langkawi, feri ke Pulau Pangkor atau pulau-pulau lain di Malaysia. Tidak ada dinding menutupi keliling feri. Yang ada cuma pagar besi. Jadi penumpang bebas melihat pemandangan di depan, tepi dan belakang. Disebabkan feri ini besar, kelajuannya juga sederhana, maka ia lebih stabil. Jadi penumpang bebas bergerak kemana-mana lokasi didalam feri tanpa rasa takut.

Bahagian tepi feri Penang

Feri dua tingkat ini dibahagikan ruang untuk kenderaan dan penumpang. Biasanya kenderaan ditempatkan di aras bawah dan penumpang di aras atas. Pemandu dan penumpang kenderaan boleh naik ke aras atas mengikut tangga yang disediakan.

Tangga ke aras atas feri

Laut

Apabila feri mula berjalan, anda dapat melihat laut yang luas, ombak yang beralun dan pemandangan daratan yang semakin menjauh. Pemandangan laut ini begitu mengasyikkan.

Pemandangan laut

Pemandangan

Penumpang akan dapat melihat pemandangan menarik dari Feri Penang.

  1. Pemandangan Pulau Pinang - Bukit yang menghijau, bangunan pencakar langit yang kian bertambah.
  2. Pemandangan Tanah Besar - Bangunan, tangki gas/petrol/minyak dan lain-lain.
  3. Kapal-kapal dan feri di laut - Kapal besar yang bergerak perlahan dan feri Penang yang berselisih.
  4. Jambatan Pulau Pinang - Jambatan ini agak jauh namun masih jelas kelihatan.

Jambatan Pulau Pinang

Kesimpulan

Feri Penang ialah sejarah dan warisan negeri Pulau Pinang. Perkhidmatan pengangkutan air yang banyak berjasa ini perlu dikekalkan sampai bila-bila. Keseronokan semasa pertama kali dan perasaan nostalgia bagi yang pernah menaiki feri Penang cukup berharga. Ia adalah pengalaman unik yang tidak mungkin dilupakan.

Artikel berkaitan

Jangan datang ke Penang sebelum baca semua artikel dibawah.

  1. Tempat menarik: Top 10 tempat menarik di Penang
  2. Tempat membeli-belah: Top 10 tempat membeli-belah di Penang
  3. Aktiviti menarik: Top 10 aktiviti menarik di Penang
  4. Terokai semua: Penang - Tempat menarik, aktiviti dan percutian
Lokasi

Add new comment

Restricted HTML

  • Allowed HTML tags: <a href hreflang> <em> <strong> <cite> <blockquote cite> <code> <ul type> <ol start type> <li> <dl> <dt> <dd> <h2 id> <h3 id> <h4 id> <h5 id> <h6 id>
  • Lines and paragraphs break automatically.
  • Web page addresses and email addresses turn into links automatically.
CAPTCHA
This question is for testing whether or not you are a human visitor and to prevent automated spam submissions.