Fort Cornwallis Pulau Pinang

Fort Cornwallis ialah tempat bersejarah di Pulau Pinang yang sangat popular. Ia adalah antara lokasi yang wajib dilawati bagi sesiapa jua yang pertama kali menjejakkan kaki ke pulau ini. Kota lama yang dibina pada tahun 1786 oleh Francis Light ini berfungsi sebagai benteng pertahanan bagi menahan serangan berbagai pihak termasuk kerajaan Kedah pada masa itu. Anda tentu tertanya-tanya apa yang ada dalam Fort Cornwallis ini. Kali ini Percutian Bajet akan membawa anda meneroka satu persatu tempat menarik dan kesan sejarah yang masih wujud disini.

Nota: Untuk melihat tempat menarik lain di Pulau Pinang, sila lawati halaman Senarai tempat menarik di Penang untuk dilawati.

Pintu masuk Port Cornwallis

Lanskap menarik

Sebaik memasuki kota ini, anda akan terpegun dan seolah kembali ke zaman silam. Sebagai pusat pelancongan, lanskap di Fort Cornwallis ini agak menarik. Pokok-pokok bunga ditanam ditepi laluan pejalan kaki manakala pokok-pokok besar merimbun pula meneduhkan beberapa kawasan kota ini. Kerusi dan meja juga disediakan untuk pelancong berehat dibawah pokok.

Lanskap menarik dalam Fort Cornwallis

Chapel dan barracks

Jika anda mula melawat mengikut jalan di sebelah kanan pintu masuk, pertama sekali anda akan jumpa sebuah chapel dan barracks. Di setiap bilik barracks ada penerangan tentang sejarah Fort Cornwallis manakala didalam chapel cuma kosong tanpa apa-apa artifek silam. Namun kedudukan dan binaannya agak unik.

Chapel dalam Fort Cornwallis
Keterangan gambar: Chapel dalam Fort Cornwallis.

Barracks dalam Fort Cornwallis
Keterangan gambar: Barracks dalam Fort Cornwallis.

Seterusnya anda akan menaiki bukit ditebing dinding kota dimana anda akan dapat melihat Queen Victoria Memorial Clock Tower yang terletak di kawasan berhampiran. Dari situ anda boleh berjalan terus ke rumah api yang terletak di penjuru kota hujung sebelah kiri pintu masuk. Jangan ikut padang, sebaliknya ikut laluan tepi dinding kota kerana anda akan dapat menyaksikan pemandangan menarik bangunan-bangunan lama dan juga kapal-kapal yang berlabuh di Swettenham Pier Cruise Terminal.

Laluan dalam Fort Cornwallis
Keterangan gambar: Laluan menarik dalam Fort Cornwallis.

Rumah Api

Tiba di rumah api pula anda akan menyaksikan binaan yang cukup berlainan dari biasa. Tali-tali yang mengikat rumah api ini kelihatan seolah-olah tiang layar kapal perang di zaman dahulu. Dari rumah api, anda akan melalui kawasan dinding Fort Cornwallis dimana terdapat meriam-meriam yang tersusun mengadap laut. Disini anda pasti terpegun melihat pemandangan cantik laut yang terbentang luas di depan mata. Terus berjalan sehingga sampai ke gudang bahan api (magazine) dan seterusnya ke Meriam Sri Rambai dihujung penjuru kota.

Rumah Api Fort Cornwallis

Stor serbuk senjata api

Stor menyimpan serbuk senjata api dalam bahasa Inggeris dipanggil "magazine" juga terdapat didalam Fort Cornwallis. Ini ialah stor utama dan terletak di kawasan berhampiran meriam-meriam yang menghadap laut. Ia mempunyai bentuk yang agak unik. Pintunya dibuka dan pelancong boleh masuk melihat keadaan didalam stor ini.

Stor serbuk senjata api

Meriam Sri Rambai

Ia adalah meriam terbesar di Fort Cornwallis. Anda tidak akan terlepas kerana meriam ini terletak di hujung sekali di penjuru kota berhampiran stor bahan letupan. Selain mempunyai sejarah tersendiri, meriam Sri Rambai juga terkenal dengan cerita khurafat dimana wanita yang susah mengandung kalau letak bunga dalam meriam tersebut boleh dapat anak.

Meriam Sri Rambai

Hanya itu sahaja dan anda akan turun ke bawah dimana kedai cenderahati menanti. Kedai ini juga turut menjual minuman dan aiskrim. Anda boleh membeli minuman dan pilih mana-mana lokasi menarik didalam kawasan kota ini untuk bersantai. Suasana yang damai dengan angin laut yang kuat menghembus cukup menyegarkan. Kemudahan tandas turut disediakan disini. Jadi anda tidak perlu risau.

Maklumat lanjut dan sejarah tentang Fort Cornwallis boleh dibaca di Portal Rasmi Arkib Negara di halaman Kota Cornwallis Pulau Pinang.

Waktu operasi / Waktu melawat:
Setiap hari : 9am-10pm.

Harga Tiket / Bayaran Masuk dengan MyKad:
Dewasa : RM10.
Kanak-kanak : RM5.

Harga Tiket / Bayaran Masuk tanpa MyKad:
Dewasa : RM20.
Kanak-kanak : RM10.

Alamat / Lokasi:
Fort Cornwallis
Jalan Tun Syed Sheh Barakbah,
10200 George Town,
Pulau Pinang

Secara umumnya, Fort Cornwallis adalah tempat menarik di Pulau Pinang yang sangat seronok untuk dilawati. Walaupun ia tempat bersejarah tetapi lanskap menarik dan pemandangan didalam kota ini membuatkan anda terasa seolah-olah melawat pusat pelancongan di luar negara. Cuma harga tiket agak kurang berbaloi bagi percutian bajet terutama pada yang membawa keluarga. Agak terkilan kerana Kota A'Famosa Melaka tidak mengenakan apa-apa bayaran.

Add new comment