Masjid Kapitan Keling

Masjid Kapitan Keling ialah salah satu tarikan pelancongan yang popular di Penang. Ia adalah masjid bersejarah yang dibina pada tahun 1801, iaitu 15 tahun setelah penjajahan Inggeris ke atas Pulau Pinang. Pengunjung boleh menyaksikan masjid ini ditengah pusat bandaraya George Town dimana ia masih beroperasi dan digunakan hingga ke hari ini. Rekabentuk masjid yang dipengaruhi senibina Moorish dan Mughal ini kini merupakan salah satu destinasi pelancongan yang termasuk dalam sesi lawatan pelancong di Penang.

Pintu masuk utama Masjid Kapitan Keling

Lokasi Masjid Kapitan Keling

Masjid Kapitan Keling terletak di George Town. Lokasinya ialah di pertembungan Jalan Masjid Kapitan Keling dan Jalan Buckingham. Seperti kebanyakan tempat menarik di bandaraya ini, tempat letak kereta tidak disediakan. Anda boleh berjalan kaki, menaiki beca atau teksi untuk kesini.

Alamat:
Masjid Kapitan Keling
14, Jalan Buckingham,
10200 George Town,
Pulau Pinang

Hubungi:
Tel Pejabat : 04-261 4215
Email : -
Facebook : Masjid Kapitan Keling

Harga tiket:
Harga tiket / Bayaran masuk:
Dewasa : Percuma / Tidak perlu tiket
Kanak-kanak : Percuma / Tidak perlu tiket

Waktu operasi:

Setiap hari : 11.30 am - 10.00 pm
Pelancong : 11.30 am - 6.30 pm

Fakta Masjid Kapitan Keling

Masjid ini telah mengalami beberapa perubahan sejak ia dibina lebih 219 tahun lampau. Berikut ialah kronologi Masjid Kapitan Keling sejak pembinaan bermula sehingga hari ini.

Kader Mydin Merican (Caudeer Mohuddeen Merican) telah memohon kepada Inggeris tanah untuk didirikan masjid. Ini kerana pada masa itu telah ramai pedagang dan askar Syarikat Hindia Timur yang beragama Islam. Beliau ialah ketua kaum India Muslim yang berdagang di Pulau Pinang pada masa itu dan digelar kapitan keling oleh masyarakat setempat. Inggeris telah memberikan tanah seluas 18 ekar dikawasan George Town.

Masjid ini mula dibina pada 1801 dengan rekaan senibina berbentuk empat segi. Disetiap penjuru masjid mempunyai menara dengan kubah kecil. Ia mampu memuatkan sehingga 200 jemaah. Dana pembinaan Masjid Kapitan Keling adalah dari sumbangan pedagang India Muslim dan Syarikat Hindia Timur. Apabila masjid siap dibina, ia menjadi tempat berkumpul pedagang India muslim. Mereka juga mendirikan penempatan dikawasan sekitar masjid. Ramai yang mendirikan rumah, perniagaan kain, rempah-ratus, restoran dan sebagainya.

Pada tahun 1903 keluasan tanah masjid semakin berkurangan. Ia diambil oleh kerajaan untuk pembinaan jalan, bangunan kedai dan rumah. Kawasan yang tinggal berukuran lebih-kurang 8 ekar sahaja.

1909 - 1916 Kerja-kerja perancangan untuk menaik-taraf dan pembesaran masjid. Pengubahsuaian kali ini menukar struktur Masjid Kapitan Keling dimana bentuk asal telah berubah sama sekali jika dilihat dari luar. Antara penambahan penting ialah kubah pada ruang utama. Walau bagaimanapun, beberapa bahagian dinding asal dan menara masih dapat dilihat dibahagian dalam. Masjid baru ini mampu memuatkan sehingga 2000 jemaah.

Pada tahun 1930, masjid ini sekali lagi mengalami perubahan. Kerja-kerja ubahsuai iaitu menambah ketinggian ruang utama, menambahbaik pengudaraan dan pencahayaan, pemasangan siling serta dinding dan lantai yang dipasang marble. Ini adalah perubahan terakhir dan kekal seperti kelihatan pada hari ini.

Pandangan sisi Masjid Kapitan Keling

Apa yang menarik?

Masjid Kapitan Keling ialah salah satu tempat pelancongan menarik di Penang. Ia mempunyai sejarah yang lama. Beberapa pengubahsuaian yang berlaku sepanjang 219 tahun menjadikan masjid ini mempunyai beberapa pengaruh rekabentuk senibina yang unik. Pengunjung dapat melihat keunikan masjid ini dari luar dan dalam yang sangat ketara.

Pada awalnya saya merasakan ada sedikit persamaan antara masjid ini dengan Masjid Zahir Alor Setar. Ini mungkin kerana warna putih bangunan dan kubah hitamnya. Namun ia bukan kebetulan kerana salah seorang yang terlibat semasa pengubahsuaian masjid ini adalah arkitek yang sama iaitu CG Boutcher dari Stark & McNeill Architects.

Penjuru Masjid Kapitan Keling

Tempat bersejarah

Masjid Kapitan Keling adalah masjid tertua di Penang. Ia termasuk bangunan bersejarah dan merupakan salah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO di George Town. Selain itu, beberapa peninggalan sejarah boleh ditemui dikawasan masjid seperti meriam lama, perigi dan Makam imam pertama masjid Kapitan Keling, Ustaz Mohamed Haniffa (1213H).

Masjid ini pernah menjadi Masjid Negeri Pulau Pinang. Ia juga merupakan lokasi tumpuan jemaah haji yang ingin berangkat ke Mekah dengan kapal dari pelabuhan Pulau Pinang pada masa dahulu.

Senibina

Jika dilihat struktur Masjid Kapitan Keling, ia mempunyai ciri-ciri senibina Islam, Mughal dan Moorish. Ini disebabkan oleh beberapa fasa pengubahsuaian dan naiktaraf yang dilakukan pada masa dahulu.

Mimbar masjid adalah antara yang paling tinggi di Penang.

Laluan masuk ke Masjid Kapitan Keling

Rekabentuk senibina masjid dibahagian luar.

Bahagian dalam Masjid Kapitan Keling

Rekabentuk senibina masjid dibahagian dalam.

Ruang Utama Masjid Kapitan Keling

Pemandangan ruang utama masjid.

Kolah air sembahyang

Kolah tempat mengambil air sembahyang.

Menara Masjid Kapitan Keling

Menara tinggi diluar Masjid Kapitan Keling. Ia terletak berhampiran pintu masuk.

Berbagai aktiviti keugamaan

Selama lebih 219 tahun, sumbangan Masjid Kapitan Keling dalam mengembangkan syiar Islam di Pulau Pinang sangat banyak. Pihak pengurusan Masjid Kapitan Keling telah mengadakan berbagai aktiviti keugamaan kepada masyarakat setempat. Selain aktiviti wajib setiap tahun seperti kuliah, sambutan Maulidur Rasul dan lain-lain, pihak masjid telah menubuhkan:

  1. Madrasah Anwarul Ulum - Kelas Fardu Ain dan mengajar bacaan Al-Quran kepada semua peringkat umur.
  2. Tadika Nurul Iman - Untuk kanak-kanak pra-sekolah.
  3. Pusat Intelek Kapitan - Untuk remaja.
  4. Pertubuhan Komuniti India Muslim - Memartabatkan kebudayaan dan warisan India Muslim.

Kuliah ugama diadakan beberapa kali dalam seminggu. Kebiasaannya, ia adalah dalam bahasa Tamil. Imam Masjid Kapitan Keling, Ustaz Al Hafiz Hj Ziaul Haq Bakavi mengendalikan Majlis Zikir & Ratib Jalaliyyah setiap hari Selasa selepas solat maghrib dan kuliah setiap hari Ahad. Semua akitiviti terkini boleh disemak dihalaman facebook Masjid Kapitan Keling. Pautan ada di tab Hubungi.

Masjid Kapitan Keling

Makam Nordin

Disebelah masjid terdapat sebuah dewan yang dipanggil Dewan Makam Noordin. Disini terdapat makam ibu dan Mahomed Noordin Merican sendiri. Beliau ialah adik kepada Kader Mydin Merican. Dewan ini telah dibaikpulih dan kini dijadikan Galeri Senilukis Persatuan Pelukis Melayu Pulau Pinang.

Kesimpulan

Masjid Kapitan Keling adalah masjid bersejarah yang telah wujud lebih 219 tahun. Ia juga adalah masjid tertua di Penang dan mendapat pengikhtirafan sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO disamping beberapa bangunan lain di George Town. Jika anda merancang untuk bercuti di Penang, jangan lupa masukkan masjid ini dalam senarai tempat menarik untuk dilawati.

Lokasi

Add new comment

Restricted HTML

  • Allowed HTML tags: <a href hreflang> <em> <strong> <cite> <blockquote cite> <code> <ul type> <ol start type> <li> <dl> <dt> <dd> <h2 id> <h3 id> <h4 id> <h5 id> <h6 id>
  • Lines and paragraphs break automatically.
  • Web page addresses and email addresses turn into links automatically.
CAPTCHA
This question is for testing whether or not you are a human visitor and to prevent automated spam submissions.