Tempat menarik di Pulau Pinang yang paling popular

Pulau Pinang ialah salah satu destinasi pelancongan popular di Malaysia. Berbagai tarikan ada di negeri ini termasuk kesan peninggalan sejarah, alam semulajadi, pantai dan makanan. Percutian Bajet telah menyusun tempat menarik di Pulau Pinang yang paling popular untuk dilawati mengikut lokasi. Jika anda berkunjung ke kawasan ini, jangan lupa melawat destinasi menarik yang kami cadangkan. Ia pasti menambah pengalaman indah dalam hidup anda.

Anda mungkin berminat dengan tempat makan best di Penang.

Padang Kota Lama

Padang Kota Lama ialah tempat menarik di Pulau Pinang yang tidak asing lagi. Tarikan utama disini ialah Fort Cornwallis dan bangunan Penang City Hall. Selain itu Padang Kota juga terkenal dengan pasembur, iaitu sejenis makanan tempatan yang sangat sedap. Kini beberapa pusat pelancongan baru telah dibangunkan dan boleh dikunjungi disekitar kawasan ini. Beberapa pembaharuan telah dilakukan dimana kawasan gerai makanan yang popular pada tahun 80-90an telah dikosongkan dan kini menjadi esplanade untuk pelancong bersantai melihat pemandangan laut. Manakala gerai-gerai makanan telah berpindah ke dua lokasi baru iaitu di Medan Renong ditepi laut dan Esplanade Park Food Court ditepi Fort Cornwallis berhadapan padang serbaguna.

Padang Kota Lama

Fort Cornwallis

Tarikan tempat bersejarah di Pulau Pinang ini adalah antara lokasi yang wajib dilawati bagi sesiapa jua yang pertama kali menjejakkan kaki ke pulau ini. Ia adalah sebuah kota yang dibina pada tahun 1786 oleh Francis Light sebagai benteng pertahanan bagi menahan serangan berbagai pihak pada masa itu. Anda tentu tertanya-tanya apa yang ada dalam Fort Cornwallis ini.

Antara kesan peninggalan sejarah yang ada didalam Kota Cornwallis ialah meriam-meriam lama yang tersusun menghadap laut termasuk Meriam Sri Rambai yang dihadiahkan oleh Belanda kepada Sultan Johor. Ini bagi menghadapi serangan musuh yang menyerang pada waktu itu. Didalam kota ini juga terdapat sebuah chapel (gereja), stor senjata api (Gun Powder Magazine), rumah api, berek dan tugu gangsa Kapten Francis Light.

Fort Cornwallis

Maklumat lanjut tentang Fort Cornwallis boleh dibaca di halaman Fort Cornwallis Pulau Pinang.

Waktu operasi / Waktu melawat:
Setiap hari : 9am-10pm.

Harga Tiket / Bayaran Masuk:
Dewasa : RM10.
Kanak-kanak : RM5.

Alamat / Lokasi:
Fort Cornwallis
Jalan Tun Syed Sheh Barakbah,
10200 George Town,
Pulau Pinang

Muzium 3D Penang

Tarikan baru tempat pelancongan di Pulau Pinang, Trick Art Museum yang terletak di Lebuh Penang ini ialah sebuah Muzium 3D yang sangat menyeronokkan. Lokasinya hanya diseberang jalan utama (Lebuh Light) Padang Kota Lama. Seperti lain-lain muzium 3D yang pernah anda kunjungi, ia mempamerkan lukisan mural yang sangat mengagumkan. Lebih menarik jika anda melawat muzium ini ramai-ramai bersama ahli keluarga atau rakan-rakan. Rakamkan pelbagai gaya sebagai kenangan indah yang pasti membuatkan anda tersenyum melihatnya 20 tahun lagi!

Muzium 3D Penang

Maklumat lanjut tentang muzium ini boleh dibaca di halaman Trick Art Museum - Muzium 3D Penang.

Harga Tiket / Bayaran Masuk:
Dewasa : RM15.
Kanak-kanak : RM10.

Alamat / Lokasi:
Muzium 3D Penang
10, Lebuh Penang,
10200 George Town,
Pulau Pinang

Queen Victoria Memorial Clock Tower

Menara jam bersejarah ini terletak di Lebuh Light berhampiran dengan Fort Cornwallis. Anda cuma perlu berjalan sedikit sahaja dari Padang Kota Lama untuk ke lokasi. Apa yang menarik boleh dilakukan disini ialah mengagumi struktur dan senibina serta mengabadikan kenangan bergambar bersama Queen Victoria Memorial Clock Tower.

Queen Victoria Clock Tower.

Alamat / Lokasi:
Queen Victoria Memorial Clock Tower
Lebuh Light,
10200 George Town,
Pulau Pinang

Penang Time Tunnel 3D Museum

Satu lagi tempat pelancongan di Pulau Pinang yang baru ada berhampiran Padang Kota Lama ialah Penang Time Tunnel 3D Museum. Ia terletak di Jalan Green Hall iaitu lorong disebelah Jalan Tun Syed Sheh Barakbah. Berjalan kaki dari Kompleks Makanan Medan Renong Padang Kota ke muzium mengikut laluan tepi laut mengambil masa tidak sampai 5 minit.

Time Tunnel Museum

Apa yang menarik disini ialah koleksi pameran barang-barang lama dibahagian Muzium Sejarah dan juga 3D Mural Art Museum. Jika anda pernah ke Muzium 3D di Lebuh Penang dan suka dengan apa yang ada disana, maka seharusnya anda kesini juga. Koleksi lukisan mural 3D berbagai tema, berbagai pameran barangan lama dan tarikan lain yang cukup mengagumkan.

Waktu operasi / Waktu melawat:
Setiap hari : 9.15am-7.30pm.

Harga Tiket / Bayaran Masuk:
Dewasa : RM14.
Kanak-kanak : RM8.

Alamat / Lokasi:
Penang Time Tunnel 3D Museum
39, Jalan Green Hall,
10200 George Town,
Pulau Pinang

Dewan Bandaraya Pulau Pinang

Bangunan Dewan Bandaraya Pulau Pinang (juga dikenali sebagai Penang City Hall) adalah sebuah bangunan colonial yang mengagumkan terletak di Padang Kota Lama. Ia dibina pada tahun 1903 berdasarkan struktur senibina Edwardian Baroque. Banyak bangunan-bangunan awam yang dibina dalam empayar British sekitar tahun 1901 hingga 1910 menggunakan gaya senibina ini. Malah di United Kingdom sendiri banyak bangunan seperti ini di bandar-bandar besar terutama di London dan Manchester.

Dewan Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Bangunan Dewan Bandaraya Pulau Pinang (City Hall pada masa itu) mencatat sejarah antara bangunan pertama di Pulau Pinang yang dilengkapi lampu dan kipas elektrik. Kini bangunan ini menjadi pejabat pentadbiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (dahulunya Majlis Perbandaran Pulau Pinang) dan mercu tanda di Padang Kota Lama.

Alamat / Lokasi:
Penang City Hall
Jalan Padang Kota Lama,
10200 George Town,
Pulau Pinang

Esplanade Park Food Court

Esplanade Park Food Court ialah tempat menarik untuk dilawati apabila anda sudah penat berjalan, lapar dan dahaga setelah mengunjungi pusat pelancongan yang ada di Padang Kota Lama. Sebenarnya ia adalah medan selera dimana berbagai jenis makanan dan minuman dijual.

Alamat / Lokasi:
Esplanade Park Food Court
Jalan Padang Kota Lama,
10200 George Town,
Pulau Pinang

Pasembur Padang Kota

Makanan yang paling terkenal di Padang Kota Lama sejak dahulu lagi ialah pasembur. Ia adalah sejenis makanan yang asasnya mengandungi timun, ubi sengkuang dan cucur udang dimakan bersama kuah yang manis dan sedikit pedas. Sekitar tahun 80an dahulu banyak gerai yang menjual pasembur disini. Istimewanya pasembur di Pulau Pinang ialah berbagai makanan boleh dipilih untuk dimasukkan kedalam pasembur seperti udang, ketam, sotong, bebola ikan, paru dan bermacam-macam lagi.

Pasembur Penang

Biasanya pasembur ini seronok dimakan beramai-ramai. Anda boleh memasukkan apa saja yang anda suka dan sama-sama habiskan. Yang pentingnya bila bayar boleh kongsi ramai-ramai sebab harga pasembur memang agak mahal. RM50 sepinggan adalah normal.

Alamat / Lokasi:
Medan Renong,
Jalan Tun Syed Sheh Barakah,
10200 George Town,
Pulau Pinang

Ada banyak lagi tempat menarik di Padang Kota Lama yang boleh anda lawati. Jadi jangan lupa singgah jika anda bercuti di Pulau Pinang. Percutian anda tidak lengkap tanpa gambar-gambar kenangan di sini.

George Town

George Town ialah Ibu Negeri Pulau Pinang. Ia merupakan destinasi pelancongan yang mesti dikunjungi jika melancong ke Pulau Mutiara ini. Selain tempat penginapan yang banyak, berbagai tarikan ada disekitar bandar seperti lokasi membeli-belah, menjamu selera makanan yang sedap dan melawat tempat-tempat menarik.

Upside Down Museum

Upside Down Museum mula dibuka kepada orang-ramai pada Ogos 2015. Ia adalah antara tarikan utama di Georgetown pada musim cuti sekolah. Seperti di tempat-tempat lain, muzium ini memaparkan keadaan didalam rumah dengan susunan perabot dan peralatan rumah dalam keadaan terbalik. Tarikannya sudah tentu untuk aksi bergambar. Anda boleh bergaya dengan berbagai cara untuk menghasilkan gambar yang unik.

Upside Down Museum Penang.

Waktu operasi / Waktu melawat:
Setiap hari : 9am - 5.30pm.

Harga Tiket / Bayaran Masuk:
Dewasa : RM16.
Kanak-kanak : RM8.

Alamat / Lokasi:
Upside Down Museum
45, Lebuh Kimberley,
10100 George Town,
Pulau Pinang

Telefon: 04-264 2660

Wonderfood Museum

Wonderfood Museum ialah lokasi pelancongan unik yang mesti dikunjungi jika ke Georgetown. Muzium ini mempamerkan berbagai jenis makan tempatan dan asing. Uniknya beberapa makanan bersaiz cukup besar. Selain itu, terdapat pameran lain berkaitan makanan seperti suasana tempat makan, barangan makanan dan replika makanan tradisi berbagai kaum yang ada di Malaysia.

Wonderfood Museum Penang.

Waktu operasi / Waktu melawat:
Setiap hari : 9am - 6pm.

Harga Tiket / Bayaran Masuk:
Dewasa : RM15.
Kanak-kanak : RM10.

Alamat / Lokasi:
Wonderfood Museum
49, Lebuh Pantai,
10200 George Town,
Pulau Pinang

Telefon: +60 4-251 9095, 012 225 1968, 012 229 1968

Muzium Negeri Pulau Pinang

Muzium Pulau Pinang ialah Muzium Negeri yang mempamerkan berbagai barangan tinggalan sejarah dan juga peralatan kehidupan pelbagai etnik di Penang. Ia dinobatkan sebagai salah sebuah muzium terbaik di Malaysia. Pengunjung dapat menyaksikan koleksi foto lama, peta, dokumen bersejarah, perabot Cina, sulaman, pakaian dan lain-lain.

Waktu operasi / Waktu melawat:
Setiap hari : 9am - 5pm (Sabtu - Khamis)

Harga Tiket / Bayaran Masuk:
Dewasa dan kanak-kanak : RM1.

Alamat / Lokasi:
Muzium Negeri Pulau Pinang
Farquhar Street,
10200 George Town,
Pulau Pinang

Telefon: +60 4-226 1461

Khoo Kongsi

Khoo Kongsi ialah antara tempat menarik di Pulau Pinang yang popular dikalangan pelancong. Senibina menarik bangunan dan berbagai ukiran warisan suku Khoo ini cukup mengagumkan. Lukisan, video serta barangan lama turut dipamerkan kepada pengunjung. Selain itu, berbagai aktiviti dan pertunjukan sering dianjurkan sepanjang tahun.

Khoo Kongsi Penang.

Waktu operasi / Waktu melawat:
Setiap hari : 9am - 5pm.

Harga Tiket / Bayaran Masuk:
Dewasa : RM10.
Kanak-kanak : RM1.

Alamat / Lokasi:
Khoo Kongsi
18, Cannon Square,
10450 George Town,
Pulau Pinang

Telefon: +60 4-261 4609

Muzium Peranakan Penang

Kaum peranakan atau lebih dikenali sebagai Baba dan Nyonya adalah komuniti keturunan cina yang banyak terdapat di Pulau Pinang dan Melaka. Jika berkunjung ke Georgetown, anda boleh melawat Muzium Peranakan Penang yang memaparkan berbagai barangan kebudayaan baba dan nyonya. Apa yang menariknya, kebudayaan, cara hidup, percakapan dan adat-resam kaum cina ini turut terpengaruh oleh kebudayaan tempatan dan juga penjajah setelah berabad disini. Keunikan ini dapat disaksikan apabila anda melawat Muzium Peranakan.

Muzium Peranakan Pulau Pinang.

Waktu operasi / Waktu melawat:
Setiap hari : 9.30am - 5pm.

Harga Tiket / Bayaran Masuk:
Dewasa : RM20.
Kanak-kanak bawah 6 tahun : Percuma.

Alamat / Lokasi:
Muzium Peranakan Penang
29, Church St,
10200 George Town,
Pulau Pinang

Telefon: +60 4-264 2929

Botanical Garden Penang

Ingin melawat tempat paling cantik di Pulau Pinang? Anda boleh ke Botanical Garden yang terletak di Jalan Kebun Bunga, Pulau Tikus, tidak jauh dari pusat bandar George Town. Ia adalah salah satu warisan sejarah peninggalan British yang masih kekal hingga kini. Antara tempat menarik yang boleh dilawati ialah:

  1. Rumah Orchidarium.
  2. Rumah Bromeliad & Rumah Begonia.
  3. Rumah Perdana.
  4. The Fern Rockery.
  5. Rumah Kaktus.
  6. Rumah Paku Pakis.

Botanical Garden Penang

Sebenarnya banyak lagi tempat menarik dan tarikan yang ada termasuk aktiviti merentas hutan. Botanical Garden juga merupakan antara tempat menarik di Pulau Pinang yang sangat popular dikalangan pelajar dan penyelidik. Maklumat lanjut mengenai taman ini termasuk sejarah dan tarikan yang ada boleh dibaca di laman web rasmi Jabatan Taman Botani Pulau Pinang.

Waktu operasi / Waktu melawat:
Setiap hari : 5:00 pagi hingga 8:00 malam.

Harga Tiket / Bayaran Masuk: Percuma.

Alamat / Lokasi:
Botanical Garden Penang
673A, Jalan Kebun Bunga,
10350 George Town,
Pulau Pinang

Street Art Penang

Street Art Penang memaparkan hasil lukisan Ernest Zacharevic yang mengagumkan. Ia bermula pada tahun 2012 dimana 9 lukisan dihasilkan beliau di dinding-dinding bangunan sekitar Georgetown. Selain itu, hasil tangan pelukis lain juga dapat disaksikan dibeberapa lorong. Agak menyedihkan kerana lukisan-lukisan ini kian pudar dimamah cuaca. Malah antaranya anda mungkin tidak akan dapat melihat kesannya beberapa bulan lagi.

Rumah P Ramlee

Rumah P Ramlee adalah rumah asal yang didiami seniman ini semasa kecil bersama ibubapanya. Ia diperbuat dari kayu dengan senibina melayu. Rumah kecil ini hanya memiliki sebuah bilik sahaja dengan ruang tamu dan dapur. Berbagai barangan peninggalan seniman agung ini dapat dilihat seperti peralatan muzik dan gambar-gambar lama.

Maklumat lanjut boleh dibaca di halaman Melawat Rumah P Ramlee di Penang.

Rumah P Ramlee di Penang.

Menara KOMTAR

Salah satu mercu tanda di Pulau Pinang ialah menara KOMTAR. Sekitar tahun 90an, ia merupakan salah satu destinasi pelancongan yang popular. Terdapat sebuah pasaraya dan kedai-kedai yang menjual berbagai barangan termasuk dari luar negeri. Ia menjadi pilihan utama untuk membeli-belah pada ketika itu. Beberapa restoran popular turut menjadi tumpuan pengunjung. Walaupun tidak popular seperti dahulu, ia masih menarik untuk dilawati. Hari ini terdapat Jurassic Park di tingkat 1, restoran di tingkat atas dan Glass Floor. Selain itu, menara KOMTAR adalah lokasi terbaik untuk melihat pemandangan bandar Georgetown dari atas.

Rainbow Skywalk Komtar.

Gurney Drive

Gurney Drive ialah lokasi menarik untuk dikunjungi terutama diwaktu malam. Ia terletak ditepi pantai dan turut dikenali sebagai Padang Kota Baru. Tarikan utama disini ialah gerai-gerai makanan, restoran, Pasaraya Gurney Plaza dan Gurney Paragon Mall. Selain itu, tembok penghalang hakisan yang terletak disepanjang jalan menjadi tempat menarik untuk bersantai sambil menikmati pemandangan laut.

Gurney Drive Penang.

Tanjung Bungah

Tanjung Bungah terletak tidak jauh dari Gurney Drive. Jika melancong ke Pulau Pinang, biasanya pelancong dari Georgetown akan ke Gurney Drive dan seterusnya ke Tanjung Bungah, Batu Ferringhi, akhir sekali Teluk Bahang. Ia merupakan salah satu pilihan alternatif tempat penginapan ditepi laut kerana harga hotel lebih murah berbanding di Batu Ferringhi. Beberapa tempat menarik juga boleh dilawati jika berkunjung ke sini.

Masjid Terapung

Masjid Terapung ini dibina pada tahun 2004 dan merupakan yang pertama di Malaysia dibina diatas laut. Senibinanya cukup menarik dengan rekabentuk Moorish dan menara setinggi 7 tingkat. Meliputi kawasan seluas 1,295 meter per segi, ia boleh menampung sehingga 1500 orang semasa waktu solat.

Masjid Terapung Tanjung Bungah.

Penang Water Sports Centre

Penang Water Sports Centre ialah tarikan pelancongan yang popular di Pulau Pinang. Ia adalah destinasi yang harus dikunjungi bagi peminat aktiviti sukan air. Pusat sukan air persendirian ini menawarkan berbagai aktiviti seperti bola tampar pantai, bolasepak pantai, memancing, kayak, canoe dan bot. Kemudahan yang disediakan termasuk bilik mandi, tapak perkhemahan dan hostel.

Penang Water Sport Centre.

Batu Ferringhi

Batu Ferringhi cukup terkenal sebagai pusat pelancongan pantai di Pulau Pinang. Jika Padang Kota Lama terkenal dengan tempat bersejarah, Batu Ferringhi pula terkenal dengan pantai peranginan dan hotel-hotel menarik. Sekarang berbagai aktiviti watersport disediakan untuk pelancong seperti jetski, waterski, parachuting, berkayak dan lain-lain. Disini juga terdapat banyak pilihan restoran termasuk makanan laut, tempatan dan makanan barat. Bila malam pula, deretan gerai dibuka disepanjang jalan yang menjual bermacam jenis barangan. Suasana bazar malam ini cukup meriah dengan kehadiran pelancong dari merata-rata tempat dalam dan luar negara. Jika anda mencari lokasi penginapan untuk bercuti di Pulau Pinang, Batu Ferringhi adalah tempat yang cukup strategik dan sangat menarik.

Batu Ferringhi

Maklumat lanjut tentang tempat-tempat menarik di Batu Ferringhi boleh dibaca di halaman Bercuti di Batu Ferringhi, Pulau Pinang.

Teluk Bahang

Teluk Bahang ialah kawasan yang paling banyak tempat pelancongan menarik di Pulau Pinang. Ada tarikan alam semulajadi, pantai dan berbagai aktiviti menarik untuk dilakukan. Antara yang terbaik ada di Teluk Bahang ialah Toy Museum Penang.

Toy Museum Penang

Toy Museum yang dahulunya terletak di Tanjung Bungah kini telah berpindah ke lokasi baru di Teluk Bahang. Jika anda belum pernah melawat Toy Museum sebelum ini, ia adalah muzium yang paling menyeronokkan dan anda pasti tidak akan bosan. Malah ia juga sangat popular dikalangan pelancong.

Toy Museum Penang

Muzium ini menyimpan pelbagai koleksi figurin "super hero", karektor animasi, kartun dan lain-lain. Semuanya disusun mengikut kategori seperti Chamber of Comic Book Heroes, Cave of Dinosaurs, Fields of Combat, Hall of Rock Legends, Star Wars Collections dan bermacam-macam lagi. Jika anda membawa anak-anak melancong bersama, Toy Museum adalah tempat menarik di Pulau Pinang untuk kanak-kanak yang cukup menyeronokkan.

Harga Tiket / Bayaran Masuk:
Dewasa : RM10.
Kanak-kanak : RM6.

Alamat / Lokasi:
Toy Museum Penang
1370, Mk 2,
11050 Teluk Bahang,
Pulau Pinang

Pusat pelancongan lain yang ada di Teluk Bahang, Pulau Pinang ialah:

  1. The Escape Theme Park - Tempat menarik di Pulau Pinang untuk kanak-kanak.
  2. Taman Rimba Teluk Bahang - Kawasan taman rekreasi yang sangat terkenal.
  3. Pantai Teluk Bahang - Pantai di Pulau Pinang yang cantik untuk dikunjungi.
  4. Taman Rama-rama - Mempamerkan lebih 50 spesis rama-rama pelbagai saiz dan warna.
  5. Taman Herba Tropika - Terdapat lebih 500 jenis herba tradisional dikawasan seluar 8 ekar.
  6. Kebun Buah-buahan Tropika - Mempunyai lebih 140 pokok buah-buahan eksotik di kawasan seluas 25 ekar.

Maklumat lanjut tentang Teluk Bahang boleh dibaca di halaman Bercuti di Teluk Bahang Penang.

Taman Negara Pulau Pinang

Bagi pencinta alam semulajadi, tempat menarik di Pulau Pinang yang boleh anda kunjungi ialah Taman Negara yang terletak di Teluk Bahang. Walau bagaimanapun, tiada penginapan disediakan di sini dan pelancong hanya boleh melawat sahaja. Perkhemahan juga tidak dibenarkan melainkan program yang dijalankan oleh Taman Negara untuk sekolah dan IPT.

Apa yang menarik di Taman Negara Pulau Pinang? Seperti kebanyakan Taman Negara, pengunjung boleh melihat berbagai jenis pokok yang unik dikawasan ini dimana terdapat hutan pamah, hutan bukit dan hutan bakau. Lebih 1,000 spesis tumbuh-tumbuhan direkodkan ada di sini. Untuk aktiviti merentas hutan, beberapa tempat menarik boleh dikunjungi seperti Pantai Kerachut, Teluk Tukun, Pasir Pandak, Teluk Aling, Teluk Duyung (Monkey Beach) dan Rumah Api Muka Head.

Alamat / Lokasi:
Taman Negara Pulau Pinang
Jalan Hassan Abas,
11050 Teluk Bahang,
Pulau Pinang

Monkey Beach Penang

Monkey Beach ialah pantai menarik yang terletak di Taman Negara Pulau Pinang. Pantai disini ialah antara yang tercantik di Pulau Pinang. Struktur pantai yang landai dan berpasir halus serta air laut yang berombak kecil sangat sesuai untuk mandi-manda. Ia merupakan lokasi popular perkelahan dihujung minggu. walau bagaimanapun, pada hari biasa ia agak sunyi dan cukup tenang.

Monkey Beach

Pelancong yang berminat untuk ke Monkey Beach boleh menaiki bot di jeti berhampiran pintu masuk ke Taman Negara. Sewa bot ialah sekitar RM50. Pelancong juga boleh berjalan kaki mengikut laluan ditepi pantai dalam Taman Negara. Jika anda sukakan aktiviti lasak, daftar di pejabat Taman Negara. Perjalanan agak mencabar dan ada beberapa lokasi menarik sebelum tiba ke destinasi.

Alamat / Lokasi:
Monkey Beach Penang
Jalan Hassan Abas,
11050 Teluk Bahang,
Pulau Pinang

Pantai Kerachut

Pantai Kerachut terletak dihujung Taman Negara Pulau Pinang di sebelah barat. Pantai ini menghadap Selat Melaka. Ia adalah salah sebuah pantai di Pulau Pinang yang sangat menarik dan mesti dikunjungi. Walau bagaimanapun, untuk ke pantai ini, pelancong perlu samada menaiki bot atau berjalan kaki merentas hutan Taman Negara.

Pantai Kerachut

Jika anda ingin merentas hutan, daftar di pejabat Taman Negara dan jangan lupa beli tiket Titian Kanopi. Perjalanan agak jauh dan mencabar tetapi menyeronokkan. Syaratnya anda perlu sihat dan sentiasa aktif bersukan. Jika tidak, mesti semput.

Alamat / Lokasi:
Pantai Kerachut
Taman Negara Pulau Pinang,
11050 Teluk Bahang,
Pulau Pinang

Air Itam

Air Itam terletak tidak jauh dari pusat bandar Georgetown. Tempat menarik paling terkenal di sini ialah Bukit Bendera. Selain itu, Suffolk House, Kuil Kek Lok Si, Empangan Air Itam dan Masjid Negeri yang terletak tidak jauh dari kawasan ini turut menjadi tarikan pelancong.

Bukit Bendera

Tidak lengkap melancong ke Pulau Pinang jika tidak ke Bukit Bendera. Ia adalah tempat menarik yang sangat popular di negeri ini. Pusat peranginan tanah tinggi ini mempunyai banyak sejarah dan berbagai kesan peninggalan penjajah masih boleh dilihat hingga sekarang. Pengunjung dapat menikmati pemandangan menarik Bandaraya Georgetown hingga ke laut, menjamu selera dan melawat beberapa lokasi yang ada di puncak bukit.

Viewing Deck berhampiran Stesen Atas.

Waktu operasi / Waktu melawat:
Setiap hari : 6.30am - 11pm.

Harga Tiket Cable Car:
Dewasa : RM10.
Kanak-kanak : RM4.

Alamat / Lokasi:
Bukit Bendera
Jalan Stesen Bukit Bendera,
Ayer Itam 1,
11500 George Town,
Pulau Pinang

Maklumat lanjut tentang Bukit Bendera boleh dibaca di halaman Bercuti ke Bukit Bendera.

Kek Lok Si

Kek Lok Si ialah sebuah kuil Buddha yang sangat terkenal terletak di Air Itam. Kuil ini dikatakan kuil Buddha terbesar di Asia Tenggara. Mula dibina pada tahun 1890 dan siap sepenuhnya pada 1930. Ia merangkumi pagoda setinggi 7 tingkat, patung gangsa Buddha dan patung gangsa Kuan Yin setinggi 30.2 meter. Ia menawarkan pemandangan yang cukup cantik.

Waktu operasi / Waktu melawat:
Setiap hari : 7am - 9pm.

Bayaran masuk: Percuma
Pagoda : RM2.
Sky Lift : RM2.

Alamat / Lokasi:
Kek Lok Si
1000-L, Tingkat Lembah Ria 1,
11500 George Town,
Pulau Pinang

Bayan Lepas

Jika anda berkunjung ke Bayan Lepas, beberapa tempat menarik boleh dilawati. Kawasan ini terkenal dengan tempat makan sedap, kompleks membeli-belah dan beberapa destinasi menarik untuk dilawati.

War Museum Penang

War Museum Penang atau Muzium Perang Pulau Pinang ini terletak di Batu Maung. Ia adalah bekas kubu yang dibina oleh tentera British sebelum Perang Dunia Kedua. Pengunjung yang melawat muzium ini akan dapat melihat bagaimana bentuk kubu peperangan, berjalan dalam terowong bawah tanah, melihat bilik arahan bawah tanah, Anti Air-craft Pit, Canon Firing Bay dan bermacam-macam lagi.

War Museum Penang

Muzium Perang Batu Maung ini terletak dipuncak bukit. Kawasan kubu masih dalam keadaan asal, diliputi pokok-pokok hutan semulajadi yang sangat menenangkan atau mungkin juga menyeramkan. Kenapa? Anda akan tahu setelah anda datang ke mari. Apa pun War Museum Penang adalah antara tempat menarik di Pulau Pinang yang paling popular dan tidak boleh dilupakan.

Waktu operasi / Waktu melawat:
Setiap hari : 9.00 pagi hingga 6.00 petang.
Night Tour : 7.00 malam hingga 11.00 malam.

Harga Tiket / Bayaran Masuk:
Dewasa : RM20.
Kanak-kanak : RM10.

Alamat / Lokasi:
War Museum Penang
Jalan Batu Maung,
11960 Batu Maung,
Pulau Pinang

Maklumat lanjut tentang War Museum Penang boleh dibaca di halaman Muzium Perang Pulau Pinang.

Nota:Kredit gambar pada Google dan Wikipedia.

Tarikan pelancongan di Bayan Lepas

Tarikan pelancongan lain yang ada di Bayan Lepas, Pulau Pinang ialah:

  1. Kuil Ular - Juga terkenal dengan panggilan Tokong Ular.
  2. Penang Aquarium - Penang Aquarium terletak di Batu Maung. Anda boleh melihat berbagai spesis ikan dalam 25 tangki yang terdapat di sini.

Seberang Perai Selatan

Jika anda berkunjung ke Seberang Perai Selatan, beberapa tempat menarik boleh dilawati seperti kawasan alam semulajadi, taman rekreasi dan lain-lain. Antara destinasi popular dikalangan pelancong ialah:

Hutan Lipur Bukit Panchor

Hutan Lipur Bukit Panchor ialah kawasan hutan semulajadi yang terletak di Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan. Ia telah diwartakan sebagai Taman Negeri dan menjadi tempat rekreasi popular bagi penduduk sekitar untuk beriadah atau berkelah semasa cuti. Dikawasan ini terdapat sungai dan kolam mandi yang cetek sesuai untuk kanak-kanak. Berbagai kemudahan disediakan termasuk chalet, tapak perkhemahan, dewan, tandas, kantin dan surau. Untuk aktivit riadah, terdapat trek jogging, berbasikal dan laluan pejalan kaki.

Pemandangan cantik daun-daun berwarna-warni yang gugur ditanah menghasilkan pemandangan yang cukup menarik untuk lensa kamera. Bagi penggemar aktiviti lasak, anda boleh mengikuti ekspedisi merentas hutan serta meneroka gua yang terkenal disini iaitu Gua Kelawar dan Gua Tongkat.

Hutan Lipur Bukit Panchor, Nibong Tebal.

Pulau Aman

Salah satu kawasan yang kian menjadi perhatian pelancong di Pulau Pinang ialah Pulau Aman. Ia terkenal dengan program homestay yang dijalankan di perkampungan nelayan disini. Tempat menarik yang boleh dilawati ialah pantai, perkampungan tradisi nelayan, jeti Pulau Aman dan Telaga Emas. Namun, apa yang membuatkan Pulau Aman sering dikunjungi ialah keenakan mee udang. Pastikan anda mencuba jika berkunjung ke pulau ini.

Pulau Aman, Batu Kawan.

Sungai Kerian

Sungai Kerian terletak di Nibong Tebal. Ia terkenal sebagai lokasi untuk melihat kelip-kelip di waktu malam. Kawasan tebing sungai yang ditumbuhi pokok-pokok bakau menjadi habitat serangga tersebut dan akan terbang selepas matahari terbenam. Pelancong yang berminat boleh menaiki bot menyusuri sungai. Biasanya harga yang dikenakan ialah RM10 seorang.

Sungai Kerian, Nibong Tebal.

Seberang Perai Tengah

Seberang Perai Tengah merangkumi kawasan Bukit Mertajam, Perai, Seberang Jaya dan Permatang Pauh. Tarikan pelancongan disini ialah membeli-belah dan makanan. Tempat membeli-belah paling popular ialah Megamal Pinang, AEON BIG dan Tesco. Manakala makanan paling popular ialah char kuey teow dan ikan bakar. Beberapa tempat menarik popular boleh dilawati seperti:

Taman Burung Pulau Pinang

Taman Burung Pulau Pinang terletak di Seberang Jaya. Ia adalah yang pertama seumpamanya dan terbesar di Malaysia. Terdapat lebih 300 spesis burung yang mana 150 darinya adalah spesis tempatan. Antara burung yang ada termasuk raja udang, burung unta, enggang dan kakak tua. Taman ini adalah pilihan yang sesuai untuk membawa anak-anak anda berjalan kerana selain mengenali berbagai jenis burung, saiz dan warna cukup menarik serta pengalaman memberi makan sangat mengujakan.

Taman Burung Pulau Pinang.

Waktu operasi / Waktu melawat:
Setiap hari : 9am - 7pm.

Harga Tiket / Bayaran Masuk:
Dewasa : RM23.
Kanak-kanak : RM13.

Alamat / Lokasi:
Taman Burung Pulau Pinang
Jalan Todak, Seberang Jaya,
13700 Perai,
Pulau Pinang

Empangan Mengkuang

Empangan Mengkuang adalah lokasi menarik untuk bersantai, berehat atau beriadah. Ia adalah tasik buatan yang dikelilingi bukit dan hutan semulajadi yang menghijau. Pemandangan disini memang cantik dan menenangkan. Ia terletak di Mengkuang, Bukit Mertajam. Pengunjung yang ingin kesini seeloknya datang diwaktu pagi. Bayaran masuk tidak dikenakan.

Empangan Mengkuang di Bukit Mertajam.

Penginapan di Pulau Pinang

Untuk melihat potongan harga hotel dan resort di Pulau Pinang, anda boleh menyemak dan menempah bilik penginapan melalui BOOKING.COM.

Setakat ini dahulu senarai tempat menarik di Pulau Pinang yang paling popular dikalangan pelancong. Ada beberapa lokasi lain yang menarik untuk dilawati boleh dilihat di halaman Senarai tempat menarik di Penang. Semoga maklumat ini berguna pada anda yang bercadang untuk bercuti di Pulau Pinang. Selamat merancang percutian bajet dan jangan lupa kongsikan artikel ini di laman fb, twitter dan sebagainya untuk rakan-rakan anda juga.

Comments

1

any recommendation for student ??? can play and something excited ....suitable for group student...

Add new comment