Senarai tempat menarik di Kota Kinabalu

Salah satu destinasi pelancongan yang popular di Malaysia ialah Kota Kinabalu Sabah. Dahulunya dikenali dengan nama Jesselton. Ia juga popular dengan panggilan KK sahaja. Ramai pelancong singgah di bandaraya ini untuk melancong ke Taman Laut Tunku Abdul Rahman atau mendaki Gunung Kinabalu. Sebenarnya terdapat banyak tempat-tempat menarik di KK yang boleh dilawati dan kali ini Percutian Bajet akan senaraikan lokasi pelancongan utama untuk dilawati bila berkunjung ke sini.

Nota: Untuk melihat tempat menarik di lokasi lain di Sabah, sila lawati halaman Senarai tempat menarik di Sabah.

Tempat menarik di Kota Kinabalu

Memang banyak sekali tempat menarik di Kota Kinabalu yang boleh dilawati jika anda berkunjung ke bandaraya ini. Ada lokasi pelancongan pendidikan, tempat bersejarah, taman rekreasi dan bermacam-macam lagi. Senarai dibawah ialah antara destinasi utama yang menjadi tarikan pelancong di Kota Kinabalu.

Jesselton Point Waterfront

Sesiapa sahaja yang bercuti ke Kota kinabalu mesti datang ke Jesselton Point Waterfront. Ia adalah terminal feri utama di Kota Kinabalu. Orang-ramai yang ingin ke Labuan dan Brunei akan menaiki feri di sini. Selain itu, pelancong yang ingin melawat pulau-pulau menarik di Kota Kinabalu seperti Taman Laut Tunku Abdul Rahman juga akan menaiki bot di terminal feri ini.

Kawasan sekitar Jesselton Point ini dibangunkan dengan pelbagai kemudahan dan binaan menarik menjadikan ia salah satu tempat menarik di Kota Kinabalu yang harus dikunjungi. Terdapat gerbang yang besar di pintu masuk yang menjadi mercu tanda terminal feri ini. Ada pondok telefon klasik seperti di England, gerai-gerai di tepi laut dan laluan pejalan kaki diatas air. Jeti ini sungguh bersih dan cantik. Pengunjung boleh bersiar-siar ditepi laut atau bersantai di gerai sambil menikmati hidangan makanan. Pemandangan laut yang indah dan bayu yang menghembus dingin pasti mempersonakan anda.

Alamat:
Jesselton Point Waterfront
Ferry Terminal, Jalan Haji Saman,
88000 Kota Kinabalu, Sabah.

Jesselton Point Waterfront Kota Kinabalu.

Aquarium & Marine Museum

Aquarium & Marine Museum adalah tempat menarik di Kota Kinabalu yang mesti dilawati jika berkunjung ke Sabah. Terletak didalam kompleks Borneo Marine Research Institute (BMRI), terdapat lebih 150 spesis hidupan laut termasuk 30 spesis batu karang dipamerkan pada pengunjung. Ia adalah pusat pameran akuarium yang menawarkan fasiliti terbaik di Pulau Borneo. Antara yang fasiliti menarik yang ada disini ialah pameran terumbu karang secara langsung, laluan pejalan kaki di hutan paya bakau, Muzium Maritim dan Marin, Kiosk Maklumat Multimedia Interaktif dan lain-lain.

Bayaran masuk / Harga tiket:
Dewasa: RM10.
Pelajar: RM5.

Alamat:
Aquarium & Marine Museum
Universiti Malaysia Sabah Borneo Marine Research Institute,
Jalan UMS, Sabah, 88400 Kota Kinabalu, Sabah.

Aquarium & Marine Museum Kota Kinabalu.

Sabah Art Gallery

Sabah Art Gallery atau Balai Seni Lukis Sabah ini merupakan lokasi wajib bagi peminat lukisan. Sesiapa sahaja pasti akan terpegun sejenak apabila tiba di bangunan galeri ini. Ia mempunyai rekabentuk dan senibina yang unik dan sangat mengagumkan. Ia tidak berakhir begitu sahaja. Apabila melangkah masuk, pengunjung akan terpesona dengan pemandangan menarik didalam galeri. Terdapat lebih 3000 lukisan dan ukiran dipamerkan disini. Selain itu, lebih daripada 12 acara akan diadakan setiap tahun yang mempamerkan pelukis baru, tema baru dan pendekatan baru dalam seni lukis.

Dibuka pada hari Sabtu hingga Khamis dari pukul 9:00 pagi to 5:00 petang kecuali cuti umum.

Bayaran masuk / Harga tiket:
Dewasa: RM3.
Pelajar: RM2.
Kanak-kanak: RM1.

Alamat:
Sabah Art Gallery
Mile 2, Jalan Penampang,
88000 Kota Kinabalu, Sabah.

Sabah Art Gallery Kota Kinabalu.

Borneo Art Gallery

Borneo Art Gallery terletak di Kompleks Asia City, bandar Kota Kinabalu. Galeri ini mempamerkan koleksi lukisan anak tempatan yang berbakat besar dan juga beberapa lukisan dari pelukis filipina dan Indonesia. Bagi peminat seni lukis, Borneo Art Gallery yang terletak di Kompleks Asia City adalah lokasi menarik yang mesti dikunjungi. Anda boleh menjamu mata dengan berbagai lukisan yang dipamerkan dan jika anda memang mencari lukisan untuk hiasan rumah atau pejabat, semua lukisan disini adalah untuk dijual.

Borneo Art Gallery dibuka pada hari Isnin hingga Sabtu dari pukul 9:00 pagi to 9:00 malam dan hari Ahad dari pukul 9:00 pagi hingga 3:00 petang.

Bayaran masuk / Harga tiket: Tidak dikenakan apa-apa bayaran. Masuk adalah percuma.

Alamat:
Sabah Art Gallery
Suite 2.28, 2nd Floor,
Complex Asia City, Jln. Asia City,
88000 Kota Kinabalu, Sabah.

Masjid Bandaraya Kota Kinabalu

Masjid Bandaraya Kota Kinabalu ini merupakan sebuah masjid utama yang kedua selepas Masjid Negeri di Sembulan. Ia terletak di tepi laut Teluk Likas dan mempunyai rekabentuk menarik menyerupai Masjid Nabawi di Madinah. Masjid Bandaraya Kota Kinabalu adalah antara masjid yang tercantik di Malaysia. Ia boleh memuatkan sehingga 12,000 jemaah pada satu masa. Pastikan anda menziarahi masjid ini jika bercuti di Kota Kinabalu.

Alamat:
Masjid Bandaraya Kota Kinabalu
88000 Kota Kinabalu,
Sabah.

Masjid Bandaraya Kota Kinabalu

Mari Mari Cultural Village

Mari Mari Cultural Village ialah perkampungan budaya dan merupakan tempat menarik di Kota Kinabalu yang mesti dikunjungi. Ia terletak jauh dari kepesatan pembangunan dan kesibukan kota. Perkampungan budaya ini dipelihara dan dikekalkan sebagai muzium etnik dan kebudayaan Sabah. Ia bagi berkongsi pengetahuan, sejarah, budaya, dan tradisi supaya tidak dilupakan.

Terletak agak jauh di Kionsom, Inanam, iaitu kira-kira satu setengah jam perjalanan dari bandaraya Kota Kinabalu. Mari Mari Cultural Village mengumpulkan 5 etnik utama di Sabah didalam satu kampung iaitu pesawah padi Kadazan-Dusun, penghuni rumah panjang Rungus, pemburu dan nelayan Lundayeh, penghuni laut Bajau dan suku pemburu kepala yang digeruni Murut. Pengunjung dapat melihat sendiri kehidupan tradisional yang cuba dikekalkan disini.

Mari Mari Cultural Village dibuka pada hari Isnin hingga Sabtu dari pukul 10:00 pagi to 10:00 malam.

Bayaran masuk / Harga tiket: .

Alamat:
Mari Mari Cultural Village
Inanam, Kota Kinabalu,
Sabah.

Mari Mari Cultural Village Kota Kinabalu.

Menara Tun Mustapha

Menara Tun Mustapha dibina pada tahun 1977 dan merupakan salah satu mercu tanda dan ikon bagi Sabah. Ia terletak di Teluk Likas, iaitu kira-kira 5 KM dari pusat bandar Kota Kinabalu. Dahulunya dikenali sebagai Bangunan Yayasan Sabah. Menara ini mempunyai rekabentuk unik berupa kon dengan ketinggian 30 tingkat dan merupakan bangunan kedua tertinggi di Borneo. Ia berputar 360 darjah dalam masa sejam.

Menara Tun Mustapha menempatkan pejabat Yayasan Sabah, beberapa pejabat kerajaan yang lain serta auditorium, dua mini theater, ruang legar pameran, gymnasium, perpustakaan dan restoran.

Lokasi:
Menara Tun Mustapha
88502 kota Kinabalu,
Sabah.

Tempat bersejarah di Kota Kinabalu

Pada awalnya Sabah berada dibawah kerajaan kesultanan Brunei. Kemudian British menjajah dan memerintah lebih 60 tahun sebelum akhirnya Sabah merdeka dan menyertai Malaysia. Negeri Sabah mempunyai banyak kesan peninggalan sejarah yang menarik dan masih boleh dilihat hingga ke hari ini. Berikut ialah tempat bersejarah di Kota Kinabalu yang masih kekal dan boleh dilawati.

KK Heritage Walk

KK Heritage Walk adalah laluan perjalanan untuk melawat lokasi-lokasi bersejarah yang ada di bandaraya Kota Kinabalu. Ia bermula dari Padang Merdeka dimana pengisytiharan kemerdekaan mula-mula dilakukan. Perjalanan seterusnya ialah ke Atkinson Clock Tower, dan Gaya Street, dimana terletaknya bangunan-bangunan kedai yang dibina sekitar tahun 1900. Kemudian pelancong akan dibawa ke Tugu Peringatan Malaysia dan juga North Borneo War Memorial. Monumen ini telah dibina pada tahun 1923 bagi memperingati askar yang terkorban dari Britain, Australia dan Malaysia.

Perjalanan diteruskan ke salah satu dari bangunan sejarah yang yang masih kekal selepas perang dunia kedua iaitu Sabah Tourism Board. Bangunan yang mempunyai rekabentuk dan senibina kolonial ini telah dibaik-pulih dan masih beroperasi hingga hari ini. Tidak jauh dari sini terletak Independence Community Center yang kini dikenali sebagai Kota Kinabalu Multi Purpose Hall.

Seterusnya pelancong akan dibawa ke Australia Place, iaitu lokasi dimana askar Australia berkhemah apabila mereka mendarat di Jesselton semasa perang dunia kedua. Lokasi terakhir KK Heritage Walk ialah Muzium Kopitiam. Anda boleh menikmati roti bakar dan kopi botol disini. Tetapi itu bukanlah tarikan utamanya. Di muzium ini terdapat berbagai artifek sejarah, gambar dan pelbagai keratan bahan bacaan dari zaman sebelum perang yang sangat menarik.

Anda yang ingin mengikuti KK Heritage Walk ini boleh menghubungi:

Alamat:
Sabah Tourism Board
51 Gaya Street,
88000 Kota Kinabalu, Sabah.

Hubungi:
Tel: +6088 212121
Fax: +6088 212075
Email: info@sabahtourism.com

Atkinson Clock Tower

Atkinson Clock Tower ialah menara jam bersejarah yang terletak di bandar Kota Kinabalu. Ia dibina pada tahun 1905 bagi memperingati pegawai daerah Jesselton yang pertama iaitu Francis George Atkinson. Menara setinggi 15.24 meter ini dibina daripada kayu dan ia tetap teguh hingga ke hari ini walaupun telah melalui zaman perang.

Disebabkan kedudukannya diatas bukit, ia pernah menjadi panduan kapal yang ingin berlabuh di pelabuhan Jesselton pada zaman dahulu. Kini bangunan-bangunan tinggi telah dibina dan menara jam Atkinson tidak lagi penting seperti dahulu. Ia sekadar menjadi penunjuk masa yang menyimpan sejarah Kota Kinabalu.

Lokasi:
Atkinson Clock Tower
88400 Kota Kinabalu,
Sabah.

Atkinson Clock Tower, Kota Kinabalu.

Keterangan gambar: Atkinson Clock Tower pada masa dahulu. Kredit gambar: en.wikimedia.org

Double Six Monument

Double Six Monument ialah sebuah memorial yang dibina bagi mengingati kemalangan kapal terbang pada 6 June 1976 yang melibatkan Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephens dan enam orang yang lain. Ia terletak di Sembulan, Kota Kinabalu. Double Six Monument dibina diatas kawasan kemalangan itu berlaku. Kini terdapat beberapa kemudahan awam disediakan dikawasan memorial seperti medan selera, tempat meletak kereta dan lain-lain. Selain itu, disini juga dibina lanskap yang cantik. Semua fasiliti ini adalah untuk rakyat sabah dan mereka yang mengunjungi lokasi tragedi menyedihkan ini bagi memperingati mangsa yang terkorban.

Lokasi:
Double Six Monument
Grace Garden, Sembulan,
88300 Kota Kinabalu, Sabah

Muzium Sabah

Muzium Sabah adalah antara tempat menarik di Kota Kinabalu yang harus dilawati. Ini kerana ia bukan hanya menyimpan khazanah lama dan artifek sejarah tetapi terdapat berbagai pameran lain seperti Pusat Sains dan Teknologi, Kampung Warisan, Ethno-Botanical Garden dan Muzium Tamadun Islam.

Bangunan utama Muzium Sabah mempamerkan artifek sejarah dan kebudayaan di Sabah. Pusat Sains dan Teknologi pula terdapat pameran pengeluaran minyak dan gas di Sabah, penyiaran di Sabah dan Keretapi Borneo Utara di Sabah. Kampung Warisan atau Heritage Village ialah satu kawasan yang terdapat pelbagai jenis rumah tradisional daripada penduduk peribumi Sabah. Anda boleh masuk kedalam rumah dan melihat sendiri keadaan sebenar setiap rumah.

Ethno-Botanical Garden mengandungi berbagai tanaman untuk perdagangan, perubatan, upacara dan makanan. Manakala Muzium Tamadun Islam pula terdapat berbagai pameran seperti Islam di Nusantara, Islam di Malaysia, Islam Sabah, Nabi Muhammad dan Hukum Islam.

Muzium Sabah dibuka pada hari Isnin hingga Sabtu dari pukul 9:00 pagi to 5:00 petang.

Bayaran masuk / Harga tiket:
Dewasa: RM2.
Pelajar: Percuma jika berunifom.
Kanak-kanak: Percuma.

Alamat:
Sabah Museum Complex
Jalan Muzium,
88300 Kota Kinabalu, Sabah.

Muzium Sabah Kota Kinabalu.

North Borneo Railway

Sejarah keretapi di Sabah telah bermula sejak tahun 1896 lagi. Beberapa landasan dibina bagi menghubungkan bahagian-bahagian di Sabah bagi mengangkut hasil hutan, hasil pertanian dan penumpang ke pelabuhan. Apa yang menarik ialah, keretapi diesel lama telah dibaik-pulih dan beroperasi sebagai salah satu tarikan pelancongan di Sabah.

Pengunjung akan dapat merasai suasana menaiki keretapi di zaman British North Borneo apabila menaiki keretapi lama tahun 1900an ini. Ia dipulihara dan diubahsuai bagaikan gerabak keretapi penumpang kolonial. Perkhidmatan keretapi ini bermula dari Tanjung Aru, Kota Kinabalu melalui landasan ke Kinarut dan seterusnya berakhir di Papar. Pengunjung akan disajikan dengan sarapan pagi ala-Tiffin serta makan tengahari dengan hidangan Asia dan Continental.

Bayaran / Harga tiket:
Dewasa: RM318.
Pelajar: RM159.

Alamat:
Tanjung Aru Railway Station
Mail Bag 2047,
88999 Kota Kinabalu,
Sabah.

Taman rekreasi di Kota Kinabalu

Jika anda ingin bersantai di Kota Kinabalu, ada beberapa lokasi yang boleh dikunjungi. Selain tempat membeli-belah, taman rekreasi juga sesuai kerana sambil bersiar-siar anda boleh bergambar dan menjamu selera. Bagi mengisi masa terluang, berikut ialah senarai taman rekreasi di Kota Kinabalu yang menarik untuk dilawati.

KK Esplanade

Terletak ditengah-tengah bandaraya Kota Kinabalu, KK Esplanade ialah lokasi menarik berlatar-belakangkan pemandangan indah bandaraya dan juga panorama laut yang memukau. Disini tersedia bangku untuk pengunjung, tugu ikan lumba-lumba dan pelantar laut yang luas. Pemandangan indah disini begitu menakjubkan dan salah satu lokasi bergambar yang cukup menarik di Kota Kinabalu.

Lokasi:
KK Esplanade
Pusat Bandaraya Kota Kinabalu,
Sabah.

Kota Kinabalu Wetlands

Dahulunya dikenali sebagai Kota Kinabalu City Bird Sanctuary. Kawasan hutan bakau seluas 60 ekar ini dipelihara dan diuruskan oleh NGO tempatan untuk tujuan pemuliharaan, pendidikan, rekreasi, pelancongan dan penyelidikan. Pengunjung boleh berjalan dikawasan ini untuk melihat berbagai spesis burung (lebih 80 spesis), ketam dan lain-lain lagi.

Alamat:
Kota Kinabalu Wetland Centre
Jalan Teluk Likas,
88400 Kota Kinabalu, Sabah.

Pantai di Kota Kinabalu

Pantai adalah lokasi pelancongan yang mempunyai tarikan tersendiri. Mungkin bagi sesetengah orang, pantai adalah sama dimana-mana tetapi ia tetap menjadi destinasi percutian popular dan lokasi tumpuan orang-ramai. Jika anda minat melancong di tepi pantai, ada beberapa pantai menarik di Kota Kinabalu yang boleh dikunjungi.

Pantai Tanjung Aru

Pantai Tanjung Aru ialah sebuah pantai menarik di Kota Kinabalu yang harus dikunjungi. Pantai ini merupakan tempat perkelahan yang popular di kalangan masyarakat tempatan dan juga pelancong. Ia terletak kira-kira 6 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan kurang dari setengah kilometer dari terminal 2 Airasia.Pantai Tanjung Aru turut dihubungkan ke rangkaian kereta api Sabah melalui Stesen Keretapi Tanjung Aru.

Lokasi:
Pantai Tanjung Aru
Tanjung Aru,
88100 Kota Kinabalu, Sabah.

Pantai Tanjung Lipat Likas

Satu lagi pantai di Kota Kinabalu yang mesti dikunjungi ialah Pantai Tanjung Lipat yang terletak di Likas. Ia adalah kawasan rekreasi dan tempat perkelahan keluarga yang sangat popular. Bagi anda yang suka melayan matahari terbenam, pantai ini merupakan satu lokasi yang sesuai anda. Pemandangan yang cantik bila awan bertukar warna dan mega merah yang menghiasi langit cukup mempersonakan.

Lokasi:
Pantai Tanjung Lipat
Jalan Tanjung Lipat,
88823 Kota Kinabalu, Sabah.

Pantai Tanjung Lipat Likas, Kota Kinabalu.

Pulau di Kota Kinabalu

Salah satu tempat menarik di Kota Kinabalu yang mesti dikunjungi ialah pulau-pulau pelancongan yang ada di perairannya. Terdapat lima buah pulau yang boleh anda kunjungi seperti Pulau Manukan, Pulau Gaya, Pulau Sapi, Pulau Mamutik dan Pulau Sulug. Gugusan pulau-pulau ini dinamakan sebagai Taman Laut Tunku Abdul Rahman. Ia sangat terkenal untuk aktiviti menyelam, snorkeling dan berenang kerana laut yang dangkal dan kaya dengan terumbu karang dan hidupan laut yang cantik.

Pulau Gaya

Pulau Gaya adalah pulau yang paling cantik di Kota Kinabalu dan peling besar antara semua pulau di Taman Laut Tunku Abdul Rahman. Pulau ini terkenal dengan pantainya yang cantik dan berpasir putih. Pantai sepanjang 400 meter ini menjadi tempat berenang pelancong yang berkunjung ke sini. Pulau Gaya juga paling kaya dengan flora dan fauna. Jika anda ingin bermalam, terdapat dua buah resort bertaraf 5 bintang di pulau ini iaitu Gayana Eco Resort dan Bunga Raya Island Resort yang sangat sesuai dijadikan tempat penginapan.

Pulau Manukan

Pulau Manukan ialah pulau kedua terbesar di Taman Laut Tunku Abdul Rahman. Ia adalah pulau yang paling popular dikalangan penduduk Kota Kinabalu. Ini kerana Pulau Manukan adalah pulau yang paling membangun dari segi fasiliti pelancongan. Terdapat kemudahan chalet, restoran dan diving centre. Kemudahan infrastruktur seperti elektrik, air, perparitan dan telekomunikasi juga terdapat disini. Ada beberapa pantai menarik di pulau ini yang sesuai untuk mandi laut dan berenang. Namun aktiviti yang paling popular di Pulau Manukan ialah menyelam dan snorkeling kerana kejernihan airnya yang menghijau dan kecantikan dasar laut disekitar perairan pulau ini.

Pulau Sapi

Pulau Sapi adalah pulau yang ketiga yang ada di Taman Laut Tunku Abdul Rahman. Ia kurang membangun berbanding Pulau Manukan dan sesuai untuk mereka yang sukakan suasana damai alam semulajadi. Pantainya cantik dan pemandangan hutannya juga sangat menarik. Lautnya jernih dan mempunyai coral serta hidupan laut berwarna-warni membuatkan pulau ini menjadi pilihan para penyelam dan juga snorkeling.

Pulau Sapi Kota Kinabalu.

Pulau Mamutik

Sebuah lagi pulau menarik di Kota Kinabalu ialah Pulau Mamutik. Ramai pelancong datang ke pulau ini untuk melihat kecantikan alam semulajadi dan pantainya yang cantik. Seperti juga pulau-pulau lain, Pulau Mamutik sesuai untuk mandi dan snorkeling. Walau bagaimanapun, tiada kemudahan chalet atau restoran di pulau ini. Jadi pastikan anda tidak terlepas bot terakhir yang meninggalkan pulau Mamutik.

Pulau Mamutik Kota kinabalu.

Pulau Sulug

Pulau Sulug adalah pulau terakhir diantara pulau-pulau Taman Laut Tunku Abdul Rahman. Ia adalah pulau kecil yang cantik dan mempunyai pasir putih disepanjang pantainya. Kejernihan dan kecantikan laut di Pulau Sulug adalah seperti pulau-pulau lain namun ia kurang popular kerana tiada kemudahan pelancongan disediakan di pulau ini.

Penginapan di Kota Kinabalu

Banyak hotel yang sesuai untuk dijadikan tempat penginapan di Kota Kinabalu. Untuk melihat senarai dan potongan harga hotel di Kota Kinabalu, anda boleh menyemak dan menempah bilik penginapan melalui BOOKING.COM.

Setakat ini dahulu yang dapat kami kongsikan senarai tempat menarik di Kota Kinabalu untuk dilawati jika bercuti di sini. Banyak lagi tempat menarik yang ada seperti tempat membeli-belah, tempat makan dan lain-lain. Jika masa mengizinkan, kami akan kemaskini dilain waktu. Bagi anda yang pernah berkunjung ke sini, kongsikan pengalaman anda dan tips melancong di bahagian komen dibawah.

Lokasi