Tempat menarik di Kuching untuk di lawati

Pernahkah anda terfikir untuk bercuti ke Kuching Sarawak? Bandaraya ini ialah satu destinasi pelancongan yang sangat menarik sebenarnya. Beberapa buah Taman Negara yang unik merupakan tarikan utama pelancong. Selain itu, terdapat banyak lagi tempat menarik di Kuching untuk dilawati seperti Muzium Sarawak dan Kampung Budaya yang sangat terkenal. Kali ini Percutian Bajet telah menyusun beberapa lokasi yang menjadi tarikan pelancong di pusat bandar dan kawasan sekitarnya sebagai panduan anda yang ingin kesana.

Nota: Untuk melihat lokasi percutian di Sarawak, sila lawati halaman Senarai tempat menarik untuk percutian di Sarawak.

Pemandangan Sungai Sarawak.

Tempat menarik di Kuching

Berikut ialah senarai tempat menarik di Kuching yang boleh dilawati.

Kampung Budaya Sarawak

Kampung Budaya Sarawak ialah tempat menarik di Kuching yang mesti dilawati jika berkunjung ke Bumi Kenyalang. Anda akan dapat melihat kebudayaan dan cara hidup tradisional masyarakat Sarawak dari pelbagai kaum. Kawasan seluas 17 ekar ini mempunyai rumah-rumah tradisional etnik yang ada di Sarawak seperti rumah panjang Bidayuh, rumah panjang Iban, rumah tinggi Melanau dan lain-lain lagi.

Pengunjung dapat melihat aktiviti harian penduduk dan pertunjukan kebudayaan etnik yang ada. Pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat tentang adat serta cara hidup tradisional dari penduduk disini. Sebagai cenderahati, pengunjung boleh membeli berbagai barangan kraftangan menarik yang dihasilkan di kedai kraftangan untuk dibawa pulang sebagai kenang-kenangan.

Waktu lawatan:
Isnin hingga Ahad (Setiap hari) : 9:00 pagi - 5:00 petang.
Pertunjukan Kebudayaan (Setiap hari) : 11:30 pagi - 12:15 tengahari dan 4:00 petang - 4:45 petang.

Harga tiket / Bayaran masuk:
Dewasa: RM60.
Kanak-kanak: RM30.

Lokasi / Alamat:
Kampung Budaya Sarawak
Pantai Damai, Santubong,
93762 Kuching, Sarawak.

Hubungi:
Tel: (6082) 846 411
Fax: (6082) 846 988

Kampung Budaya Sarawak di Kuching.

Orchid Park Kuching

Orchid Park atau Orchid Garden terletak berhampiran dengan Dewan Undangan Negeri Sarawak. Taman bunga di tengah bandar ini adalah tempat menarik di Kuching yang cukup popular dikalangan peminat orkid. Terdapat berbagai spesis orkid boleh dilihat disini. Kawasannya agak luas iaitu 3.5 ekar, namun ia tersusun dengan kemas dan cantik. Pokok-pokok orkid ditanam di kiri kanan lorong pejalan kaki. Taman ini juga dihiasi lanskap yang cantik dengan kolam air dan wakaf untuk pengunjung berehat.

Harga tiket / Bayaran masuk: Percuma.

Lokasi / Alamat:
Kuching Orchid Garden
96000 Kuching,
Sarawak.

Kuching Civic Centre

Salah satu mercu tanda bandaraya ini ialah Dewan Suarah Negeri Kuching atau juga dikenali sebagai Kuching Civic Centre. Rekabentuknya sangat unik iaitu seperti sebuah payung. Dari atas menara ini, pengunjung boleh melihat pemandangan menarik seluruh bandaraya Kuching dan kawasan sekitar. Malah jika cuaca cerah, pengunjung boleh melihat hingga ke Gunung Serapi, Gunung Santubong dan juga pergunungan Kalimantan.

Di Kuching Civic Center ini juga terletaknya Planetarium Sultan Iskandar, iaitu planetarium yang pertama di Malaysia. Ia dibuka pada 19 Januari 1989 dan menjadi lokasi lawatan pelajar sekolah dan juga keluarga yang popular semasa cuti sekolah.

Harga tiket / Bayaran masuk: RM2.00

Lokasi / Alamat:
Dewan Suarah Negeri Kuching
Jalan Taman Budaya,
93000 Kuching, Sarawak

Hubungi:
Tel: 082 415806

Kuching Civic Centre.

Jong's Crocodile Farm

Ladang penternakan buaya ini adalah antara lokasi menarik yang sering dikunjungi pelancong yang datang ke Kuching. Jong's Crocodile Farm ialah tempat pembiakan buaya yang terbesar di Malaysia. Terletak di KM29 Kuching/Serian Highway, perjalanan ke ladang buaya ini dari pusat bandaraya Kuching mengambil masa kira-kira 20 minit.

Jong's Crocodile Farm ini bukan sekadar ladang biasa. Selain kandang buaya, disini juga terdapat muzium yang mempamerkan berbagai maklumat tentang buaya. Kepala Bujang Senang, iaitu buaya terbesar yang ditangkap di Sarawak turut dipamerkan. Lawatan anda tidak berakhir disitu kerana di ladang ini juga terdapat berbagai jenis binatang lain seperti burung merak, monyet, rusa dan Arapaima yang bersaiz 10 kaki dengan berat melebihi 180kg.

Waktu lawatan:
Isnin hingga Ahad (Setiap hari) : 9:00 pagi - 5:00 petang.
Pertunjukan (Memberi makan) : 11:00 pagi - 3:00 petang.

Harga tiket / Bayaran masuk:
Dewasa: RM22.
Kanak-kanak: RM11.

Lokasi / Alamat:
Jong's Crocodile Farm
Siburan, 29 km Kuching-Serian Road,
93250 Kuching, Sarawak

Hubungi:
Tel: +6 082-863570
Fax: +6082-864690

Kuching Waterfront

Kuching Waterfront ialah kawasan rekreasi menarik yang terletak ditepi Sungai Sarawak. Pengunjung boleh berasantai melihat pemandangan menarik Astana, Fort Margherita dan kampung melayu diseberang sungai serta bot penambang yang lalu-lalang membawa penumpang. Tarikan lain yang ada disini ialah Sarawak River Cruise. Pelancong akan dibawa menyusuri Sungai Sarawak untuk melihat pemandangan menarik yang ada.

Jika anda mencari tempat menarik di Kuching waktu malam, sila ke Kuching Waterfront. Suasana cukup meriah dengan persembahan, orang-ramai yang menjamu selera di gerai-gerai dan juga restoran bersama keluarga atau rakan-rakan memberi suasana bagaikan pesta. Pemandangan juga lebih menarik dengan lampu berwarna-warni diseberang sungai Sarawak.

Lokasi:
Kuching Waterfront
Jalan Main Bazaar,
Kuching, Sarawak.

Kuching Waterfront.

Melawat muzium menarik di Kuching

Lain-lain tempat menarik di Kuching yang mesti dilawati ialah muzium. Ada banyak muzium di bandaraya ini dan rugi jika anda tidak mengunjungi lokasi yang menyimpan berbagai khazanah ini.

Muzium Sarawak

Muzium Sarawak adalah sebuah muzium lama dan bersejarah. Ia telah bermula sejak zaman pemerintahan British lagi. Bangunan Muzium Sarawak yang asal didirikan pada tahun 1891. Ia telah diubahsuai dan dibesarkan lagi pada tahun 1911 dengan rekabentuk seperti yang dapat dilihat pada hari ini.

Muzium Sarawak mempunyai dua tingkat ruang pameran. Tingkat bawah menyimpan pelbagai khazanah alam semulajadi seperti spesimen burung, reptilia, mamalia dan lain-lain yang ditemui di negeri ini. Manakala tingkat atas pula terdapat pameran etnografik Sarawak seperti model rumah panjang, peralatan memburu dan menangkap ikan, barangan kraftangan dan sebagainya.

Lokasi:
Muzium Sarawak
Jalan Tun Abang Haji Openg,
93000 Kuching, Sarawak.

Muzium Sarawak di Kuching.

Muzium Warisan Islam Sarawak

Muzium Warisan Islam Sarawak ini mempunyai beberapa buah galeri yang mempamerkan tamadun Islam dalam masyarakat Sarawak. Selain sejarah Islam di Sarawak, pengunjung boleh melihat seni rekabentuk Islam, kostum, muzik, senjata, seni hiasan dan berbagai barangan lagi.

Waktu lawatan:
Isnin hingga Jumaat : 9:00 pagi - 4:45 petang.
Sabtu dan Ahad : 10:00 pagi - 4:00 petang.

Harga tiket / Bayaran masuk: Percuma.

Lokasi / Alamat:
Muzium Warisan Islam Sarawak
93250 Kuching,
Sarawak.

Muzium Tekstil

Muzium Tekstil ialah salah satu tempat menarik di Kuching yang mesti dilawati. Ini kerana disini pengunjung akan dapat melihat tekstil dan busana asli yang dipakai oleh masyarakat Sarawak. Keunikan hasil tenunan tangan yang dipamerkan disini termasuk Pua Kumbu masyarakat Iban dan juga songket Melayu Sarawak. Pengunjung dapat melihat bagaimana dari sehelai benang, ia ditenun menjadi kain dan akhirnya dibuat pakaian yang berbagai bentuk dan rupa.

Muzium Tekstil ini ditempatkan di bangunan bersejarah yang menarik iaitu Bangunan Pavilion Bandaraya Kuching. Pengunjung pasti kagum melihat rekaan senibina kolonial yang dibina sekitar tahun 1907. Bangunan tiga tingkat ini mempunyai bumbung konkrit rata seperti bangunan-bangunan yang terdapat di England.

Waktu lawatan:
Isnin hingga Jumaat : 9:00 pagi - 4:45 petang.
Sabtu dan Ahad : 10:00 pagi - 4:00 petang.

Harga tiket / Bayaran masuk: Percuma.

Lokasi / Alamat:
Muzium Tekstil
Jalan Tun Abang Haji Openg,
93000 Kuching, Sarawak.

Bangunan Muzium Tekstil di Kuching Sarawak.

Muzium Kucing

Satu-satunya muzium kucing di Malaysia terletak di bandaraya Kuching, Sarawak. Lokasinya ialah di tingkat bawah bangunan Ibu Pejabat Dewan Bandaraya Kuching Utara. Muzium ini mempamerkan berbagai aksesori kucing, patung kucing, lukisan kucing, stem, poskad dan macam-macam lagi yang berkaitan kucing. Malah Hello Kitty dan Garfield pun ada disini. Berbagai maklumat berkaitan kucing juga dikongsikan dengan pengunjung melalui gambar, poster dan bahan bacaan.

Selain melihat pameran, pengunjung boleh memasuki gua kucing yang menarik dan bergambar bersama-sama aneka patung kucing pelbagai saiz. Sebelum pulang, anda boleh membeli cenderahati kucing sebagai kenang-kenangan. Ada t-shirt, keychain, fridge magnet dan lain-lain. Jika anda bercuti bersama anak-anak, muzium ini adalah satu tempat menarik di Kuching yang mesti dilawati.

Waktu lawatan:
Isnin hingga Ahad (Setiap hari) : 9:00 pagi - 5:00 petang.

Harga tiket / Bayaran masuk: Percuma.
Kamera telefon bimbit : RM3
Kamera biasa : RM3.
Kamera digital: RM4.
Video kamera: RM5.

Lokasi:
Muzium Kucing
Bukit Siol, Jalan Semariang,
Petra Jaya,
93000 Kuching, Sarawak.

Muzium Kucing.

Taman Negara di Kuching

Keistimewaan Kuching berbanding ibu negeri lain di Malaysia ialah ia mempunyai beberapa buah Taman Negara yang unik serta kaya dengan berbagai flora dan fauna. Antara lokasi yang sangat menarik boleh dilawati ialah seperti senarai dibawah.

Taman Negara Kubah

Taman Negara Kubah terletak lebih-kurang 30 KM dari pusat bandar Kuching. Ia adalah sebuah banjaran tanah tinggi yang meliputi beberapa buah gunung termasuk Gunung Serapi, Gunung Selang dan Gunung Sendok. Tarikan utama disini ialah air terjun, mendaki ke puncak Gunung Serapi, berkhemah dan juga melihat flora dan fauna.

Terdapat kemudahan penginapan untuk pengunjung bermalam disini. Tapak perkhemahan juga turut disediakan untuk anda yang berminat. Dua aktiviti menarik yang mesti dicuba jika anda bercuti disini iaitu Waterfall trail dan Rayu trail. Waterfall trail akan membawa anda ke kawasan air terjun yang cantik melalui trek sejauh 1.5 KM. Perjalanan mengambil masa lebih-kurang satu jam.

Rayu trail pula akan membawa anda merentas hutan dan berakhir di Matang Wildlife Centre (Pusat Hidupan Liar Matang). Berbagai spesis flora dan fauna yang boleh anda lihat disepanjang perjalanan termasuk pokok Bintangor, Tongkat Ali, lebah dan berbagai spesis burung. Perjalanan mengambil masa lebih 3 jam.

Lokasi:
Taman Negara Kubah
Petra Jaya,
93050 Kuching, Sarawak

Pusat Hidupan Liar Matang

Pusat Hidupan Liar Matang merupakan sebuah pusat pemuliharaan dan rehabilitasi hidupan liar. Ia terletak di sebelah barat Taman Negara Kubah, kira-kira 40 KM dari bandaraya Kuching. Berbagai jenis binatang liar seperti orang utan, beruang, buaya, burung hantu, rusa sambar, musang, burung kenyalang, helang dan lain-lain ada disini.

Hidupan liar yang ada di sini kebanyakannya adalah binatang yang cedera, kematian ibubapa, ditangkap dan dikurung oleh pemburu haram untuk penyeludupan dan juga haiwan yang terancam. Binatang-binatang ini akan dirawat sehingga sembuh, diberi latihan dan diajar sebelum dilepaskan kembali ke dalam hutan.

Pengunjung boleh melihat binatang-binatang yang ada di Pusat Hidupan Liar Matang atau menikmati keindahan flora dan fauna melalu trek Taman Negara Kubah yang terdapat disini.

Lokasi:
Matang Wildlife Centre Sarawak
Jalan Matang, Lundu, Sg. Rayu,
Kuching, Sarawak.

Pusat Hidupan Liar Matang, Kuching, Sarawak.

Taman Negara Bako

Taman Negara Bako adalah sebuah taman negara tertua di Sarawak yang dibuka pada tahun 1957. Ia terletak kira-kira 37km dari bandaraya Kuching. Taman negara ini meliputi kawasan seluas 27 km persegi dan terkenal dengan pemandangan alam semulajadi yang sangat menarik, mempunyai pelbagai spesis tumbuhan dan hidupan liar.

Tarikan utama di Taman Negara Bako ini ialah tunggul-tunggul laut yang unik terletak di kawasan perairan Telok Pandan Kecil. Tunggul laut dan tebing-tebing batu disini sangat cantik terutama yang berbentuk seperti kepala ular. Selain itu, pengunjung boleh merentas hutan ke kawasan pedalaman untuk ke air terjun yang sangat menarik. Pemandangan hutan disepanjang perjalanan juga sangat mempersonakan.

Lain-lain yang menarik di Taman Negara Bako ialah trek mendaki bukit, merentas hutan, berkhemah, melihat spesis binatang yang jarang dijumpai seperti monyet proboscis yang hanya ada di Borneo dan melihat lebih 150 spesis burung yang boleh ditemui di kawasan ini.

Lokasi:
Taman Negara Bako
Kuching,
Sarawak

Taman Negara Bako.

Kuching Wetlands National Park

Taman negara ini adalah satu lagi lokasi pelancongan menarik di Kuching yang sering menjadi tumpuan pelancong. Ia terletak kira-kira 15 KM dari pusat bandaraya. Kawasan seluas 6,610 hektar ini diwartakan sebagai sebuah Taman Negara pada Julai 2002. Ia terdiri daripada hutan bakau air masin dan juga hutan rawa di kawasan pedalaman. Kuching Wetlands National Park merupakan kawasan pembiakan pelbagai spesis ikan dan udang serta mempunyai berbagai jenis hidupan liar seperti monyet proboscis, monyet macaque ekor panjang, biawak, buaya dan berbagai spesis burung.

Kawasan ini menarik minat ramai kerana ekosistem yang menarik serta kepelbagaian hidupan liar yang boleh ditemui. Selain itu, Kuching Wetlands National Park juga mempunyai pantai yang sangat cantik malah antara yang tercantik di Sarawak. Pengunjung yang ingin meneroka taman negara ini perlu menaiki bot dan melalui jalan sungai.

Lokasi:
Kuching Wetlands National Park
Kuching,
Sarawak

Taman Negara Gunung Gading

Bagi pengunjung yang gemar meneroka keindahan alam semulajadi, Taman Negara Gunung Gading adalah tempat menarik di Kuching yang mesti anda dikunjungi. Terletak agak jauh di Lundu iaitu kira-kira 2 jam perjalanan dari Kuching, tarikan utama taman negara ini ialah bunga terbesar di dunia, Rafflesia.

Tarikan lain di Taman Negara Gunung Gading ialah aktiviti merentas hutan dan mendaki gunung. Ada beberapa laluan menarik ke kawasan air terjun, batu berkubu dan puncak Gunung Gading. Walau bagaimanapun, aktivit ini memerlukan stamina yang agak tinggi. Pengunjung yang berminat juga perlu menyediakan sendiri kelengkapan yang sepatutmya.

Lokasi:
Taman Negara Gunung Gading
94500 Lundu,
Sarawak

Tempahan dan pertanyaan boleh diajukan kepada:
Pejabat Tempahan Taman Negara,
Pusat Maklumat Pelawat,
Jalan Tun Abang Haji Openg,
93000 Kuching Sarawak,
Tel: (+6) 082 248088
Fax: (+6) 082 248087

Pusat Hidupan Liar Semenggoh

Pusat Hidupan Liar Semenggoh atau Semenggoh Wildlife Centre ialah lokasi pelancongan yang harus anda tuju jika ingin melihat orang utan di Kuching. Sejarahnya, ia ditubuhkan pada tahun 1975 bagi menjaga haiwan liar yang cedera, kematian ibubapa atau dikurung secara haram. Tidak seperti ditempat-tempat lain, haiwan liar disini diasuh dalam suasana dan persekitaran semulajadi sebagai persediaan sebelum dilepaskan kembali ke dalam hutan. Pusat hidupan liar ini juga turut menjalankan kajian dan penyelidikan serta program pembiakan dalam kurungan bagi spesis terancam.

Pusat Hidupan Liar Semenggoh menjaga berbagai jenis mamalia terancam, reptilia dan burung. Namun ia lebih dikenali sebagai pusat pemulihan orang utan. Ini kerana program ini telah berjaya menghantar banyak orang utan kembali ke dalam hutan. Bagi mengelakkan terlalu banyak orang utan di Hutan Simpan Semenggoh, aktiviti pemulihan telah dipindahkan ke Pusat Hidupan Liar Matang.

Terletak kira-kira 24 KM dari bandaraya Kuching, Pusat Hidupan Liar Semenggoh ialah destinasi pelancongan yang harus dilawati oleh semua orang. Selain melihat berbagai aksi orang utan separa liar dari bayi, remaja dan dewasa, lawatan ke sini akan memberi pengalaman baru dan kesedaran akan pentingnya pemulihan hidupan liar.

Masa lawatan yang menarik ialah waktu memberi makan iaitu:
Sesi pagi: 9.00am - 10.00am
Sesi petang: 3.00pm - 3.30pm

Lokasi:
Pusat Hidupan Liar Semenggoh
Jalan Puncak Borneo,
93250 Kuching, Sarawak.

Pusat Hidupan Liar Semenggoh.

Gua Angin dan Gua Pari-Pari

Gua Angin dan Gua Pari-Pari adalah tempat menarik di Kuching yang cantik dan menjadi salah satu tarikan pelancongan utama di bahagian ini. Ia terletak di Bau kira-kira 50 minit perjalanan dari pusat bandaraya. Gua ini terkenal kerana terdapat pembentukan batu-batan dan ukiran semulajadi batu kapur yang cantik dan unik.

Melawat Gua Angin memberikan pengalaman baru dan rasa kagum pada keindahan alam semulajadi. Stalaktit dan stalagmit yang wujud didalam gua ini dikatakan terbentuk lebih 60 juta tahun yang lalu. Gua ini pernah dihuni manusia pada zaman dahulu dan sumber air juga terdapat dalam gua. Jika anda merancang untuk melawat Gua Angin, bawa pakaian mandi kerana terdapat kawasan mandi di Sungai Sarawak yang terletak berhampiran gua. Kemudahan bilik persalinan, tandas, dan gerai makanan disediakan disini.

Gua Pari juga cukup menarik untuk dilawati. Pengunjung perlu memanjat bangunan yang dibina sebagai tangga untuk ke pintu masuk laluan gua. Didalam gua terdapat laluan yang disediakan untuk meneroka dan tangga untuk memanjat ke Gua Pari yang terletak agak tinggi diatas bukit. Perjalanan agak memenatkan namun keindahan gua ini membuatkan ianya berbaloi.

Harga tiket / Bayaran masuk:
Dewasa: RM3.
Kanak-kanak: RM1.50.

Lokasi:
Gua Angin dan Gua Pari-Pari
94000 Bau, Sarawak.

Gua Pari Bau Kuching.

Tempat membeli-belah di Kuching

Tak lengkap percutian ke Kuching jika tidak mengunjungi tempat membeli-belah yang terkenal di sini. Ada beberapa tempat menarik yang boleh anda kunjungi untuk membeli barangan tempatan sebagai buah tangan untuk di bawa pulang. Antara lokasi yang harus anda kunjungi ialah seperti senarai dibawah.

Kompleks Kubah Ria

Kompleks Kubah Ria ialah lokasi yang mesti dikunjungi jika melancong ke Kuching. Ia adalah kompleks perniagaan yang lebih teratur dibina bagi menggantikan Pasar Satok yang sudah ditutup. Kompleks perniagaan ini menjual pelbagai barangan tempatan seperti pakaian, makanan, kraftangan, barangan basah, barangan kering dan medan selera. Antara barangan yang boleh didapati disini termasuk ikan terubuk masin Sarawak yang sangat terkenal, belacan Bintulu, kek lapis Sarawak dan juga barangan kraftangan.

Waktu operasi:
Sabtu : 10.00 pagi - 10.00 malam.
Ahad : 10 pagi - 12 tengahari.

Lokasi:
Kompleks Kubah Ria
Jalan Matang,
Kuching, Sarawak.

Pasar Serikin

Untuk membeli barangan kraftangan sebagai cenderahati dari Sarawak, anda boleh ke Pasar Serikin yang terletak di daerah Bau. Disini terdapat berbagai barangan menarik seperti tikar Sarawak, barangan kraftangan, kain sarung, kain batik, telekung, kasut, beg kulit dan bermacam-macam lagi. Pakaian memang banyak dijual disini. Macam Pasar Kemboja Parit Buntar, Perak. Harga barangan juga lebih murah berbanding di bandar Kuching. Jika anda pandai tawar-menawar mungkin boleh dapat percuma lagi murah.

Waktu operasi:
Sabtu dan Ahad sahaja : 8:00 pagi - 12 tengahari.

Lokasi:
Pasar Satok
Taman Foong Joon,
93250 Kuching, Sarawak.

Pasar Serikin Bau Kuching.

Nota Kredit: Semua gambar adalah ehsan wikipedia.

Untuk melihat senarai dan potongan harga hotel di Kuching, anda boleh menyemak dan menempah bilik penginapan melalui BOOKING.COM.

Setakat ini dahulu yang dapat kami kongsikan tentang tempat-tempat menarik di Kuching. Sebenarnya masih banyak lagi lokasi pelancongan yang ada tetapi memandangkan senarai ini akan menjadi sangat panjang, maka lokasi tersebut akan dimasukkan dalam destinasi percutian menarik di Kuching nanti. Semoga senarai yang kami sediakan ini berguna untuk anda merancang percutian ke bandaraya ini. Jangan lupa kongsikan pengalaman anda diruangan komen dan sekiranya maklumat ini berguna, sila SHARE dengan rakan-rakan facebook, twitter atau g+ anda. Kami amat menghargainya. Terima kasih dan selamat bercuti di Kuching!

Lokasi