Tempat menarik di Miri

Miri merupakan salah sebuah lokasi pelancongan popular di Sarawak. Walaupun lebih dikenali dengan telaga minyak, sebenarnya terdapat banyak tempat-tempat menarik di Miri yang boleh dilawati jika anda berkunjung ke sana. Ia mempunyai beberapa buah Taman Negara yang merupakan tarikan utama pelancong alam semulajadi, lokasi sejarah, tempat membeli-belah dan destinasi menarik lain. Buat anda yang ingin bercuti ke Miri, kali ini Percutian Bajet akan berkongsi maklumat mengenai bandaraya ke-10 di Malaysia ini sebagai panduan untuk merancang perjalanan anda.

Nota: Untuk melihat lokasi percutian di Sarawak, sila lawati halaman Senarai tempat menarik untuk percutian di Sarawak.

Lokasi Miri

Miri terletak berhampiran sempadan Malaysia-Brunei. Lokasinya ialah kira-kira 798 KM ke arah Timur Laut Kuching. Ia bersempadan dengan Bahagian Bintulu disebelah Barat Daya. Miri adalah salah satu Bahagian di negeri Sarawak yang luas merangkumi kawasan lebih-kurang 1,162,880 ekar tanah. Berbagai kemudahan seperti lapangan terbang, hotel, resort dan pusat pelancongan ada disekitar Bahagian ini. Jadi jika ingin ke Miri, anda boleh terus menaiki kapal terbang ke sini.

Tempat menarik di bandar Miri

Miri ialah bandar kedua terbesar di Sarawak selepas Kuching. Walaupun Kuching lebih terkenal sebagai lokasi pelancongan utama, namun Miri juga mempunyai keistimewaan tersendiri. Ia merupakan pintu masuk pelancong ke Taman Negara Gunung Mulu, Taman Negara Loagan Bunut, Taman Negara Bukit Lambir, Taman Negara Niah and Miri-Sibuti Coral Reef National Park. Yang pastinya, anda perlu datang ke bandar Miri sendiri kerana berbagai tarikan yang ada disini. Berikut merupakan antara tempat menarik di bandar Miri untuk dilawati.

Miri City Fan

Miri City Fan ialah sebuah taman awam yang terletak berhampiran pusat bandar Miri. Ia diberi nama City Fan kerana bentuk kawasan taman ini menyerupai kipas. Mula dibina pada tahun 1990, kawasan seluas 26 ekar ini dibangunkan bagi tujuan sukan, pendidikan dan aktiviti kebudayaan. Terdapat taman berbagai tema, Pustaka Miri, kolam renang awam, Amphitheatre dan Dewan Suarah. Kemudahan tempat letak kereta yang luas juga disediakan untuk pengunjung.

Apa yang menarik di sini ialah kemudahan rekreasi, taman botanik, taman Islam dan berbagai taman lain dengan lanskap menarik amat sesuai untuk bersantai bersama keluarga. Pengunjung boleh beriadah, jogging atau berjalan-jalan di Miri City Fan melawat taman-taman yang ada. Bagi yang minat membaca, anda boleh ke Pustaka Miri. Malah jika anda gemar berenang, kolam renang awam disini cukup luas dan menarik.

Suasana malam di Miri City Fan

Alamat:
Miri City Fan
Jalan Kipas,
98000 Miri,
Sarawak

Miri Handicraft Centre

Sebuah lokasi yang mesti dilawati jika berkunjung ke bandar ini ialah Miri Handicraft Centre. Ia adalah sebuah kompleks yang mengumpulkan pelbagai barangan kraftangan Sarawak dari pelbagai etnik yang ada. Para peniaga terdiri daripada pembuat kraftangan sendiri malah pengunjung dapat melihat bagaimana kraftangan dibuat di tempat kerja disini.

Barangan yang dijual termasuk tikar Penan dan bakul, manik dan ukiran kayu Orang Ulu serta pelbagai tekstil tradisional dari seluruh Sarawak. Bagi mendapatkan cenderahati untuk ahli keluarga atau rakan-rakan, pengunjung boleh membeli t-shirt, ref magnet, rantai kunci, karya seni dan juga makanan di Miri Handicraft Centre ini. Jika bernasib baik, pengunjung dapat melihat persembahan kebudayaan yang turut diadakan pada hujung minggu.

Waktu operasi: Setiap hari 09:00 am - 06:00 pm.

Miri Handicraft Centre

Alamat:
Miri Handicraft Centre
Jalan Brooke,
98000 Miri,
Sarawak

Taman Awam Miri

Taman rekreasi yang menarik di Miri. Ia merupakan lokasi popular untuk beriadah bersama keluarga, bersantai dan menjamu mata melihat pemandangan lanskap yang indah menyejukkan mata. Terletak hanya kira-kira 3 KM dari pusat bandar, Taman Awam Miri sentiasa dikunjungi orang-ramai dan juga pelancong terutama diwaktu petang dan juga hujung minggu.

Di Taman Awam Miri terdapat Taman Botani, kolam permainan kanak-kanak dengan lanskap dan air terjun yang cantik, menara tinjau dan titi gantung yang sangat menarik, laluan pejalan kaki, trek jogging dan bermacam-macam lagi. Pengunjung juga boleh menjamu selera di gerai makanan setelah penat beriadah atau melakukan aktiviti di sini.

Taman Awam Miri Sarawak

Lokasi:
Taman Awam Miri
Jalan Miri - Bintulu,
98000 Miri,
Sarawak

Canada Hill (Bukit Tenaga)

Bukit Tenaga atau dahulunya dipanggil Canada Hill terkenal dengan telaga minyak pertama "The Grand Old Lady" dan juga Muzium Petroleum. Bukit ini juga merupakan lokasi sesuai untuk melihat pemandangan bandar Miri dari tempat tinggi. Ia sering dilawati siang dan juga malam. Jika siang anda akan dapat melihat banyak panorama menarik disekeliling kawasan ini termasuk laut yang membiru hingga sayup mata memandang. Anda juga boleh melawat Muzium Petroleum yang terletak diatas bukit ini. Diwaktu petang, ia menjadi lokasi orang-ramai menikmati keindahan matahari terbenam di ufuk barat. Bila malam pula anda dapat melihat kilauan lampu yang berwarna-warni di bandar Miri yang cukup menarik dan mempersonakan.

Pemandangan Bandaraya Miri dari Canada Hill

Alamat:
Canada Hill
Jln Oil Well No. 1,
98000 Miri,
Sarawak.

Luak Bay - Esplanade

Luak Bay atau Luak Esplanade ialah tempat menarik di Miri yang tidak boleh dilupakan jika berkunjung ke bandaraya ini. Lokasi pelancongan popular ini terletak di Luak iaitu kira-kira 20 minit perjalanan dari pusat bandar Miri. Ia adalah kawasan pantai yang luas dan menarik menghadap Laut China Selatan. Ramai pengunjung membanjiri esplanade ini untuk menikmati pemandangan menarik di tepi laut, berkelah bersama ahli keluarga, bersantai bersama rakan-rakan terutama diwaktu petang hingga ke malam. Luak Esplanade juga merupakan lokasi menarik untuk melihat matahari terbenam.

Suasana di Luak Esplanade ini paling meriah di hujung minggu dimana terdapat banyak gerai makanan dibuka ditepi pantai yang menjual berbagai makanan tempatan yang enak boleh anda cuba. Di waktu malam pula kawasan ini meriah dengan pertunjukan audio kereta dan berbagai aktiviti lain yang menghiburkan.

Sunset di Luak Bay Esplanade

Lokasi:
Luak Esplanade
Jalan Bakam,
98000 Miri,
Sarawak

Tamu Muhibbah

Tamu Muhibbah ialah tempat membeli-belah di Miri yang mesti dikunjungi jika anda bercuti di bandar ini. Terdapat berbagai barangan tempatan dijual seperti makanan kering, buah-buahan, sayur-sayuran, barangan kraftangan dan bermacam-macam lagi. Anda pasti mendapat pengalaman baru melihat barangan unik dan buah-buahan tempatan yang hanya boleh didapati di negeri ini. Anda juga boleh membeli buah tangan atau cenderahati dari Sarawak untuk saudara-mara disini.

Seeloknya anda datang diawal pagi untuk merasa suasana meriah dimana gerai diluar dan dalam kompleks Tamu Muhibbah masih banyak dengan barangan yang dijual. Anda boleh menikmati sarapan pagi dan juga membeli pelbagai barangan untuk dibawa pulang. Antara barangan hasil tempatan yang menarik dijual disini termasuk belacan, udang kering, ikan masin, hasil produk dari sagu, barangan tekstil dan barangan kraftangan. Buah-buahan tempatan yang banyak terdapat disini ialah buah salak, nenas, pulasan, cempedak, manggis dan lain-lain mengikut musim.

Tamu Muhibbah Miri

Alamat:
Tamu Muhibbah
98000 Miri,
Sarawak

Taman Buaya Miri

Tempat menarik di Miri yang seterusnya untuk anda dilawati ialah taman buaya. Ia terletak di Kuala Baram, tidak jauh dari pusat bandar iaitu kira-kira 30 minit perjalanan. Taman Buaya Miri atau lebih dikenali dengan nama Miri Crocodile Farm ini mempunyai berbagai spesis buaya tempatan dan juga luar negara. Terdapat lebih 3,000 ekor buaya didalam kawasan seluas 9.6 hektar.

Selain buaya disini juga terdapat mini zoo dimana berbagai jenis haiwan boleh dilihat. Antara yang menarik ialah pelbagai spesis burung, arnab, kuda dan beruang. Jika anda bercuti bersama keluarga di Miri, jangan lepaskan peluang untuk melawat Taman Buaya Miri yang juga merupakan taman buaya pertama dan terbesar di wilayah utara Sarawak.

Waktu operasi: Setiap hari 09:00 am - 06:00 pm.

Taman Buaya Miri

Harga tiket / Bayaran kenderaan:
Dewasa : RM18.
Kanak-kanak: RM10.
Makanan buaya: RM10.

Alamat:
Taman Buaya Miri
KM24, Jalan Miri-Kuala Baram,
98000 Miri,
Sarawak

Tarikan Alam Semulajadi

Ada beberapa lokasi pelancongan tarikan alam semulajadi yang boleh dilawati jika anda berkunjung ke Miri terutama Taman Negara yang terkenal dengan keunikan tersendiri. Bagi anda yang berminat untuk berkunjung ke sini, pastikan anda memakai pakaian yang sesuai bagi meneroka alam semula jadi.

Taman Negara Niah

Taman Negara Niah ialah tempat menarik di Miri yang mesti dilawati. Disinilah terletaknya Gua Niah yang terkenal bukan sahaja di Malaysia tetapi hingga ke seluruh dunia. Ia bukan sahaja gua terbesar di Malaysia malah juga merupakan salah sebuah gua batu kapur yang terbesar di dunia. Keluasan gua ini dianggarkan lebih 12 hektar iaitu lebih-kurang 3 buah padang bola sepak.

Berbagai penemuan didalam gua ini membuktikan bahawa daerah ini pernah diduduki manusia sejak 40,000 tahun dahulu. Antara yang ditemui ialah fosil manusia, perkakasan batu dan arang, barangan tembikar, alatan memasak dan juga barangan hiasan. Jika anda merancang untuk menikmati keindahan alam semulajadi sepuasnya, Taman Negara Niah menyediakan penginapan berupa chalet dan hostel yang boleh anda sewa.

Taman Negara Niah
Kredit gambar: Wikipedia

Harga tiket / Bayaran masuk:
Dewasa : RM10.
Sewa lampu suluh: RM6.
Tambang bot: RM1.

Alamat:
Taman Negara Niah
98200 Miri,
Sarawak

Taman Negara Bukit Lambir

Taman Negara Bukit Lambir terletak paling hampir dengan pusat bandar Miri. Jaraknya cuma 30 kilometer iaitu kira-kira 25 minit perjalanan sahaja. Tarikan pelancongan utama di taman negara ini ialah air terjun Latak. Pengunjung perlu melalui trek hutan hampir 20 minit untuk tiba ke destinasi air terjun yang cantik ini. Namun perjalanan amat menarik kerana terdapat jambatan gantung, jambatan kayu serta berbagai spesis pokok hutan yang besar disepanjang trek.

Di Taman Negara Bukit Lambir ini terdapat beberapa air terjun menarik lagi seperti Air Terjun Nibong, Air Terjun Pantu, Air Terjun Pancur, Air Terjun Tengkorong serta Air Terjun Dinding. Meneroka air terjun ini satu persatu memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat berbagai spesis burung, tupai terbang, babi hutan, gibbon, monyet, rusa dan serangga-serangga pelik yang ada di sini. Bagi pengunjung yang ingin bermalam disini, terdapat resort menarik iaitu Borneo Tropical Rainforest Resort yang menawarkan penginapan selesa untuk anda.

Harga tiket masuk:
Dewasa : RM10.
Kanak-kanak: RM5.

Alamat:
Taman Negara Bukit Lambir
Miri-Bintulu Road,
98000 Miri,
Sarawak

Taman Negara Loagan Bunut

Taman Negara Loagan Bunut ialah lokasi pelancongan menarik yang terletak dibahagian timur Miri. Lokasinya agak jauh iaitu kira-kira 120 KM dari bandar Miri. Perjalanan memakan masa lebih 3 jam. Apa yang menarik, di tengah-tengah taman negara ini terdapat sebuah tasik semulajadi yang berkeluasan 65 hektar, iaitu yang terbesar di Sarawak. Uniknya, tasik yang luas ini akan kekeringan meninggalkan lumpur sahaja apabila paras air Sungai Bunut, Sungai Tinjar dan Sungai Baram surut. Biasanya fenomena ini berlaku pada bulan Februari dan penghujung bulan Mei.

Di tasik Loagan Bunut ini boleh dilihat rumah rakit kaum Berawan yang tinggal sejak dahulu di sini. Mereka mempunyai cara yang unik untuk menangkap ikan. Selain itu, kejadian air kering di tasik ini turut mengundang kehadiran berbagai spesis burung yang memakan ikan. Antara spesis burung yang ada disini termasuk helang, burung layang-layang, malkoha, burung raja udang, murai, merpati, enggang, layang-layang, bangau, bitterns, ranggung dan broadbill. Aktiviti pelancongan menarik disini termasuk jungle trekking, memerhati binatang liar dan bot trip.

Alamat:
Taman Negara Loagan Bunut
Long Lama,
Sarawak

Taman Negara Bukit Tiban

Taman Negara Bukit Tiban terletak di sempadan Bahagian Miri dan Bahagian Bintulu. Ia kurang mendapat perhatian pelancong melainkan para pencinta alam semulajadi. Kebanyakan pelancong yang datang ke taman negara ini ialah untuk melihat berbagai spesis burung, para penyelidik dan pendaki gunung. Ia juga sering dikunjungi pelancong yang ingin menikmati keindahan alam dan pemandangan menarik yang ada di sini. Pengunjung yang ingin ke Taman Negara Bukit Tiban boleh melalui jalan Bintulu-Miri yang melalui bahagian selatan taman negara ini. Walau bagaimanapun, tiada kenderaan awam masuk melainkan kenderaan pacuan 4 roda.

Alamat:
Taman Negara Bukit Tiban
98200 Bintulu,
Sarawak

Tempat bersejarah di Miri

Beberapa tempat bersejarah di Miri boleh dilawati jika anda berkunjung ke sini.

The Grand Old Lady

Salah satu lokasi bersejarah di Miri ialah The Grand Old Lady yang terletak di atas Bukit Tenaga (dahulunya dikenali sebagai Canada Hill). Ia adalah telaga minyak pertama digali di Miri iaitu pada 10 August 1910. Pada mulanya penggalian telaga minyak digerudi menggunakan cara alat kawat (Cable Tool Method) dari derik (derricks) yang diperbuat dari kayu setinggi 30 meter tinggi dalam operasi dengan Royal Dutch Shell. Pengunjung masih dapat melihat peninggalan yang ada kerana ia kini dijadikan tarikan pelancongan di Miri.

Alamat:
The Grand Old Lady
Jln Oil Well No. 1,
98000 Miri,
Sarawak.

The Grand Old Lady Miri Sarawak
Kredit gambar: Wikipedia

Muzium Petroleum

Muzium ini terletak diatas Bukit Tenaga (Canada Hill). Lokasinya ialah dibelakang telaga minyak pertama di sarawak iaitu The Grand Old Lady. Muzium Petroleum ini terhasil dari kerjasama Petronas dan Shell Malaysia. Ia menawarkan pameran berkonsepkan interaktif dimana selain menyaksikan artifak dan bahan pameran, pengunjung boleh berinteraksi melalui peralatan canggih yang disediakan.

Waktu operasi:
Selasa - Jumaat: 09:00 am - 04:45 pm.
Sabtu - Ahad: 10:00 am - 04:00 pm.
Tutup: Isnin dan cuti umum.

Harga tiket / Bayaran masuk: Percuma.

Muzium Petroleum Miri

Alamat:
Muzium Petroleum
Jln Oil Well No. 1,
98000 Miri,
Sarawak.

Muzium Arkeologi Niah

Muzium Arkeologi Niah terletak di kawasan arkeologi Gua Niah. Ia mempamerkan khazanah pra-sejarah yang berusia puluhan ribu tahun yang ditemui di sini. Bagi pengunjung yang ingin meneroka Gua Niah, pastikan anda tidak ketinggalan untuk melawat muzium ini. Masuk adalah percuma.

Waktu operasi:
Selasa - Jumaat: 09:00 am - 04:45 pm.
Sabtu - Ahad: 10:00 am - 04:00 pm.
Tutup: Isnin dan cuti umum.

Harga tiket / Bayaran masuk: Percuma.

Alamat:
Muzium Arkeologi Niah
98200 Miri,
Sarawak

Setakat ini dahulu senarai tempat menarik di Miri untuk dilawati sebagai panduan anda. Sebenarnya banyak lagi keistimewaan Miri yang menjadi tarikan pelancong. Bandarnya dikenali sebagai Bandaraya Pelancongan. Miri juga dikelilingi oleh 4 buah Taman Negara yang menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara. Disamping itu, pantai-pantai menarik dan laut yang kaya dengan batu karang menawarkan pemandangan cantik bagi peminat selam skuba. Melancong ke Miri pasti memberi kenangan indah dalam hidup anda. Selamat bercuti!

Add new comment